Categories
AGENDA NASIONAL

Jakim siasat aduan salah laku pemberian sijil halal

KUANTAN, 26 OKT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengambil berat dakwaan berlakunya salah laku oleh pegawainya dalam proses pemberian pensijilan halal, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Katanya, permintaannya sebelum ini supaya pihak yang membuat dakwaan berkenaan supaya menyertakan bukti tidak bermakna tiada sebarang siasatan dibuat berkenaan perkara itu.

“Dalam Jakim, kita sedang laksanakan siasatan dan kita tidak akan berkompromi sekiranya ada berlaku salah laku dari segi proses pensijilan itu

“Sesiapa saja boleh datang memberi maklumat dan kita akan melindungi identiti ‘whistle blower’ itu kerana kita amat ambil berat integriti Jakim,” katanya kepada kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Rahmah 3R, di sini, hari ini.

Beliau mengulas artikel terbaru oleh oleh Murray Hunter di laman web Asia Sentinel pada semalam bertajuk ‘Jakim’s Halal Crisis Deepens’ yang menurutnya mendakwa Jakim tidak bersungguh-sungguh menyiasat salah laku itu dan pemberi maklumat (whistle blower) tidak berani untuk memberi maklumat berkaitan perkara berkenaan.

Pada 13 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuantan itu dilaporkan mengingatkan pihak yang membuat dakwaan itu untuk segera mengemukakan bukti kepada Jakim yang telah bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang, sekiranya perlu.

Beliau turut mempersoalkan integriti laman web yang menerbitkan artikel itu kerana menurutnya, pejabat Asia Sentinel di Kanada dan Hong Kong telah ditutup.

Mengenai penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP), beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang berkata 542 MPKKP dengan 7,046 ahli akan menjalankan tugas bermula 1 Jan 2020 di negeri ini.

Beliau berkata dengan penubuhan MPKKP ini, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) negeri tidak lagi akan dibiayai kerajaan persekutuan dan terserah kepada kepada kerajaan negeri untuk meneruskan aktivitinya.

Katanya, PH pada asasnya tidak mahu menubuhkan MPKKP kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat di akar umbi tetapi tidak dapat mengelakkanya kerana MPKK negeri terlibat dalam politik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JAKIM nafi pegawai minta caj daftar premis proses daging halal

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan kononnya pegawai jabatan itu meminta bayaran sebanyak RM50,000 bagi tujuan pendaftaran premis pemprosesan daging halal di ibu negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, JAKIM mempunyai mekanisma kawalan serta mengamalkan sistem integriti yang tinggi dan telus bagi mengelakkan berlaku amalan rasuah dalam kalangan kakitangannya.

“Mekanisma ini termasuklah kerjasama yang rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di samping penempatan pegawai SPRM secara sepenuh masa di bahagian yang berisiko tinggi berlakunya rasuah,” katanya.

Mohamad Nordin mengulas berhubung artikel bertajuk ‘Malaysia Halal Crisis’ oleh Murray Hunter di laman web Asia Sentinel bertarikh 10 Oktober lalu yang mendakwa berlakunya isu integriti dan kompetensi kakitangan JAKIM dalam proses pensijilan halal Malaysia.

JAKIM turut menggesa penulis artikel itu serta semua pihak untuk tampil mengemukakan bukti bagi diteliti serta diambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang.

“Isu ini amat serius kerana ia boleh menyebabkan reputasi halal Malaysia tercemar dengan fitnah dan tuduhan tidak berasas,” katanya menambah JAKIM sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan integriti.

Mohamad Nordin turut menolak dakwaan di dalam artikel itu mengatakan kakitangan JAKIM angkuh dan tidak membantu dalam proses pendaftaran, sebaliknya mereka bersedia memberikan perkhidmatan terbaik.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan melibatkan kakitangan JAKIM atau masalah berkaitan permohonan sijil halal secara dalam talian. Kami sentiasa membantu semua pihak dan syarikat untuk mendapatkan sijil halal,” katanya.

Tambahnya, JAKIM komited mengekalkan reputasi pensijilan halal yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa serta mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memantapkan kualiti sijil halal JAKIM.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerjasama tambah nilai program Diploma Tahfiz al-Quran

PUTRAJAYA, 21 MEI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menjalin kerjasama dengan Yayasan Restu bagi mendapatkan kepakaran dalam tulisan khat untuk menambah nilai program pengajian Diploma Tahfiz Al-Quran di Darul Quran Jakim, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Menurutnya, Yayasan Restu melalui Nasyrul Quran yang berpengalaman dalam mencetak dan penerbitan Al-Quran boleh berkongsi kepakaran bersama pelajar Darul Quran bagaimana untuk menyalin semula juzuk-juzuk daripada kitab suci dalam ragam hias yang cantik dan menarik.

“Satu daripada syarat pengajian diploma tersebut ialah pelajar perlu menulis dan menyalin semula ayat al-Quran yang dihafal. Ada yang mampu menulis dengan cantik dan ada juga yang sebaliknya.

“Dengan kerjasama ini, kita boleh menyelaras jenis tulisan atau kaligrafi tertentu melalui bimbingan yang diberikan Nasyrul Quran untuk digunakan oleh pelajar dalam melengkapkan pengajian mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Khatam Al-Quran Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Mohamad Nordin berkata kebolehan menguasai teknik tulisan khat yang baik berserta kemampuan menghasilkan ragam hias yang menarik mampu memberi nilai tambah kepada lepasan Diploma Tahfiz Al-Quran pada masa akan datang.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran Datuk Abdul Latiff Mirasa yang turut hadir berkata yayasan itu bersedia berkongsi kepakaran melalui tenaga pengajar di sebuah kolej di bawah Yayasan Restu yang menawarkan pengajian dalam bidang seni mushaf atau seni khat.

“Kami memang ada pakar dalam tulisan khat dan atas sebab meningkatkan budaya menyalin Al-Quran di kalangan umat Islam, kita sambut baik cadangan yang dibuat dan sedia berkongsi kepakaran yang ada,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Promo Ramadan tiada sijil halal berisiko didenda hingga RM10 juta

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 8 MEI: Pemilik premis makanan, restoran dan hotel yang tidak memiliki sijil pengesahan halal dilarang mengiklankan ungkapan ‘Bufet Ramadan’ kerana ia akan mengelirukan umat Islam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi kenyataan di facebook berkata, mereka berisiko dikenakan denda sehingga RM500,000 dan tidak melebihi RM10 juta.

“Larangan itu berpandukan Akta Perihal Dagangan (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) serta Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal).

“Pengiklanan ini termasuk sebarang iklan di mana-mana media sama ada risalah bercetak, media massa atau media sosial yang merujuk kepada frasa makanan umat Islam untuk berbuka puasa,” katanya.

Antara ungkapan lain yang digunakan ialah ‘Citarasa Ramadan’, ‘Iftar Ramadan’, ‘Dijamin Halal’ atau ‘Jom Berbuka’.

Orang ramai dinasihatkan membuat semakan premis makanan, restoran dan hotel yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia dengan melayari www.halal.gov.my atau memuat turun aplikasi Verify Halal.

Categories
NASIONAL

JAKIM berjaya didik Orang Asli Islam

GUA MUSANG, 17 APRIL: Khidmat 50 Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) yang dilantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kelantan untuk memberi bimbingan kepada masyarakat Orang Asli yang memeluk Islam berjaya menarik lebih ramai golongan itu mendekati Islam.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Adnan Ab Rahmah berkata, ini kerana hubungan baik PMOA yang menetap sepenuh masa di perkampungan Orang Asli khususnya sekitar daerah Gua Musang.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berpuas hati dengan khidmat ditawarkan PMOA di perkampungan Orang Asli sejak 1993, menyaksikan ribuan masyarakat Orang Asli di Kelantan berjaya diislamkan.

“Kegigihan PMOA dalam mendekati masyarakat Orang Asli melalui gerakan dakwah secara berterusan berjaya membuka minda serta hati masyarakat itu untuk memilih Islam sebagai agama yang menjamin kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

“Saya dimaklumkan setiap bulan ada program mengislamkan Orang Asli dan inilah fungsi dan komitmen terbaik PMOA yang dilantik itu,” katanya kepada media selepas perasmian penutup Program Dakwah dan Ramah Mesra Masyarakat Orang Asli Koa di Kampung Mendrop, Pos Brooke, di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau yang mewakili Dr Mujahid pada perasmian penutup program berkenaan turut mengislamkan 23 penduduk Orang Asli dengan mengucap dua kalimah syahadah.

Program tiga hari berakhir hari ini dianjurkan bersama Jakim dengan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Adnan berkata melihat kepada sambutan program yang diadakan itu sudah ada kemesraan dan hubungan baik antara penduduk Orang Asli dengan pelbagai agensi berkaitan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan berdepan dengan pelbagai cabaran tetapi berjaya dihadapi dengan baik oleh PMOA yang ditugaskan. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Usahawan Selangor paling ramai terima pengiktirafan halal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 APRIL: Lebih 400 usahawan di Selangor menerima pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kata Rodziah Ismail.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi itu berkata, jumlah berkenaan sekali gus meletakkan Selangor sebagai pemegang rekod usahawan paling ramai dalam rekod halal.

Katanya, maklumat itu disampaikan JAKIM ketika Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019, baru-baru ini.

“Ini menunjukkan usahawan kita bukan biasa-biasa dan membuktikan mereka menepati pelbagai ciri yang boleh diiktiraf pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Saya berharap jumlah pemegang status halal ini akan bertambah kerana kualiti pengiktirafan halal adalah yang terbaik termasuk dari aspek kebersihan,” katanya kepada SelangorKini.

Rodziah berkata, kejayaan itu juga berpunca daripada gerak kerja Selangor Halal Action Plan melalui Invest Selangor yang berusaha membantu usahawan mendapatkan status halal.

“Kita juga sedar industri halal semakin berkembang memandangkan populasi penduduk Islam dunia pada ketika ini adalah sekitar 1.8 bilion dan dijangka akan terus bertambah sehingga 2.2 bilion, pada 2030.

“Populasi penduduk Islam ini meliputi 28 peratus daripada jumlah penduduk dunia. Berdasarkan kepada angka ini, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal adalah tinggi sehingga boleh mencecah USD680 bilion setahun,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Jakim tolak usaha iktiraf LGBT

PUTRAJAYA, 10 MAC: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, pendirian itu selaras kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai yang diamalkan di negara barat iaitu LGBT dan perkahwinan sejenis.

Katanya, demokrasi tidak bermaksud semua orang bebas membuat perkara disukai, apatah lagi perkara yang diperjuangkan bertentangan dengan undang-undang, ajaran agama, nilai dan norma masyarakat.

“Sejak dahulu lagi LGBT tidak diterima di negara kita. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej Malaysia sebagai negara Islam.

“Jakim merasa kesal dengan tindakan sekumpulan peserta perarakan Hari Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur, pada Sabtu yang menyokong golongan LGBT dalam negara.

“Pendirian sama juga turut ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang melarang sebarang usaha untuk mempromosi LGBT,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Nordin berkata, Jakim komited menangani dan membantu golongan yang terjebak dengan budaya LGBT melalui program rawatan serta pemulihan yang dijalankan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak.

Media sebelum ini melaporkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS) serta penyokong LGBT menyertai perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia, berhampiran sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Categories
NASIONAL

Denda hingga RM5 juta jika kelirukan status halal

PUTRAJAYA, 12 JAN: Mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna dengan status halal boleh didenda sehingga tidak melebihi RM5 juta jika kesalahan pertama dilakukan pertubuhan perbadanan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, perkara itu berpandukan Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

“Jika kesalahan dilakukan oleh bukan pertubuhan perbadanan, ia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Peniaga dan pengusaha seharusnya mempunyai sensitiviti tinggi untuk membangun perusahaan dalam memenuhi keperluan pengguna Islam dan bukan Islam di negara ini.

“Sementara masyarakat pengguna pula hendaklah memilih hanya premis yang mempunyai sijil halal yang diyakini sah sahaja,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Beliau mengulas laporan BERNAMA, pada 7 Januari lalu berhubung kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, Ayob Abd Majid yang mencadangkan JAKIM perlu mewajibkan pengusaha restoran memiliki sijil halal sebelum beroperasi.

Mohamad Nordin berkata, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bersifat sukarela dan bukan suatu kewajipan bagi pengusaha premis makanan, berpandukan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011.

Katanya, setakat ini, tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM daripada JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri.

“Cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal kepada semua premis makanan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan semua pengusaha restoran dan pengeluar produk makanan supaya mendapatkan sijil halal daripada JAKIM bagi memastikan jaminan halal serta kualiti makanan disediakan, di samping meningkatkan keyakinan pengguna.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Wajibkan pengusaha restoran ada sijil halal sebelum operasi

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu mewajibkan semua pengusaha premis makanan halal mendapatkan sijil pengesahan halal bagi kemudahan pelanggan Islam.

Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan & Selangor (PERMAS), Ayob Abd Majid berkata, syarat itu perlu bagi semua premis termasuk restoran, warung dan kendera saji sama ada yang sedang beroperasi atau ingin memulakan perniagaan.​​​​​​

Katanya, langkah itu dapat membantu pelanggan Muslim yang kadangkala keliru dengan status halal sesebuah restoran menjual makanan kepada pelanggan beragama Islam.

“Setakat ini kita dapati tiada lagi garis panduan dari JAKIM yang mewajibkan pengusaha restoran untuk ada sijil halal kerana selagi pengusaha ada sijil boleh berniaga dari Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mereka boleh terus membuka restoran.

“Restoran besar seperti hotel dan francais, mereka perlu ada sijil halal JAKIM untuk mula beroperasi, justeru PERMAS mencadangkan supaya mewajibkan juga perkara ini kepada pengusaha restoran yang menjual makanan halal supaya pelanggan lebih yakin,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan pemeriksaan bersepadu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dijalankan semalam terhadap sebuah restoran di Shah Alam, yang mendapati pemilik bersama restoran itu beragama Hindu.

Pemeriksaan lanjut JAIS mendapati restoran yang disangka restoran ‘mamak’ itu memiliki hampir semua pekerja termasuk tukang masak beragama Hindu selain hanya dua orang sahaja beragama Islam, serta kesalahan menjual daging kambing yang tiada sijil halal.

Justeru, Ayob menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum memasuki sesebuah restoran, dan terus melaporkan kepada pihak berwajib jika mendapati terdapat keraguan berkenaan status halal restoran itu.

“Memang pihak berkuasa seperti JAIS sering membuat operasi sebegini terhadap restoran tetapi orang ramai perlu turut lebih berhati-hati apabila memasuki sesebuah restoran, jangan main ikut orang sahaja tanpa memastikan status halalnya.

“Orang ramai di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan yang ingin membuat aduan boleh terus menghubungi JAIS atau jika ingin mengadu kepada PERMAS boleh dibuat di laman Facebook bagi tindakan susulan,” katanya.

 

Categories
AGAMA SELANGOR

Jadikan fatwa rujukan utama

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OKT: Umat Islam digesa memberi kepercayaan dan sokongan kepada institusi fatwa dengan sentiasa menjadikannya sebagai rujukan utama.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dato’ Paimuzi Yahya berkata, fatwa adalah elemen penting dalam prinsip perundangan Islam atau Syariah.

Katanya, ia juga adunan kepada kefahaman terhadap nas syarak menggunakan kaedah pengistinbatan yang ditetapkan tanpa meminggirkan realiti atau latar belakang isu.

“Isu membabitkan akidah, perundangan, muamalat, munakahat, sosial atau perubatan tidak boleh dipandang enteng dan institusi fatwa mempunyai kewibawaan dalam menangani isu membelenggu umat Islam.

“Ia dapat diatasi melalui instrumen fatwa sebagai jalan keluar mendepani perubahan zaman dan keadaan kerana institusi ini mempunyai sejarah panjang serta terbukti dapat dijadikan rujukan juga panduan umat Islam.

“Setiap fatwa dikeluarkan saya percaya melalui proses kajian dan penyelidikan sebaiknya bagi memastikan ia dapat dijadikan sandaran serta panduan berwibawa,” katanya.

Paimuzi berkata, dengan menjadikan fatwa sebagai panduan hukum, isu baharu yang timbul dapat ditangani sebaiknya menerusi ikatan syariah dan akidah.

Pada masa sama, katanya, semua pihak perlu memahami fatwa mungkin berubah atas tuntutan perubahan masa dan keadaan sekitar, namun ia masih berada pada landasan syariah.

“Dunia sentiasa berputar dalam arus perubahan, namun Islam harus berdiri teguh mempertahankan prinsip dan pada masa sama mampu hidup berkembang.

“Keunikan prinsip inilah yang menjadikan Islam sebagai agama yang sentiasa segar dan tidak berubah lantas menjadikannya sentiasa relevan,” katanya.

 

Categories
AGAMA SELANGOR

Tepis maklumat ‘viral’ tidak tepat – JAKIM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OKT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyarankan umat Islam supaya memegang prinsip dan ajaran Islam dalam meneliti serta menapis maklumat tular berunsur agama khususnya berkaitan fatwa juga hukum.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan)nya, Dato’ Paimuzi Yahya berkata, sifat berhati-hati dan tabayyun menapis maklumat itu perlu dijadikan amalan dalam kehidupan, lebih lagi pada zaman revolusi teknologi ketika ini.

Katanya, umat Islam juga perlu menjadikan agensi berautoriti seperti Jabatan Mufti sebagai rujukan dalam konteks hukum dan fatwa.

“Ini kerana, agensi ini diberikan mandat dan tanggungjawab oleh kerajaan dalam menangani isu berkaitan hukum dan fatwa.

“Tanpa sifat berhati-hati dalam berhadapan maklumat pelbagai ini, ia dikhuatiri akan menatijahkan kesan negatif kepada masyarakat.

“Lebih lagi jika ia ditularkan lalu menjadi polemik yang boleh mendatangkan keresahan dalam masyarakat, oleh itu ia menjadi kewajiban kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Pendidikan Fatwa negeri, di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Majlis Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

Hadir sama Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Selain itu, Paimuzi juga mahu pendidik lebih peka berdepan masyarakat dan memantapkan diri dalam menghadapi cabaran anasir yang cuba menjatuhkan Islam.

“Baru-baru ini, JAKIM di Perak membincangkan isu berkaitan pluralisme dan liberalisme yang dikaitkan dengan Islam dan apabila berkata Islam itu liberal tetapi tafsiran sebenarnya banyak bertentangan dengan agama.

“Oleh itu, pendidik perlu berhati-hati dalam isu membabitkan agama dan perlu mendapatkan maklumat sahih terlebih dulu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya walaupun masyarakat Islam kini semakin terbuka seiring perkembangan zaman dan teknologi, namun kematangan ilmu diperoleh boleh menepis isu seperti itu.

Categories
AGAMA NASIONAL

JAKIM tetap relevan, segarkan peranan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 MEI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berharap peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disegarkan bersesuaian dengan fungsinya sebagai agensi penggubalan undang-undang syarak dan hal ehwal Islam.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, sehubungan itu ABIM menyambut baik kenyataan kerajaan bagi penubuhan kumpulan perbincangan terdiri daripada ulamak dan ilmuwan untuk menilai semula peranan jabatan berkenaan.

“Berdasarkan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan, maka ABIM menegaskan peranan JAKIM tetap relevan serta penting terutama sekali ke arah membentuk kefahaman Islam lebih menyeluruh sesuai dengan persoalan pemikiran, fiqh serta syariah, sosioekonomi dan politik, pada masa akan datang.

“Tanpa menafikan sumbangan serta peranan JAKIM cukup besar sebelum ini, maka ABIM merasakan badan itu perlu lebih ke hadapan serta inklusif untuk mengangkat tema Al-Islam Rahmatun Lil Alamin dengan pelbagai pihak termasuk masyarakat bukan Islam serta isu sensitif,” katanya.

Beliau berkata, JAKIM juga perlu proaktif mengetengahkan perbincangan serta wacana pemikiran Islam kontemporari untuk membentuk kefahaman lebih holistik dalam kalangan rakyat terhadap Islam, pada masa depan.

Katanya, ABIM serta pertubuhan Islam dan agamawan termasuk masyarakat sentiasa bersedia untuk berpartisipasi dalam proses perbincangan yang bakal diadakan kelak.

“Partisipasi ini adalah komitmen ABIM ke arah menggerakkan gelombang baharu dakwah untuk mengenjak tahap keberagamaan umat dengan bingkai Maqasid Syariah yang mengutamakan kemaslahatan rakyat dan menghindari sebarang kemudaratan,” katanya.