Categories
AGENDA NASIONAL

Stor fail terbakar tidak jejas operasi HKL

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Operasi Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak terjejas dan berjalan seperti biasa hari ini berikutan kebakaran di stor menyimpan fail di tingkat empat hospital berkenaan malam tadi, kata Pengarah HKL Datuk Dr Heric Corray.

Beliau dalam satu kenyataan berkata cawangan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang telah menjalankan siasatan mendapati api telah dipadamkan sepenuhnya dan pesakit serta petugas selamat untuk kembali ke wad masing-masing pada pukul 12.48 tengah malam tadi.

“Sebaik sahaja diisytiharkan selamat, pesakit dipindah semula ke wad masing-masing yang selesai kira-kira jam 2 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak JBPM dan pihak HKL akan dimaklumkan punca kejadian selepas siasatan selesai,” katanya hari ini.

Dr Corray berkata dalam kejadian pukul 11 malam tadi, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

Beliau berkata kejadian disedari apabila bilik kawalan dan pusat panggilan hospital dimaklumkan mengenai bunyi daripada penggera kebakaran yang dikesan daripada alat pengesan asap dan pihak bomba juga turut dihubungi pada pukul 11.07 malam.

Menurutnya, api berjaya dipadamkan oleh petugas hospital dengan menggunakan alat pemadam api dan hos air kira-kira 11.20 malam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.

Namun sebelum itu katanya beberapa wad telah dikosongkan dan pesakit dikeluarkan untuk tujuan keselamatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bilik stor Hospital Kuala Lumpur terbakar

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Stor menyimpan fail di tingkat empat Hospital Kuala Lumpur terbakar malam tadi, sehingga menyebabkan beberapa pesakit terpaksa dipindahkan ke kawasan lapang.

Komander Operasi Kanan PBK II Hamzah Mohd Isa berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 11.07 malam dan bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, serta pasukan forensik dengan kekuatan lapan anggota.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan stor yang menyimpan fail berkeluasan 8×12 kaki persegi.

“Kemusnahan dianggarkan 10 peratus namun tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal kira-kira 11.35 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati beberapa pesakit dipindahkan ke kawasan lapang bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

Sehingga jam 1.10 pagi ini, pesakit sudah kembali ke wad masing-masing, selepas pasukan Bomba dan Penyelamat selesai menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Lee Boon Chye : Arahan HKL Ketinggalan Zaman

lee-boon-chye

SHAH ALAM, 7 MAC: Arahan supaya semua anggota Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak dibenarkan meletakan sebarang pelekat (sticker) yang mempunyai logo parti pembangkang pada kenderaan masing-masing disifatkan tidak bijak dan ketinggalan zaman.

Ini kerana kakitangan berhak memilih mana-mana parti politik untuk disokong tanpa perlu disekat selaras dengan sistem demokrasi yang selama ini diamalkan, ujar Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye.

“(Arahan) ini menceroboh hak kakitangan untuk memilih. Logo merupakan satu tanda menyokong mana-mana parti.

“Kalau begitu, logo 1Malaysia, lambang ‘Janji Ditepati’ juga tidak boleh ditampal,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Sebelum ini, HKL mengesahkah semua anggota HKL tidak dibenarkan meketakan sebarang pelekat (sticker) yang mempunyai logo parti pembangkang sama ada di kenderaan masing-masing atau mana-mana bahagian di dalam premis HKL.

Arahan ini berkuat kuasa serta merta melalui sepucuk surat bertarikh 4 Mac 2013 dan tersebar luas di laman sosial Facebook.

Perkara ini disahkan Pembantu Peribadi Pejabat Timbalan Pengarah HKL, Nur Hazlin Mohd Yunus ketika dihubungi Tv Selangor.

Surat yang ditandatangani Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain menyatakan semua ketua jabatan, ketua bahagian dan ketua unit diminta untuk menasihat anggota di bawah jabatan atau seliaan masing-masing supaya mematuhi arahan berkenaan.

Selain itu, mereka juga perlu memastikan bahawa tiada anggota HKL melanggar arahan tersebut.

Sekiranya ingkar berbuat demikian, tidakan sewajarnya termasuk tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan ini.

HKL Sahkan Semua kakitangan Dilarang Menampal Pelekat Logo Pembangkang