Categories
SELANGOR

EXCO: Pemeriksaan bangunan secara berkala termaktub dalam akta

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU KELANG, 29 APRIL: Pemeriksaan bangunan secara berkala setiap 10 tahun perlu dijalankan pemilik bangunan kerana ia termaktub dalam akta, kata Haniza Mohamed Talha.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar itu berkata, perkara terbabit sudah dinyatakan secara jelas di dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 pada Seksyen 85A.

Katanya, menurut akta terbabit, pemilik bangunan, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) perlu mendapatkan seorang jurutera profesional bagi membuat siasatan terhadap keadaan bangunan mereka.

“Akta ini sudah ada tetapi mungkin tidak dilaksana, jadi bila sudah jadi begini, saya fikir ia perlu kembali dikuat kuasakan.

“Setiap pemilik bangunan, JMB dan MC perlu sedar bahawa akta itu memerlukan mereka membuat pemeriksaan bangunan selepas 10 tahun bermula sejak serah kunci serta kemudian 10 tahun dan berikutnya.

“Jadi, melalui laporan pemeriksaan jurutera terhadap bangunan mereka, maka baik pulih atau pembaikan kerosakan boleh dijalankan,” katanya pada sidang media selepas melawat Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang mengalami keretakan serius, di sini.

Jumaat lalu, dilaporkan 37 keluarga yang tinggal di bangunan terbabit terpaksa dipindahkan ekoran terdapat rekahan ketara yang dibimbangi menggugat keselamatan penduduk.

Sehingga kini, seramai 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada 24 keluarga berada di pusat pemindahan di Dewan Serbaguna MPAJ AU2.

Categories
SELANGOR

Tubuh jawatankuasa khas pantau harga rumah di Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri kini dalam perancangan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memantau harga unit perumahan, khususnya Rumah Selangorku dalam masa terdekat.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, jawatankuasa khas itu akan bertanggungjawab memantau margin keuntungan sebenar yang diperoleh pemaju berdasarkan harga jualan dengan kos pembinaan.

“Kita ada menerima rungutan daripada pemaju mengatakan harga rumah kini semakin meningkat kerana mereka terpaksa menanggung kos tertentu. Disebabkan itu, kita wujudkan jawatankuasa khas berkenaan untuk pantau situasinya.

“Kita tidak mahu (pembeli) terperangkap dengan maklumat mengatakan harga rumah semakin hari semakin naik. Kita juga akan menilai statistik (permintaan) terhadap rumah di bawah harga RM250,000,” katanya semasa berucap pada Majlis Jalinan Mesra bersama Media, di Hotel De Palma, di sini, semalam.

Beliau berkata, langkah itu dilihat penting buat masa kini bagi mengelakkan pembeli rumah ‘terperangkap’ dengan pandangan harga rumah yang semakin meningkat.

Katanya, usaha itu dilihat mampu membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri mengikut kemampuan isi rumah.

Dalam ucapan sama, Haniza berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk memulihkan lebih 20,000 unit rumah terbengkalai di seluruh negeri, mulai tahun ini.

“Kita akan menubuhkan jawatankuasa kecil pemulihan projek terbengkalai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memulihara projek yang dikesan terbiar sejak sekian lama.

“Langkah itu juga akan memudahkan PBT memantau perkembangan pembangunan projek perumahan supaya tidak meningkatkan jumlah projek terbengkalai pada masa depan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Anugerah suntik semangat terus curah bakti

 

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 11 DIS: Dato’ Mahmud Abbas menyatakan darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) dianugerahkan kepadanya menyuntik semangatnya untuk terus mencurah khidmat bakti demi kemajuan Selangor.

Sambil melahirkan penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas penganugerahan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd itu berkata, masih banyak perlu dilakukan dan kejayaan diraih setakat ini belum memadai baginya untuk berpuas hati.

“Penganugerahan ini menyuntik semangat untuk saya bekerja dan berkhidmat lebih bagus lagi.

“Boleh jadi apa dicurahkan selama ini belum mencukupi dan InsyaAllah saya akan berusaha lebih gigih untuk kemajuan Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat penganugerahan darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena hari keputeraan ke 72 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Mahmud adalah salah seorang daripada sembilan penerima DSIS yang membawa gelaran Dato’ daripada Sultan Sharafuddin.

Turut melahirkan penghargaan sama, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Dr Shafie Ngah, yang menerima bintang kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS).

“Saya menjunjung kasih kepada ke bawah Duli Tuanku atas penganugerahan bintang kebesaran ini.

“Ia penghargaan besar dan memberi semangat kepada saya untuk terus berkhidmat juga menabur bakti buat Selangor,” kata Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Bangi itu.

Shafie adalah di antara 13 penerima SMS dalam majlis berkenaan termasuk mantan Timbalan Speaker DNS merangkap ADN Taman Medan, Haniza Mohamed Talha.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Beribu Pengundi Taman Medan Dipindahkan Tanpa Pengetahuan – BULETIN 13

<iframe width=”420″ height=”315″ src=”http://www.youtube.com/embed/zb-noNGESFE” frameborder=”0″ allowfullscreen></iframe>

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 03042013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha mendakwa terdapat beribu pengundi di Dun beliau yang ditukarkan lokaliti mengundi tanpa pengetahuan mereka.

2. Bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Darat, Jeneral Besara Tan Sri Md Hashim Hussein diumum sebagai calon PKR bagi Parlimen Johor Bahru pada PRU 13.

3. Apa kata rakyat dengan dakwaan negara akan muflis jika harga minyak diturunkan dan tol di bandar-bandar utama dihapuskan?

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL

Beribu Pengundi Dipindah Keluar Dun Taman Medan Tanpa Pengetahuan

SPR pengundi hantu selangor 01

PETALING JAYA 2 APRIL : Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha mendakwa terdapat beribu pengundi di Dun beliau yang ditukarkan lokaliti mengundi tanpa pengetahuan mereka.

Pengundi tersebut seperti suri rumah Samsiah Ariffin, 59, yang berdaftar di Taman Medan sebagai pengundi dan yang mempunyai alamat kad pengenalan di Taman Medan.

Akan tetapi selepas menyemak butiran di portal Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), baru-baru ini, Samsiah diberitahu yang dia telah ditukarkan sebagai mengundi di kawasan Dun Seri Setia.

Menurut Haniza, perbuatan menukar tempat mengundi tanpa pengetahuan merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

“SPR perlu bertanggungjawab membersihkan daftar pemilih. Ini menunjukkan ketidakupayaan SPR untuk menjalakan kerja secara adil,” katanya dalam sidang media di Pejabat PKR negeri, di sini.

Haniza menganggarkan sebanyak 4,000 nama dikeluarkan dari Dun Taman Medan dan digantikan dengan nama baru.

“Kita akan menyiasat perkara ini dengan lebih jelas dan pihak kami tidak akan berdiam diri,” katanya.

Sehubungan itu, Haniza akan membawa kes terbabit ke pengetahuan SPR beserta laporan polis dalam tempoh terdekat ini.

Pada PRU12, Haniza memenangi kerusi Taman Medan dengan menewaskan calon Umno-BN, Munaliza Hamzah dengan majoriti 4,433 undi.