Categories
AGENDA NASIONAL

Asing pelajar kepada kelompok kecil, elak hilang fokus ketika PdPR

PETALING JAYA, 8 JUN: Golongan pendidik disaran mengasingkan pelajar kepada kelompok kecil bagi meningkatkan keberkesanan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata kajian menunjukkan pelajar hanya memberi fokus selama 20 minit sekiranya melaksanakan PdPR seperti dalam bilik darjah.

“Jika lebih lama PdPR dilaksanakan, fokus pelajar semakin kurang. Pakar mencadangkan topik pengajaran guru dipecahkan kepada unit lebih kecil terutama melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Misalnya satu topik dipecahkan kepada tiga atau empat sub-topik bagi setiap sesi PdPR. Selepas 20 minit guru akan berikan latihan, kemudian sambung lagi 20 minit PdPR,” lapor portal Kosmo! hari ini.

Annuar berkata, guru perlu mengajar berasaskan penyelesaian masalah serta menumpukan aspek latihan selain membimbing pelajar menyediakan jadual ulang kaji secara sistematik.

“Edaran nota dan bahan bantu belajar oleh guru dapat membantu pelajar yang tertinggal topik tahun lepas. Kerja berkumpulan secara dalam talian juga banyak membantu pelajar menelaah topik tertinggal,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Mahathir Punca Melayu Hilang Jati Diri


SHAH ALAM, 9 OKT : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lebih mementingkan pembinaan monumen hebat dan bersejarah di zaman pentadbirannya didakwa menjadi punca negara hilang daya saing dalam pelbagai bidang berikutan kemerosotan moral di kalangan rakyat.

Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Dr Siddiq Fadzil berkata pembinaan monumen yang dikatakan menjadikan negara lebih maju dan moden berkisar dari segi pembangunan fizikal dan material semata-mata.

Katanya, amalan sebegitu yang lebih diutamakan Dr Mahathir menyebabkan negara pada masakini menghadapi masalah moral yang kritikal di samping sistem pentadbiran negara dibelenggu gejala rasuah berleluasa.

Menurutnya, pembangunan insan diabaikan menjadi punca umat Melayu beragama Islam hilang jati diri serta tahap kerohanian runtuh dan lemah.

“Di zaman Dr Mahathir dulu apa dipentingkan ialah pembinaan monumen-monumen yang dibanggakan hingga apa dikatakan dengan slogan seperti “Bersih, Cekap dan Amanah”, “Malaysia Boleh” dan  yang lain tinggal slogan sahaja.

“Apa ditinggalkan ialah pembangunan dan pembentukan insan yang merupakan asas kekuatan umat Melayu Islam,” katanya dalam Bengkel Bedah Buku “Islam & Melayu” hasil karyanya di Universiti Selangor (Unisel) di sini semalam.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Insan, Dr Halimah Ali dalam ucapan perasmiannya berkata, program diadakan itu adalah program yang mengupas satu isu yang amat penting di kalangan orang Melayu beragama Islam di negara ini.

Beliau berkata, pihak penganjur wajar dipuji kerana mengadakannya dan membincangkan persoalan itu secara ilmiah dan berfakta.

“Jati diri Melayu sama juga dengan jati diri bangsa lain, harus dipertahankan dengan masing-masing punya kelebihan dan kelainan. Bagi bangsa Melayu tentunya Islam menjadi paksi jati diri mereka,” katanya.

Turut hadir,  Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad; Dekan Fakulti Perniagaan Unisel, Profesor Dr Mohd Fuad Salleh; Penasihat Editor Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali; Tim

Categories
SELANGOR

Kemasukan Pelajar Unisel Meningkat Di Bawah PR

SHAH ALAM, 12 JULAI: Meskipun dilemparkan dengan pelbagai isu negatif ketika berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor, permintaan melanjutkan pelajaran di Universiti Selangor (Unisel) telah meningkat dengan mendadak semenjak kebelakangan ini.

Demikian menurut Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr Anuar Ahmad ketika ditemui di Lobi Dewan Annex semalam.

“Campur yang belum graduasi hingga Oktober ini lebih kurang 2,800, pelajar yang sedang belajar 10,800 bermakna 13,600 adalah yang tertinggi pernah dicapai dalam sejarah Unisel.

“Jumlah permohonan kemasukan baru pula lebih 5,000 yang kita terima, tetapi kita cuma boleh ambil 1,500 hingga 2,000 sahaja lagi.

“Ini adalah yang tertinggi pernah dicapai dalam sejarah Unisel sehinggakan untuk ‘pengambilan’ Julai ini saya sangat risau, takut tak cukup tempat di Unisel,” kata beliau.

Sementara itu ketika ditemubual dalam rakaman program Terus Terang terbitan TV Selangor, Dr Anuar menjelaskan setakat ini terdapat lebih 15,500 pelajar mengikuti pelbagai kursus di instituasi pengajian tersebut.

Menurut Dr Anuar, sesetengah fakulti terpaksa membuat tapisan dengan mengadakan temuduga terhadap calon pelajar bagi memastikan yang benar-benar layak menyambung pelajaran di Unisel.

Dalam isu yang sama, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali pula mengucapkan terima kasih kepada pemimpin Umno-BN yang memberikan ‘publisiti percuma’ kepada Unisel.

“Terima kasih jugalah kepada Umno-BN kerana beri ‘publisiti percuma’ kepada Unisel walaupun mereka cuba memperkecilkan Unisel,” ujar Halimah.

Unisel adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pengajian peringkat diploma hinggalah ke peringkat Doktor Falsafah itu merupakan milik penuh Kerajaan Negeri Selangor.

Categories
SELANGOR

Taman Mini Botani Al-Quran Di Sekolah Pertama Di Malaysia

KLANG, 4 MEI : Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan Taman Mini Botani Al-Quran di sekolah bagi memperkasakan bidang pendidikan berasaskan Islam.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata dengan Taman Mini Botani Al-Quran itu warga pendidik dan pelajar akan lebih memahami dan mengetahui jenis pokok dan khasiatnya sebagaimana tercatat di dalam Al-Quran.

“Buat julung-julung kalinya kita berada dalam satu majlis bagi memperkenalkan satu pembaharuan iaitu Taman Mini Botani Al-Quran di mana sebelum ini tiada lagi di tempat lain sama ada sekolah agama atau sekolah biasa.

“Ini adalah antara program pertama jejak ilmuan Kerajaan Negeri di mana bagaimana kita nak membangunkan Selangor sebagai negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan,” katanya dalam ucapan perasmian Taman Mini Botani Al-Quran di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek di sini semalam.

Turut hadir, Pemangku Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad; Pengarah Institut Bio-IT Selangor  International Islamic Academy for Life Sciences & Biotechnology (IAB), Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latip Ibraihm dan Guru Besar SRA Kampung Delek, Noraini Kasiman.

Beliau berkata, idea taman mini tersebut adalah ekoran undangan Kerajaan Qatar bersama Dr Abdul Latip di mana Qatar mahu mengembangkan Taman Botani Al-Quran di seluruh negara itu bagi memberi pendidikan berasaskan Islam.

Program Taman Mini Botani Al-Quran Pertama ini dijalankan Kerajaan Negeri bersama Universiti Selangor (Unisel) dengan peruntukan RM60,000 bagi memperkenalkan penanaman pokok yang terdapat di dalam Al-Quran.

Antara pokok yang ditanam di sekolah tersebut ialah Pisang, Lidah Buaya, Selasih, Setawar Hali, Labu Air, Timun, Jagung dan Inai.

“Selangor adalah negeri pertama yang memperkenalkan taman dengan konsep sebegini dan kita mahu meluaskannya ke daerah lain,” katanya.

Sementara itu, Noraini ketika ditemui melahirkan rasa bangga kerana sekolahnya dipilih sebagai tapak perintis bagi projek tersebut.

“Sebagai Guru Besar, saya bersama pengurusan dan semua kakitangan sekolah berbesar hati dan bangga dengan pemilihan ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Dr Halimah atas penghargaan ini,” katanya.

ends