Categories
PENDAPAT RENCANA

Lindungi hutan imbangi ekosistem alam semulajadi

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 19 MAC: “Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, Dia dicemar manusia, yang jahil ketawa….”

Lirik lagu ‘Hijau’ nyanyian Zainal Abidin Mohamad ini terngiang-ngiang di fikiran penulis tatkala kaki melangkah ke Denai Salleh, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) sambil menikmati keindahan kehijauan sekeliling.

Denai Salleh ini mengambil nama Ketua Pengarah FRIM yang pertama, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor yang menyandang jawatan tersebut dari 1985 hingga 1995. Terdapat spesies pokok yang ditanam seawal tahun 1925 di Denai ini seperti pokok kapur, keladan, gaharu, merbau dan rotan.

Kunjungan ke FRIM pada pagi Rabu itu membuatkan penulis terkesima dengan persekitaran kawasan hutan yang terpelihara rapi setelah sekian lama ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020.

“Sebelum PKP, daun kering akan terkumpul di tepi lorong dan dahan kecil pokok memang tidak akan kelihatan sepanjang lorong pejalan kaki,” kata jurupandu FRIM, Edi Hermi Muhammad Ramli, ketika penulis asyik meneliti laluan jejak Denai Salleh yang dipenuhi hamparan daun kering.

Ketua Pengarah FRIM, Dr Khali Aziz Hamzah yang turut serta dalam sesi trekking itu bersama kami turut bersetuju dengan kenyataan tersebut, sambil memperkenalkan kepada penuilis spesies pokok hutan hujan yang ada di sekitar Denai Salleh itu.

Dr Khali Aziz Hamzah (kiri) menunjukkan pokok yang terdapat di FRIM ketika ditemui baru-baru ini sempena Hari Hutan Antarabangsa 2021. Foto: BERNAMA

“Hikmah PKP, hutan simpan dan penyelidikan jarang dikunjungi orang ramai menyebabkan ia dapat ‘berehat’ seketika, sekali gus menarik kunjungan hidupan liar dan pelbagai jenis burung yang mampu mengekalkan ekosistem,” katanya kepada Bernama.

Menariknya, sepanjang kira-kira 20 minit perjalanan, kami disajikan dengan fenomena crown shyness yang terhasil daripada silara (rimbunan daun pada atas pokok) pokok kapur (Dryobalanops aromatica) yang tidak bersentuhan antara satu sama lain, seakan-akan mengamalkan penjarakan sosial.

Menurut Edi Hermi, pemandangan seperti teka-teki jigsaw di langit ini merupakan salah satu tarikan yang paling terkenal dalam FRIM dan menarik perhatian Saluran Televisyen Amerika, National Geographic (NatGeo) untuk mengabdikannya di dalam portal berkenaan.

“Pokok kapur mempunyai batang berbentuk silinder yang lurus dan boleh mencapai ketinggian sehingga 60 meter yang disokong dari bawah oleh banir yang kadangkala mencapai beberapa meter tinggi,” jelasnya.

Permit rentas hutan

Biarpun ketika itu jarum jam sudah menunjukkan jam 12 tengah hari, kami tidak berasa bahang terik matahari kerana terdapat ratusan pohon besar memayungi sebahagian hutan.

Bagi yang tidak biasa merentas atau mendaki hutan, denai hutan ini sudah memadai sebagai aktiviti permulaan kerana laluannya begitu teratur, dibina tangga dan lengkap dengan penunjuk arah.

Terletak di kawasan seluas 545 hektar bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong di Kepong, sebelum PKP dikuatkuasakan, orang ramai sering menjadikan FRIM sebagai kawasan rekreasi terutamanya pada hujung minggu.

Menurut Khali, sebarang pendakian bukit ataupun merentas hutan, tidak kira ke FRIM mahupun mana-mana hutan-hutan simpan atau rekreasi haruslah mendapatkan permit kebenaran masuk daripada pihak berkaitan.

Malah kakitangan FRIM sendiri, kata beliau, perlu memohon permit masuk untuk menjalankan penyelidikan dalam hutan simpan atau rekreasi dari Jabatan Perhutanan Negeri.

“Semua jenis lawatan ke FRIM juga sebenarnya memerlukan kebenaran sama ada dalam bertulis ataupun tiket, meskipun hanya untuk rekreasi ataupun berjoging.

“Prosedur ini penting bukan sahaja untuk melindungi persekitaran alam semulajadi, tetapi bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya sambil memberi contoh kejadian seorang pengunjung tersesat ketika melakukan aktiviti jungle trekking di denai alam FRIM, dua tahun lepas.

Beliau menambah, sebarang kegiatan jungle trekking perlu ada jurupandu alam (nature guide) bertauliah bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan daripada vandalisme berlaku di dalam hutan.

“Berikutan Covid-19 dan PKP, jumlah pendaki perlu dihadkan dan syarat wajib untuk menggunakan khidmat jurupandu juga boleh ditetapkan bukan sahaja untuk keselamatan, tetapi juga memberi pendedahan dan pendidikan kepada pendaki mengenai kepentingan ekosistem hutan kepada manusia,” katanya.

Khali berkata, pemasangan CCTV adalah antara langkah bagi memastikan keselamatan pengunjung di hutan pendidikan dan rekreasi, selain mengelakkan vandalisme harta benda awam.

“Walau bagaimanapun, pendidikan alam sekitar sangat penting bagi memberi kesedaran kepada pengunjung tentang penjagaan hutan, terutamanya terhadap pengambilan hasil hutan kerana ia akan merosakkan ekosistem.

“Kesalahan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran itu adalah tertakluk kepada Subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Hutan simpan penyejuk suhu bandar

Pembangunan bandar dan penempatan secara tidak langsung mengurangkan kawasan hijau dan hutan sebagai penyimpan khazanah alam semulajadi.

Khali yang menegaskan perkara ini berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan terus berusaha mewartakan kawasan hijau dan hutan rimba sebagai hutan simpan kekal bagi mengekalkan ekosistem dan menurunkan haba bandar akibat pembangunan pesat.

“Secara keseluruhannya, kira-kira 12.7 juta hektar hutan simpan diwartakan di seluruh negara. Bagi hutan pendidikan pula sebanyak 128 kawasan merangkumi 123 Taman Eko Rimba dan lima hutan taman negeri,” katanya.

Beliau menambah, suasana persekitaran hutan simpan yang dikelilingi pokok hutan hujan tropikal turut berupaya menurunkan haba dan menyerap gas karbon yang dihasilkan oelh kenderaan dan kilang di sekitarnya.

“Pokok dari kawasan hutan simpan dan pendidikan di bandar juga mampu menyerap bau serta gas tercemar, serta menapis partikel terampai yang melekat di daun dan batang pokok.

“Menurut kajian, dalam 0.4 hektar pokok yang matang berfungsi menyerap karbon dioksida yang dikeluarkan oleh 26,000 batu kereta secara puratanya dan sebatang pokok yang matang mampu menyerap 21.8 kilogram karbon dioksida setahun,” katanya.

Khali berkata selain pemeliharaan hutan simpan, kerajaan juga menggerakkan usaha penghijauan negara melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan selama lima tahun bermula tahun 2021.

“Kewujudan kawasan hijau di bandar berupaya menyumbang kepada kesejahteraan bandar, selain berperanan sebagai lokasi untuk aktiviti riadah dan rekreasi, serta medium aktiviti kemasyarakatan.

“FRIM menyokong sepenuhnya tindakan PBT dan kerajaan negeri bagi menjayakan kempen penanaman pokok di jalan-jalan dan bangunan bandar, seiring dengan prinsip asas dalam arborikultur iaitu ‘Tanam pokok yang sesuai di tempat yang sesuai’ (Plant a right tree at a right place),” katanya.

Menurut beliau, terdapat kira-kira 20 spesies pokok teduhan dan hiasan yang berpotensi dijadikan sebagai pokok ameniti pilihan untuk ditanam di dalam kawasan bandar.

“Antara pokok yang sesuai ditanam di kawasan bandar termasuklah jemerlang (Yellow flame), penaga lilin (Mesua ferrea), bunga tanjung (Mimusops elengi), dan geronggang (Cratoxylum formosum).

“Penanaman pokok di bandar adalah bagi mengindahkan jalan-jalan dan bangunan, memberi teduhan, mengurangkan silauan matahari, merendahkan suhu dan mengurangkan pencemaran udara,” katanya.

Beliau berkata, peranan Arborist atau ‘doktor pokok’ juga penting dalam memastikan pokok yang ditanam di sekitar bandar mendapat penjagaan rapi dari segi pemindahan pokok, pemangkasan, pengurusan risiko, pencegahan kerosakan akibat cuaca dan kesuburan pokok.

“Ia juga bagi mengelakkan daripada pokok tumbang akibat terlalu tua dan cuaca tidak menentu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

FRIM jadi tapak warisan dunia, dokumen pencalonan dihantar 2022

SHAH ALAM, 16 JULAI: Proses mewartakan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai tapak warisan dunia masih di peringkat pencalonan, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata Jabatan Warisan Negara sudah menghantar dokumen ‘Tentative List’ kepada UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu) pada 31 Januari 2017.

“FRIM kini dalam proses menyediakan ‘dossier’ lengkap pencalonan dan kita jangka akan dihantar kepada UNSECO menjelang 2022,” katanya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

FRIM terletak di kawasan seluas 545 hektar bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong di Kepong, kira-kira 16 kilometer di barat laut dari Kuala Lumpur.

Ia diwartakan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi Negara pada 10 Februari 2009 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan diisytiharkan sebagai warisan kebangsaan.

Kini, FRIM sedang menuju ke arah pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Categories
EXCO SELANGOR

FRIM terus perhebat program kesedaran alam sekitar – EXCO

KEPONG, 5 NOV: Sebanyak 64 program atau projek kesedaran alam sekitar diluluskan Kerajaan Negeri kepada 27 agensi di Selangor sepanjang tahun ini, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, berkata, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) antara salah sebuah agensi yang diberi kelulusan serta peruntukan bagi melaksanakan tiga program kesedaran alam sekitar.

Katanya, program itu termasuk ‘The Nightlife at FRIM’, ‘Kenali Spesies Dipterokarp’ dan kem pendidikan alam sekitar ‘Kenali Khazanah Hutan’ yang akan diadakan akhir bulan ini sempena cuti persekolahan.

“Kesemua program ini adalah salah satu cabang komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) yang berperanan mewujudkan kerjasama serta perubahan dalam masyarakat.

“Mesej pemuliharaan yang diselitkan menerusi program sebegini boleh dijadikan asas kesedaran kepada murid-murid,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada program Pendidikan Alam Sekitar bertemakan ‘Kenali Spesies Dipterokarp: Ikon Hutan Tanah Pamah Kita’ di Kem Perah, FRIM, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abdul Latif Mahmod; Pengarah Bahagian, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Dr Ismail Parlan; Ketua Program, Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar, Dr Noor Azlin Yahya serta Pegawai Pendidikan Daerah Gombak, Sajoli Masdor.

Terdahulu, program pendidikan alam sekitar memasuki edisi keempat itu dijayakan kira-kira 32 pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong, SMK Taman Ehsan, SMK Bukit Gading dan SMK Seri Kundang.

Sementara itu, Abdul Latif berkata, pihaknya komited mengembangkan manfaat kawasan berkenaan bagi tujuan kesejahteraan masyarakat melalui ekopelancongan dan pendidikan alam sekitar walaupun FRIM dikenali sebagai sebuah institusi penyelidikan,

“Program kesedaran dilaksanakan berpandukan modul pendidikan alam sekitar yang dibangunkan oleh Hutan Bandar FRIM bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan keunikan dan sumbangan spesies kaum damar terhadap hidupan sejagat.

“Aktiviti berteraskan kesedaran alam sekitar sentiasa kita laksanakan seperti lawatan berpandu ke denai alam, aktiviti penanaman pokok melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR), pameran dan sambutan Hari Hutan Antarabangsa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

FRIM pilih UKM bantu pencalonan Tapak Warisan Dunia UNESCO

SHAH ALAM, 2 SEPT: Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), bagi membantu proses pencalonan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, projek (pencalonan) itu akan melalui tiga fasa dan akan dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan.

“Fasa pertama adalah penyelidikan perundangan, UKM akan membuat perbandingan berhubung tapak warisan UNESCO lain bagi mendedahkan FRIM terhadap isu yang akan dihadapi apabila mendapat status itu.

“Data penyelidikan akan dianalisis dan diterbitkan serta dirujuk sebagai ‘dossier’ pencalonan FRIM bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Pelan Pengurusan Pemuliharaan tapak warisan FRIM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UKM dan FRIM, baru-baru ini.

Dr Abdul Wahab berkata, fasa kedua adalah penyediaan undang-undang kecil bagi pemerkasaan perundangan FRIM yang dilihat masih mempunyai kepincangan.

“Untuk fasa terakhir, penyelidik UKM akan menyediakan modul latihan dan mengadakan sesi latihan kepada pegawai penguat kuasa serta pentadbiran FRIM berhubung perundangan berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mahmod berkata, implementasi aspek perundangan melalui penggubalan undang-undang kecil tapak warisan perlu bagi menjamin kecekapan pengurusan dan pemuliharaan hutan warisan supaya terhindar daripada ancaman serta halangan.

“Harapan dan impian saya adalah bagi memastikan FRIM menjadi kawasan bersejarah bukan sahaja sebagai ‘the biggest forest’ tetapi satu-satunya harta yang perlu dilindungi.

“Terima kasih kepada UKM kerana sanggup mengambil inisiatif ini bersama FRIM untuk memastikan projek ini berjaya,” katanya.

Categories
NASIONAL

FRIM sedia tawar kepakaran bantu industri hutan Sarawak

KUCHING, 26 JUN: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sedia menawarkan kepakaran, perkhidmatan dan hasil penyelidikannya bagi membantu industri perhutanan Sarawak ke arah penggunaan sumber-sumber berasaskan hutan secara lestari.

Sebagai permulaan, FRIM menganjurkan program Bicara Teknologi FRIM dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak bersama lebih 100 peserta termasuk syarikat pengusaha konsesi kawasan pembalakan, syarikat pengusaha berasaskan kayu seperti kilang papan, papan lapis, pengeringan kayu dan perabot​​​​​​ di Kuching hari ini.

Dalam ucapan aluan Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod yang disampaikan oleh Timbalan Bahagian Operasi FRIM, Dr Khali Aziz Hamzah berkata FRIM bersedia menjadi perantara dalam menyediakan inovasi dan solusi ke arah memastikan sumber yang dihasilkan daripada pengurusan hutan secara berkekalan dapat diguna pakai semaksimum mungkin.

“Lanjutan daripada itu, diharap sektor perhutanan akan terus memberikan sumbangan dan impak yang positif ke arah perkembangan ekonomi negeri, wilayah dan negara,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Bicara Teknologi FRIM di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datuk Dr Wan Lizozman Wan Omar yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, Dr Samsudin Musa.

Pada majlis itu, para peserta mengadakan perbincangan dengan pakar penyelidik FRIM dan Jabatan Hutan Sarawak mengenai hasil kajian, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Pakar penyelidikan FRIM turut membuat pembentangan pelbagai topik antaranya ‘Biodiversiti, Perhutanan dan Alam Sekitar’; ‘Bioteknologi Perhutanan, Hasilan Semula Jadi, Ekonomi dan Analisis Strategik’ dan ‘Keluaran Hutan’.

Sesi padanan perniagaan turut diadakan untuk perbincangan lanjut antara peserta dengan penyelidik FRIM.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

UNESCO: Pencalonan FRIM, PKGS 2021 & 2022

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 DIS: Pencalonan tapak Warisan Dunia bagi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) akan dilaksanakan pada 2021 dan 2022 berdasarkan kepada perancangan serta carta perbatuan.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, kerja penyediaan ‘dossier’ bagi kedua tapak terbabit sedang dipergiatkan ke arah tapak warisan dunia UNESCO.

Katanya, ‘dossier’ adalah dokumen utama yang disediakan bagi mengangkat kedua tapak ini, sekali gus memartabatkan khazanah warisan negara ke peringkat antarabangsa.

“Ia dilihat penting dalam memberi penerangan berhubung kepentingan sesuatu tapak, selain menjelaskan nilai sejagat luar biasa (OUV) tapak berkenaan.

“Selain mengandungi butir-butir tapak, ‘dossier’ mempunyai justifikasi pencalonan dan tatacara perlindungan, pengurusan serta pengekalan integriti tapak tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan sesi soal jawab bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Selaras dengan itu, Abdul Rashid berkata, PLANMalaysia@Selangor, JWN dan FRIM mengadakan persidangan Tapak Warisan Selangor, pada 14 hingga 15 November lalu bersempena usaha pencalonan Sistem Warisan Dunia (WSH UNESCO) bagi kedua tapak terbabit.

“Persidangan ini sebagai perkongsian ilmu hasil penemuan kajian saintifik membabitkan fakta OUV dan menjadi platform kerjasama demi mengukuhkan proses pengiktirafan ini.

“Selain itu, ia sebagai hebahan untuk mempromosi tapak warisan selangor ke arah tapak warisan dunia, UNESCO,” katanya.

Katanya, pihak jabatan terbabit diminta mempercepatkan proses pengiktirafan itu supaya dapat dipromosi dan dijadikan salah satu destinasi pelancongan bertaraf dunia, pada masa akan datang.