Categories
BUDAYA RENCANA

Kejantanan dalam filem Melayu

Oleh Daniyal Kadir

LELAKI bukanlah selama-lamanya kuat, gagah dan benar-benar berkuasa. Malah takrifan maskuliniti tipikal yang berkaitan dengan ciri-ciri ini tidaklah benar sepenuhnya. Maskuliniti tidak bersifat tetap dan tepat, ia juga dinamik, berubah-ubah dan boleh tercampak dalam krisis yang tak terduga.

Pertentangan sengit antara maskuliniti dan femininiti adalah punca besar kepada krisis tak terduga ini dan ia kemudiannya melihatkan bagaimana berlaku kemerosotan kepada nilai-nilai maskuliniti yang kita ketahui tadi.

Krisis maskuliniti merupakan antara fokus menarik dalam kita memahami sesebuah filem. Ia memberikan ruang buat kita meneliti perwatakan dan pergolakan yang berlaku dalam karakter. Dalam filem Melayu, genre melodrama sering mengutarakan krisis maskuliniti dan ia sering membangkitkan pengertian lebih segar terhadap kedinamikan maskuliniti.

Dalam melodrama Melayu, kita dapat melihat bagaimana berlakunya perubahan secara perlahan-lahan terhadap ciri-ciri karakter lelaki utama. Misalnya daripada seorang yang dominan, ganas, gagah dan sombong kepada keadaan yang lebih merosot seperti lumpuh, hilang upaya, sensitif, menangis secara terbuka, lumpuh dan pengecut.

Salah sebuah filem Melayu penting yang membincangkan krisis maskuliniti dengan baik ialah Chuchu Datok Merah (1963).

Karya besar arahan M. Amin ini sering menjadi perhatian penonton dan pengkritik filem Melayu kerana sifatnya yang unik melalui jalinan imej realiti dan surreal serta mengangkat kekuatan karakter antihero dalam bentuk berbeza.

Awang Janggut lakonan Nordin Ahmad merupakan tumpuan utama dalam filem ini. Awang merupakan seorang lelaki gagah dan sentiasa bermegah dengan asal keturunan datuknya, Datok Merah yang digambarkan sebagai golongan bangsawan dihormati.

Terperangkap dalam dogma seperti itu, Awang dilihat masih memelihara reputasi keturunannya, walaupun pada hakikatnya itu hanya sejarah lampau keluarganya dan hakikat semasa kehidupannya bukan lagi seperti era kegemilangan Datok Merah.

Malah apabila kita melanjutkan pemerhatian kepada ruang di dalam rumah Awang yang begitu minimum dan daif, ia meyakinkan bahawa Awang dan isterinya, Wan Kuntum lakonan Latifah Omar hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Namun dengan kekentalan pada imbauan kehebatan keluarganya, Awang Janggut kekal ego dan sombong, tidak mahu bekerja kerana pada pengamatannya dia tidak perlu meminta-minta kerja daripada orang lain.

Pada peringkat awal filem ini, kita didedahkan dengan sikap dominan, ego dan gagah Awang sebagai seorang lelaki, sifat-sifat semula jadi dan tipikal maskulin terpampang jelas pada segala pergerakan Awang.

Satu perkara yang menarik dalam filem ini ialah ayam jantan yang sentiasa ada bersama-sama Awang. Kehadiran ayam jantan yang diberi nama Jalak Hitam amat signifikan sebagai simbol kepada kejantanan yang dimiliki Awang Janggut.

Jika diperhatikan, Awang Janggut dan Jalak Hitam tidak pernah berenggang. Malah, kita melihat Awang tidak pernah mengabaikan Jalak dan sentiasa membelai-belai ayam berkenaan.

Jalak Hitam jadi lambang kegagahan Awang – jaguh dalam pertandingan sabung ayam dan ini membuatkan kedudukan Awang sebagai lelaki yang gagah begitu dipandang tinggi.

Jatuh cinta

Melalui hubungan Awang dan Jalak, muncul elemen seksual dan keberahian. Keadaan ini dikukuhkan dalam suasana watak Siti Molek, anak seorang kaya lakonan Roseyatimah yang begitu tertarik dengan kegagahan Awang dan jatuh cinta kepadanya.

Melaluinya kita dapat memahami bahawa Jalak menjadi sebuah manifestasi kepada sifat kelelakian Awang dan jika lebih nakal ia boleh dilihat sebagai alat sulit yang ada pada lelaki.

Sudah tentu ini menjadi perbincangan yang menarik kerana Chuchu Datok Merah merungkai sifat-sifat maskulin dari sudut seksual dan memaparkan tarikan dan keberahian perempuan terhadap sifat-sifat lelaki yang ada pada Awang.

Kita melihat bahawa Siti Molek tertarik dan suka kepada Awang ketika Awang sentiasa bersama-sama dengan Jalak.

Di sini, satu perkara menarik dapat dilihat iaitu ketika Awang sentiasa membawa Jalak ke mana-mana pun, kita dapat melihat Awang menjadi lelaki gagah, tidak tunduk kepada perempuan dan dalam masa sama kita melihat Awang ialah seorang lelaki yang berlembut dan menyayangi isterinya.

Namun, apabila Awang mula menjalinkan hubungan dengan Siti Molek, Awang sudah tidak mempedulikan Jalak lagi, sehingga Jalak sakit. Di sini kita dapat memahami bahawa pada hakikatnya, Awang sudah meninggalkan sifat kelelakiannya, kegagahannya sudah hilang dan dia sudah menjadi seorang lelaki mabuk kepayang yang menagih cinta Siti Molek.

Ia sangat berbeza ketika Awang menyelamatkan Siti Molek daripada diganggu Long Daik lakonan A. Rahim. Ketika itu, walaupun Awang sudah menyelamatkan Siti, dia tidak pula terhegeh-hegeh mahu menambat hati Siti. Awang masih memelihara kelelakian dan egonya, malah selepas menyelamatkan Siti, dia hanya beredar tanpa mempedulikan wanita berkenaan.

Kehilangan sifat ini semakin jelas dapat dilihat pada Awang apabila Wan Kuntum mengambil tindakan mengejut dengan menyembelih Jalak yang telah sakit, demi menyediakan masakan ayam golek buat Awang. Tindakan ini diambil Wan Kuntum kerana Awang tidak lagi mempedulikan urusan rumah tangga mereka kerana terlalu asyik bermain cinta dengan Siti Molek. Wang di tangan sudah habis, barangan dapur juga sudah tidak mencukupi, keadaan ini memaksa Wan Kuntum menjadikan Jalak Hitam sebagai hidangan.

Jadi lembik

Penyembelihan Jalak sangat penting kerana ia menandakan secara simbolisme bahawa kelelakian Awang telah diragut. Ia seperti alat sulitnya sendiri telah dipotong. Segala kegagahannya seperti telah direntap! Tindakan Wan Kuntum menyembelih Jalak adalah tindakan radikal dalam menyentap kesombongan lelaki. Malah ia menjadi pertentangan maskuliniti dan femininiti yang luar biasa.

Sebaik sahaja hal ini berlaku, kita dapat melihat bagaimana Awang bukan lagi seperti Awang yang kita kenal semasa dia sentiasa berdampingan dengan Jalak. Awang sudah menjadi terlalu lembik. Sifat kelelakian yang berubah dapat dilihat apabila Awang mula berani memukul isterinya, sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh seorang lelaki yang hebat dan gagah.

Kemudian, kita disajikan dengan Awang yang merayu-rayu cinta kepada Siti yang tidak lagi mempedulikannya kerana Awang sudah hilang kelelakian, kegagahannya sudah pergi entah ke mana.

Awang Janggut sudah ‘terbunuh’ lebih awal apabila emosinya hanyut akibat tidak tertahan dengan krisis yang melanggar maskulinitinya. Kematian Jalak Hitam menjadi detik mengerikan dalam jiwa kelelakian seorang Awang Janggut. Ia mengubah Awang Janggut menjadi lelaki yang tidak lagi berguna, sifat-sifat maskulinnya runtuh satu-persatu menjadikan Awang terlalu rapuh berdepan kehidupan.

Keupayaan M. Amin meneroka aspek krisis maskuliniti dan keberahian seksual merupakan antara elemen utama yang menjadikan Chuchu Datok Merah sebagai antara filem Melayu terpenting yang pernah dihasilkan.

Simbolik kelelakian melalui ayam jantan yang diusung Awang adalah sangat halus dan bijak. Ia kemudian mengingatkan kita bahawa seorang lelaki hanya menjadi lelaki apabila ‘cock’ sentiasa ada bersama-samanya.

Nakal.

Categories
BUDAYA RENCANA

Momen serlah kearifan bahasa

Oleh Abdullah Hussaini

PUISI bukan sekadar menemani perjuangan rakyat, berdiri di sisi pertabalan seorang presiden Amerika atau merakam sejarah tamadun tetapi seperti kata Nicanor Parra, apa saja boleh berada dalam puisi. Mengapa puisi? Sebab puisi ialah introspeksi, tulis Qurratul ‘Ain dalam kata aluan buku kumpulan puisi sulungnya, Momen.

Dalam kamus, introspeksi adalah proses penilaian diri merangkumi fikiran, idea dan perasaan secara mendalam. Qurratul ‘Ain menghidangkan ruang intim abadinya sebagai jalan solitari yang mengakrabkan dirinya dengan seribu yang lain. Malah beliau membuka kumpulan puisinya dengan Percakapan Kecil, seribu diriku perlahan-lahan/keluar meninggalkan seorang aku/selamat tinggal, kita sangat ramai. Puisi ini sangat monumental kerana ia bukan sahaja gambaran kasar keseluruhan puisi di dalamnya tetapi juga kerana ia mengarahkan mata pembaca kepada proses awal intropeksi itu sendiri. Siapa atau apakah yang ramai itu? Yang pasti keramaian itu menimbulkan kesesakan dan merampas ruang peribadi lalu dia keluar meninggalkan dirinya sendiri lewat jalan penilaian diri.

Tasha Eurich dalam artikelnya menyatakan introspeksi adalah jalan paling universal menuju kesedaran diri. Dalam proses ini, kita akan merenung dalam-dalam perasaan kita untuk memahaminya. Kita akan mempersoalkan kepercayaan yang dipegang selama ini. “Apakah aku percaya terhadap apa yang aku fikir aku percaya?” adalah soalan yang tidak dapat kita lari daripadanya. Dalam puisi Semi Eterniti, persoalan ini seakan-akan dijawab Qurratul ‘Ain; Betapa polos kepastianmu tentang hakikat diri/Kau lupakah, dunia masih degil: enggan akur kepada mimpi-mimpi remaja kita, Kasih. Di sini Qurratul ‘Ain menyedari; ada dongeng atau fantasi yang tidak mungkin akan tergapai. Sememangnya waktu dan usia memberikan kematangan kepada seseorang untuk menyukat kembali isi padu pegangannya sebelum menambah, mengurang atau membuang langsung kesemuanya.

Sungguhpun Qurratul ‘Ain menyatakan puisi sebagai ruang intim buat dirinya, hal ini bukanlah bermaksud puisinya tempat curahan perasaan semata-mata. Kerana kata Rahman Shaari, jika pengucapan puisi peribadi terlalu biasa bagi pembaca, maka eloklah puisi itu disimpan di dalam fail peribadi sahaja. Puisi peribadi sewajarnya bukan sahaja jujur dengan diri sendiri tetapi memberikan rasa jujur itu kepada pembacanya. Puisi seperti Percakapan Kecil, Menganuti Rindu, Dua Latte Dingin, Kuingin, Labirin, Kembali dan Sedikit Muslihat, memperlihatkan bahawa walaupun ia ketara bersifat peribadi tetapi dapat mempertautkan perasaan pembaca dengannya. Dua Latte Dingin misalnya, bukan cuma satu doa polos kepada Tuhan tetapi juga pengakuan diri yang kerdil. Atau puisi Labirin yang memerikan ada takdir yang memang tidak boleh diubah.

Saya boleh merenung ke dalam diri selepas merenung puisi-puisi ini dan yakin ramai pembaca dapat sama menarik keluar intisari darinya. Saya sangat tertarik dengan puisi Motel ii. Sedikit samar, tetapi puisi ini memberikan kepuasan metaforikal. Walaupun saya tidak pasti mengapa digunakan istilah motel berbanding hotel bajet yang lebih Malaysiana tapi difahami, motel adalah ruang bersifat peribadi yang sementara. Sama ada untuk bermalam atau sengaja mengurung diri, ruang kecil tersebut semacam jelmaan bilik tidur di rumah kita. Di situ kita memiliki autoriti walau ada sempadannya – untuk merokok, membaca buku, bertelanjang atau menonton tv.

Namun bagi Qurratul ‘Ain bilik ini sengaja kumasuki/untuk melanggan pertanyaan. Apakah pertanyaan-pertanyaan itu? Adakah tentang kesepian? Dosa? Atau mungkin pertanyaan lanjutan dari puisi Momen, esoknya seorang penyair/datang menghuni/tanpa bekal puisi/tanpa harga diri. Puisi ini bagai gambaran proses introspektif penyair sendiri.

Dengan latar belakang persuratan Melayu, Qurratul ‘Ain menyerlahkan kearifan berbahasanya dalam menjalin kata-kata indah. Inilah antara kepuasan membaca Momen. Saya menemui personafikasi, metafora dan pilihan kalimat yang segar. Seperti ‘peluh lilin’, ‘gospel peribadi’, ‘seulas kucupan’, ‘bertepung salju’, ‘sabun yang mencuci usia’, ‘kuliah peribadi’, ‘melanggan pertanyaan’, ‘resah bersalju’. Saya boleh katakan semuanya imaginatif, lembut dan romantis.

Demikian, identiti kepenyairan Qurratul ‘Ain yang tersendiri tanpa dipengaruhi penyair terdahulu. Keupayaan menonjolkan bahasa yang baik sangat penting untuk menuntun pembaca mendalami setiap puisi dan beroleh kepuasan. Saya yakin pada masa hadapan beliau akan menguntumkan lebih banyak puisi indah dengan bahasa yang lebih memikat.

Bukanlah sesuatu yang mustahil jika pada masa hadapan Qurratul ‘Ain menulis puisi kritikan politik atau perjuangan masyarakat. Cuma saya agak ragu hal itu akan terjadi kerana Momen adalah semacam bentuk kepenyairan yang akan diteruskannya. Ia terlalu kuat dan meyakinkan untuk ditinggalkan begitu saja.

Mungkin perkembangan lain di sekelilingnya akan memberi kesan terhadap sudut pandangnya nanti tetapi semoga ia masih di jalan yang sama. Ada penyair yang kekal dengan isi dan gaya yang ia percayai untuk membimbit puisinya sepanjang hidup. Kassim Ahmad misalnya terkenal dengan puisi tentang masyarakat dan kritikan politik. Latiff Mohidin menulis tentang alam dan membesarkan hal yang dipandang kecil. Kita nantikan saja bagaimana usia dan waktu memasinkan lagi pengalaman hidup si penyair.

Momen berakhir dengan puisi pendek bertajuk Tiga Pagi:

tigapagi dalam sajakmu

tentu jalannya lengang

hanya terlintas dua kereta

dan sebuah gerai masih menyala

Bagi adik saya yang bukan penggemar puisi, tiada apa yang istimewa pada puisi ini. Mungkin ini gambaran berulang yang penyair nampak sewaktu perjalanan pulang setelah habis kerja syif tengah malam, katanya lagi. Suatu puisi itu sentiasa mempunyai lapisan lain. Seperti kata Rahman Shaari, ada makna tambahan. Bagi saya, puisi ini lambang introspektif penyair yang akan terus berlangsung di sepanjang laluan kepenyairannya. Walaupun Qurratul ‘Ain menutup kumpulan puisinya pada Tiga Pagi tetapi sebenarnya Momen terus terbuka dan berlangsung hingga empat pagi, lima pagi dan seterusnya.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Bunga penutup abad

Oleh Aziz Zabidi

BUNGA penutup abad – adalah gelar kepada Annelies Mellema. Diberikan oleh watak utama kepada si gadis cantik yang bukan sahaja mengajar makna cinta kepadanya, malah menjadi sumber daya juangnya dalam meniup bara nasionalisme menentang penjajahan dan ketidakadilan kolonialisme sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 di Hindia Belanda. Annelies memang cantik, anak kacukan Belanda dari rahim seorang perempuan simpanan berbangsa peribumi mampu menggetarkan jantung sesiapa pun. Tapi lebih dari itu, si bunga penutup abad adalah tanda dari korban ketidakadilan, hipokrasi dan kebejatan budaya kolonialisme yang menguasai bumi pada akhir abad ke-19.

Dan begitulah Bumi Manusia digerakkan, sebagai rakaman sejarah kebangkitan awal semangat nasionalisme Indonesia terhadap penjajahan Belanda. Penentangan terhadap penjajahan fizikal, penjajahan intelektual dan penjajahan budaya. Cinta, kesedaran, pengorbanan dan perjuangan adalah tema Bumi Manusia. Tema yang pada awalnya mengambil bentuk paling mulus antara manusia sesama manusia untuk kemudiannya berkembang dan bergulir dalam spektrum yang lebih luas mencapah budaya, masyarakat dan negara.

Siri pertama dalam novel tetralogi Pulau Buru oleh sasterawan besar Indonesia Pramoedya Ananta Toer yang pertama kali diterbitkan pada 1980 (dan diharamkan di Indonesia sehingga 1995) akhirnya diadaptasikan ke bentuk filem oleh sutradara Hanung Bramatyo. Filem hasilan 2019 nyata cuba dibikin dengan cermat dan penuh penghormatan terhadap karya asalnya.

Sebagai filem period dekad akhir abad ke-19, filem ini cuba untuk real dalam sinematografi dan pembawaannya. Lokasi, prop dan set penggambaran dekad itu dibangunkan dengan teliti. Kita dibawa masuk ke zaman itu melalui kereta lembu, kereta api arang, rumah-rumah kayu, rumah agam Eropah, sawah ladang, kedai-kedai dan busana. Dalam dunia filem ini, suasana zaman itu mengalir dengan sempurna.

Watak utama si Minke lakonan Iqbaal Ramadhan membawa watak anak bangsawan peribumi yang dihantar bersekolah di sekolah Belanda Hogereburgerschool (HBS). Anak itu digelar Minke – monkey – oleh kawan-kawannya yang berbangsa Eropah. Anak bangsawan yang letaknya tinggi dalam kalangan peribumi, namun hanya layaknya seekor monyet dalam kalangan bangsa Eropah yang berdarjat lebih tinggi di bumi terjajah.

Waktu itu, tatasusun masyarakat kolonial Hindia Belanda adalah piramid – Eropah totok pada hierarki tertinggi, kacukan Eropah yang dipanggil Indo-Eropa dan peribumi bangsawan pada harkat lebih bawah, dan paling bawah peribumi bukan bangsawan – kebanyakannya petani miskin yang mengerjakan ladang-ladang tuannya si Eropah atau menjadi sahaya kepada tuannya peribumi bangsawan. Susunan itu kejap dan tak dipertanyakan, menguasai tatasusun masyarakat yang diterima mutlak bukan sahaja oleh hierarki tertinggi malah menguasai psyche golongan terjajah – tatasusun masyarakat hasil kolonialisme di bumi Hindia Timur dalam tempoh kurang lebih 350 tahun penjajahan. Babak Robert Suurhoff si Indo dan Minke si peribumi yang dihalau ketika ingin masuk ke rumah kelab Eropa menunjukkan tatasosial dengan tepat. Papan tanda di hadapan kelab tertulis jelas – verbooden voor honden en inlander –  anjing dan peribumi dilarang masuk!

Watak paling kuat Bumi Manusia ialah Nyai Ontosoroh – perempuan simpanan tuan besar Herman Mellema – yang dibawa dengan sangat gemilang oleh Sha Ine Febriyanti. “Dengan melawan kita tak sepenuhnya kalah” salah satu kutipan daripada berpuluh-puluh kata-kata si Nyai yang penuh karisma. Kata-kata yang sering kali dituturkan dengan renungan dan senyuman sarat kebijaksanaan yang membangkitkan si Minke dalam menemukan dia akan matlamat hidupnya. Matlamat bangsanya.

Tapi kolonialisme tidak sepenuhnya gelap. Kolonialisme Belanda akhir abad ke-19 juga membawa bersama-samanya percik-percik ilmu moden ke tanah yang jauh dari pusat peradaban Eropah itu. Dari percik-percik itulah si peribumi Minke menghayati intelektualisme dan moral sang Eropah. Intelektualisme dan moral yang pada mulanya membentuk Minke sebagai pemuja Eropah, yang percaya adat budaya bangsanya yang merendahkan daya fikir dan kemanusiaan menyebabkan mereka menjadi terkebelakang dan terjajah (dalam satu adegan ditunjukkan bagaimana Minke terpaksa – demi adat – berlutut, berengsot, bersujud dan menyembah untuk berjumpa bapanya sendiri – seorang bupati).

Dengan percikan intelektualisme dan moralisme Eropah itulah, setelah dibijaksanakan oleh cinta dan kesedaran peribumi, Minke mengambil jalan sebagai seorang penulis yang memperjuangkan keadilan kepada mereka yang tertindas. Minke cuba mencabar moraliti Eropah di padang mereka sendiri. Minke menyedari betapa pun mulusnya idea Eropah terhadap kemodenan, moraliti mereka di tanah jajahan adalah moraliti tempang. Filem ini cuba membawakan nuansa batin dan kesedaran Minke terhadap ketempangan moraliti Eropah melalui beberapa syot yang menarik. Umpamanya, adegan di luar kelab Eropah, adegan layanan oleh Indo-Eropa pada kali pertama Minke dibawa rakannya ke rumah seorang Belanda, adegan pengadilan di mahkamah, adegan di rumah pelacuran dan beberapa babak lain sepanjang filem berdurasi tiga jam.

Dengan percikan intelektual Eropah dan batin peribumi, Minke cuba menebus dirinya. Dan sepanjang filem ini, kita dibawa ke babak demi babak yang menunjukkan perjuangan Minke untuk cuba menebus dirinya demi cinta dan kepercayaan kepada nilai kemanusiaan.

Sudah pasti, membawa novel sarat idealisme, pergolakan batin dan percakapan-percakapan panjang bernada wacana serta filosofikal yang saling mempengaruhi antara watak adalah kemewahan novel yang sangat-sangat sukar diterjemahkan ke dalam filem. Hanung mungkin mencuba, namun banyak lompong yang tak mampu ditimbus. Beberapa adegan, dialog dan monolog penting yang dibangunkan dengan bijak oleh Pramoedya sebagai penggerak yang mengubah watak Minke secara perlahan, alamiah dan logis daripada seorang pemuja totok idea-idea Eropah kepada seorang pemuda yang lebih berimbang, menyedari kekuatan (dan kelemahan) bangsanya serta mendewasa dalam menghadapi persoalan-persoalan masyarakatnya tidak mampu dibawa ke dalam filem dengan lancar. Fokus utama Bumi Manusia versi filem ini ialah kisah percintaan Minke dan Annelies, lebih tepat tragedi percintaan itu sendiri. Mungkin itu adalah pilihan paling tepat kepada sutradara ini dalam menghadapi naskah sekompleks Bumi Manusia, juga dalam menghadapi selera penonton umum era millennial yang jauh dari zaman kolonial.

Lepas dari kelemahan di sana-sini, harus diakui bahawa Hanung dan produksi filem di Indonesia telah mencuba dengan gigih, percubaan yang dikira berjaya, setidak-tidaknya berjaya dalam memberi penghormatan kepada hasil karya sasterawan besar negara itu. Filem ini ditayangkan sekitar Ogos 2019 di Indonesia dan mendapat penghargaan sewajarnya di sana. Untuk Malaysia, Bumi Manusia dan si cantik bunga penutup abad ini boleh ditonton melalui saluran Netflix. Atau untuk lebih puas, bacalah empat judul novel tetralogi ini – Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca – untuk lebih menghayati perkembangan idea, falsafah dan  perjuangan dalam era kolonial melalui mata pena Pramoedya Ananta Toer.

Categories
BUDAYA RENCANA

Sajak ditatang, pantun disisih?

OLEH JAYMANI SEVANATHAN

 

“Sebagai dunia yang menjadi adalah sebuah dunia yang lahir kembali. Itu sebabnya pantun, juga pantun percintaan yang telah berkali-kali ditulis di beberapa zaman, tak jadi usang.”

Goenawan Mohamad (2012)

 

PANTUN merupakan puisi tradisional yang usianya sangat panjang dan telah melalui pelbagai perubahan zaman. Namun, gejala kosmopolitan dan arus globalisasi kian menenggelamkan nilainya berikutan sebahagian kita bersikap acuh tak acuh terhadap warisan budaya turun-temurun.

Pun begitu, kita tidak sewajarnya menuding jari pada faktor kepesatan teknologi semata-mata. Kerana pantun Melayu tidak lenyap atau luntur ditelan kecanggihan zaman sahaja tetapi faktor genre lain terutama sajak yang terlalu dominan dalam kalangan penggiat seni khususnya golongan muda perlu diambil kira.

Anak muda masa kini dilihat memiliki “kegilaan” dan asyik benar dengan luahan sajak berbanding pantun. Sajak dilihat kena dengan trend kontemporari, ada unsur hipster dan bebas dinukilkan. Sajak dianggap mampu memaksimumkan aspek ekspresi dan mempunyai ruang kreativiti yang luas. Berbanding pantun, ekspresinya minimum, kandungannya padat dan singkat. Penceritaan yang panjang lebar tidak mungkin boleh dibawa.

Berkemungkinan besar juga anak muda berasa pantun agak membosankan dan tidak memenuhi cita rasa mereka sehinggakan pembacaan, diskusi mahupun penerbitan buku pantun kurang sangat kedengaran. Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan jika sesetengah individu atau kelompok menganggap pantun hanya diguna pakai oleh masyarakat Melayu sahaja.

Anak muda kini sangat taasub dengan sajak yang dahulunya pernah dianggap sebagai “lembik” dan “jiwang”. Namun, kini selera telah berubah. Sajak makin berselerak di mana-mana. Sampaikan sebahagian penyair pula seakan-akan menjadi golongan elit artistik dengan sajak dijadikan sebagai hiburan. Mereka bebas memberontak dan mempersoal apa-apa pun melalui sajak – sesuatu yang sukar dilakukan menerusi pantun atas faktor ciri, bentuk hukum tertentu.

Anak muda juga gemar menterjemah segala ‘kesepian’ dan perihal hati melalui sajak penyair luar negara. Karya-karya Khalil Gibran, Chairil Anwar, Rupi Kaur, Sapardi Djoko Damono, W.S. Rendra antara bahan bacaan wajib golongan muda-mudi.

Ini menunjukkan sajak lebih diminati berbanding pantun. Apa tidaknya, sajak lebih banyak menerima reaksi, ulasan mahupun kritikan. Berbanding pantun, ulasannya jarang ditemukan, jauh sekali  dibawa ke gelanggang perbincangan. Sajak juga dianggap wadah membangkitkan kesedaran sosial sedangkan pantun – juga merangkumi falsafah dan pemikiran – dipandang biasa-biasa sahaja.

Memang diakui sajak lebih memberi imaginatif, banyak bentuknya dan boleh dibaca dengan variasi gaya. Sedikit sebanyak situasi itu mungkin mengakibatkan sebahagian masyarakat menjauhkan diri dari menghayati dan mendalami keunikan pantun. Kita biasa melihat permintaan tinggi terhadap manuskrip sajak tetapi terlalu kurang bagi pantun. Akibatnya, manuskrip pantun jarang didapati dalam pasaran – mungkinkah kali terakhir antologi Sekuntum Pantun & 99 Kelopak Cinta terbitan Obscura Malaysia pada 2012? Namun, semakan mendapati Dewan Bahasa dan Pustaka juga ada menerbitkan buku himpunan pantun.

Namun, antologi pantun tidak seheboh penerbitan buku sajak atau cerpen. Justeru, faktor permintaan dan kecenderungan terhadap pantun perlu direnung kembali. Ruang dan peluang penyiaran pantun dalam akhbar dan majalah tempatan pula terhad hingga terpaksa berebut-rebut. Atau, barangkali juga kiriman pantun mendapat sambutan dingin. Sedangkan teknik penulisan pantun merupakan permainan bahasa yang intelektual sifatnya. Disiplin dan pemikiran yang tajam agak signifikan dalam penghasilan pantun.

Tidak seperti sajak, penterjemahan pantun Melayu juga lesu dan kurang mendapat perhatian pencinta sastera tempatan. Namun, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pernah menterjemah novel Malaisie karya Henri Fauconnier ke dalam bahasa Melayu yang diberi judul Nurani Tanah Melayu. Dalam novel itu, pantun Melayu menghiasi setiap bab kerana Fauconnier sangat meminatinya. William Marsden, seorang orientalis menterjemah lapan pantun Melayu dalam buku nahunya, A Grammar of the Malayan Language, with an Introduction and Praxis (1812). Kesukaran menterjemah dengan mengekalkan rima akhir a-b-a-b bukan penghalang kerana mereka masih boleh menterjemah dengan konteks makna yang sama.

Selain Marsden, John Leyden, John Crawfurd, Winstedt dan J. Pijnappel juga serius membicarakan pantun Melayu. Sekitar 1958, seorang peminat bahasa, Lou Wen Muk mengumpulkan dan menterjemah pantun kepada bahasa Cina yang diberi judul Pantun. Usaha pengintegrasian budaya cukup nyata dalam hal ini. Namun, usaha setakat itu sahaja tidak cukup jika kita ingin mengangkat darjat pantun dan bukan sekadar bahan picisan sahaja. Malah, dalam media sosial sekalipun, baik penulisan mahupun terjemahan sajak  sering meraih populariti tinggi.

Asakan kemajuan, budaya asing, gaya hidup, teknologi dan media sosial  juga mempengaruhi kejatuhan populariti pantun. John Leyden (1808) pernah mengatakan mengikut orang Melayu sendiri, pantun perlu dipakai dengan teliti iaitu antara baris sampiran sebuah pantun seharusnya mempunyai perkaitan, kiasan atau erti dengan baris maksud. Tetapi dalam media sosial, kita sering bertemu pantun yang hancur seperti “pen merah pen biru, you marah I love you.” Contoh lain, “kerepek pisang kerebek ubi, when can I call you my baby?” Masyarakat pula seronok menggunakan pantun yang “diperkosa”. Akibatnya, musnah segala dandanan citra, baris dan makna serta keindahan bahasa Melayu.

Sebenarnya, kitalah yang menentukan sama ada artifak budaya hanya diingat sebagai penyeri majlis atau melangkaui tahap itu. Jangan pula sampai haiku Jepun ditatang dan pantun Melayu ditendang. Tiada gunanya pantun disanjung tinggi oleh intelektual Barat tetapi kita – anak Malaysia – masih ragu-ragu dengan nilai sastera sendiri.

Categories
SELANGOR SENI

Kesayuan lukisan Yuri Pryadko

OLEH DAENG RAMLIAKIL

MENELITI 50 lukisan cat minyak karya Yuri Pryadko, saya berpendirian, pelukis Eropah ini wajar diberi perhatian sebagai kajian untuk menyingkap kemahirannya bagi kegunaan perkongsian.

7Selain malam, Yuri turut memilih siang, namun, kesepian menjadi bayangan yang munasabah apabila adanya ciri kelima iaitu kawasan pedalaman atau daerah yang jarang dijengah orang.

Sesudah memahami strategi bagi menimbulkan suasana yang menjadi maharaja karyanya iaitu kesepian, kita mengenal pasti kekuatan kedua karya iaitu warna.

Warna putih bersembunyi di sana sini, berbaur dan teradun, melainkan di permukaan laut yang putihnya menguasai dan mengisi ruang untuk buih. Apakah fungsinya warna putih pada warna-warna lain? Kejernihan dan mesra mata.

Pilihan berada pada jarak agak jauh untuk melihat lukisan Yuri yang ada gambaran langit malam dan kawasan desa, juga kediaman yang ada cahaya kecil lampu, kita bernasib baik. Hati yang dimiliki amat mudah berasa sayu dan perasaan ini boleh membawa seseorang yang berpendirian positif meneroka aneka pengalaman tersendiri yang sudah tersembunyi lama.

15Kebijaksanaan biasanya muncul. Pilihan berada dalam suasana sayu kerap dipilih oleh Abraham Lincoln, Presiden Amerika Syarikat ke-16. Juga, William Shakespeare, dramatis agung dunia milik England. Atau, lebih lama lagi, Julius Caesar, panglima dan kemudiannya Jeneral Rom yang bijak berperang.

Nabi-nabi bermula Adam memang acap memilih dunia yang sepi kerana seakan-akan sudah menjadi suatu formula, kesepian dan kesayuan kepada pelajar ilmu maqrifatullah, jarak diri dengan Ilahi menjadi paling dekat, sedekat lelangit dengan lidah, kata ahli-ahli sufi seperti Wali Songo, khususnya Sunan Kalijaga.

Meniru Yuri untuk menghasilkan lukisan gambaran alam semula jadi yang sunyi lagi disulam suasana sayu, pelukis tanah air mahupun dunia, perlunya usaha merenung, mengkaji dan mencatat beberapa strategi yang betul supaya ikhtiar tidak sia-sia.

Categories
SENI

Teater Modular: Antara berahi dan bijaksana

OLEH HAIZIR OTHMAN

TIMBUL polemik sebaik sahaja tamat pementasan Teater Modular yang mungkin timbul akibat ketidakpastian; adakah ia mendidik atau tidak? Juga satu lagi sudut pandang lain bertanya, “Adakah wanita dijadikan objek seks dalam set empat playlet teater itu?” Selainnya, kebanyakan penonton gembira dengan pementasan lebih kurang satu jam itu. Respon puji-pujian melatari perbincangan santai yang menjadi acara terakhir sebelum pulang.

Teater Modular tulisan Ridhwan Saidi adalah gabungan empat playlet teater iaitu Melihat Setan Bekerja arahan Fahmi Harun, Panik di Pusat Undi (Sak Don), Brokoli (Walid Ali) dan Malam Pertama (Qiu Qatina). Sejak mula dipentaskan pertama kali pada 15 Mac 2017 di Studio Revolution Stage, ia mendapat ulasan positif dalam media sosial, mendorong kehadiran lebih ramai penonton sehingga pementasan terakhir 20 Mac lalu.

Paling tertarik ialah Melihat Setan Bekerja. Menggunakan hanya seorang pelakon untuk dua watak – Lelaki dan Setan, pertukaran watak yang lancar, pertuturan dialog dengan lontaran suara jelas seraya membezakan antara kedua-dua watak, pengungkapan falsafah dalam skrip, penghayatan yang tidak dibuat-buat, aksi lakonan dan mimik muka cemerlang; pujian harus diberi kepada pelakon tunggalnya, Amirul Syakir. Beliau berjaya menterjemah kekuatan skrip kepada penonton – antaranya menimbulkan persoalan, “Benarkah setan itu benar-benar jahat?”

modularKata seorang rakan yang menekuni falsafah, konsep evil atau kesyaitanan dalam konteks dunia intelektual dan kesusasteraan Barat, tidak pernah ada jawapan pasti. Ditinjau sejarah dan kebudayaan Barat, mengangkat nilai kejahatan sebagai suatu yang baik berlaku sejak ribuan tahun lalu.

Umpamanya, kisah Prometheus melawan Zeus (tuhan) demi kesejahteraan umat manusia dengan cara mencuri api dari Gunung Olympus. Kecelaruan Barat dalam hal ini turut terakam dalam Faust karya Goethe yang mengangkat watak Mephisto (iblis), apabila Faust menjual jiwanya kepada Mephisto. Hanya dalam Faust 2 yang ditulis 26 tahun berikutnya, Goethe kemudian menolak nilai-nilai Mephistopheles.

Dalam al-Quran, pemisahan antara baik dan jahat itu jelas. Nabi Ibrahim a.s berpesan kepada ayahnya agar jangan menyembah syaitan kerana syaitan itu ingkar kepada Tuhan (Maryam: 44). Juga sabda Tuhan yang menyatakan “syaitan itu musuh kamu yang nyata” (Al-Isra’: 53).

Pertanyaan-pertanyaan yang diaju dalam teater ini walau jawapannya sudah diketahui, masih boleh diterima bagi mengingatkan kita yang selalu terlupa. Malah, melalui jalan pertanyaan begini, kefahaman kita boleh dicabar dan jadi lebih kuat, seperti cara kita ditanya dengan soalan peperiksaan. Jika mesej ini dapat diekstrak keluar dari naskhah ini oleh penontonnya, maka persoalan, “adakah teater ini mendidik atau tidak?” tidak timbul.

Playlet kedua, Panik Di Pusat Undi lebih ringan. Tajuknya sudah membayangkan akan topik politik dan demokrasi yang dibawanya. Ya, ada ‘menyiku dan lutut’ terhadap resam berpolitik di negara kita, antaranya sifat perkauman berpilih terhadap kaum Cina, pemerasan tenaga ketua politik terhadap anak buah dan kesedaran rakyat terhadap hak mereka. Adegan menarik apabila tiada seorangpun pengundi muncul di pusat pengundian, baik pengundi hantu atau bukan. Situasi ini meresahkan dua “ejen” atau “broker” undi yang mengharapkan kehadiran ramai pengundi bagi menggembirakan Datuk mereka yang bercuti di Hawaii. Akhirnya, datang seorang pengundi tapi sejurus menanda di kertas, dia tumbang dan mati akibat sakit jantung.

Berbanding playlet lain, playlet bertema politik paling meriah dengan gelak-tawa penonton dari awal hingga akhir. Barangkali, inilah tema yang sentiasa kelakar dalam realiti hidup seharian dan tidak pernah gagal untuk membuat kita ketawa, meski diulang-ulang dalam tempoh singkat. Wujud juga situasi yang sebenarnya tidak kelakar tapi kita tetap terbahak-bahak kerana yang kita ketawakan bukanlah situasi itu, sebaliknya kebodohan dan nasib malang kita sendiri. Politik adalah komedi sekaligus tragedi.

Brokoli adalah skrip dalam salah satu bab novel Amerika karya Ridhwan Saidi. Agaknya “panas” dan kontroversi sekitar Teater Modular bermula dari sini. Bagi yang pernah membaca Amerika dan novel lain Ridhwan, skrip ini sebenarnya dapat dijangka tetapi bagi yang baru mengikuti, ia agak memeranjatkan. Seorang guru agama yang bertukar kerjaya menjadi seorang pelakon porno bukanlah cerita yang kita dengar setiap hari. Tetapi hakikatnya, hal yang lebih teruk daripada itu barangkali telahpun terjadi di sekitar kita; ustaz kirim gambar lucah kepada teman wanita lewat laman sosial, gangguan seksual di sekolah agama atau lebih teruk, memperalat agama dari segi pengaruh dan kedudukan untuk penyelewengan dan korupsi. Yang menarik dalam Brokoli adalah penutupnya apabila Sofia, si pelakon filem porno menolak ajakan Din untuk berasmara di luar set penggambaran dengan alasan “haram”. Ironis ini seperti mengejek kenyataan seorang ustazah popular satu ketika dulu dalam polemik adakah boleh menjual diri demi memberi makan kepada anak-anak?

INFO HADIAH SASTERAMalam Pertama adalah playlet terakhir dan barang kali terpanas. Malah, berlaku polemik di facebook antara Zikri Rahman dengan Ridhwan sekitar adegan berahi yang melatari teater ini – adakah ia liberal atau tidak, moral atau tidak, bla bla bla. Kata seorang rakan, tidak perlu sampai buka baju untuk membawa adegan berahi. Dengan sedikit kreativiti, adegan berahi boleh dilakon walau lengkap berpakaian. Contohnya, adegan P. Ramlee dan Zaiton dalam Semerah Padi. Juga garapan berseni U-Wei Shaari dalam Buai Laju-laju dan Perempuan, Isteri dan…

Namun sebenarnya, teater ini ingin membawa isu komunikasi yang terganggu antara sepasang suami-isteri akibat tidak bertutur dalam bahasa yang sama. Tindakan melantik penterjemah untuk mengatasi halangan komunikasi antara mereka berdua hanya menimbulkan kejanggalan apabila terjemahan diperlukan dalam semua perkara sehinggalah ke ranjang. Janggal dan absurd adalah mesej yang ingin dipapar tapi sayangnya, adegan berahi juga diingati orang.

Menonton Teater Modular, malah menonton (atau membaca) apapun, memerlukan kebijaksanaan kerana akhirnya di tangan penontonlah naskhah itu dinilai. Beri skrip apapun, penonton yang bijaksana akan memilih intan dari kaca – mengambil yang baik dan meninggalkan yang buruk. Tugas si penulis dan pengarah berakhir sebaik pementasan selesai. Tetapi tugas penonton baru sahaja bermula – berfikir dan menilai dari kaca mata ilmu dan iman. Tanpa prejudis.