Categories
BERITA UTAMA SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Bendung masalah rumah tangga, elak kesan negatif

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 15 JULAI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan masalah keganasan rumah tangga perlu dibendung daripada awal kerana ia boleh meninggalkan kesan negatif dalam kekeluargaan juga negara

Naib Presiden (Hal Ehwal Wanita) ABIM, Fadhlina Sidek, berkata keganasan rumah tangga adalah masalah yang hangat diperkatakan dan menjadi semakin serius masa kini.

fadhlinaKatanya, itu adalah masalah yang melanda hampir semua negara di seluruh dunia tanpa mengira bangsa, agama, kaum, jantina, keturunan, atau kedudukan.

“Antara beberapa langkah yang perlu diambil oleh wanita apabila berlaku keganasan rumah tangga adalah pastikan anda membuat laporan polis dan minta pegawai penyiasat terus membuka fail siasatan juga mohon Perintah Perlindungan Sementara.

“Jangan sesekali tarik balik aduan dan pastikan kaki pukul ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, wanita yang didera perlu mendapat laporan perubatan penuh dari hospital kerajaan.

“Apabila didera, cari tempat perlindungan sementara dan failkan kes yang sesuai. Jika fasakh atau takliq, semua laporan tersebut sangat penting jika mangsa tiada saksi.
“Keganasan rumahtangga adalah kitaran yang kejam. Ada anak yang sedang memerhati dan tidak mustahil akan mengulangi perilaku sama,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tak ada masalah, rumah ibadat berdekatan di Bukit Rotan

Oleh: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 20 APR: Suasana harmoni di Pekan Bukit Rotan, Kuala Selangor boleh dijadikan contoh apabila masyarakat di sana dapat menerima rumah ibadat berhampiran antara satu sama lain.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Fadhlina Sidek, di Facebooknya menulis tindakan pendesak di Taman Medan yang mahu menurunkan simbol berlainan agama seperti golongan paranoid.

Rotan 1Katanya, isu rasuah, kemelaratan dan kerakusan kuasa perlu diangkat dalam perbincangan.

Beliau teruja dengan suasana di Bukit Rotan apabila masyarakat hidup harmoni tanpa masalah sejak sekian lama.

“Setiap kali pulang ke Sekinchan, saya minta suami menyusuri sebuah kawasan di Bukit Rotan, Kuala Selangor kerana suka pemandangannya.

Masjid Jamek An-Nuriah, Bukit Rotan“Di atas bukit ada kuil hindu yang besar, di bawahnya ada masjid, di sebelahnya ada gereja dan sebuah lagi kuil. Saya cukup tenang melihat masjid itu kukuh dan menjalankan fungsinya,” tulisnya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah Hadir Buat Aduan Kepada JAIS

SHAH ALAM, 9 NOV : Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah bertemu dengan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini untuk membuat aduan berkenaan kenyataannya tentang kebebasan beragama yang didakwa telah diputarbelitkan oleh media pro-Umno.

“Alhamdulillah saya telah datang ke JAIS untuk menyatakan perkara sebenar kepada pengarah JAIS, Datuk Marzuki (Hussin) dan Alhamdulillah JAIS memberikan kerjasama yang baik,” kata Nurul Izzah dalam sidang media di lobi Bangunan JAIS di sini.

“Saya berikan keratan akhbar fitnah Utusan Malaysia termasuk penjelasan dan transkrip saya,” katanya, yang juga MP Lembah Pantai.

Pertemuan dengan Marzuki bersama tiga pegawai JAIS mengambil masa kira-kira 45 minit. Nurul Izzah ditemani, Fadhlina Sidek.

Menurut peguam Nurul Izzah, JAIS memberikan kerjasama baik dalam pertemuan itu dan kita menunggu maklum balas daripada pihak JAIS untuk tindakan selanjutnya.

“Kita dari masa ke semasa akan memberikan maklumat terkini. Bukan serah diri dan bukan memberikan keterangan, kita memberikan penjelasan perkara sebenar,”kata Fadhlina.

Di dalam satu kenyataan media, Marzuki mengesahkan kehadiran Nurul Izzah ke JAIS bagi memberikan penjelasan isu tersebut.

Setiausaha politik Nurul Izzah, Fahmi Fadzil memaklumkan, writ saman terhadap akhbar kawalan Umno-BN itu kini dalam persediaan.

Nurul Izzah mendakwa laporan Utusan Malaysia dan Berita Harian telah memutar-belitkan kenyataannya di sebuah forum ?Islamic State: Which version? Whose responsibility?? di Subang Jaya, 3 November lalu.