Jambatan Ke-Tiga Klang Akan Siap Dalam Dua Tahun, Elak Kesesakan

jambatan klang lawatan MB 01

SHAH ALAM, 17 DIS: Pengguna jalan raya tidak perlu lagi meredah kesesakan di tengah bandaraya Klang untuk ke Kuala Lumpur atau sebaliknya ke Pelabuhan Klang, selepas jambatan ke-tiga Klang siap sepenuhnya dalam dua tahun lagi.

Jambatan enam lorong yang akan merentasi Sungai Klang itu akan menyalurkan trafik antara Klang Utara dan Klang Selatan tanpa melalui Klang yang merupakan pekan ke-tiga terpadat di Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pembinaan jambatan sepanjang 500 meter itu akan memakan kos RM 300 juta dan bakal dimulakan awal tahun depan.

“BN gagal tepati janji untuk bina jambatan ke-tiga, walaupun sebenarnya ia sudah perlu dilakukan sebelum 2008 lagi kerana mengikut kajian lebih 200,000 kenderaan melalui jambatan-jambatan di Klang, bermakna ia penuh sesak.

“Orang dari Sijangkang, Banting, Pelabuhan Klang yang ingin ke Shah Alam, Kuala Lumpur, Petaling Jaya tak perlu melalui Bandar Klang dengan jambatan ke-tiga ini dan dapat mengurangkan kemasukan kenderaan di Bandar Klang,” kata Abdul Khalid.

jambatan klang lawatan MB 02Beliau berakata demikian selepas mengadakan lawatan di tapak cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Lokasi pembinaan jambatan yang merentasi Sungai Kelang itu terletak di Kampung Sungai Pinang di sebelah Klang Utara dan Sungai Bertih di sebelah Klang Selatan.

Selain itu, menurut Abdul Khalid, walaupun kos pembinaan jambatan ke tiga Klang tersebut ditanggung oleh Kerajaan Negeri, beliau berharap agar projek ini dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia yang akan datang.

“RM 300 juta peruntukan adalah dari wang rizab Kerajaan Negeri, tetapi kita harap dapat masukan dalam Rancangan Malaysia yang akan datang,” ujar beliau lagi.

“Bulan depan kita akan tunjuk pelan rekabentuknya dan dijangka akan ambil masa sekurang-kurang dua tahun untuk disiapkan,” kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid mengumumkan pembinaan jambatan baru tersebut pada sesi Dewan Negeri Selangor bulan lepas.

Jambatan tersebut pada mulanya, dijanjikan oleh Kerajaan Pusat Umno-BN seminggu sebelum pilihanraya ke-12 pada Mac 2008. Akan tetapi, sampai sekarang kerajaan pusat masih tidak menepati janji tersebut.

Terdahulu, Abdul Khalid diiringi beberapa Exco Kerajaan Negeri mengadakan lawatan kerja di beberapa lokasi pembinaan jambatan tersebut.

Turut sama dalam lawatan itu, Speaker DNS, Datuk Teng Chang Kim, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin, Dr Xavier Jayakumar dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Categories
SELANGOR

Kos Teknologi Membran Berpatutan

 

SHAH ALAM, 22 NOV : Kerajaan Negeri sentiasa memantau penggunaan teknologi rawatan air dengan memastikan kosnya berpatutan bagi mengelakkan pengguna di Selangor terbeban.

 

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata demikian apabila Kerajaan Negeri bercadang menggunapakai teknologi penapisan air membran bagi merawat bekalan air di Selangor.

Sebagai permulaan teknologi ini akan digunakan di Loji Perawatan Air (LPA) di Bukit Jelutong yang ditutup pada tahun 1990.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga bersikap terbuka dalam menggunakan teknologi terkini di pasaran dengan tujuan mendapatkan pengeluaran air yang maksimum dari segi kuantiti dan kualiti.

“Apabila loji ini dibuka semula, ia boleh mengeluarkan air dengan kadar 50 juta liter sehari (JLH) dan membekalkan air ke seluruh kawasan Shah Alam seterusnya diagihkan ke kawasan lain yang memerlukan air seperti di Klang.

“Selain itu, kita juga bercadang untuk membuka semula loji rawatan air yang tidak beroperasi di Ampang dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran air yang terawat kepada pengguna Lembah Klang,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2013 di Dewan Negeri Selangor di sini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga meneliti cadangan sumber air baru bagi mengatasi masalah bekalan air kepada pengguna, antaranya menggunakan air tanah, menambah baik sistem agihan dan menggunakan teknologi penapisan air sungai.

Katanya, peruntukan sebanyak RM100 juta bagi pelaksanaan sistem tadahan ‘StormWater’ atau air hujan di hiliran sungai sebagai sumber air dapat mengatasi masalah air di beberapa tempat di negeri ini.

Categories
NASIONAL

Takut Tidak Dicalonkan, Adun BN Hadir Ke Sidang DNS

SHAH ALAM, 20 NOV: Berbeza dengan persidangan sebelumnya, kehadiran memberansangkan Adun BN dalam sidang Dewan Negeri Selangor kali ini berpunca daripada kebimbangan tidak dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Demikian menurut Adun Seri Muda, Suhaimi Shafie ketika sesi perbahasan di hari Sidang DNS hari ini.

Ketika diminta mengulas lanjut, beliau memberitahu kehadiran Adun BN pada tahun pertama Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan Negeri adalah baik.

“Paling ketara semenjak tercetus kes melibatkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Khir Toyo kehadiran mereka jauh merosot sampai kurang separuh Adun BN yang hadir hingga ada suatu ketika tiada seorang pun Adun BN yang hadir.

“Bagaimanapun tak tahulah saya selepas hari ini adakah kehadiran tinggi ini akan kekal selepas ini,” kata Suhaimi kepada TV Selangor di lobi Bangunan Annex DNS hari ini.

Kehadiran dalam sidang DNS adalah sebahagian dari tanggungjawab ADUN selaku wakil rakyat yang dipilih di dalam pilihan raya.

Selain itu kehadiran mereka juga dianggap penting bagi membawa masalah dan isu rakyat di kawasan masing-masing.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pilihanraya Selangor Hanya Selepas Daftar Pemilih Dibersihkan

SHAH ALAM: Kerajaan negeri hanya akan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) selepas daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibersihkan dari unsur-unsur yang meragukan.

Dianggarkan, proses semak semula daftar pemilih melalui program ‘Selangorku Bersih’ hanya akan selesai pada pertengahan Julai, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ini bermaksud, masih ada kemungkinan pilihan raya bagi kerusi DNS tidak akan diadakan serentak dengan pilihanraya bagi kerusi parlimen.

Spekulasi bahawa pilihan raya umum (PRU) bagi parlimen akan diadakan pada bulan Jun ini.

Selain itu, pilihanraya selepas pertengahan tahun ini akan memberikan peluang kepada Kerajaan Selangor untuk mengagihkan wang di dalam bajet 2012 dan Geran Selangorku.

“Lebih 400 ribu pengundi baru dan yang seratus ribu itu adalah pengundi yang dipindahkan kawasan dan projek ini dalam perlaksanaan.

“Kita rasa kita hanya dapat selesaikan pada pertengahan bulan Julai danĀ  barulah kita buat keputusan samada kita berjumpa semula SPR tentang kesahihan daftar pengundi itu.

“Saya rasa dengan sebab-sebab ini, kalaulah pilihan raya diumumkan berlaku dalam bulan Jun sudah tentulah saya akan memberikan cadangan kepada DYMM Sultan Selangor supaya Kerajaan Negeri Selangor tidak terlibat dalam pilihan raya yang diumumkan dan kita akan adakan pilihan raya yang berasingan,” kata Abdul Khalid kepada Selangor Kini.

Kempen ‘Selangorku Bersih’ yang dilancarkan bulan lepas akan menggunakan tenaga kerja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menyemak nama di dalam daftar pengundi.

Usaha ini bagi menentukan pengundi sahih dan membersihkan daftar pemilih daripada pengundi yang meragukan.

Kajian yang dilakukan oleh penganalisis politik dan aktivis Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini mengenal pasti antara 40,000 hingga 300,000 pemilih yang statusnya diragui.

Antaranya termasuk pemilih yang berumur lebih dari 100 tahun dan mereka yang kad pengenalannya menunjukkan tempat lahir luar dari Malaysia.

Ada juga pemilih yang didaftar sebagai pengundi pos tetapi tidak layak untuk klasifikasi tersebut.

?Kita juga meminta ketua-ketua masyarakat mengenal pasti mereka sebab biasanya dalam penentuan tempat-tempat mengundi adalah orang yang tinggal di tempat-tempat tersebut yang diberikan kemudahan mengundi di tempat tersebut.

?Kita memang berharap rakyat Selangor diberi peluang untuk mengundi dan kita juga mahukan demokrasi ini berasaskan keadaan bertanding yang adil atau pun ‘level playing field’ supaya semua dapat kesempatan membuat pilihan yang baik,? Abdul Khalid berkata.

Selain itu Abdul Khalid berkata, kurang daripada 40 peratus daripada dana belanjawan untuk tahun ini telah diagihkan untuk projek dan program di seluruh Selangor.

?Jadi oleh sebab itu kita memerlukan masa lagi untuk melaksanakan perancangan atau penggunaan dalam belanjawan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.