Categories
RENCANA

Transformasi FELDA beri harapan baharu kepada peneroka

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Seramai 112, 634 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di 317 tanah rancangan seluruh negara pastinya menarik nafas lega selepas Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA dibentangkan di Parlimen hari ini.

Kertas putih itu, yang dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyenaraikan inti pati penting bagi menyuntik tenaga baharu dan mengoptimumkan potensi melalui pelan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengembalikan kegemilangan FELDA.

Felda menghadapi masalah kewangan yang buruk dengan kekangan aliran tunai sehingga menyebabkan ia tidak mampu menampung perbelanjaan operasi, kos penanaman semula dan memberi bantuan pinjaman kepada peneroka.

Hutang FELDA meningkat dengan ketara sebanyak 1,100 peratus daripda 1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017 manakala baki hutang peneroka pula mencecah RM7.7 bilion pada 2018.

TEPAT PADA MASANYA

Kewangan yang tidak stabil itu ternyata meresahkan peneroka, yang terpaksa berdepan kepudaran zaman kegemilangan Felda disebabkan masalah pentadbiran dan pengurusan.

Dan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengambil langkah tepat pada masanya dengan memperkenalkan pelan transformasi bagi memacu kembali FELDA.

“Pembetangan Kertas Putih itu umpama memberi nafas baharu kepada peneroka dan warga FELDA keseluruhannya,” kata Timbalan Ketua Peneroka Kebangsaan Karip Mohd Salleh.

Beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan peruntukan geran sebanyak RM6 bilion daripada kerajaan untuk membantu FELDA dalam menyelesaikan masalah ketika ini terutama isu Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil peneroka.

“Sudah tentu kami menyambut baik transformasi yang dicadangkan ini dengan gembira terutama bagi membantu peneroka. Segala keresahan yang kami suarakan sebelum ini diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.

Semasa membentangkan Kertas Putih itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan meluluskan RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada peneroka serta menghapuskan hutang tidak wajar.

Kerajaan juga memperuntukkan RM2 bilion bagi menghapuskan faedah yang dikenakan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil yang menjadi beban kepada peneroka.

Karip berkata langkah kerajaan untuk menyiapkan segera projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai sebelum ini sememangnya amat dinanti-nantikan oleh generasi kedua Felda.

“Dalam hal ini, kita minta kerajaan supaya memberi keutamaan kepada anak-anak peneroka yang tinggal di tanah rancangan. Mereka yang membantu dan memajukan kebun ibu bapa mereka,” katanya.

Sebanyak 4,794 keluarga generasi baharu akan menerima manfaat itu apabila kerajaan meluluskan sebanyak RM250 juta tahun ini untuk menyiapkan projek perumahan itu, yang sudah 70 peratus dibina.

JUAL ASET DALAM, LUAR NEGARA

Sementara itu, Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) pula berpendapat usaha kerajaan memulihkan FELDA dengan menjual aset di dalam dan luar negara adalah antara pilihan yang terpaksa dilakukan bagi membaik pulih FELDA.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, langkah itu diambil berdasarkan sebagai keperluan semasa bagi memenuhi komitmen sedia ada bagi pembangunan peneroka dan Felda pada keseluruhannya.

“Ia jauh lebih baik daripada membuat pinjaman baharu yang akan meningkatkan jumlah hutang yang kini mencecah RM8.025 bilion,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pelan pemulihan itu akan meneroka sepenuhnya segala potensi dan ruang yang dapat menjana pendapatan untuk lembaga itu.

Beliau berkata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Pengurusan Tertinggi Felda, MPNF dan badan berkaitan FELDA mesti memandang serius dan mengorak langkah ke hadapan demi menjayakan pembaharuan itu.

“Pembangunan hasil bumi dan sumber galian seperti pasir, bijih besi bauksit dan kuari yang menjana pendapatan jutaan ringgit kepada Felda mestilah diteroka segara.

“Apapun, kami berharap kemelut dan situasi kewangan FELDA yang kritikal ini bukanlah ‘jalan mati’ atau pengakhiran hayat bagi FELDA,” katanya.

KAJI PELAKSANAAN KERTAS PUTIH

Pakar bidang ekonomi tanah dari Universiti Hussein Onn Malaysia Profesor Dr Ismail Omar pula berpendapat cadangan yang dikemuka dalam Kertas Putih itu perlu diperincikan dan dikaji secara profesional bagi menentukan kedayahidupan dan kebolehpasarannya.

Beliau berkata ahli profesional yang berpengalaman terutama dalam bidang ekonomi tanah, pertanian dan kejuruteraan pintar, teknologi tinggi dalam pertanian dan penternakan, biodisel dan sebagainya perlu digandingkan bersama dengan kerajaan untuk menghasilkan kreativiti dan inovasi berkaitan pertanian.

“Kesemua cadangan ini boleh dilakukan melalui pendidikan kepada generasi FELDA dan juga masyarakat penyelidik yang boleh diwujudkan secara perkongsian pintar antara Felda dan universiti.

“Sudah tentu ada universiti yang ingin mengambil Gugusan FELDA sebagai anak angkat bagi penyelidikan mereka. Suasana perkongsian pintar memerlukan kepimpinan yang berdaya maju dan boleh diteladani. Justeru, pemberdayaan dan pemerkasaan modal insan amat penting,” katanya.

Selain itu, Ismail berkata penyusunan semula dan pemurnian sistem skim pewarisan pusaka yang dicadangkan melalui Kertas Putih FELDA itu adalah tepat pada masanya.

Menurutnya skim pewarisan tanah FELDA bermasalah kerana ia tidak menggunakan sistem harta pusaka dan faraid seperti yang dituntut Islam.

“Sekalipun terdapat perubahan ke arah yang lebih baik, sistem pewarisan yang digunakan masih tidak mampu menangani masalah pusaka dan faraid sepenuhnya.

“ Keadaan ini menjadikan pewarisan harta apabila simati peneroka tidak dapat dijalankan dengan lancar dan membawa kepada persengketaan apabila tiada penyelesaian yang memuaskan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azmin: Rajawali Capital tidak mampu beli semula EHP

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: PT Rajawali Capital International tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membeli semula PT Eagle High Plantation (EHP) walaupun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengaktifkan “Opsyen Jual” untuk melepaskan pegangannya di dalam syarikat perladangan Indonesia itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini berdasarkan kepada respon Rajawali Capital yang menolak cadangan FELDA selepas ia mahu mengaktifkan hak untuk menjual kepentingannya pada awal tahun ini.

“ini satu bukti bahawa mereka tidak ada kemampuan kewangan bagi membayar balik jumlah pelaburan yang telah dilaburkan Felda,” katanya kepada pemberita selepas menggulung Kertas Putih yang bertajuk “Ke Arah Kelestarian FELDA” di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu di dalam penggulungan beliau, Mohamed Azmin berkata pentadbiran lama FELDA gagal untuk membuat proses “due dilligence” ke atas Rajawali Capital.

“Apabila kita menyiasat kedudukan kewangan Rajawali Capital, ia merupakan sebuah aset persendirian yang hanya mempunyai aset ketara bersih berjumlah US$7.2 juta sehingga 2014,” katanya.

FELDA, melalui anak syarikatnya FIC Properties Sdn Bhd, menandatangani perjanjian dengan Rajawali Capital pada 2016 untuk membeli 37 peratus pegangan dalam EHP pada harga US$505.4 juta.

Turut terkandung di dalam perjanjian berkenaan ialah hak untuk menjual saham berkenaan pada harga pembelian asal dengan faedah tahunan sebanyak enam peratus yang harus ditanggung oleh syarikat Indonesia itu. –BERNAMA

Categories
NASIONAL

Langgar embargo: Azmin kemuka usul tindakan terhadap Najib

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau sudah mengemukakan satu usul supaya bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dikenakan tindakan keras kerana melanggar embargo Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA).

Beliau berkata, usul itu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pagi tadi.

“Persoalannya, bagaimana seorang bekas perdana menteri boleh melakukan kesalahan begitu, membocorkan dokumen yang diembargo sehingga pagi ini tetapi dibocorkan petang semalam.

“Sebab itu awal pagi ini, saya kemukakan usul kepada Speaker supaya tindakan keras diambil terhadap Yang Berhormat Pekan. Ini satu kesalahan besar,” katanya ketika menggulung perbahasan Kertas Putih berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) membangkitkan tindakan Najib melanggar Peraturan Mesyuarat 95A, berhubung dokumen embargo yang tidak boleh disiarkan dengan apa cara sekali pun sebelum dibentangkan.

“Adakah menteri (Mohamed Azmin) sedar beliau (Najib) memasukkan sebahagian dokumen embargo ini di Facebook sekitar jam 6 petang semalam,” soal Ahmad Fahmi ketika mencelah penggulungan perbahasan itu.

Mohamed Azmin dalam penggulungan itu turut menjelaskan dakwaan Pinjaman Sara Hidup dan bantuan Pendahuluan Hasil akan dikurangkan daripada RM1,500 kepada RM1,000 adalah tidak benar sama sekali.

“Ini adalah propaganda UMNO menjelang (Pilihan Raya Kecil) Rantau. Saya telah umumkan pagi tadi (semasa pembentangan Kertas Putih) kadar sedia ada dikekalkan iaitu RM1,500,” katanya.

Dalam pada itu, Kertas Putih bertujuan memberi penjelasan mengenai isu dihadapi Felda serta pelan pemulihannya yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini kemudian diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat.

Kertas Putih itu antaranya menyatakan kerajaan Pakatan Harapan bersetuju memberi bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion kepada Felda, berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Reformasi tadbir urus keseluruhan struktur FELDA

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kertas Putih FELDA yang dibentangkan di Parlimen hari ini turut menyenaraikan beberapa langkah penambahbaikan tadbir urus untuk meningkatkan akauntabiliti, integriti serta profesionalisme pada FELDA serta anak syarikat dan sekutunya termasuk FGV serta FIC.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa membentangkan kertas putih bertema Ke Arah Kelestarian FELDA berkata, FELDA perlu melaksana reformasi tadbir urus dalam mengembalikan agensi itu ke kedudukan tersohornya.

Berikut adalah inti pati tujuh langkah penambahbaikan tadbir urus yang disenaraikan dalam kertas putih itu.

i. memastikan lantikan pengerusi FELDA, FGV dan FIC dari kalangan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik;

ii. memastikan pengasingan tugas urus tadbir antara jawatan Pengerusi FELDA dengan jawatan pengerusi anak-anak syarikat FELDA untuk mengelakkan konflik kepentingan dalam keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah setiap syarikat;

iii. melaksanakan audit pengurusan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber manusia yang optimum serta berintegriti;

iv. menubuhkan Jawatankuasa Siasatan untuk mengambil tindakan ke atas cadangan dan syor Laporan Audit Forensik yang telah dijalankan;

v. mengambil tindakan tegas ke atas pegawai dan anggota pengurusan FELDA yang terlibat dengan isu penyelewengan dan kecuaian;

vi. menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan akauntabiliti dalam pengurusan pentadbiran FELDA; dan

vii. mengkaji pindaan akta/ peraturan yang berkaitan selaras dengan model FELDA baharu. Menambah Baik Struktur Pengurusan

Sementara itu, FELDA juga akan melaksanakan strategi merealisasi inisiatif amalan pengurusan yang kejat, iaitu kawalan saiz (right-sizing), pertindihan fungsi jabatan dan syarikat (duplication), penjajaran fungsi utama perkhidmatan (realignment), perkhidmatan yang boleh diserah urus (outsourcing) dan perekayasaan proses kerja (business process reengineering). -BERNAMA

Categories
NASIONAL

EHP Indonesia seret FELDA ke tribunal timbang tara

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Eagle High Plantations (EHP) dari Indonesia sedang mencabar keputusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang mahu menjual kepentingannya sebanyak 37 peratus dalam EHP, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Walaupun pada hakikatnya, apabila FELDA memperoleh kepentingan itu pada 2015, ada dijelaskan “opsyen jual” yang membenarkan saham terbabit dijual semula pada harga asal pembelian termasuk caj faedah tahunan sebanyak enam peratus setahun yang perlu ditanggung EHP.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan Kertas Putih FELDA di Parlimen dan menambah, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan opsyen itu serta telah mengeluarkan notis kepada EHP pada awal tahun ini.

“Apabila kami dipaksa membeli (EHP) ketika itu, pilihan untuk menjual semula adalah sebahagian daripada perjanjian.

“Tetapi saya diberitahu, EHP akan mencabar keputusan itu dan akan membawa perkara ini kepada timbang tara,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan menangani perkara itu dengan wajar.

Sebelum ini, Azmin memberitahu Dewan Rakyat bahawa dana sebanyak RM2.7 bilion milik FELDA sudah digunakan untuk memenangi sokongan politik semasa pilihan raya umum yang ke-14.

Katanya, kerajaan bersetuju menyalurkan RM6.23 bilion kepada FELDA dalam bentuk geran, pinjaman serta jaminan dan ia disasarkan bagi memulihkan kedudukan kewangan agensi itu dalam tempoh lima tahun. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan kenal pasti aset strategik FELDA untuk dicairkan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kerajaan sedang mengenal pasti aset tidak strategik yang berpotensi untuk dicairkan bagi meningkatkan aliran tunai dan mengurangkan pinjaman yang membebankan FELDA, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

“Sebagai contoh saya sebutkan tadi dalam ucapan pembentangan Kertas Putih FELDA, pada tahun lalu, mereka (FELDA) terpaksa melunaskan RM1.4 bilion kepada insitusi kewangan, manakala pada tahun ini (sehingga hujung tahun) kita terpaksa membayar RM2.5 bilion.

“Kedudukan ini tidak membolehkan FELDA maju ke hadapan. Oleh sebab itu, antara cadangan kita kepada kerajaan ialah memberikan jaminan bagi menstrukturkan semula pinjaman dengan institusi kewangan yang terlibat,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, aset yang tidak strategik itu akan melalui proses pembidaan untuk mendapatkan nilai terbaik bagi setiap aset yang akan dicairkan.

Sementara itu, beliau berkata, dengan adanya pengurusan dan kepimpinan baharu, diharapkan dapat mengembalikan keyakinan peneroka FELDA serta mengukuhkan kembali kedudukan entiti berkenaan dalam tempoh lima tahun.

Terdahulu, Mohamed Azmin membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian FELDA’ untuk bacaan kali pertama di hadapan Yang Dipertua Dewan rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Siasatan FELDA: Polis akan panggil VIP

PUTRAJAYA, 10 APRIL: Polis akan memanggil beberapa orang kenamaan (VIP) bagi membantu siasatan berkaitan Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah membuka kertas siasatan selepas Ketua Pengarah Felda, Datuk Dr Othman Omar membuat laporan polis pada Isnin mendakwa ditipu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembelian saham syarikat Indonesia, Eagle High Plantations (EHP).

“Panggil VIP itu normal. Kalau tidak bagaimana hendak lengkapkan kertas siasatan,” katanya ketika ditanya media sama ada mana-mana VIP akan dipanggil untuk siasatan selepas menyampaikan ucaptama pada APAC Policetech Conference & Exhibition, di sini hari ini.

Menurut laporan media, Othman dalam laporan polisnya mendakwa Najib yang juga Menteri Kewangan ketika itu mengarahkan FELDA membuat transaksi pada 2015 melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB) untuk membeli 37 peratus saham EHP pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) di mana nilai saham itu hanya AS$114 juta.

Pada sidang media itu juga, Mohamad Fuzi melahirkan rasa kesal dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mendakwa polis tidak memberi kerjasama penuh dalam kes dakwaan kehilangan paksa paderi Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat.

“Saya sudah sebut banyak kali polis akan beri kerjasama penuh. Dakwaan bahawa polis tidak beri kerjasama adalah satu tohmahan,” katanya.

Pada 3 April lalu, Suhakam mengeluarkan satu laporan susulan inkuiri 18 bulan berhubung beberapa kes kehilangan orang dan laporan itu membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terbabit dalam “kehilangan paksa” Koh dan Amri masing-masing pada 2016 dan 2017.

Mohamad Fuzi yang dijadualkan bersara sebagai Ketua Polis Negara bulan depan, adalah Ketua Cawangan Khas ketika itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan akan membuka siasatan baharu susulan laporan kesimpulan Suhakam itu. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M persoal mana keuntungan FGV

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mempersoal di manakah duit FGV Holdings Bhd yang didakwa mencatat keuntungan besar.

Beliau yang merujuk dirinya sebagai Ahli Parlimen Langkawi bertanya perkara itu, ketika mencelah sewaktu Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sedang membahaskan Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (Felda)’ di Dewan Rakyat.

“Sebagai wakil rakyat Langkawi, saya kagum dengan cerita dongeng yang disampaikan. Yang saya hairan, kenapa dia (Ahmad) tidak beritahu kepada ‘bossku’ lama dia, supaya hari ini kita tidak ada masalah dan tak perlu ada Kertas Putih. Semua bersih belaka.

“Tetapi penyangak ini meninggalkan bekas mereka dan kitalah yang perlu bersihkan, dan tuan-tuan dan puan-puan begitu banyak untung FGV ini, berbilion-bilion, (boleh) tolong tunjuk di mana duit itu ada?” katanya.

Terdahulu, Ahmad yang melahirkan rasa teruja dengan kehadiran perdana menteri dan timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi mendengar perbahasan berkenaan berkata, FGV mencatat keuntungan dari 2012 hingga 2017.

Ahmad mendakwa setelah Pakatan Harapan memerintah, FGV pada 2018 mencatat kerugian RM1.04 bilion.

“Tetapi apabila Yang Berhormat (Langkawi) ambil alih kerajaan, eh menteri ekonomi lah (merujuk kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), saya tak nak salahkan (Langkawi).

“Saya kalau jumpa Yang Berhormat Langkawi, saya salam cium tangan, arwah ayah saya, saya cium tangan, bekas-bekas perdana menteri, Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak) saya tak cium, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Mahathir saya cium tangan,” katanya yang mengundang gelak ketawa anggota Dewan Rakyat.

Beliau kemudian meneruskan perbahasannya termasuk mencadangkan supaya diwujudkan kawasan industri di tanah rancangan Felda bagi memajukan dan memberi peluang pekerjaan kepada generasi kedua Felda sebelum Dr Mahathir bangun bagi mencelah perbahasan itu.

“Hari ini dalam sejarah, saya bagi laluan sepenuhnya,” katanya yang sebelum itu tidak membenarkan pencelahan daripada dua anggota Parlimen iaitu Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil(PH-Lembah Pantai) dan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat). -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azmin: Jaminan Kerajaan untuk FELDA struktur semula pinjaman

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kerajaan bersetuju memberikan Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk membolehkan entiti terbabit menstrukturkan semula pinjamannya dengan institusi kewangan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jaminan itu sebahagian daripada usaha kerajaan membentuk sistem kewangan baharu dan lestari bagi FELDA, selari pelan transformasi serta hala tujunya, selain mengelak daripada menanggung beban hutang yang tinggi.

“Kegagalan menstruktur semula pinjaman FELDA akan mendedahkan entiti itu kepada pembayaran pinjaman dan kadar faedah RM2.5 bilion untuk 2019,” katanya ketika membentangkan Kertas Putih Felda, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, bagi tahun lalu sahaja, FELDA terpaksa melunaskan bayaran pinjaman dan kadar faedah RM1.4 bilion kepada institusi kewangan.

Beliau berkata, FELDA juga akan melaksanakan rasionalisasi aset bagi menambah baik kedudukan kewangan semasanya.

“FELDA kini dalam proses mengenal pasti aset tidak strategik yang berpotensi untuk dicairkan bagi menjana aliran tunai pada nilai terbaik,” katanya.

Katanya, antara punca masalah kewangan FELDA ialah kekangan aliran tunai ekoran pendapatan lebih rendah berbanding kos operasi selepas menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan Felda Global Ventures Bhd (FGV) bagi menyenaraikan FGV di Papan Utama Bursa Malaysia.

Beliau berkata, sebelum penyenaraian FGV, Felda menjana keuntungan bersih antara RM200 juta hingga RM1.1 bilion setahun dalam tempoh 2007 hingga 2011 melalui pengurusan ladang komersial miliknya yang berkeluasan lebih kurang 400,000 hektar.

“Selepas penyenaraian FGV, khususnya pada 2013, prestasi kewangan FELDA mulai merosot. FELDA melaporkan kerugian secara berterusan sehingga mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM4.9 bilion pada 2017,” katanya.

Secara purata, FELDA hanya menerima RM400 juta setahun daripada FGV berbanding keperluan sekurang-kurangnya RM800 juta setahun untuk mengurus ladang serta menjamin kebajikan peneroka.

Mohamed Azmin berkata, selain penstrukturan dan pengukuhan kewangan, pelan transformasi dan hala tuju, FELDA turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan tadbir urus serta operasi berasaskan ketelusan dan akauntabiliti bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan peneroka serta mengukuhkan kedudukannya.

Antara langkah yang sudah dan sedang diambil adalah melantik kepimpinan baharu FELDA terdiri daripada golongan profesional, berwibawa dan berintegriti serta menyusun semula struktur korporat juga pengurusan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan.

Katanya, FELDA juga akan memperkenalkan sistem semak dan imbang bagi mencegah dan menghalang penyalahgunaan kuasa dan salah laku rasuah.

Selain itu, katanya, FELDA akan memperkenalkan model baharu pengurusan tanah peneroka melalui sewaan tanah untuk satu tempoh jangka panjang yang munasabah bagi menyelesaikan isu demografi peneroka dan ketiadaan ekonomi bidangan.

“Pengenalan model baharu ini akan membolehkan tanah peneroka digabungkan dan diusahakan secara cekap, berskala besar dengan ekonomi bidangan yang boleh mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azmin: RM6.23 bilion disuntik majukan lagi FELDA

KUALA LUMPUR, 10 APR: Kerajaan bersetuju memberi bantuan kewangan RM6.23 bilion kepada FELDA, berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan.

Ketika membentangkan Kertas Putih FELDA di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dengan model baharu ini, FELDA akan menyuntik tenaga baru dan mengoptimumkan potensi untuk maju dan memodenkan industri pertanian.

“Wahai peneroka FELDA, Kerajaan Pakatan Harapan mempunyai keyakinan kepada kalian. Sama-samalah kita bangkit, bersatu dan maju bersama demi kegemilangan FELDA, rakyat dan negara. Saya yakin FELDA mampu bangkit semula”.

“Saya berharap usaha Kerajaan ini akan mendapat sokongan dan dukungan para peneroka untuk mengembalikan FELDA sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka FELDA dan menjamin kelestarian FELDA,” katanya.

Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian FELDA’ itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Mohamed Azmin berkata suntikan RM6.23 bilion itu antara lain melibatkan model baharu pengurusan tanah peneroka melalui sewaan tanah, untuk satu tempoh jangka panjang yang munasabah sekali gus menyelesaikan isu demografi peneroka dan ketiadaan ekonomi bidangan (economies of scale).

“Pengenalan model baharu ini akan membolehkan tanah peneroka-peneroka digabungkan dan diusahakan secara cekap, berskala besar dengan ekonomi bidangan yang boleh mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti,” katanya.

Tegasnya, FELDA bertekad melahirkan peneroka baru yang mahir dan berinovatif bagi meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pertanian dan ternakan yang menggunakan teknologi baharu seperti ‘perladangan pintar’ dan ‘pertanian mampan’.

Menurutnya, usaha ini akan membantu peneroka mengurangkan kebergantungan kepada hasil sawit, dan sebaliknya peneroka mampu menjana pendapatan baru yang bernilai tinggi melalui hasil tuaian dalam tempoh yang singkat.

“Bagi melaksanakan gagasan baru ini, kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk tempoh 4 tahun,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demi meringankan bebanan hutang peneroka, skim pengurusan aset canggih (SPAC) akan diperkenalkan bagi memberi bantuan yang lebih fleksibel menggantikan Pinjaman Sara Hidup (SH) dan Pendahuluan Hasil (PDH).

Tegasnya, melalui skim baharu ini, peneroka akan menerima pinjaman yang bersesuaian berdasarkan pendapatan mereka dan cadangan skim baharu ini sedang diteliti secara mendalam termasuk libat urus dengan peneroka-peneroka.

“Sementara proses ini sedang berjalan, FELDA akan meneruskan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil mengikut kadar sedia ada.

“Bagi tahun 2019, kerajaan telah meluluskan sejumlah RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil,” katanya.

Beliau menarik perhatian, untuk membiayai pinjaman SH dan PDH, FELDA terpaksa menanggung kos kewangan yang besar melalui pinjaman dari institusi kewangan yang mengenakan kadar faedah di antara empat peratus hingga enam peratus

“Kerajaan lama memindahkan kos ini kepada peneroka dengan mengenakan kadar faedah efektif sebanyak 3.8 peratus di atas pinjaman SH dan PDH. Kerajaan Pakatan Harapan telah berjanji untuk menghapuskan hutang tidak wajar bagi meringankan bebanan kewangan peneroka,” katanya.

Mohamed Azmin berkata bagi merasai denyutan nadi peneroka, kerajaan bersetuju menghapuskan kadar faedah di atas pinjaman SH dan PDH yang dibebankan kepada peneroka dengan bantuan kerajaan ini dianggarkan berjumlah RM2 bilion.

Tegasnya, kerajaan juga amat prihatin terhadap masalah perumahan generasi kedua FELDA (Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF)) yang terbengkalai sekian lama tanpa pembelaan daripada kerajaan lama.

“Sebagai sebuah kerajaan yang peduli generasi baru FELDA, Kerajaan Pakatan Harapan bertekad menyiapkan 4,794 unit rumah yang tahap kemajuannya 70 peratus dan ke atas. Untuk tujuan ini, kerajaan meluluskan sebanyak RM250 juta bagi tahun 2019,” katanya.

Sebelum ini Mohamed Azmin berkata Kertas Putih FELDA ini antara lain mencadangkan satu modal perniagaan baharu pengurusan ladang FELDA dan jaminan bantuan kebajikan bagi golongan peneroka tanah rancangan itu.

Draf Kertas Putih berkenaan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Jumaat lalu.

Mohamed Azmin berkata Kertas Putih FELDA penting bagi mendedahkan keadaan sebenar kewangan FELDA berdasarkan laporan audit forensik yang disediakan oleh sebuah firma audit bebas profesional.

Kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang meruncing agensi itu yang melebihi RM8 bilion. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Model perniagaan baharu dalam kertas putih Felda – Azmin

SEREMBAN, 9 APR: Kertas Putih Felda yang akan dibentangkan di Parlimen, Rabu ini, antara lain mencadangkan satu modal perniagaan baharu pengurusan ladang Felda dan jaminan bantuan kebajikan bagi golongan peneroka tanah rancangan itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, draf Kertas Putih berkenaan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Jumaat lalu.

“Perbincangan itu bukan sahaja memperhalusi masalah kekangan kewangan Felda tetapi langkah yang akan diambil untuk menjamin masa depan peneroka,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada ceramah Pakatan Harapan (PH) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata, Kertas Putih Felda penting bagi mendedahkan keadaan sebenar kewangan Felda berdasarkan laporan audit forensik yang disediakan oleh sebuah firma audit bebas profesional.

Katanya, peneroka harus tahu keadaan sebenar pengurusan lama yang menurutnya ‘curang’, tidak bertanggungjawab dan menyimpang jauh dari matlamat asal penubuhan Felda.

Kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin turut mempersoal tindakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan dan salah laku dalam pengurusan Tabung Haji.

Beliau berkata, masalah itu timbul sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional.

“Penyelewengan dalam Tabung Haji itu telah ditegur Bank Negara sebelum ini…Mengapa tatkala itu, Pemuda UMNO enggan bersuara, enggan mendesak untuk penubuhan RCI,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Felda perjelas pengurangan bayaran pinjaman sara hidup

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Keputusan mengurangkan bayaran Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil daripada RM1,500 sebulan kepada RM 1,000 sebulan tidak dapat dielakkan berdasarkan keadaan kewangan semasa Felda yang kritikal.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporatnya, Felda berkata, ia berhadapan cabaran kewangan bagi menjelaskan komitmennya sebanyak RM500 juta setahun bagi Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil peneroka.

Ia menarik perhatian bahawa sehingga kini Felda telah menggunakan dana dalaman sekitar RM7.5 bilion untuk membiayai pinjaman peneroka.

“Keutamaan Felda pada masa ini adalah untuk melunaskan tunggakan kepada kontraktor dan pembekal terutamanya koperasi kepunyaan peneroka yang terlibat dengan kerja-kerja operasi sawit seperti angkut dan tuai.

“Jika pembayaran kepada kontraktor dan pembekal ini lewat, produktiviti kebun serta pendapatan peneroka akan terjejas,” kata kenyataan itu.

Katanya, institusi kepimpinan peneroka seperti Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Kami Anak Felda (KAF) telah bersetuju bagi pelaksanaan penurunan kadar sara hidup kepada RM1,000 berdasarkan keupayaan kewangan Felda serta keputusan Lembaga Felda pada 13 Dis 2018.

“Dengan pengurangan ini, purata beban hutang peneroka bagi Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dapat dikurangkan daripada RM99,000 kepada RM71,000 bagi setiap peneroka yang telah mengambil pinjaman ini,” kata Felda.

Katanya lagi, pengurangan jumlah hutang peneroka ini akan membantu mengurangkan komitmen peneroka untuk membayar balik hutang kepada Felda iaitu daripada purata RM550 sebulan kepada RM390 sebulan.

Majlis Permuafakatan NGO Felda semalam dilaporkan menggesa pengurusan tertinggi Felda menarik balik pekeliling mengenai penurunan bayaran berkenaan. -BERNAMA