Categories
NASIONAL SELANGOR

Pencapaian Ekonomi Empat Negeri PR Atasi Era Pemerintahan Umno-BN

 

SHAH ALAM 29 SEPT : Empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat(PR) membuktikan walau baru hanya empat tahun memerintah tetapi pencapaiannya sudah mengatasi lebih 50 tahun pemerintahan Umno-BN.

Perkara ini didedahkan dalam pembentangan khas kejayaan negeri-negeri PR ketika program Rapat Pimpinan Nasional PKR 2012 di sini.

Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan pencapaian Kerajaan Negeri berkata pencapaian ekonomi dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi Selangor mencapai 23 peratus pada tahun 2010 daripada 22.1 peratus ketika tahun 2008.

Manakala nilai pelaburan, Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM36 bilion sejak 2008 hingga 2012.

“Bagi pelaburan tempatan bagi tempoh itu sebanyak lebih RM14 bilion dan pelaburan asing sebanyak RM21.9 bilion.

“Manakala sebanyak RM7bilion sehingga Julai 2012,” katanya.

Selain itu, Kedah mencatatkan kecemerlangan apabila meningkatkan hasil pembangunan negeri melalui hasil balak kepada RM80 juta bagi tahun 2011 daripada RM9 juta semasa pentadbiran Umno-BN.

“Pada tahun 2008, ia meningkat kepada RM35 juta ; 2009 sebanyak RM38 juta; 2010 sebanyak RM53 juta ; 2011 sebanyak RM80 juta.

“Kita menyasarkan ia meningkat kepada lebih RM80 juta bagi tahun ini,” kata Exco Kerajaan Negeri Kedah, Amiruddin Hamzah.

Bagi Pulau Pinang pula, kejayaan terbesar mereka ialah dalam program memartabatkan agama Islam.

Menurut Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy ia melibatkan peruntukkan sejumlah RM64 juta bagi tahun 2012 daripada RM12.5 juta pada tahun 2008.

“Peruntukkan itu melibatkan antaranya pembesaran tanah kubur, pembinaan Sekolah Agama Rakyat, surau dan masjid,” katanya.

Manakala bagi negeri Kelantan, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata negeri itu berjaya mengatasi masalah miskin tegar dengan mencatatkan 0.2 peratus lebih rendah di peringkat nasional pada tahun 2011.

Katanya, bermula 17.8 peratus pada tahun 2002, Kelantan berjaya mengurangkan masalah itu kepada 4.8 peratus pada tahun 2011 seterusnya meletakkan negeri itu ke tangga ke lima selepas Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kedah.

“Walaupun kami sentiasa dipinggirkan sejak dahulu lagi tetapi kami berjaya membuktikan kami mampu melaksanakan pelbagai lagi agenda Kerajaan Negeri.

“Kita juga masih menunggu tunggakan royalti petroleum sebanyak RM10.4 bilion. Daripada tunggakan itu, pelbagai agenda dirangka untuk dibahagikan duit royalti itu kepada rakyat.

“Antaranya, menyelesaikan masalah miskin tegar dengan menyasarkan ke angka sifar menjelang 2015,” katanya.

Categories
NASIONAL

Satu Tema Kemerdekaan Bagi Semua Negeri Pakatan Rakyat

PETALING JAYA, 10 OGOS :Kesemua negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat menyatakan pendirian mereka untuk terus menggunakan logo dan tema yang sama pada sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Kesepakatan itu diraih bersama seperti mana yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat Pusat menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi Pimpinan Pakatan Rakyat semalam.

“Dalam konteks kita (Pakatan Rakyat), kita bukan sahaja menyambut Ulangtahun Hari Kemerdekaan malah turut meraikan Hari Malaysia yang akan diraikan di Semananjung, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut berhubung sambutan kedua-dua hari bersejarah itu, Mustafa menjelaskan sambutan Kemerdekaan akan diadakan di Selangor pada 30 Ogos manakala untuk sambutan Hari Malaysia pula akan disambut di Sabah pada 15 September dan Sarawak pada 16 September.

Dalam sidang media yang sama, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa menolak dakwaan kononnya Pakatan Rakyat sebelum ini berbeza pendapat apabila dilihat mengguna pelbagai tema kemerdekaan di negeri masing-masing.

“Negeri-negeri (Pakatan Rakyat) memiliki temanya sendiri, kita ada dua tema iaitu tema negeri dan tema kebangsaan.

“Tema negeri dikekalkan manakala tema pakatan rakyat (Sebangsa, Senegara, Sejiwa) digunapakai sebagai tema kebangsaan (mengantikan tema kerajaan – Janji ditepati),”ujarnya.

Pakatan Rakyat mengumumkan tema alternatif sambutan Hari Kemerdekaan “Sebangsa, Senagara, Sejiwa” sebagai menggantikan tema kerajaan menerusi slogan BN, ?Janji Ditepati?.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan logo dan tema sambutan Hari Kemerdekaan bagi Pakatan Rakyat.

Categories
NASIONAL

Royalti Petroleum : Jawatankuasa Khas Serlah Sikap Dolak- Dalih Kerajaan Pusat

PETALING JAYA, 9 OGOS : Sikap dolak dalih Kerajaan Pusat makin terselah apabila menubuhan jawatankuasa khas berhubung pembayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri pantai timur dengan mengkaji kaedah pembayarannya.

Pengerusi Jawatan Kuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa berkata tiada apa yang perlu dikaji dalam kaedah pembayaran kerana ia jelas dinyatakan di dalam perjanjian Petroleum 1974.

“Menerusi Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian yang telah ditandatangani oleh Petronas dan Kerajaan Negeri Kelantan (Mei 1975) iaitu kaedah pembayarannya dilakukan secara tunai kepada negeri-negeri berkenaan tanpa apa-apa saluran yang lain,” ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata isu pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Kelantan yang membuat tuntutan RM1 bilion, masih di peringkat kajian.

Katanya, kajian itu masih dijalankan oleh Kerajaan Pusat kerana berlaku pertindihan kawasan di daerah operasi pelantar minyak itu.

Kerajaan Kelantan membuat tuntutan itu tahun ini setelah mengetahuinya melalui laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa petroleum itu beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti RM1 bilion itu dikira bermula dari 2004 sehingga kini.

Secara rumusannya, Husam berpendapat Penubuhan Jawatankuasa Khas yang dicadangkan kerajaan pemerintah itu sebagai suatu usaha yang penuh dengan dolak dalih.

Sehubungan itu, mesyuarat Majlis Pakatan di Ibu Pejabat PKR hari ini memutuskan akan membayar royalti minyak kepada negeri-negeri yang terlibat sekiranya berjaya mengambil alih tampok pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke- 13 akan datang.

Pakatan Rakyat juga akan membayar royalti minyak tersebut dalam kadar segera dan tidak berbelit-belit dengan hanya merujuk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Negeri-negeri yang memiliki minyak (petroleum) dibayar dua kali setahun terus kepada akaun negeri.

“Kerajaan Negeri bebas menggunakan wang royalti tersebut untuk kegunaan apa sahaja yang dirasakan perlu dan penting,”jelasnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Husam turut menzahirkan rasa berterima kasih di atas keperihatinan Majlis Pakatan Rakyat berhubung hasrat Kelantan untuk mendaratkan hasil gas diperairan Kelantan.

“Pakatan juga berjanji sekirannya berjaya mentadbir Putrajaya, Petronas akan diminta untuk mengazetkan pendaratan gas itu berlaku di bumi Kelantan.

“Ini bukan sahaja mengembalikan hak rakyat Kelantan malah meningkatkan ekonomi dan pendapatan rakyatnya,”katanya.

Categories
NASIONAL

Tidak Mahu Hapus PTPTN, PM Tiada Kesungguhan Bantu Rakyat

SHAH ALAM,9 APRIL : Penegasan Perdana Menteri untuk tidak menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti diumumkan di Batu Pahat Sabtu lalu jelas menunjukkan sejauh mana kesungguhan Kerajaan Pusat membantu rakyatnya.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, sikap liat Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara itu juga membuktikan kepupusan daya kreativiti pemimpin Umno-BN.

Husam menambah, terkesan dengan reaksi positif rakyat dengan cadangan yang dibawa Pakatan Rakyat untuk menghapuskan pinjaman PTPTN, Najib terpaksa mengelirukan rakyat dengan menyebut jumlah keseluruhan pinjaman tersebut sebanyak RM43 bilion.

“Dengan jumlah peminjam seramai 1.9 juta orang,  jumlah keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan sejak ia mula dikeluarkan sehingga akhir 2012 hanya berjumlah RM28 bilion sahaja.

“Bukan RM43 bilion seperti yang disebut Perdana Menteri,”jelasnya dalam satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, Husam mempersoalkan kewajaran Najib memberi angka yang silap dan mengelirukan rakyat.

Tambahnya, gambaran bahawa negara tidak mampu  menanggung pembayaran pinjaman sejumlah RM43 menunjukkan Najib tidak memahami mekanisma kewangan yang lazim diamalkan termasuk memberi ‘undertaking’ dan menjadual semula pinjaman.

“Adakah sengaja untuk mengeliru dan menakutkan rakyat jelata?.

“Jumlah keseluruhan 28 bilion sehingga akhir 2012 tidak semestinya dilunaskan serta merta keseluruhannya sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa,”ujarnya.

Husam mencadangkan, untuk mengatasi masalah ini kerajaan memberi jaminan pembiayaan tahunan setara dengan jumlah yang ditanggung PTPTN kepada institusi kewangan yang memberikan pembiayaan kepada badan tersebut.

“Dengan itu kos tahunan kepada kerajaan adalah masih dalam tahap kemampuan Kerajaan Pusat sebagaimana PTPTN mempunyai jadual pembayaran tahunan yang tertentu,”ujarnya.