MBPJ Perlu Segera Atasi Masalah Sampah di PJ Selatan

PETALING JAYA, 14 MAC : Kotor, berbau, malah menyakitkan mata sesiapa yang memandangnya.

Itulah antara situasi kurang menyenangkan yang dapat digambarkan tentang keadaan di sekitar pasar borong dan kawasan perumahan di Taman PJS 1, PJS 2 dan Taman Sri Manja di sini.

Walaupun pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menyediakan tong sampah di setiap kawasan perumahan, namun ia tidak mampu menampung timbunan sampah yang semakin bertambah saban hari.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung masalah kutipan sampah yang menjadi antara isu paling ketara yang berada di bawah pemantauannya.

Beliau berkata, isu ini menjadi semakin serius sejak dua minggu lalu ekoran pertukaran kontraktor sampah yang kini sedang diambil alih oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun jelasnya, perkara ini telah diajukan kepada pihak MBPJ untuk tindakan susulan dengan jaminan ia akan diselesaikan dalam jangka waktu terdekat.

“Sebenarnya masalah sampah telah lama diperkatakan di kawasan Taman Medan dan Petaling Jaya. Saya telah menemui pihak MBPJ baru-baru ini dan mereka memberi jaminan akan menguruskan serta menyelesaikan pengurusan sisa pepejal di sini dengan segera.

Pihak MBPJ memaklumkan bahawa masalah sampah berlaku ekoran pertukaran kontraktor lama (Alam Flora) yang kini diambil alih oleh PBT. Saya berharap penduduk setempat boleh bersabar sementara menunggu perkara ini diselesaikan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyarankan pihak MBPJ supaya menyediakan lebih banyak tong sampah bersaiz besar di setiap kawasan perumahan untuk mengelakkan masalah sampah daripada terus berulang.

Ujarnya, penduduk juga dinasihatkan untuk bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan sekitar bagi mengatasi serangan haiwan perosak seperti lalat dan tikus yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Saya telah menyediakan peruntukan untuk menjalankan operasi tangkap tikus bersama pihak MBPJ. Ia mungkin akan dilaksanakan dalam masa terdekat di mana penduduk amatlah digalakkan untuk menyertai operasi ini.

Cadangannya, bagi sesiapa yang dapat menangkap tikus akan diberi ‘upah’ atau bayaran. Ia masih berada dalam perbincangan dan akan dimaklumkan sekiranya boleh dilaksanakan,” jelasnya.

 

Categories
SELANGOR

Noh Omar Tuduh KSSB Tanpa Bukti

SHAH ALAM, 5 MAC – Dakwaan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mengatakan berlakunya penyelewengan di dalam pemberian kontrak pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd disifatkan sebagai satu tuduhan yang sengaja dirancang untuk memberi imej buruk kepada kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda,Shuhaimi Shafie dalam sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) di SUK di sini hari ini.

Menurut Shuhaimi, tuduhan-tuduhan liar ini dibuat oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) kerana merasakan kedudukan mereka di Selangor semakin tergugat memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU-13) yang semakin hampir.

“Kenyataan yang mengatakan berlakunya penyelewengan dalam isu perlombongan pasir dikhuatiri ditulis oleh penulis upahan yang tidak berintegriti.

Ia merupakan satu tuduhan yang jelas mempunyai kaitan dengan rancangan untuk memburukkan imej kerajaan negeri,” tegasnya.

Tambah Shuhaimi, tuduhan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab itu juga tidak perlu dibangkitkan kerana KSSB tidak pernah melakukan sebarang penyelewengan seperti yang didakwa.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara ini akan terus dipanjangkan kerajaan Umno-BN bagi memberi pandangan negatif rakyat kepada pentadbiran kerajaan Selangor.

“Saya berkeyakinan bahawa tuduhan ini semata-mata dibuat kerana keadaan PRU-13 dan cerita yang ditulis oleh penulis upahan ini yang lari daripada tanggungjawab untuk menjawab soalan pada pendengaran awam.

Sekurang-kurangnya saya hadir untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan berbanding penulis blog yang membuat tuduhan tersebut,” tegasnya.

Pendengaran awam SELCAT kali ini melibatkan tiga kes GLC. Selain KSSB, kes yang melibatkan Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut akan didengar.

SELCAT dipengerusikan Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chang Kim beserta empat penal yang terdiri dari Azmin Ali (Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (Hulu Klang), Haniza Talha (Taman Medan) dan wakil BN yang juga Adun Permatang Sulaiman Abd Razak.

 

Program Ziarah Prihatin ADUN Taman Medan Ditingkatkan

PETALING JAYA 02 MAC : Pejabat ADUN Taman Medan telah meningkatkan program Ziarah Prihatinnya agar lebih ramai orang di kawasan bandar yang padat penduduk ini mendapat pertolongan kebajikan.

Terbaru, Fatimah Landot, 59, yang menghidap penyakit lumpuh sejak empat bulan lalu menerima bantuan makanan dan pakaian semasa lawatan ADUN Taman Medan Haniza Talha.

?Saya berasa syukur dan berterima kasih kepada keperihatinan ADUN. Kepimpinan yang ditunjukkan oleh wakil Pakatan Rakyat patut dipuji,? ketika ditemui Selangorkini.

Haniza berkata sebanyak 20 buah rumah golongan susah setiap bulan akan dilawatinya sendiri dalam program tersebut.

“Tetapi kebiasaanya kita akan pergi lebih daripada 30 buah rumah setiap bulan, ada juga penduduk yang datang sendiri ke pejabat untuk terus berurusan, kita menetapkan sebanyak lima buah rumah setiap minggu untuk dilawati.

“Jika mereka terus datang ke pejabat, biasanya kami akan mensalurkan bantuan secara terus, bergantung kepada keperluan dan permintaan.

Haniza berkata selain itu, inisiatif yang dilakukan adalah untuk mengembirakan penduduk supaya tidak berasa terpinggir.

“Kita akan cuba membantu, jika mereka memerlukan bantuan secara berterusan, kita akan merujuk kepada Jabatan kebajikan Masyarakat dan jika sebaliknya kita juga ada sediakan wang tunai untuk meringankan beban mereka.

Categories
SELANGOR

Banjir Enam Tahun Taman Buana Bakal Diselesaikan

PETALING JAYA 02 MAC:  Penduduk Taman Buana Perdana di sini boleh menarik nafas lega apabila masalah banjir kilat yang mereka hadapi selama enam tahun bakal diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Menurut ADUN Taman Medan, Haniza Talha, masalah itu berpunca daripada sikap pemaju yang dilantik oleh kerajaan Umno-BN sebelum ini bagi pembinaan kawasan perumahan itu.

Bagaimanapun sistem perparitan yang sesuai tidak disediakan pemaju menyebabkan banjir berlaku setiap kali hujan. Walaupun penduduk sering kali mengemukan aduan, masalah itu berlarutan tahun demi tahun.

Banjir setinggi paras lutut yang berlaku di laluan utama penduduk taman termasuk Taman Datuk Harun menenggelamkan jalan raya dan menyukarkan pengguna.

Malah lebih teruk lagi, banjir di kawasan bekas lombong terbabit turut menenggelamkan taman permainan, trek jogging dan padang badminton yang menjadi tempat kanak-kanak dan belia melakukan aktiviti sukan dan rekreasi.

Penduduk mendakwa pemaju juga mengabaikan penyelenggaraan kemudahan asas dan ini merungsingkan penduduk, kerana banyak lampu jalan yang sudah pecah menyebabkan keadaan laluan gelap dan berlakunya banyak kejadian ragut.

Penduduk, S.Murti, 43, berkata banjir kilat sering berlaku apabila hujan berterusan menyebabkan penduduk banyak merungut.

“Tidak sampai setengah jam, air mesti naik, saliran air pula tidak bergerak, pemaju seolah-olah tidak ambil kisah dengan masalah ini,” katanya ketika ditemui.

Penduduk lain, S.Acama, 65, berkata masalah daripada banjir kilat dan taman permainan yang sering ditakungi air itu boleh menyebabkan penduduk mengalami demam denggi.

?Kawasan ini banyak nyamuk, semua berpunca daripada air yang bertakung dan sampah sarap yang banyak dikawasan ini.

“Pemaju hanya tahu memeras kami, tetapi tidak menyediakan kemudahan yang baik dan selamat kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Haniza berkata beliau sudah berbincang dengan MajlisBandaraya Petaling jaya (MPBJ) untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pemaju itu.

“Kita akan selesaikan dalam masa terdekat ini, kita akan memanggil semua yang terlibat termasuk Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan.

“Tanah itu milik persendirian, belum diwartakan kepada MBPJ, bagaimanapun sebagai ADUN, saya akan menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pelajar Cemerlang Di Rai

PETALING JAYA, 16 FEB – Ketekunan dan usaha gigih dalam menuntut ilmu menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan pelajar untuk memperoleh keputusan cemerlang sama ada dalam peperiksaan Ujian Penilaian Menengah Rendah (UPSR), Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) mahupun Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Bagi Lai Choi Yi, 13, sikap tidak berputus asa dalam mendalami ilmu menjadi kunci kejayaannya untuk memperoleh keputusan cemerlang dengan rekod 7A dalam peperiksaan UPSR tahun lalu.

Katanya, dorongan ibu bapa juga adalah pembakar semangat untuknya terus berusaha demi mencapai kejayaan yang diidamkan.

“Saya banyak menghabiskan masa dengan mengulangkaji pelajaran sebelum menduduki peperiksaan. Selain itu, saya juga sering mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan dan berjumpa dengan para guru sekiranya mengalami kesukaran untuk memahami sesuatu subjek atau pelajaran,”katanya yang merupakan antara pelajar yang diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Dun Taman Medan di sini semalam.

Berkongsi kejayaan sama adalah Thiruvengadish A/L Sundaraju, 13 yang turut memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan UPSR.

Menurutnya, sikap suka bertanya dan tumpuan 100 peratus di dalam kelas yang dipraktikkan sejak awal telah melayakkannya mendapat keputusan yang memberansangkan.

“Semasa berada di dalam kelas, saya akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran yang disampaikan guru-guru. Saya juga sering melakukan latihan dan ulang kaji di rumah sekurang-kurangnya 2 jam sehari bagi menambah kefahaman saya terhadap sesuatu subjek,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Nurul Natasya Khasman yang merupakan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya, ujarnya sikap tidak pernah berputus asa adalah antara faktor penting yang perlu diterapkan dalam diri pelajar untuk mencapai kejayaan.

Beliau yang menerima keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR dan PSRA percaya, tiada apa yang mampu menghalang kejayaan seseorang sekiranya berusaha gigih dan tekun.

“Kita tidak boleh mudah mengalah atau sedih kalau kita tidak mencapai apa yang diinginkan dalam pelajaran. Tetapi kita perlu positif dan terus berusaha sehingga berjaya,” ujarnya.

Seramai 209 orang pelajar dari 18 buah sekolah diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR, PSRA dan PMR 2011 Dun Taman Medan di Dewan MBPJ di sini.

Dalam majlis itu, seramai 109 pelajar menerima keputusan cemerlang dalam UPSR, 69 pelajar menerusi PSRA dan 31 orang pelajar dalam PMR.

Majlis penghargaan itu turut dihadiri Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Dalam pada itu, Haniza dalam ucapannya menjelaskan, ibu bapa perlu memberi dorongan dan sokongan yang berterusan kepada anak-anak untuk membolahkan mereka mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Katanya, galakan yang diberikan oleh ibu bapa berupaya menambah semangat pelajar untuk menuntut ilmu dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Ibu bapa perlu memberi galakan dan dorongan supaya kegigihan anak-anak ini akan diiktiraf dan dihargai. Majlis ini adalah untuk menyatakan rasa gembira dan penghargaan kepada pelajar supaya terus cemerlang di masa-masa akan datang,” jelasnya.