Categories
NASIONAL

Remaja perempuan antara tiga kes baharu difteria di Johor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 MAC: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dikesan antara mangsa terbaharu difteria di Johor Bahru, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, remaja itu juga di antara tiga lagi kes terbaharu difteria di negeri itu setakat semalam, membabitkan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia empat tahun.

“Kanak-kanak perempuan berkenaan adalah kakak kepada kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat diifteria pada 23 Februari lalu dan semua mereka dijangkiti tinggal di rumah yang sama.

“Semua kes sudah menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil, sementara satu kes dibenarkan pulang ke rumah manakala dua lagi kes masih dirawat di hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan difteria.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, lapan lagi individu yang tidak mempunyai gejala difteria yang tinggal serumah dengan mangsa kematian turut diberi rawatan antibiotik sebagai profilaksis (pencegahan).

“Keadaan kesihatan mereka dipantau secara harian oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru selama 14 hari. Tiada kes baharu dilaporkan dan kejadian adalah terkawal.

“Susulan kejadian wabak difteria di Johor ini, Kementerian Kesihatan (KKM) ingin menegaskan kepentingan pemberian imunisasi bagi mencegah penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin seperti difteria, demam campak, batuk kokol dan lain-lain,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka mendapatkan imunisasi mengikut jadual ditetapkan KKM dan bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan, perkhidmatan imunisasi boleh didapati daripada fasiliti kesihatan terdekat.

Categories
SELANGOR

Kes Difteria: Ibu bapa jangan culas ambil vaksin anak

OLEH SYASYA SUFIAN

KAPAR, 25 OGOS: Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi menyeru ibu bapa untuk tidak memandang remeh pengambilan vaksin terhadap anak mereka berikutan kes Difteria dilaporkan berlaku di Selangor baru-baru ini.

Katanya, vaksin Difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai yang lengkap bagi melindungi kanak-kanak daripada pelbagai ancaman penyakit.

“Apababila kes difteria mula dikesan di Selangor semestinya menjadi kebimbangan kepada rakyat memandangkan ini adalah kes pertama dilaporkan.

“Oleh itu, ibu bapa harus tahu kenapa pentingnya pengambilan vaksin untuk anak-anak kerana mereka terdedah kepada risiko seperti ini,” katanya kepada Selangor Kini selepas sidang media di Kapar, semalam.

daroyah01Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Selangor melaporkan satu kes difteria melibatkan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun mengalami demam, batuk dan muntah sejak 13 Ogos lalu dan kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk rawatan dan pengawasan rapi, Hospital Sungai Buluh.

Sehubungan itu, Daroyah berkata, Jabatan Kesihatan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysian (KKM) memainkan peranan penting untuk terus memantau kes tersebut dari terus meningkat

“Kita harap tidak ada lagi kes difteria dilaporkan di Selangor selepas ini,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Satu kes difteria dikesan di Selangor

SHAH ALAM 24 OGOS: Satu kes difteria melibatkan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kanak-kanak itu tidak pernah mendapat imunisasi difteria kerana keluarganya mengamalkan kaedah rawatan homeopati.

“Kanak-kanak ini mula mengalami demam, batuk dan muntah sejak 13 Ogos lalu. Pesakit dibawa ke Hospital Sungai Buloh pada Khamis lepas (18 Ogos) kerana sesak nafas dan terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk rawatan dan pengawasan rapi.

“Ujian kultur swab tekak pesakit ini didapati positif bakteria Corynebacterium difteria. Pesakit menerima rawatan antitoksin dan kini masih diberi rawatan antibiotik,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata setakat ini, kesemua 14 kontak terdekat kanak-kanak itu berada dalam keadaan sihat termasuk tiga daripada mereka tinggal serumah dengan pesakit dan 11 lagi di rumah pengasuh, namun status imunisasi kesemua kontak adalah tidak lengkap dan pemantauan ke atas mereka masih diteruskan.

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes disahkan difteria di Malaysia setakat ini, meningkat kepada 27 kes termasuk lima kematian iaitu sembilan kes di Kedah dengan satu kematian, tujuh kes di Negeri Sembilan, lima kes di Sabah dengan tiga kematian, tiga kes di Melaka dengan satu kematian, dua kes di Pulau Pinang dan satu kes terbaru di Selangor.

Beliau menegaskan istilah vaksin homeopati tidak diiktiraf oleh badan homeopati antarabangsa termasuklah Majlis Perubatan Homeopati Malaysia.

“Malah, badan-badan ini menyokong pemberian vaksin konvensional sebagai satu cara yang berkesan dan selamat bagi melindungi daripada penyakit cegahan vaksin dan komplikasinya.

“Vaksin sedia ada terbukti keberkesanan dan keselamatannya melalui kajian saintifik berskala besar sebelum ia digunakan ke atas manusia,” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar ibu bapa memastikan anak-anak mereka di bawah umur 7 tahun diberikan imunisasi.

“Pastikan mereka mendapat imunisasi lengkap untuk keberkesanan optima bagi mengelak jangkitan penyakit cegahan vaksin dan komplikasinya,” kata beliau.

EZY

Categories
NASIONAL

15 kes difteria, lima kematian dikesan

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 JUL: Sebanyak 15 kes difteria, termasuk lima kematian, direkodkan di seluruh negara sehingga semalam.

Dalam kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulah memaklumkan suri rumah berusia 41 tahun tidak dikecuali daripada jangkitan difteria, 16 Julai lalu menjadikan ia kes pertama berlaku di kalangan orang dewasa.

“Pada 16 Julai, seorang suri rumah berumur 41 tahun disahkan difteria dilaporkan, menjadikan ini kes difteria pertama di kalangan orang dewasa di Malaysia pada tahun 2016.

difteri“Beliau mula mengalami demam pada 11 Julai lalu dan mengadu tonsil membengkak, serak suara dan sukar menelan. Pesakit mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembau pada 13 Julai.Beliau disyaki menghidap difteria dan dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, dan kemudiannya dimasukkan ke wad untuk isolasi serta rawatan,” katanya.

Pada masa sama, Noor Hisham memaklumkan kes terbaru itu menjadikan jumlah kes sebanyak 15 dengan lima (5) kematian.

“Pecahan kes mengikut negeri adalah Melaka tiga (3) kes dengan satu (1) kematian, Kedah tujuh (7) kes dengan satu (1) kematian, Sabah empat (4) kes dengan tiga (3) kematian dan Negeri Sembilan satu (1) kes,” katanya.

Katanya, jumlah itu termasuk kes yang berlaku semalam, (17 Julai) seperti dilaporkan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) iaitu kes disyaki difteria dialami kanak-kanak berumur lapan tahun.

“Pada 13 Julai lalu, kanak-kanak itu mengalami demam dan sakit tekak serta bengkak muka dan leher. Keputusan ujian makmal belum diperoleh. Bagaimanapun, pesakit dalam keadaan stabil dan diberi rawatan anti-toksin difteria,” katanya.

Beliau menyarankan agar ibu bapa memastikan anak di bawah umur tujuh tahun mendapat imunisasi lima serangkai yang lengkap untuk mengelak daripada dijangkiti bakteria Corynebacterium Diphtheriae.

“Ia bagi memberi perlindungan optima dan mengelakkan anak dari mendapat jangkitan. Semoga langkah proaktif semua pihak dapat meningkatkan imuniti anak serta imuniti kelompok, seterusnya membendung kejadian difteria dari terus menjadi masalah kesihatan awam.

“Bakteria Corynebacterium diphtheriae boleh menjangkiti tekak orang dewasa dan kanak-kanak. Apabila status kesihatan individu tersebut tidak optima, bakteria akan berkembang biak dan menyebabkan gejala.

“Ia boleh disebarkan melalui titisan respiratori dan akan memberi risiko kepada orang lain, khususnya kanak-kanak yang kurang daya tahan tubuh dan mereka yang tiada antibodi kerana tidak mendapatkan imunisasi atau status imunisasi tidak lengkap,” katanya.

EZY