Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Permohonan naik 46 peratus, lonjak potensi industri halal

SHAH ALAM, 5 DIS: Selangor mahu menjadi pemain utama industri halal berikutan permintaan terhadap produk itu meningkat saban tahun.

Mengikut Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), permohonan pensijilan halal meningkat pada kadar tinggi kebelakangan ini berbanding ketika industri itu muncul pada 55 tahun lalu.

“Pada 2018, kita terima 2,931 permohonan untuk pensijilan halal dan angka itu naik 46 peratus apabila 4,300 permohonan diterima pada 2019,” kata penolong pengarah kanan Bahagian Pengurusan Halal Jais dalam program wawancara di Facebook pada 28 November.

Ahmad Solihin Maryakon juga menjangka angka tersebut terus bertambah kepada 4,500 pada akhir tahun sekalipun banyak industri terjejas akibat wabak Covid-19.

Peningkatan itu didorong permintaaan dan kesedaran pengguna beragama Islam selain keperluan untuk kekal berdaya saing dalam industri.

Bahagian Pengurusan Halal Jais diwujudkan pada 1 Ogos 2015. Sebelum ini, ia hanya bergerak sebagai unit halal melalui tiga kategori pensijilan iaitu pengilangan makanan, premis makanan dan rumah sembelihan.

Daripada tiga, ia berkembang kepada lapan kategori iaitu produk kosmetik, barang gunaan, perkhidmatan logistik, perubatan dan pengilangan kontrak.

“Insya-Allah kita akan perkenalkan kategori baharu iaitu peranti perubatan tahun depan,” kata Ahmad Solihin lagi.

Meskipun segelintir pihak mempersoalkan kos memperoleh sijil halal ‘mahal’, bagaimanapun ia sebenarnya membabitkan permohonan dan analisis makmal.

“Tentunya setiap aktiviti berkaitan pengesahan melibatkan kos. Ia lebih kepada komitmen pada nilai sangat munasabah bukan untuk berniaga dengan ‘halal’,” katanya sambil menambah ia juga melibatkan analisis makmal dan khidmat jururunding.

Pandang remeh

Namun, kira-kira 10 peratus syarikat bumiputera-muslim ada pensijilan halal. Rendahnya jumlah itu lantaran ramai usahawan beragama Islam tidak mengaambil berat hal berkenaan.

Ironinya, presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mendapati pemain industri bukan Islam lebih berpandangan jauh kerana mereka mahu meluaskan pasaran selain menarik keyakinan pelanggan tempatan dan luar negara.

“Daripada 6.4 trilion pasaran global, Malaysia hanya menyumbang 23.4 bilion untuk eksport halal. Hanya 30 peratus disumbangkan syarikat muslim. Jumlahnya kecil,” kata Mohammad Sahar Mat Din.

Dalam Belanjawan Selangor 2021, Selangor Halal Business Hub merupakan platform maklumat halal yang akan dibangunkan melalui Pelan Tindakan Halal Selangor bagi membantu usahawan negeri mendapatkan sijil halal untuk produk mereka.

Sebelum ini, EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata Jawatankuasa Strategik Industri Halal Selangor ditubuhkan untuk memacu negeri menjadi hab industri halal di Malaysia dan serantau.

Jawatankuasa itu dianggotai Majlis Agama Islam Selangor, Jais, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor dan pakar bidang berkaitan halal.

Perbadanan Pembangunan Industri Halal turut menyasarkan eksport halal bernilai RM50 bilion pada 2020 walaupun dalam suasana ekonomi mencabar.

 

Categories
GLOBAL

Singapura mahu bangunkan hab halal termaju di Asia

SINGAPURA 30 APR: Singapura akan memiliki hab halal yang berdedikasi dalam tempoh dua tahun lagi, ia bakal menjadi hab yang termaju di Asia Tenggara.

Hab tersebut terletak di kawasan barat Singapura, ia akan menempatkan unit pemprosesan makanan, dapur berpusat, bilik sejuk, Pusat Kecemerlangan Halal dan operasi logistik dalam sebuah kompleks bertingkat yang canggih.

Elite Partners Capital, Singapura berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan pemeteraian perkongsian startegik dengan Dewan Perdagangan dan Industri Melayu Singapura (SMCCI) bagi membangunkan hab halal seluas 600,000 kaki persegi dengan kos antara S$80 juta hingga S$ 100 juta.

“Singapura telah mencari peluang untuk membangunkan sebuah platform perniagaan halal bersepadu sejak beberapa tahun lepas. Cadangan hab halal ini adalah satu langkah yang tepat dan akan mempercepatkan serta memudahkan proses-proses perniagaan yang berkaitan dengan halal,” kata penasihat projek, Zainul Abidin Rasheed.

Zainul Abidin juga merupakan Duta Singapura ke Kuwait serta Utusan Khas Menteri Hal Ehwal Luar Negera ke Timur Tengah.

Perjanjian tersebut adalah tertakluk kepada Elite Partners dan keperluan SMCCI bagi memenuhi syarat daripada Jurong Town Corporation untuk membangunkan tapak itu.

Pembinaan hab itu akan mengambil masa kira-kira dua tahun.

SMCCI merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyokong kepentingan masyarakat perniagaan Melayu/Islam di Singapura.

Kerjasama itu akan memanfaatkan kedudukan SMCCI sebagai penghubung antara komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa bagi membolehkan syarikat Singapura untuk mengembangkan dan membolehkan operasi halal mereka mencapai tahap global.

“Kami amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif bagi membangunkan Singapura sebagai hab halal global. Kami percaya bahawa hab itu akan menjadi peneraju inovasi dalam industri halal serta mampu menawarkan capaian yang besar daripada segi perolehan, pengeluaran, pengedaran dan pengembangan antarabangsa,” kata Presiden SMCCI Shamir Rahim.

Elite Partners akan bertanggungjawab ke atas pengkonsepan, pembiayaan serta pengurusan aset hab berkenaan, ia akan menawarkan kepada penyewanya, peluang-peluang pendigitalan, kerjasama dan inisiatif penjenamaan.

Hab itu akan memanfaatkan kelebihan pasukan pengurusan Elite Partners, yang mempunyai pengalaman selama berdekad-dekad dalam ekuiti swasta, pelaburan dan pengurusan aset.

“Hab tersebut akan melengkapkan industri halal disamping meningkatkan proses perniagaan menerusi integrasi perkhidmatan berkaitan halal dalam satu ekosistem,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Elite Partners, Victor Song.

Kedua-dua pihak berharap supaya hab itu akan memberikan perkhidmatan dalam pasaran “Blue Ocean” di rantau Asia Pasifik berikutan permintaan yang tinggi untuk makanan halal.

Dengan kerangka perundangan yang kukuh, kawalan kualiti termasuk logistik dan infrastruktur perkhidmatan, Singapura berupaya menjadi hab halal ASEAN.

Selain logistik dan sambungan kepada pasaran antarabangsa, penyewa juga akan mempunyai akses kepada perundangan, pentadbiran dan fungsi-fungsi berkaitan dengan teknologi maklumat.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Hab Halal Selangor catat pelaburan RM3 bilion, 6,000 peluang pekerjaan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 11 OKT: Hab Halal di Selangor berjaya mencatatkan pelaburan baru bernilai RM3 bilion dengan menyediakan 6,000 peluang pekerjaan baru.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pembinaan projek Taman Perindustrian Hijau Pulau Indah Dan Pulau Indah Food Station di Pulau Indah dijangka mampu merancakkan lagi industri hab halal di negeri itu.

MB Rasmikan Pulau Indah Fasa 3c Food Station (3)“Kita menyaksikan beberapa syarikat diterima melabur di Taman Perindustrian Hijau Pulau Indah dan projek ini menawarkan peluang membangunkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang bioteknologi, kejuruteraan, teknologi pembinaan, pengurusan projek, landskap serta perancangan bandar,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Jualan Dan Perasmian Taman Perindustrian Hijau Pulau Indah Fasa 3C Dan Pulau Indah Food Station di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di sini, semalam.

Mohamed Azmin turut mengucapkan tahniah kepada pemaju projek, Central Spectrum (M) Sdn Bhd yang mahu mengembalikan Pulau Indah kepada ekosistem lebih baik dengan pelbagai kemudahan termasuk prasarana bersukan.

Katanya, langkah Central Spectrum membelanjakan RM2 juta bagi menaiktaraf jalan di Pulau Indah merupakan langkah proaktif bagi memastikan keselesaan pelabur di kawasan itu.

“Saya sudah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memastikan supaya jalan di kawasan perindustrian diselenggara dengan baik bagi keselesaan pelabur dan pekerjanya,” kata Mohamed Azmin.

EZY

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Kaji Bangunkan Hab Halal di Pulau Indah

daroyah

SEMENYIH, 7 JULAI: Kerajaan Negeri akan mengkaji untuk membangunkan hab halal di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Menurut Exco Pembangunan Usahawan, Dr Daroyah Alwi, cadangan tersebut dibuat berdasarkan kedudukan strategik Pulau Indah yang berhampiran Pelabuhan Klang akan memberi kelebihan untuk dipasarkan ke pasaran antarabangsa.

“Kita harap dalam masa lima tahun ini kita dapat realisasikan hab halal ini sebab saya kira ia sangat penting dan sampai masanya untuk Selangor laksanakannya.

“Hab halal ini mempunyai permintaan yang tinggi samada di dalam negara mahupun di peringkat dunia walaupun negara bukan Islam, mereka juga pentingkan produk halal,” kata beliau selepas majlis penyerahan permit dan lesen peniaga Bazar Ramadan kepada 70 peniaga berhadapan Tesco Taman Pelangi di sini.

Dalam majlis sama Dr Daroyah turut menyerahkan bantuan berupa barangan keperluan kepada 15 ibu tunggal dari kawasan terbabit.

Sebelum ini, Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi dalam persidangan Dewan Negeri Selangor berkata, sudah tiba masanya Selangor menjadi juara dalam industri halal di negara ini.

Menurut Sallehen pada masa ini sebanyak 40 peratus daripada permohonan sijil halal di Malaysia dikeluarkan di Selangor.