Categories
NASIONAL

Imigresen tahan Pengarah, Pegawai Pemasaran agensi pekerjaan

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Jabatan Imigresen menahan dua pengarah serta seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat agensi pekerjaan di Seri Kembangan dekat sini, kerana disyaki menawarkan khidmat pendaftaran program pemutihan warga asing yang tidak lagi wujud.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan dibuat di pejabat syarikat itu di kawasan perniagaan Desa Ria, Seri Kembangan, menerusi operasi bersepadu antara Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia dan Pasukan Petugas Antipemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata hasil pemeriksaan, sejumlah 29 pasport asing, resit pendaftaran serta iklan dirampas untuk tindakan lanjut selain menahan seorang warga asing disyaki menyalahgunakan pas dengan bekerja di premis berkenaan.

“Hasil risikan mendapati individu atau syarikat berkenaan dikesan menyasarkan majikan dan pendatang tanpa izin untuk mendaftar program itu menerusi media sosial dengan mengenakan bayaran tertentu sebagai deposit.

“Jabatan Imigresen memandang serius perkara ini kerana ia adalah satu sindiket penipuan. Program Rehiring telah tamat pada 30 Jun 2018 dan tidak disambung lagi selepas itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya percaya penipuan oleh syarikat itu dilakukan sejak Februari lepas dengan mengaut keuntungan atas angin bagi sejumlah pendatang tanpa izin yang kononnya didaftarkan untuk diputihkan.

“Pengarah dan pegawai pemasaran yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 56(1)(f) Akta Imigresen 1959/1963. Saya ingin menasihatkan majikan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran sedemikian serta merujuk kepada Imigresen bagi mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat berkaitan.

“Kami beri amaran kepada mana-mana syarikat agensi pekerjaan yang didapati terbabit dalam aktiviti penipuan seperti ini supaya menghentikannya serta merta atau bakal berdepan dengan tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata tindakan itu adalah untuk memastikan individu berkaitan yang mengambil kesempatan ke atas majikan dan warga asing dikenakan tindakan sewajarnya, seterusnya tiada lagi majikan dan warga asing ditipu. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

1,485 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Seramai 1,485 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu dilancarkan Jabatan Imigresen di seluruh negara mulai tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan itu hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam ke atas 3,750 warga asing.

“Operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen pula telah berjaya menahan 218 PATI daripada 418 yang diperiksa di sebuah pusat hiburan dan dua kediaman sekitar Lembah Klang atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan sebanyak 2,646 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan memeriksa seramai 40,321 orang sejak 1 Januari hingga Khamis lalu.

Dari jumlah itu, seramai 9,452 PATI daripada pelbagai warganegara ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antaranya tinggal lebih masa, memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Khairul Dzaimee berkata, seramai 176 majikan turut ditahan sepanjang tempoh berkenaan manakala 151 majikan didakwa dan diambil tindakan.

“Daripada keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia iaitu seramai 3,261 diikuti Bangladesh seramai 2,378, Filipina 849, Myanmar 868 dan bakinya adalah dari lain-lain negara,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen menegaskan akan mengambil segala langkah yang perlu dan tindakan tegas untuk menangani isu berkaitan PATI.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan majikan dan pekerja asing mematuhi undang-undang negara.

Langkah tegas itu, katanya, perlu diambil bagi mengatasi masalah lambakan PATI di negara ini.

Categories
NASIONAL

Indera Khairul dilantik Ketua Pengarah Imigresen baharu

PUTRAJAYA, 13 JAN: Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud, dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen baharu, berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang bersara daripada jawatan berkenaan, pada 31 Disember lalu.

Katanya, Indera Khairul, 47, pemegang Sarjana dalam jurusan Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpengalaman dalam bidang pengurusan keselamatan dan keimigresenan.

“Beliau juga bertanggungjawab terhadap dasar berkaitan hal ehwal imigresen, pengurusan pekerja asing dan hal ehwal pendaftaran negara semasa menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN pada Julai 2018, hingga hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Indera Khairul memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam, pada Disember 1996 di Jabatan Perkhidmatan Awam, diikuti Kementerian Pembangunan Usahawan, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ke KDN.

Pada masa sama, Alwi turut mengumumkan Datuk Jamil Rakon dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KDN selepas mengambil kira pengalaman luasnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran awam serta pembangunan diperlukan bagi memperkasa tadbir urus kementerian.

Berkelulusan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dari Australian Institute of Criminology Canberra, Jamil memulakan kerjayanya di Kementerian Pertahanan, pada Disember 1992 selain berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan.

Alwi yakin kepakaran dan pengalaman kedua-dua pegawai itu dapat memperkukuhkan pentadbiran KDN dan Jabatan Imigresen.

*Sumber: BERNAMA

Kerajaan digesa siasat kehilangan RM2 bilion hasil cukai akibat penyeludupan rokok

Nga Kor Ming rokokKUALA LUMPUR 23 OKT : Kerajaan Pusat digesa meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas kes penyeludupan rokok kerana negara kehilangan hampir RM2 bilion hasil cukai duti dalam tempoh setahun.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, berkata kehilangan itu tidak termasuk kerugian cukai akibat penyeludupan minuman keras ke dalam negara yang dijangka lebih besar daripada jumlah berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan penyelidikan British American Tobacco Co, Malaysia mempunyai kadar penyeludupan rokok tertinggi di dunia iaitu satu pertiga rokok di pasaran adalah hasil produk daripada lambakan aktiviti penyeludupan secara haram.

“Memandangkan harga rokok di pasaran RM12.50 sekotak, ramai perokok memilih untuk menghisap bahan yang diseludup masuk kerana dianggap lebih murah walaupun menjejaskan kesihatan mereka.

“Fenomena itu jelas membuktikan langkah kerajaan menaikkan duti cukai sama ada rokok atau arak adalah kurang berkesan dalam mengawal kegiatan penyeludupan membabitkan barangan berkenaan,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Kor Ming berkata, harga rokok yang mahal secara tidak langsung mempergiat lagi aktiviti penyeludupan hingga menyebabkan pengguna dan kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat kelemahan pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Katanya, kerajaan disaran supaya menempatkan ejen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di setiap agensi penguatkuasaan bagi mengatasi masalah terbabit.

“Berdasarkan kepada pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Robert Low, kerajaan akan mengupah 500 pegawai integriti mulai tahun depan untuk ditempatkan di agensi kerajaan.

“Bagi membanteras kegiatan penyeludupan, badan penguatkuasa undang-undang harus diberi keutamaan menerima penempatan pegawai terbabit sebagai semakan dalaman supaya mereka dapat memberi maklumat berguna bagi mencegah kegiatan penyeludupan yang kian membimbangkan,” katanya.

-NFN-

MPS roboh 10 gerai,3 warga asing ditahan

roboh premis Majlis Perbandaran Selayang 01

SELAYANG , 26 Sept : Operasi bersepadu membabitkan Majlis Perbandaran Selayang, Jabatan Imigresen, Syabas, TNB dan polis dijalankan di Kolam Air Panas, di sini.

Hasil pantauan MPS, 10 buah gerai haram yang beroperasi selama 10 tahun, diroboh.

Sebelum ini banyak notis dan kompaun dikeluarkan, yang terbaru, notis bertarikh 2 september diberikan kepada peniaga terlibat, namun tidak diendahkan.

roboh premis Majlis Perbandaran Selayang 02“Dakwaan peniaga di sini mengatakan kami mengambil tindakan tanpa notis adalah tidak benar sama sekali,” kata Penolong Pegawai Penguatkuasa, Megat Ainul Fadhil Ainul Fadzil.

“Gerai-gerai ini didapati menceroboh tanah Kerajaan Negeri dan diambil tindakan meroboh di bawah notis halangan 46(1)a Akta Parit danBangunan 1974.

“Hasil pantauan yang dibuat, didapati premis ini juga tidak menjaga kebersihan dan memberikan pandangan negatif kepada pelancong,” katanya.

Menurut beliau, kawasan ini bakal dibangunkan menjadi salah satu kawasan pelancongan di masa akan datang.

roboh premis Majlis Perbandaran SelayangOperasi ini disertai kira-kira 50 orang penguatkuasa termasuk imigresen.

Pemilik-pemilik gerai ini kesemuanya berasal dari luar Selangor dan menjadikan premis sebagai tempat tinggal.

Peniaga ini pernah memohon permit, namun ditolak kerana lokasi terbabit tidak sesuai memandangkan kawasan terbabit bakal dinaiktaraf.

Sementara itu, Jabatan Imigresen yang diketuai Norazilawati Che Anuai Tim, berjaya menahan tiga warga asing, dua warga Bangladesh, di bawah kesalahan menyalahgunakan pas kerja, manakala seorang wanita warga Indonesia menetap lebih masa.

Kesemua mereka ditahan selama 14 hari untuk sisatan dan jika disabit kesalahan akan dikenakan hukuman kompaun, diusir atau didakwa.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MPK roboh premis beroperasi secara haram

MPK Kilang Haram 01

KLANG, 12 SEPT : Tindakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) meroboh premis perniagaan di Jalan Teratai, Meru disebabkan beroperasi haram dan menyalahi Akta Kanun Tanah Negara, tegas ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Abdul Rani berkata, tindakan meroboh premis perniagaan melibatkan gerai makanan, kedai runcit dan buah-buahan di bahu jalan itu dilakukan selepas menerima aduan penduduk setempat.

“Apabila melibatkan Kanun Tanah Negara, tiada siapa pun boleh terkecuali dengan tindakan meskipun pemilik premis perniagaan itu orang kenamaan mahupun Adun,” jelasnya.

Sebelum ini, MPK menerusi Operasi Bersepadu bersama beberapa agensi lain bertindak meroboh sembilan premis perniagaan milik warga tempatan dan empat milik warga asing di Jalan Teratai, Meru, Klang.

MPK Kilang Haram 02

Abdul Rani berkata, tidak sewajarnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mempersoalkan tindakan MPK itu kerana ianya operasi bersepadu pelbagai agensi kerajaan negeri dan pusat.

Ianya melibatkan Jabatan Perkhidmatan dan Persekitaran (JPP), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jangan salahkan MPK, tindakan ini adalah operasi bersama atas aduan penduduk, malah penduduk di situ sendiri mengakui bahawa mereka menghadapi masalah tersebut sejak 15 tahun lalu.

“MPK dan agensi-agensi yang terlibat dalam operasi itu menjalankan suatu tindakan betul kerana dilakukan setelah bermesyuarat,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor sokong operasi pemutihan Pati terbesar – MB

exco

SHAH ALAM 28 OGOS : Kerajaan Negeri menyokong langkah pihak berkuasa memburu kira-kira 500,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) di seluruh negara, bermula 1 September.

Operasi itu merupakan operasi pemutihan terbesar yang pernah digerakkan oleh Jabatan Imigresen.

Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur menjadi negeri tumpuan operasi ini yang akan berlangsung selama tiga bulan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Selangor dilaporkan mempunyai jumlah pendatang asing yang sangat tinggi.

Jelasnya Kerajaan Negeri berharap operasi ini mampu membantu pihaknya mengenal pasti jumlah sebenar Pati di Selangor.

“Kita amat memerlukan kerjasama supaya darinya kita boleh menguruskan soal keselamatan dan segala sumber berkaitan dengan pendatang asing,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Dilaporkan Jabatan Imigresen akan mengetuai operasi ini, dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 135,000 anggota akan terlibat dalam proses pemutihan yang digerakkan di seluruh negara.

Pendedahan RCI Sabah, Bukti Jabatan Kerajaan Diperkuda BN

mahathir azmin copy

PETALING JAYA 17 JAN : Pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang asing di Sabah membuktikan jabatan serta agensi kerajaan diperkuda BN bagi menjamin kesinambungan hayat mereka dalam Pilihan Raya Umum.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam satu sidang media hari ini mendakwa, usaha itu melibatkan peranan institusi penting di bawah bidang kuasa Perdana Menteri seperti Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.

“Kita sedang meneliti keterangan beberapa saksi beberapa kejutan berlaku, nama-nama disebut, dan perkara ini sebenarnya tidak mengejutkan kita.

“Ini satu usaha terancang yang diketuai mantan PM dan bagi saya beliau pengkhianat negara kerana bagi kad pengenalan kepada warga asing untuk kekalkan kuasa politik Umno,” tegas Azmin.

Sehubungan itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu serius melibatkan kedaulatan negara ini.

“Usaha terancang ini sama sekali tidak boleh dimaafkan, tidak boleh diterima kerana memberi hak kepada warga asing untuk menentukan masa hadapan negara,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, bekas Ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah mendakwa beliau dan beberapa orang menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Semalam, saksi lain pula mengaitkan dua bekas orang kanan Mahathir dikaitkan berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah ketika memberi keterangan kepada RCI.

Bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin juga mendakwa menerima arahan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.