Categories
AGENDA NASIONAL

Guru guna unsur jenaka tarik minat belajar dalam talian

SHAH ALAM, 28 APRIL: Seorang guru menggunakan elemen jenaka untuk mendidik pelajar dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muhd Zahiruddin bin Abdul Wahab, 34, yang mengajar subjek sains di sebuah sekolah menengah memilih imej samaran wajah seperti koboi, kartun dan adiwira.

Muhd Zahiruddin menggunakan imej koboi ketika mengajar dalam talian

“Pembelajaran tidak boleh terlalu serius. Kalau terlalu serius murid tidak seronok, jadi unsur jenaka perlu ada dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Pada masa sama, pembelajaran juga akan mencapai objektif,” katanya kepada SelangorKini.

Guru yang berasal dari Pulau Pinang itu berkata perkara berkenaan turut dilakukan guru lain yang memiliki cara kreatif bagi menarik minat pelajar.

“Semoga usaha kecil ini membolehkan pelajar tidak tercicir dalam pelajaran dan semoga anak bangsa kita menjadi orang yang berjaya,” katanya.

Pada 27 Mac lalu, Kementerian Pendidikan menyediakan garis panduan untuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar menjalankan pembelajaran dalam talian semasa PKP menggunakan Google Classroom dan Microsoft Team.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

PKP: Susun jadual guru, elak beban murid

SHAH ALAM, 12 APRIL: Pengurusan sekolah dan guru dinasihatkan supaya tidak membebankan murid dengan tugasan sekolah yang terlalu banyak dalam sehari, kata timbalan pengarah sektor pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor

Datin Nor Faridah A Bakar berkata mereka perlu memastikan jadual tugas guru disediakan dan disusun dengan baik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

“Jadual untuk guru perlu disusun supaya dalam sehari jangan sampai lima hingga enam subjek kerja sekolah diberikan kepada murid.

“Kita tidak boleh ikut jadual waktu sekolah biasa, mungkin dalam sehari ada dua subjek sahaja diberi supaya murid boleh sempat siapkan kerja sekolah dan hantar semula kepada guru mengikut waktu ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, beliau berkata guru yang membuat kelas dalam talian menerusi google classroom tidak harus rasa kecewa atau kurang motivasi sekiranya kehadiran murid tidak penuh.

“Kita perlu ambil tahu apa masalah dihadapi murid kita, mungkin ada keluarga hanya mempunyai satu sahaja komputer riba di rumah, jadi berebut, ibu nak guna untuk kerja, bapa nak guna, jadi guna kaedah atau medium lain untuk capai murid mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL

Guru perlu latihan khusus kendali kes disiplin mirip jenayah

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Golongan guru perlu diberi latihan khusus untuk mengendalikan kes disiplin di sekolah yang mirip kepada perlakuan jenayah, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock.

Beliau berkata perkara itu penting bagi mengatasi masalah disiplin pelajar yang dilihat semakin membimbangkan pada masa kini.

“Kes mirip kepada jenayah ini seperti membuli, mencuri, salah laku seksual, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Jika dahulu perkara ini kurang berlaku tetapi sekarang fenomenanya berbeza kerana masyarakat lebih kaya serta berkemampuan dan perkara itu sendiri wujud dalam masyarakat yang akhirnya membawa kepada kes jenayah di sekolah.

“Oleh itu, sangat penting bagi seorang guru diberi latihan dan pendedahan bagi mengendalikan kes-kes berkenaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama di sini malam tadi.

Harry Tan berkata seseorang guru itu perlu diberi pendedahan dari segi undang-undang dan memiliki pengetahuan bahawa perkara dilakukan seperti memberi hukuman kepada pelajar atas kesalahan tertentu, tidak menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata dua perkara yang perlu diambil berat oleh guru dalam proses pembelajaran adalah mengenai pendidikan psikologi dan sosial.

“Apabila seseorang guru itu mendidik, dua perkara itu perlu ada, tetapi sekarang masyarakat hanya fokus untuk pelajar nak dapat ‘A’. Oleh itu guru akan lebihkan kepada bagaimana nak bagi pelajar dapat ‘A’, jadi perkara seperti itu (pendidikan psikologi dan pendidikan sosial) dibelakangkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata beberapa perkara perlu ada bagi seorang guru dalam membentuk peribadi dan menangani disiplin pelajar.

Beliau berkata antaranya ialah melalui sikap mencegah dengan cara merancang aktiviti dalam kelas bagi menghindarkan pelajar melakukan perkara tidak sihat, perlu selalu memberi sokongan kepada pelajar dan sentiasa membetulkan disiplin mereka, jelasnya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kajian: Guru tetap disanjung walaupun sistem pendidikan dikecam

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Para guru masih tetap dipandang tinggi dan dihormati rakyat Malaysia, walaupun sistem pendidikan negara sentiasa mendapat kecaman.

Prof Datuk Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menjalankan kajian berhubung keyakinan rakyat terhadap guru mendapati, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan umur menyanjung dan menghormati profesion perguruan.

“Ini adalah satu kejutan kerana terdapat kebimbangan mengenai persepsi umum mengenai sistem pendidikan yang merosot di Malaysia,” katanya yang menjalankan kajian dengan rakan penyelidikan Azrul Hisyam Wakichan.

Kajian yang bermula pada 2016 hingga suku pertama 2019 itu adalah sebahagian daripada kajian berterusan berhubung isu semasa negara untuk mengukur sentimen rakyat berkenaan kepentingan nasional.

Keputusan itu adalah daripada temu ramah bersemuka dengan 6,914 responden berumur 21 hingga 51 tahun.

Sehingga 80 peratus responden dari pelbagai kaum dan kumpulan umur menyatakan keyakinan kuat mereka dalam profesion perguruan.

“Berjuta-juta generasi muda Malaysia pergi ke sekolah dan keluarga mereka menyerahkan takdir anak-anak mereka dalam pendidikan kepada guru. Mereka menyedari bahawa masa depan anak-anak mereka terletak pada guru yang baik dan pengorbanan yang dilakukan golongan pendidik ini.

“Terdapat guru yang berkorban dengan mengajar di kawasan pedalaman dan mempunyai kemudahan yang terhad.

“Gaji mereka mungkin tidak tinggi tetapi pengorbanan yang mereka sumbangkan kepada negara dan anak bangsa tidak ternilai,” kata Syed Arabi, mengapa kerjaya sebagai pendidik masih tetap dipandang tinggi oleh masyarakat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu beban kerja guru akan diselesai berperingkat-NUTP

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Isu bebanan tugas yang menghimpit golongan guru di negara ini akan diselesaikan secara berperingkat, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pihak kesatuan sudah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Kementerian Pendidikan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu berkenaan.

“Dalam isu ini pihak kementerian menggariskan beberapa inisiatif membabitkan tiga fasa, iaitu yang boleh diselesaikan dalam jangka masa pendek, sederhana dan jangka masa panjang. Jadi harap guru dapat bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan rancangan Ruang Bicara yang disiarkan Bernama News Channel yang bertajuk: Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi, malam tadi.

Isu berkenaan sebelum ini mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang menggariskan lima inisiatif dan sembilan intervensi bagi mengurangkan beban tugas guru, yang mula dilaksanakan awal tahun ini.

Kesemua inisiatif itu diperkenalkan memastikan proses pengajaran yang mementingkan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan bukannya menjadikan pekerjaan mulia itu sesuatu yang menyeksa dan membebankan.

Aminuddin dalam pada itu menafikan guru yang membangkitkan isu beban kerja berlebihan itu sebagai malas, sebaliknya memahami kerja tambahan itu menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan masa lebih banyak dengan pelajar dalam kelas.

“Kita sudah mendengar amanat sempena Hari Guru yang disampaikan Menteri (Pendidikan) Dr Maszlee bahawa isu ini akan diselesaikan. Saya harap para guru akan bersabar menanti detik (perubahan) kerana ia tidak boleh dibuat dalam sekelip mata,” katanya.

Maszlee ketika sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang semalam berkata, beberapa inisiatif sedang dilakukan bagi menambah baik tugas para guru di sekolah.

Ia termasuk menghentikan pelaksanaan audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2), isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur ICT, pengoptimaan perjawatan serta pengisian sumber manusia di sekolah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Kerajaan cadang beri insentif kepada guru lanjutan pelajaran peringkat sarjana dan PHD

GEORGE TOWN, 16 Mei: Kementerian Pendidikan bercadang untuk memberikan insentif kepada guru-guru yang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung cadangan itu.

“Untuk jangka masa panjang, kita sedang merangka dan berbincang dengan pihak JPA. Saya juga akan minta pertolongan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan ini,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kementerian telah menggariskan beberapa inisiatif jangka sederhana dan panjang bagi menambah baik tugas para guru di sekolah.

Maszlee berkata, bagi inisiatif jangka sederhana yang bermula seawal Januari sehingga hujung tahun ini, kementerian telah menyenaraikan beberapa isu antaranya pelaksanaan audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) telah dihentikan.

Menurutnya pihak sekolah hanya perlu melaksanakan audit kendiri bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan masing-masing.

“Fasa semakan dan penilaian kendiri dibuka dua kali setahun iaitu pada bulan Januari hingga Mac (Fasa 1) dan Ogos hingga November (Fasa 2) berbanding tiga kali sebelum ini. Sistem online sentiasa dibuka untuk dikemas kini dan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata bagi isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah, bermula tahun ini pengawasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilaksanakan secara dua fasa pada Oktober dan November semasa waktu persekolahan.

Bagi memenuhi keperluan penggantian guru bercuti, cuti bersalin dan cuti sakit melebihi 28 hari, beliau berkata, peruntukan sebanyak RM35.2 juta telah disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri bagi membolehkan sekolah menggunakan khidmat guru ganti.

Sementara itu, Maszlee berkata, kementerian juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang yang melibatkan isu yang lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur ICT, pengoptimaan perjawatan serta pengisian sumber manusia di sekolah.

“Bagi inisiatif jangka panjang pula selewat-lewatnya akan dilaksanakan hujung tahun ini, beberapa inisiatif telah dirangka termasuklah mengatasi masalah guru terpaksa keluar atas beberapa faktor sehingga menyebabkan mereka sukar memberikan penumpuan dalam bilik darjah.

“Prosedur operasi standard keselamatan guru juga telah siap disemak dan digubal secara menyeluruh, antara inisiatif yang akan diberikan adalah Perlindungan Insurans Guru yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin mengetuai bacaan ikrar. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Guru perlu bersedia tempuh cabaran revolusi industri

GEORGE TOWN, 13 MEIl Para guru disaran untuk sentiasa bersedia menempuhi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) seiring dengan era globalisasi.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, guru perlu berani membuat perubahan dan mempunyai daya kreativiti serta inovasi yang tinggi mengikut perkembangan teknologi semasa.

“Dalam persekitaran pendidikan yang kaya ICT atau ‘ICT rich environment’, para guru harus memainkan peranan utama sebagai ejen perubahan. Begitu jugalah daripada pihak pengurusan sekolah.

“Mengintegrasi dan membudayakan ICT pada setiap kesempatan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah mampu mempengaruhi minat dan keupayaan untuk mengubah amalan pengajaran dan pembelajaran sedia ada serta membawa amalan tersebut ke peringkat yang lebih berkualiti,” katanya berucap merasmikan Festival Guru Malaysia 2019, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

Maszlee berkata teknologi mudah alih generasi kelima atau 5G sering diperkatakan pada masa kini walapun teknologi 5G itu hanya akan dilancarkan di negara ini menjelang 2021 atau 2022.

Justeru, beliau berharap para guru bersedia untuk memanfaatkan teknologi 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan persediaan yang diperlukan untuk melaksanakannya.

“Kemudahan teknologi 5G ini yang bakal menawarkan kelajuan data lebih pantas akan memberi peluang kepada rakyat untuk menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi dengan lebih berkesan sekali gus memberi nilai tambah kepada taraf hidup mereka termasuklah dalam bidang pendidikan,” katanya.

Mengulas mengenai festival itu, Maszlee berkata penganjuran festival tahunan itu adalah satu platform bagi menyebarluaskan maklumat terkini berkaitan teknologi dan amalan baik dalam sistem pendidikan yang semakin dinamik dan berubah mengikut arus zaman.

“Di samping itu, ia tentunya menjadi saluran terbaik dalam memperkasa aspirasi kerajaan untuk meningkatkan aksesibiliti dan ekuiti pendidikan di dalam usaha menjadikam Malaysia sebagai hab pendidikan dan membangunkan masyarakat berilmu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Belanja 80 peratus gaji untuk orang miskin, guru terima RM4 juta

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 27 MAC: Seorang guru dari pedalaman Kenya menerima anugerah US$1 juta (RM4 juta) kerana bermurah hati membelanjakan 80 peratus gajinya untuk orang miskin.

Peter Tabichi menerima wang itu daripada yayasan pendidikan Varkey Foundation dari London melalui Hadiah Guru Sejagat pada Ahad lalu di Dubai, lapor CNN.

Guru matematik dan fizik itu, mengajar di Kampung Pwani yang terletak 184 kilometer di barat laut Nairobi, berbekal sebuah komputer dan sambungan internet yang lemah.

Nisbah murid dan guru di sekolah itu sangat besar iaitu 58 orang bagi setiap tenaga pengajar. Kebanyakan murid pula daripada keluarga miskin dan sebahagian mereka adalah anak yatim.

Menurut maklumat Tabichi di lamab sesawang yayasan terbabit, beliau mengambil bahan pengajarannya melalui kafe siber.

Sebagai guru pembimbing kelab sains di sekolahnya, beliau berjaya membantu muridnya memenangi pertandingan kebangsaan dan antarabangsa.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Kementerian Pendidikan lulus 4,525 permohonan pertukaran guru

PUTRAJAYA, 13 NOV: Kementerian Pendidikan meluluskan sebanyak 4,525 permohonan pertukaran guru bagi sesi Januari 2019, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

Menurutnya, jumlah itu adalah daripada 25,332 guru yang telah membuat permohonan pertukaran yang dibuka sekali setahun menggunakan sistem Module-GTukar dari 18 Februari hingga 25 Mac lepas.

“KPM (Kementerian Pendidikan) memproses kesemua permohonan dengan mengambil kira alasan dikemukakan oleh pemohon berdasarkan wajaran seperti yang ditetapkan dalam Module-GTukar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amin berkata keputusan terhadap kelulusan pertukaran tersebut dimuktamadkan oleh sebuah Jawatankuasa Pertukaran Guru di peringkat Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, alasan tertinggi yang diberi kelulusan ialah kes mengikut pasangan iaitu seramai 1,756 orang (38.81 peratus).

 

Ini diikuti kes tempoh berkhidmat di sesebuah negeri iaitu seramai 1,030 orang (22.76 peratus), lain-lain alasan munasabah pula seramai 814 orang (17.99 peratus), kes permohonan bersama seramai 663 orang (14.65 peratus), kes sakit kronik seramai 222 orang (4.91 peratus) dan kes ancaman keselamatan seramai 40 orang (0.88 peratus), katanya.

Amin berkata proses kelulusan pertukaran seseorang guru adalah berdasarkan kepada tiga kriteria utama iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen di sesebuah sekolah di negeri yang dimohon.

“Perlu diperjelaskan juga bahawa dalam membuat pertimbangan terhadap pertukaran guru dan kebajikan mereka, KPM juga perlu memberi keutamaan terhadap kebajikan dan kepentingan pembelajaran murid,” katanya.

Beliau berkata KPM berharap agar guru-guru yang belum berjaya dalam urusan pertukaran meneruskan perjuangan dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi mendidik anak bangsa.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu kurang guru di bandar serius – Maszlee

KLUANG, 22 JULAI: Isu kekurangan guru di bandar utama kian meruncing, terutama di Johor dan Selangor ekoran ramai memilih kembali ke negeri asal untuk bertugas.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kecenderungan guru bertugas di kampung halaman sendiri ekoran peningkatan kos sara hidup, di bandar.

“Masalah itu berlaku di bandarseperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Shah Alam, justeru kementerian sedang meneliti apakah penyelesaian terbaik supaya guru tidak meninggalkan tempat.

“Mungkin ada beberapa inisiatif akan diusahakan, termasuk menaikkan elaun kos sara hidup atau meramaikan lagi anak tempatan menjadi guru tetapi semuanya dalam peringkat kajian,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian dan Penyampaian Sijil Siap Kerja bagi Pembinaan Sekolah Daif Fasa 1 2018 Negeri Johor, di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam di Kluang, hari ini.

Pada masa sama, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, pihaknya akan menggandakan usaha untuk memastikan sekolah daif dinaik taraf dan projek bagi pembinaan baru segera disiapkan.

Berdasarkan stastistik kementerian pada 2017, terdapat 120 sekolah daif dikenal pasti di seluruh negara dengan 60 daripadanya di Semenanjung Malaysia dan masing-masing 30 di Sabah juga Sarawak.

Bagaimanapun dengan peruntukan pada 2018, lebih daripada 20 sekolah itu siap dibina baru atau dibaik pulih melalui fasa pertama projek.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sekolah penyumbang besar sahsiah anak bangsa – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG, 12 JUL: Sekolah adalah penyumbang terbesar kepada pembentukan sahsiah anak bangsa, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, Kerajaan Negeri sering memberi perhatian serius dalam aspek pendidikan melalui Jawatankusa Pembangunan Pendidikan Negeri.

“Kita perlu memberi tumpuan kepada teknikal vokasional kerana ia aspek penting pembangunan negara, dan sepatutnya pelajar tidak perlu menjadi seperti ‘robot’.

“Sebaiknya mereka perlu diberi pendidikan kreatif dan kritis serta menguasai pelbagai bahasa, ini membolehkan mereka berkeyakinan dan mencerminkan identiti nasional.

“Di sini kita lihat peranan pendidik amat mustahak, oleh itu jangan sesekali abaikan sekolah yang dianggap sebagai taman ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian ketika Konvensyen Pendidikan Kebangsaan ke-24, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan ke-36 di Hotel Summit USJ.

Hadir sama hampir 300 guru besar dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Amirudin berkata, dunia pendidikan berkembang maju akibat perubahan globalisasi dengan internet di hujung jari.

Katanya, ia sekaligus menyebabkan manusia segenap lapisan memperolehi maklumat sekelip mata termasuk pelajar.

“Dahulu pelajar lebih tertumpu mengunakan buku teks namun kini semuanya lebih mudah dengan internet, dan disebabkan itu Kerajaan Selangor komited dengan menyediakan kemudahan internet percuma dan ia memudahkan pelajar.

“Sehingga kini Kerajaan Negeri sudah menyediakan 2,500 hotspot di seluruh Selangor, kita perlu tahu teknologi adalah gerbang ilmu pengetahuan paling dahsyat pada waktu ini,” katanya.

 

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pernah jadi guru, MB fahami peranan dan cabaran pendidik

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 16 MEI: Peranan dan cabaran sebagai warga pendidik bukanlah asing bagi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali apabila beliau sendiri memiliki pengalaman mengajar matematik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak.

Mohamed Azmin berkata, beliau selepas itu terlibat secara aktif di Kementerian Pendidikan pada akhir 1980-an ketika pendidikan negara sedang melalui fasa peralihan ke arah sistem dan pendekatan lebih bersepadu.

“Justeru itu, saya dapat memahami peranan warga pendidik yang amat mencabar.

“Setelah sekian lama terpisah, hari ini kita bertaut semula di Majlis Apresiasi Pendidikan Sempena Perayaan Hari Guru Tahun 2018,” katanya di hadapan kira-kira 2,400 warga pendidik seluruh negara pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di (PICC) di sini, malam tadi.

Ketika menyentuh peranan guru, Mohamed Azmin menjelaskan, warga pendidik merupakan agen perubahan yang efektif untuk melahirkan sebuah bangsa berjiwa merdeka, memiliki akhlak mulia dan sentiasa ghairah untuk cemerlang.

Katanya, pendidikan bukan sekadar menimba ilmu tetapi juga merupakan proses pembentukan jati diri, menyuburkan nilai moral dan meletakkan asas pembinaan tamadun.

“Menurut Plato, pembentukan sebuah negara yang adil harus bermula dengan usaha melahirkan penjaga negara sebagaimana guru adalah penjaga generasi muda negara,” katanya.

=EZY=