Categories
SELANGOR

MB: KUIS sasar capai status Universiti 2016

mb kuis

BANGI, 10 SEPT : Bagi melanjutkan usaha memartabatkan ilmu, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) giat menuju ke arah mencapai taraf universiti penuh menjelang tahun 2016.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebagai langkah merealisasikan rancangan itu, penawaran program pasca siswazah sarjana dan kedoktoran sedang diusahakan.

“Usaha ini akan dimulakan dengan kerja-kerja menaik taraf dan menambah beberapa program baru di peringkat sarjana muda agar lebih berdaya saing dan seiring dengan perubahan zaman.

“Selain itu, pelajar diploma dan sarjana muda juga diharap akan menjadikan KUIS sebagai institusi pilihan mereka bagi melanjutkan pelajaran dalam sarjana dan doktor falsafah,” jelasnya Abdul Khalid yang juga merupakan Pengerusi KUIS.

Abdul Khalid berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Konvokesyen KUIS bagi Sidang Pertama kali ke-16, hari ini.

KUIS yang dimiliki sepenuhnya oleh MAIS ditubuhkan pada tahun 1995. KUIS menawarkan lebih daripada dua puluh kursus meliputi pelbagai bidang seperti pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, bahasa dan komunikasi, teknologi maklumat dan komunikasi, multimedia, kejururawatan dan pendidikan.

KUIS kini giat memperbaiki mutu pembelajaran di institusi itu selaras dengan sasaran kemasukan 6,000 pelajar pada tahun hadapan.

Edisi kali ini menyaksikan seramai 1,896 orang pelajar daripada enam fakulti layak menerima sijil Diploma dan Ijazah masing-masing yang disampaikan Abdul Khalid.

Turut hadir dalam majlis konvokesyen tersebut ialah Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali, Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Abd Halim Tamuri, Ahli Lembaga Pengarah Pendidikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selain kehadiran keluarga dan ibubapa pelajar.

Konvokesyen kali ini turut memberi penganugerahan diploma kepada 500 orang guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dari sekitar Selangor yang teah mengikuti program Diploma Perguruan.

Program Diploma Perguruan untuk guru-guru KAFA ini adalah antara usaha berterusan KUIS dalam memartabatkan pendidikan agama Islam untuk anak-anak Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Audit: Prestasi Akademik UNISEL Memuaskan

SHAH ALAM 17 OKT : Prestasi akademik pelajar Universiti Selangor (Unisel) berada ditahap memuaskan kerana terdapat peningkatan bilangan pelajar yang mendapat Ijazah Kelas Pertama.

Hal itu berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara 2011.

Menurut Buku Peraturan Akademik, pelajar hanya layak dianugerahkan kelas ijazah setelah menepati syarat penganugerahan.

Semakan Audit terhadap prestasi akademik pelajar Unisel di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah mendapati prestasi akademik pelajar bagi tahun 2008 hingga 2010 adalah memuaskan.

Statistik itu menunjukkan jumlah pelajar yang memperoleh Kelas Ijazah Kepujian Kelas Pertama meningkat kepada 154 orang pada tahun 2010 daripada 75 orang bagi tahun 2009.

Selain itu, jumlah pelajar yang memperoleh Kepujian Kelas Kedua (Tinggi) pada tahun 2010 adalah seramai 2,121 orang berbanding 1,020 pada tahun 2009.

Manakala, dari segi jumlah pelajar ia meningkat sebanyak 1.5 peratus pada tahun 2011 berbanding tahun 2010.