Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pertumbuhan industri takaful dijangka terus kukuh tahun ini

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Pertumbuhan industri takaful Malaysia dijangka terus stabil tahun ini, didorong oleh inisiatif serta sokongan daripada ekosistem kewangan Islam, kata Fitch Ratings.

Faktor lain termasuk pertumbuhan ekonomi yang kukuh yang mana agensi penarafan kredit mengunjurkan pada 6.7 peratus pada tahun 2021, peningkatan pendigitalan, kesedaran yang lebih tinggi dan kadar penembusan insurans hayat yang rendah.

Bagaimanapun, Fitch menjangkakan penembusan takaful akan terus meningkat, dirangsang oleh inisiatif kerajaan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah untuk membeli perlindungan insurans dan takaful di bawah skim ‘Perlindungan Tenang’.

Fitch berkata ekosistem kewangan Islam Malaysia yang rancak merangkumi bank Islam, syarikat patuh syariah, pengurus dana Islam dan industri halal turut mencari produk takaful yang mana bancasurans (bancassurance) adalah salah satu saluran pengedaran utama.

“Permintaan takaful muncul daripada terbitan sukuk yang merupakan lebih daripada 60 peratus terbitan domestik tertunggak dan sering dikaitkan dengan projek dan menginsuranskan aset asas.

“Syarikat takaful juga boleh melaburkan kecairan/mudah tunai mereka dalam sukuk yang pelbagai dan pilihan Islam yang lain,” katanya dalam satu nota hari ini.

Menurut Fitch, takaful Malaysia terus mendapat tempat di pasaran insurans semasa berlakunya penularan pandemik pada tahun 2020.

Industri ini menguasai 38 peratus daripada pasaran insurans hayat domestik pada separuh pertama 2020 berbanding 34 peratus pada tahun 2019, sementara akaun takaful am stabil pada 16 peratus daripada keseluruhan pasaran insurans am.

Ia mencatatkan pertumbuhan rendah tahun lepas berikutan penurunan caruman baharu di bahawa larangan pergerakan berkaitan pandemik, kata agensi penarafan kredit.

Oleh itu, sumbangan takaful keluarga kepada pertumbuhan keseluruhan berkurangan kepada dua peratus pada separuh pertama 2020 berbanding 25 peratus pada tahun 2019 sementara sumbangan takaful am hanya meningkat 0.6 peratus daripada 20 peratus.

Namun demikian, pertumbuhan takaful tetap stabil berbanding dengan sumbangan am dan insurans hayat, yang masing-masing menyusut masing-masing sebanyak 3.6 peratus dan 12.6 peratus, kata Fitch.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Perbankan Islam terus berkembang hadapi cabaran pandemik

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Sektor perbankan Islam Malaysia terus berkembang meskipun ekonomi pada masa ini berhadapan dengan cabaran berikutan penularan Covid-19, kata Fitch Ratings.

Malaysia juga terus menjadi pasaran perbankan, sukuk dan takaful Islam terbesar di Asean, katanya.

Agensi penarafan kredit itu berkata penguasaan pembiayaan Islam dalam sistem perbankan mencecah 37 peratus pada akhir 2020 berbanding 35 peratus pada akhir 2019.

“Pembiayaan Islam menyumbang hampir keseluruhan kepada pertumbuhan sektor perbankan pada 2020, dipacu oleh pembiayaan isi rumah dan bank yang mempromosikan produk Islam sebagai sebahagian daripada strategi “Islamic First”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2021, Fitch menjangkakan profil kredit sektor perbankan Islam kekal stabil dengan pemampan penyerapan kerugian yang mencukupi walaupun terdapat tekanan jangka pendek ke atas kualiti dan keuntungan aset.

“Kami turut menjangkakan rosot nilai kredit akan meningkat dan peruntukan kredit kekal tinggi berikutan moratorium pinjaman dan langkah-langkah bantuan pembayaran semula pinjaman lain yang disediakan kepada peminjam rentan yang telah menutupi kualiti aset asas bank pada 2020,” katanya.

Dalam tempoh sederhana, ia berkata kadar penembusan kewangan Islam kemungkinan meningkat disebabkan oleh pemulihan ekonomi dengan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar pada 6.7 peratus tahun ini, persekitaran peraturan yang menyokong pemulihan dan bank yang terus mempromosikan produk Islam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar kerajaan pulih taraf kredit dibangkit Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Dasar kerajaan dalam usaha memulihkan taraf kredit negara susulan keputusan Fitch Ratings menyemak turun penarafan kredit negara, antara isu yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang bakal diajukan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Kewangan.

Seterusnya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) pula meminta penjelasan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkenaan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini, berkait penyalahgunaan dana kerajaan oleh MIMOS Berhad.

Dalam sesi itu juga, Cha Kee Chin (PH-Rasah) bertanyakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai inisiatif atau skim di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk membantu peniaga dan usahawan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Cha turut bertanyakan sama ada SSM menyediakan sebarang bantuan bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, belia dan pelajar yang baru memulakan perniagaan.

Bagi sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan langkah kerajaan untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing melabur di Malaysia dan bertanyakan mengenai jumlah pelaburan yang diterima sektor pembuatan negara pada 2018 dan 2019.

Persidangan hari ini dijangka akan diakhiri dengan sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa dengan dua lagi kementerian bakal menggulung perbahasan.

Kementerian berkenaan ialah Kementerian Pendidikan disusuli Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Minggu terakhir sidang Dewan Rakyat ini bakal menyaksikan pengundian kali kedua Rang Undang-undang Perbekalan 2021, bacaan kali ketiga sebelum diluluskan dan dibawa ke Dewan Negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Malaysia perlukan kerajaan telus, hala tuju jelas

SHAH ALAM, 5 DIS: Malaysia memerlukan kerajaan yang komited pada agenda reformasi serta telus, inklusif dan mempunyai hala tuju jelas untuk keluar daripada krisis kesan Covid-19.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan hari ini membawa agenda mengelirukan dan ketidakstabilan yang merencatkan usaha pemulihan ekonomi.

“Kita masih belum tahu dari mana sumber dana bagi memperoleh vaksin Covid-19, dan kita juga belum pasti bagaimana kerajaan akan bangunkan semula tunjang ekonomi negara yakni perusahaan kecil dan sederhana yang rata-ratanya dalam kalangan Melayu dan Bumiputera yang terjejas teruk,” kata ketua pembangkang dalam kenyataan media.

Presiden KEADILAN berkata wabak Covid-19 menunjukkan Malaysia sebagai sebahagian daripada masyarakat global saling berkait dan berhubung termasuk kesihatan awam dan perdagangan.

Katanya tidak terkecuali juga berkenaan keselamatan modal, pengemudian tatakelola jelas dan tegas serta kemampuan Malaysia menjadi destinasi pelaburan terbaik mencorak jalan keluar daripada wabak.

“Membandingkan Malaysia dengan negara prestasi jauh lebih rendah daripada kita tidak tepat dan mengelirukan. Kita harus lihat Malaysia hari ini dengan era lalu di mana negara tercinta ini antara kuasa ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan digesa untuk mendepani kebimbangan akibat penurunan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) matawang asing jangka panjang Malaysia.

Katanya kenyataan balas menteri kewangan berkait semak turun penarafan IDR tersebut amat membimbangkan apabila gagal menjawab persoalan dan kebimbangan dilaporkan Fitch Ratings berkenaan kestabilan politik dan tatakelola.

Sebelum ini agensi penarafan antarabangsa itu menyemak turun IDR mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘ untuk pertama kali sejak krisis kewangan 20 tahun lalu.

Agensi itu dalam kenyataan media semalam berkata penurunan nilai IDR disebabkan Covid-19 yang menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal.

Fitch Ratings berkata metrik hutang kerajaan merosot disebabkan wabak berkenaan sekali gus dijangka melonjak hutang kerajaan kepada 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2 peratus pada 2019.

Penarafan IDR ‘BBB+’ disebabkan jangkaan lebihan akaun semasa mengecil kepada 3.4 peratus dari KDNK tahun depan berbanding 4.2 peratus tahun ini ketika tekanan import Malaysia disebabkan Covid-19 semakin reda dan langkah perbelanjaan kerajaan ke atas pembangunan infrastruktur.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Lebihan Di Era Anwar, Defisit Teruk Di Era Najib

audit

PETALING JAYA, 12 OKT : Malaysia dilaporkan menikmati belanjawan lebihan (surplus) antara tahun 1993 hingga 1997, iaitu semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Kewangan, kata Pengarah Eksekutif Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Beliau berkata, dalam tempoh itu negara berjaya mencatat lebihan RM6.6 bilion, iaitu nilai tertinggi yang pernah dicapai dalam bajet tahunan.

Bagaimanapun katanya, prestasi kewangan negara menjunam ke paras defisit yang teruk pada tahun 2009 semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Defisit paling teruk pernah dicatatkan pada tahun 2009 iaitu sejumlah RM47.4 bilion manakala dari segi peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah 9.7 peratus.

“Sejak 2009, kita lihat perbekalan tambahan paling kurang dua kali setahun hingga menyebabkan perbelanjaan keseluruhan meningkat hampir RM260 bilion sehingga kini,” katanya semasa sesi Forum Laporan Audit Negara : Kepincangan Urustadbir, Ketirisan dan Rasuah di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini malam tadi.

Laporan audit yang dibentangkan baru-baru ini menunjukkan beberapa pembaziran dan ketirisan melampau antaranya, projek menambahbaik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu; projek mewujudkan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; projek pembentungan negara dan kelewatan mengutip cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Agensi penarafan kredit, Fitch Ratings pada Ogos lalu turut meletakkan unjuran penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif serta mempersoalkan langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan terutamanya selepas berakhir pilihan raya baru-baru ini.

Azrul berkata, hutang negara kini mencecah RM500 bilion dengan peratusan KDNK sebanyak 35 peratus sehingga hujung tahun 2012.

Menurutnya lagi, tiada jaminan daripada Kerajaan Pusat untuk berbelanja secara berhemah kerana perbekalan tambahan dikeluarkan sekurang-kurangnya dua kali setahun sejak 2009.

“Kita akan sukar untuk kekalkan hutang negara di bawah 55 peratus pada setiap masa kerana tiada sebarang reformasi fiskal dilakukan oleh kerajaan,” katanya lagi.

PAS Desak Kerajaan Pusat Adakan Sidang Khas Parlimen Bincang TPPA

tppa

SHAH ALAM 5 OGOS : PAS mendesak Kerajaan Pusat supaya mengadakan sidang khas parlimen bagi membahaskan isu Perundingan perjanjian Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) yang bakal dimeterai Oktober ini.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbahasan isu itu perlu menjurus kepada sudut perlunya Malaysia harus mengundur diri dan menolak TPPA.

Katanya, perbahasan itu juga perlu disertai oleh bekas negarawan dan Gabenor Bank Negara serta institusi-institusi yang mempunyai kepakaran ekonomi.

“Ia perlu dilakukan sebelum keputusan dibuat ,jika tidak menjumpai sebarang alasan kukuh untuk menolaknya, barulah ia harus dibincang mengapa Malaysia harus menerima TPPA.

“Kerajaan Pusat harus menangguhkan perjanjian TPPA ini selagi TPPA tidak didebat secara menyeluruh dan difahami rakyat,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menambah penarafan kredit dunia, Fitch Ratings meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif dan penurunan nilai mata wang Ringgit secara mendadak sejak Umno-BN mendapat mandat selepas Pilihanraya Umum ke 13 lalu.

Katanya, ia membuktikan jelas tanda bahawa ekonomi negara belum bersedia dan kukuh untuk memasuki perjanjian TPPA.

Jelasnya, kedudukan ekonomi negara yang semakin lemah menyebabkan kerajaan tiada sebab yang cukup untuk berunding dan memastikan TPPA menguntungkan negara secara keseluruhannya.

“Tanpa kawalan modal dan penambatan mata wang sebagai senjata pertahanan ekonomi ketika diserang kapitalis-kapitalis dunia seperti di 1997.

“Negara akan mudah ditekan untuk menerima bantuan daripada institusi kewangan dunia seperti IMF, yang mana syaratnya bagaikan satu penjajahan moden terhadap negara kecil,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS bimbang kerana di dalam TPPA tertera sistem Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) di mana pelabur atau syarikat asing diberi kuasa untuk mengemukakan saman kepada kerajaan di mahkamah antarabangsa.

“Sekiranya krisis berlaku, dan nilai mata wang Ringgit jatuh mendadak, ketidakmampunan negara dan syarikat tempatan menanggung kos perbicaraan di Mahkamah Antarabangsa akan meningkat secara mendadak.

” Ini sangat tidak adil untuk negara-negara kecil yang memasuki TPPA ini.

“Setelah 18 kali berunding, kandungan TPPA masih tidak diketahui umum, dan lebih teruk lagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri terus membisukan diri,” katanya.