Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tangguh bayar sewa tiga bulan, bantu stabil pendapatan

SHAH ALAM, 21 MAC: Penangguhan bayaran sewa tiga bulan bagi peserta Skim Smart Sewa bermula April membantu menstabilkan pendapatan mereka yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu.

EXCO Perumahan Haniza Mohamed Talha berkata inisiatif melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 itu berikutan ada golongan yang tidak dapat bekerja sepanjang tempoh perintah tersebut.

“Rata-rata penyewa di bawah skim itu berpendapatan bawah RM5,000 dan ada gaji harian, justeru mereka tidak dapat bekerja selama 14 hari, maka sudah tentu pendapatan terjejas.

“Ini cara kita bantu mereka stabilkan kembali pendapatan dan apabila sudah stabil dalam tempoh tiga bulan, mereka boleh bayar sewa seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Selangorkini, hari ini.

Haniza berkata keadah permohonan inisiatif akan ditentukan dalam masa terdekat di bawah kendalian Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd.

“Pelaksanaan mungkin menggunakan kaedah dalam talian atau ke pejabat dan kita masih pantau perkembangan semasa kerana ada kemungkinan tempoh perintah kawalan dilanjutkan,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penangguhan bayaran sewa tiga bulan bagi 2,700 peserta Skim Smart Sewa dengan peruntukan RM600,000.

Categories
EXCO SELANGOR

Kerajaan Selangor komited atasi projek rumah terbengkalai

AMPANG, 1 MAC: Kerajaan Negeri sedia menjadi pemudah cara bagi pemaju perumahan yang berminat mengambil alih projek perumahan terbengkalai, kata EXCO perumahan.

Haniza berkata sebanyak 180 projek perumahan yang dibina sebelum 2007 masih terbengkalai sehingga sekarang dan pihaknya terbuka untuk berunding bagi membangun semula projek terbabit demi keadilan kepada pembeli.

“Kuasa kerajaan negeri untuk menghidupkan semula projek terbengkalai di negeri ini agak terbatas kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Namun seperti ditegaskan Kerajaan Negeri akan cuba memudahkan segala urusan kerana perkara ini melibatkan nasib pembeli yang telah menunggu sejak berbelas atau berpuluh tahun luntuk memiliki rumah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan Menduduki dan Kunci Rumah Projek Perumahan Estana Court Blok B, Hulu Kelang di sini hari ini.

Haniza berkata Kerajaan Negeri komited mencari mekanisme terbaik bagi memastikan isu projek perumahan terbengkalai dapat diatasi.

Categories
EXCO SELANGOR

Jawatankuasa peringkat PBT pantau projek perumahan, komersial

AMPANG, 1 MAC: Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa kecil di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memantau projek baharu perumahan dan komersial, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata jawatankuasa tersebut akan memastikan semua pembinaan siap mengikut jadual selain mengatasi isu projek terbengkalai di negeri ini.

“Kita akan memastikan projek baharu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan sehingga sijil layak menduduki diperoleh dan perkara paling penting adalah pembeli mendapat kunci rumah.

“Jika didapati pembinaan alami sedikit kelewatan jawatankuasa ini akan terus berjumpa pemaju untuk mengetahui punca projek tidak mengikut jadual,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan Menduduki dan Kunci Rumah Projek Perumahan Estana Court Blok B, Hulu Kelang di sini hari ini.

Haniza berkata jawatankuasa kecil di peringkat PBT turut diarahkan mengenal pasti dua projek terbengkalai dan bertindak sebagai penyelaras di antara pemaju atau pemaju penyelamat untuk menyiapkan pembinaan dalam tempoh dua tahun.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Selangor peruntuk RM10 juta Skim CERIA

AMPANG, 1 MAC: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta di bawah Skim CERIA bagi membaik pulih kerosakan pangsapuri kos rendah dan sederhana pada tahun ini, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata peruntukan tersebut bagi membaiki bumbung, mengecat bangunan dan menyelanggara lif serta pembentungan sekali gus memberi keselesaan kepada kehidupan rakyat.

“Tahun lalu Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.42 juta baik pulih lif dan RM1.57 juta baik pulih bumbung yang memberi manfaat kepada penghuni 15 pangsapuri.

“Kerosakan infrastruktur menjejaskan kehidupan penghuninya yang akan memberi kesan kepada emosi, jadi kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan Menduduki dan Kunci Rumah Pangsapuri Perumahan Estana Court Blok B, di sini hari ini.

Haniza berkata penghuni perlu memastikan harta sentiasa dalam keadaan baik serta bekerjasama memantau isu vandalisme yang kerap berlaku di pangsapuri.

Categories
EXCO SELANGOR

Pemohon Rumah SelangorKu perlu saringan AKPK

SHAH ALAM, 25 FEB: Pemohon Rumah SelangorKu perlu melalui proses saringan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebelum dibenarkan membeli kediaman tersebut, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata program pengurusan kredit AKPK membolehkan penstrukturan semula hutang sedia ada pemohon selain memudahkan bank memberi pertimbangan untuk meluluskan pinjaman perumahan.

“Ia antara langkah mengatasi isu pemohon gagal mendapatkan pinjaman institusi kewangan disebabkan pelbagai masalah sehingga menganggu proses penjualan rumah.

“Saringan AKPK penting untuk menyemak status pemohon sama ada mempunyai tunggakan hutang atau sebaliknya termasuk mengetahui had kemampuan membeli rumah,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Dalam pada itu Haniza berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Smart Sewa bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk menyewa sambil menyimpan.

“Penyewa mendapat balik 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan apabila kontrak sewaan dua tahun tamat yang boleh digunakan sebagai bayaran deposit pembelian Rumah SelangorKu,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Haniza: Kitar semula, dapat ganjaran

SHAH ALAM, 23 FEB: Penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya digalak mengumpul barangan yang boleh dikitar semula, sekali gus mengumpul mata ganjaran.

Ahli Dewan Negerinya Haniza Talha berkata ganjaran melalui program Kempen Lembah Jaya Bersih 2020 boleh ditebus dengan penukaran barang di premis perniagaan di sekitar Dataran Kolejas.

“Penduduk yang mempunyai barangan seperti televisyen, telefon bimbit (yang sudah rosak) atau apa sahaja peralatan boleh dikitar semula disaran membawanya ke Dataran Kolejas pada setiap Ahad bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya melalui hantaran di Facebook, semalam.

Beliau berkata selain melahirkan generasi prihatin terhadap alam sekitar, inisiatif tersebut membantu memastikan kebersihan DUN dipertingkat dari semasa ke semasa.

Program turut mendapat kerjasama Jabatan Kitar Semula Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Koperasi Anak-Anak Lembah Jaya Selangor.

Categories
EXCO SELANGOR

Tambah baik undang-undang atasi projek perumahan terbengkalai

SHAH ALAM, 13 FEB: Kerajaan Negeri sedang menambah baik proses perundangan menangani projek perumahan terbengkalai bagi mengatasi masalah mendapatkan dokumen projek asal, pertukaran kebenaran pembangunan dan kewangan.

EXCO perumahan Haniza Talha berkata pelaksanaan itu membuktikan Kerajaan Selangor komited terhadap isu itu, tidak kira melibatkan projek lama atau baru.

“Sejak tahun lalu, saya mengadakan siri jelajah ke semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai Peringkat PBT bagi memperincikan maklumat berkenaan projek terbengkalai.

“Setiap PBT telah menyenarai projek yang perlu diberi keutamaan serta memberi cadangan pemulihan,” katanya dalam kenyataan.

Haniza berkata, sebanyak 159 projek perumahan terbengkalai di Selangor melibatkan 32,755 unit rumah dikenalpasti, dan kebanyakannya dibina awal 90-an.

“Pada 2009, Kerajaan Selangor mewujudkan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai Selangor serta mewujudkan pengkalan data berkenaan projek terbabit.

“Memang ada yang berjaya dipulihkan namun memandangkan jumlah projek terbengkalai terlampau banyak, ia menyebabkan proses gerak kerja agak perlahan kerana mesyuarat pemulihan perlu fokus kepada sesuatu projek untuk pemantauan lebih terperinci” katanya.

Categories
SELANGOR

EXCO: Rujuk PBT sebelum beli rumah hartanah elak masalah

HULU SELANGOR, 28 JAN: Orang ramai dinasihatkan merujuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum membeli rumah atau hartanah bagi mengetahui status projek berkenaan, kata Haniza Mohamed Talha.

EXCO perumahan dan kehidupan bandar berkata ia bagi mengelakkan pembeli berhadapan masalah dengan kelulusan projek itu daripada PBT.

“Sekiranya tiada kelulusan diberi daripada PBT ini bermakna pembangunan atau pemaju itu tidak sah. Malah, pembangunan di sesuatu kawasan memang memerlukan kelulusan daripada PBT.

“Justeru, penting pembeli mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyemak atau merujuk maklumat di PBT berdekatan untuk ketahui status sesebuah pembangunan itu,” katanya pada sidang media selepas lawatan tapak di Projek Pembesaran Kampung Koskan di sini hari ini.

Projek pembesaran Kampung Koskan terbengkalai apabila kontraktor projek itu berhadapan masalah kewangan sejak 2012.

Bagi mengatasi masalah itu Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan kemudahan infrastruktur dengan peruntukan RM4.07 juta.

Categories
EXCO SELANGOR

Sambutan perayaan peluang kenali pelbagai budaya

SHAH ALAM, 25 JAN: Kepelbagaian sambutan perayaan di negara ini membolehkan rakyat lebih mengenali budaya masyarakat berbilang kaum, kata EXCO perumahan dan kehidupan bandar.

Haniza Talha berkata ia sekali gus membolehkan jati diri masyarakat Malaysia dipupuk dengan budaya saling menghormati antara satu sama lain.

“Sasterawan Negara Usman Awang di dalam puisinya bertajuk ‘Pemuda dan gadis Tionghua’ menyebut, ‘Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa’.

“Oleh itu marilah kita raikan kepelbagaian kaum dan budaya ini dengan penuh kesyukuran, kerendahan hati dan saling menghormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena Tahun Baharu Cina hari ini.

Haniza berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan kesemua polisi dilaksana dapat menambah baik kualiti kehidupan rakyat tanpa melihat perbezaan latar belakang kaum mahupun agama.

“Marilah kita berganding tangan serta bahu menuju kembali ke arah keharmonian yang sebenarnya dan ikhlas daripada sanubari setiap jiwa rakyat Malaysia,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Pangsapuri Residensi Jaya tukar pemaju, atasi masalah berbangkit

SHAH ALAM, 25 JAN: Projek Rumah Selangorku Pangsapuri Residensi Jaya diambil alih Grant Thorton Consulting Sdn Bhd (Grant Thorton Consulting) berikutan pengisytiharan muflis terhadap pemaju Jitu Enigma Sdn Bhd (Jitu Enigma), kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata keputusan itu diambil selepas perbincangan antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bersama syarikat berkaitan sebagai jalan penyelesaian terhadap projek perumahan di Cheras itu termasuk masalah dihadapi pembeli.

“Kerajaan Negeri prihatin terhadap isu ini dan yang menjadi keutamaan kita untuk kembalikan wang deposit pembeli namun prosesnya mengambil masa agak lama.

“Grant Thorton Consulting Sdn Bhd akan membuat penilaian aset pemaju dan kemudian menawarkan harga bersesuaian kepada pembeli sebelum proses serahan deposit dikembalikan,” katanya ketika sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membantu pembeli dalam isu pengecualian pembayaran ansuran pinjaman kepada pihak bank.

Katanya, Grant Thorton Consulting akan mengadakan perjumpaan pada 15 Februari ini dan Kerajaan Negeri optimis LPHS, KPKT, pembeli dan pihak bank dapat turut serta supaya perbincangan serentak dapat dilakukan.

“Kita sentiasa mengenakan syarat ketat kepada pemaju yang mahu membangunkan Rumah Selangorku dan Jitu Enigma mempunyai rekod serta nilai aset baik ketika kelulusan diberi.

“Ini bukan kali pertama Kerajaan Negeri melakukan pembatalan sebaliknya sudah sembilan pemaju kerana mereka tidak memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, portal berita melaporkan 221 pembeli pangsapuri tersebut berisiko kehilangan 10 peratus deposit atau lebih RM25,000 yang diambil pemaju dan anggaran kerugian mereka mencecah lebih RM4.5 juta.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rumah Selangorku: Pemaju dikenakan syarat ketat

SHAH ALAM, 23 JAN: Pemaju Rumah Selangorku perlu melalui saringan ketat bagi mengelak insiden projek terbengkalai, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan menyemak akaun dan aset pemaju bagi memastikan syarikat mempunyai kedudukan kewangan kukuh, sebelum meluluskan projek perumahan.

“Selepas melalui tapisan LPHS, pemaju perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdasarkan lokasi projek perumahan.

“Pemaju disyaratkan membayar caruman infrastruktur kepada PBT. Caruman ini antara lain bertujuan menguji kemampuan kewangan pemaju,” katanya kepada SelangorKini.

Ditanya berhubung kegagalan pemaju menyiapkan projek Residensi Jaya, Balakong, Haniza berkata perkara itu di luar kawalan pihaknya.

“Projek ini bukan projek terbengkalai kerana ia sepatutnya siap pada 2021. Cuma ia gagal disiapkan disebabkan faktor luar jangka apabila pemaju muflis,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rumah SelangorKu pertama dilengkapi panel solar

PUCHONG, 1 DIS: Pangsapuri Seri Utama, Taman Puchong Utama di sini, dipilih sebagai pembangunan Rumah SelangorKu pertama di negara ini dilengkapi dengan panel solar selepas mencapai Pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, projek perumahan mampu milik dibangunkan Hillcrest Gardens Sdn Bhd itu sebagai insentif kepada pemaju dalam menggalakkan penggunaan tenaga solar bercirikan lestari dan mesra alam.

“Panel solar di setiap blok bangunan ini berorientasikan arah utara-selatan untuk meminimumkan haba daripada matahari timur ke barat.

“Selain itu, ia mempunyai aliran pengudaraan dalaman semulajadi yang baik dan boleh mengurangkan penggunaan penghawa dingin malah, fasad luar dan dalam bangunan juga kelihatan lebih kemas serta tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu dan Surat Tawaran Kepada Penyewa Skim Smart Sewa di pangsapuri berkenaan di sini, hari ini.

Haniza Talha menbuat lawatan ke unit rumah contoh selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku & Smart Sewa Pangsapuri Seri Utama, Puchong pada 1 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham; Pengarah Eksekutif Tetuan Hillcrest Sdn Bhd, Frank Goon dan Pemangku Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Khairul Azam Saroni.

Terdahulu, 1,162 unit Rumah SelangorKu berjaya disiapkan pemaju dalam tempoh hampir lima tahun sejak pembinaan itu dimulakan pada 2015.

Difahamkan, projek terbabit siap sepenuhnya pada Ogos lalu, iaitu 10 bulan lebih awal dari tarikh akhir ditetapkan dalam perjanjian jual beli pertama pada Mei 2020.

Pada masa sama, Haniza berkata, pembangunan di kawasan itu menawarkan tiga pilihan jenis Rumah SelangorKu dengan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Jenis B berkeluasan 69.7 meter persegi dengan harga jualan RM100,000 seunit berjumlah 464 unit, C2 (83.6 meter persegi) RM195,000 seunit (464 unit) dan D (92.9 meter persegi) RM220,000 seunit (234 unit).

“Pemaju juga menyediakan pelbagai kemudahan untuk memenuhi keperluan penduduk antaranya tempat letak kereta bertingkat, taman permainan kanak-kanak, dewan serbaguna, gelanggang tenis dan bola keranjang, surau serta kolam renang,” katanya.