Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

3,387 ahli SMUE boleh tuntut baucar Jom Shopping mulai esok

SHAH ALAM, 7 NOV: Ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) berdaftar bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang boleh menuntut baucar Jom Shopping di pusat khidmat mulai esok.

Manfaat bernilai RM100 khusus buat 3,387 warga emas dan orang kelainan upaya berusia 21 tahun ke atas yang lahir antara Julai hingga Disember, kata wakil rakyatnya.

Chua Wei Kiat menjelaskan serahan baucar tertangguh sebelum ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan mulai awal tahun.

“Dengan adanya baucar ini, ahli SMUE boleh membeli-belah di pasar raya terpilih,” katanya ketika dihubungi.

Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang http://smue.yawas.my/admin/online_semakan.php.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan khairat kematian yang dihentikan pada Mei 2019 disambung semula.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM7.5 juta disediakan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima bantuan RM500.

Kerajaan Negeri juga menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE.

 

Categories
ADN SELANGOR

500 keluarga miskin DUN Rawang terima sumbangan makanan asas

SHAH ALAM, 7 FEB: Seramai 500 keluarga miskin pelbagai kaum sekitar Rawang menerima sumbangan makanan asas sempena Tahun Baru Cina.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata barangan diberikan ialah minyak masak, beras, tepung dan gula.

“Walaupun ini adalah bantuan Tahun Baru Cina kita tidak hanya fokuskan kepada masyarakat Cina sahaja sebaliknya semua bangsa disantuni.

“Hal ini kerana kita faham ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pendapatan semua orang terjejas dan memerlukan bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Wei Kiat pihaknya berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan beban dan wang mereka boleh diguna untuk tujuan lain.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

ADN Rawang tumpu atasi isu jalan raya sesak, banteras kilang haram

Masalah jalinan jalan raya yang tidak setara dengan kepadatan penduduk berikutan kepesatan pembangunan di Rawang antara fokus Ahli Dewan Negeri Rawang.

Chua Wei Kiat mendapati masalah sejak puluhan tahun itu perlu diselesaikan sebelum agenda lebih besar dijayakan.

Contohnya, jalan persekutuan dan negeri yang menghubungkan pekan lama Rawang-Bandar Country Homes-Kundang sering sesak pada waktu puncak; hanya ada satu atau dua lorong sahaja sedangkan bilangan penduduk kian bertambah.

Justeru, Wei Kiat membuat perancangan dengan kerjasama pelbagai pihak. Malah, beliau turut mendapat bantuan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang turun padang melihat sendiri masalah itu.

Chua Wei Kiat

“Contohnya, jalan B27 (jalan negeri di jajaran menghubungkan pekan lama Rawang hingga Kundang), kita atasinya sejak berperingkat dan lihat punca masalah seperti sistem tender bagi jalan negeri terbabit yang diperbetulkan oleh Dato’ Menteri Besar.

“Sekarang ini dalam proses melantik kontraktor penyelamat. Diharapkan kerja naik taraf dilakukan secepat mungkin bagi memberi keselesaan pengguna,” katanya yang menjadi wakil rakyat sejak Mei 2018.

Bagi jalan persekutuan di laluan itu pula, beliau membangkitkan masalah berkenaan kepada ke agensi berkaitan. Hasilnya, RM450 juta diperuntuk kerajaan persekutuan, ketika itu ditadbir Pakatan Harapan, bagi menambah baik prasarana tersebut. Mengikut wakil rakyat berusia 31 tahun itu, kerja tanah dijadual bermula tahun depan.

Banteras kilang haram

Wei Kiat juga membangkitkan isu pencemaran di Rawang berikutan kewujudan banyak kilang haram, seperti yang berlaku membabitkan Sungai Gong berikutan pembuangan bahan berbahaya pada September lalu.

“Banyak kilang haram dibina sebelum pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang. Ia menjadi punca utama pencemaran air, udara dan bau. Dalam dua tahun ini, saya giat sertai operasi bersama pihak berkuasa.

Chua Wei Kiat (tengah) meninjau

“Banyak cabaran besar antaranya aspek undang-undang yang memerlukan kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri selain kekurangan pegawai untuk memantaunya setiap masa,” katanya.

Wei Kiat juga melihat potensi Pekan Batu Arang sebagai destinasi pelancongan. Bekas lombong pada 1913 dijangka mampu mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk berikutan ia menjadi tumpuan penggemar sukan lasak baik berbasikal dan motosikal pada hujung minggu atau cuti umum.

Bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, beliau giat mempromosi kawasan itu termasuk memasang papan tanda yang menerangkan latar belakang dan sejarah kawasan itu.

“Peningkatan pengunjung memberi kesan ekonomi apabila penduduk dapat berniaga makanan dan menjadikan rumah mereka sebagai inap desa. Harapan kita supaya kawasan itu jadi terkenal pada masa depan,” katanya.

Penerima insentif DUN Rawang

– Skim Mesra Usia Emas: 6,646 orang
– Skim Insurans Peduli Sihat: 6,346 orang
– Kad Kasih Ibu Smart Selangor: 603 orang

Categories
SELANGOR

146 pemohon terima Kad KISS DUN Rawang

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 13 FEB : Sambutan majlis penyerahan kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) fasa satu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang pada 11 Februari lalu berlangsung dengan penuh meriah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei berkata, sehingga kini sejumlah 146 penerima sudah menerima kad KISS itu.

“Untuk penyerahan fasa kedua ia akan dilakukan selepas perayaan Tahun Baru Cina.

“Ramai di kalangan penerima berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyediakan inisiatif ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pei Nei berkata, setakat ini masih ada orang ramai datang untuk memohon kad KISS namun ia akan dibincangkan sama ada untuk menambahkan lagi pemohon pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, saya harap dengan pemberian kad KISS ini penerima dapat memanfaatkan sebaik yang mungkin dengan membeli barangan berfaedah,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif KISS bertujuan mengangkat martabat golongan wanita di bawah peruntukan RM72 juta.

Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri mengiktiraf setiap ibu yang layak untuk menerima bantuan sebanyak RM2,400 setahun, atau RM200 setiap bulan.

Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar.

=EZY=

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

50 LED dipasang di DUN Rawang usaha atasi jenayah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 MAC: Sebanyak 50 unit lampu LED dipasang di kawasan DUN Rawang bagi fasa pertama untuk Projek Penggantian lampu High Presure Sodium Vapour (HPSV) kepada Light Emitting Diode (LED)

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei berkata, setiap DUN mendapat 50 unit lampu LED yang diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi projek tersebut.

“Bandar Country Homes (BCH) dan Taman Bersatu antara dua lokasi yang dipilih untuk memasang lampu tersebut.

“Saya memberikan keutamaan di dua kawasan ini bagi DUN Rawang kerana ia mempunyai laporan kes jenayah yang kerap berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sebanyak 29 unit lampu LED dipasangkan sepanjang jalan utama BCH manakala selebihnya 21 unit dipasang di jalan utama Taman Bersatu.

“Teknologi ini diyakini mampu memberikan penjimatan eletrik sehingga 50 peratus berbanding terdahulu walaupun harga sedikit mahal iaitu RM2,000 seunit berbanding HPSV dianggarkan RM700 hingga RM800.

“Walaubagaimanapun, ia baik untuk jangka masa panjang dan mempunyai jaminan sehingga tujuh tahun.

Tambahnya lagi, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga mensyaratkan segala pembangunan perlu menggunakan lampu LED ke arah penjimatan tenaga lebih efektif.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Fitnah PR, Calon BN Sendiri Amal Sentimen Perkauman

ceramah selayang 21 apr gan pei nei 02

SELAYANG, 21 APR : Isu perkauman yang menjadi senjata Umno-BN untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat (PR) akhirnya memakan diri apabila parti itu menempatkan calon yang secara jelas mengamalkan sentimen tersebut.

Calon PKR Parlimen Batu, Tian Chua berkata, tindakan Umno-BN menempatkan calon yang mengamalkan sentimen perkauman jelas menunjukkan parti itu kekurangan pemimpin berwibawa malah hanya mengundang jelik di kalangan rakyat.

“Mereka fikir dengan menempatkan calon seperi Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Malaysia, Datuk Zulkifli Noordin di Parlimen Shah Alam yang memainkan isu perkauman boleh meraih undi dan sokongan rakyat.

“Namun, mereka tidak sedar bahawa rakyat terutama masyarakat Melayu sendiri sudah jemu dengan sentimen yang sering dimainkan oleh Umno-BN itu.

“Umno-BN meletakkan calon yang terang-terangan menghina agama lain tetapi pemimpin ini tidak pula dihukum,? katanya dalam ceramah Pakatan Harapan Rakyat di perkarangan Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di sini malam tadi.

Zulkifli yang baru-baru ini dilanda kontroversi berhubung sebuah video yang mendakwa dia menghina agama Hindu, akan berhadapan dengan calon Pas Khalid Samad untuk kerusi Parlimen Shah Alam.

Sementara itu, penyandang Parlimen Selayang, William Leong berpendapat, Umno-BN ketandusan idea untuk meraih sokongan rakyat dengan meniru manifesto PR baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Bagaimanapun tegasnya, Umno-BN tidak mampu untuk menyaingi pentadbiran PR yang telus, bebas rasuah dan berintegriti.

ceramah selayang 21 apr 01

Katanya lagi, rakyat juga harus membuat penilaian bijak dengan tidak terpengaruh terhadap pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang disifatkan tidak membantu rakyat untuk jangka masa panjang.

“Jangan disebabkan BR1M, kita sanggup jual undi dan gadaikan masa depan negara. Apa sahaja yang rakyat boleh beli dengan bantuan one-shot begitu?

“Selepas 42 tahun dengan dasar ekonomi baru, didapati 73 peratus termiskin di desa adalah orang melayu, begitu juga miskin bandar sebanyak 53 peratus yang turut melibatkan Melayu.

“Masanya sudah sampai untuk rakyat membuat perubahan dengan bersatu padu menyokong PR,” katanya.

Bagi penyandang DUN Rawang, Gan Pei Nei, beliau menyifatkan pentadbiran PR yang telus tidak akan memufliskan negara seperti yang didakwa Umno-BN, sebaliknya dilihat mampu membantu lebih ramai rakyat.

“Kita melaksanakan pentadbiran berdasarkan kepada agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang bertemakan hasil negeri utk rakyat.

“Sekiranya Kerajaan PR diberi mandat sekali lagi untuk memerintah Selangor, kita bukan sahaja beri air pecuma tetapi beri saham industri air kepada rakyat,” ujarnya.