Categories
NASIONAL

Laporan tunggakan bayaran balik GST dibentang 16 Julai

KUALA LUMPUR, 10 JUL: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan membentangkan laporan berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) RM19.4 billion di Dewan Rakyat, pada 16 Julai.

Pengerusinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, laporan itu sudah dimuktamadkan secara sebulat suara oleh 13 ahli PAC Parlimen yang terdiri daripada pihak kerajaan serta pembangkang dalam Mesyuarat Verifikasi Laporan PAC hari ini khususnya untuk rumusan dan syor berhubung tuntutan itu.

“Saya perlu akui ia adalah satu prosiding yang lama apabila PAC Parlimen mengambil masa 11 bulan menyiapkan laporan ini dengan mengadakan 10 mesyuarat prosiding membabitkan 10 saksi termasuk bekas Menteri Kewangan II, bekas Ketua Setiausaha Perbendaraan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Akauntan Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, PAC juga mendapat taklimat daripada Jabatan Audit Negara sebanyak tiga kali serta mendapat pandangan daripada Jabatan Peguam Negara di samping mengadakan mesyuarat penyediaan laporan ini sebanyak empat kali.

Katanya, bilangan mesyuarat itu cukup membuktikan bahawa PAC Parlimen mahu memastikan siasatan diadakan mencakupi setiap aspek, untuk mencari kebenaran dan keadilan berhubung isu berkenaan demi kepentingan negara dan rakyat.

Beliau berkata, untuk menyediakan laporan itu, PAC Parlimen turut mendapat input daripada tujuh kementerian dan jabatan iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (KHE), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Audit Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Akauntan Negara.

Katanya, laporan itu amat komprehensif dan input padangan serta maklum balas daripada ketujuh-tujuh kementerian serta jabatan yang bertindak sebagai exofficio PAC Parlimen amat penting dalam memastikan segala maklumat, rumusan serta syor dalam laporan, tidak menyebelahi mana-mana pihak selain berasaskan fakta yang sah dan tepat.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada bekas Pengerusi PAC Parlimen Datuk Seri Ronald Kiandee yang memulakan siasatan serta prosiding dengan meletakkan asas kepada PAC Parlimen dalam mengadakan siasatan dan prosiding terhadap isu ini,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan laporan ini dengan memuat turun daripada lawan web PAC Parlimen di alamat www.parlimen.gov.my/pac selepas ia dibentangkan pada hari berkenaan.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PAC perlu bincang keperluan panggil Najib

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 19 NOV : Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) digesa untuk berbincang berkenaan keperluan memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata perbincangan itu perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat jawatankuasa berkenaan.

PJ Utara MP Tony Pua

“Perkara ini perlu dibincangkan terlebih dulu dalam PAC dan jawatankuasa itu perlu membuat keputusan,” katanya ringkas di lobi Parlimen, hari ini.

Pua berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin bahawa Najib tidak perlu dipanggil untuk siasatan skandal syarikat 1MDB.

Kenyataan Hasan mengenai keperluan Menteri Kewangan itu dipanggil untuk disiasat bercanggah dengan kenyataan bekas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini.

Sebelum ini, Nur Jazlan berkata, PAC mungkin akan memanggil Najib bagi membantu siasatan berkenaan kes pelaburan dan hutang yang dibuat 1MDB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda akan dipanggil untuk siasatan PAC pada 1 Disember manakala bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Halmi diarahkan hadir pada 25 November ini.

-nR-

Categories
NASIONAL

PAC : Tony Pua Kekal, lima muka baru

AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan bersama empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dilantik menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS menggantikan Datuk Kamarudin Jaafar selepas Ahli Parlimen Tumpat itu menyertai PKR bulan lalu.

Empat ahli baru daripada BN dilantik bagi menggantikan mereka yang dilantik ke Kabinet pada Julai.

PACNama mereka dilihat tercatat dalam minit mesyuarat Jawatankuasa Pemilih yang ditandatangani Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mereka dilantik adalah ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh menggantikan Datuk Madius Tangau setelah dilantik sebagai menteri teknologi, sains dan inovasi.

Ahli Parlimen BN, Datuk Ahmad Hamzah (Jasin) menggantikan Datuk Mas Emieyati Shamsudin, sementara Datuk Nawawi Ahmad (Langkawi) menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas).

Mas Ermieyati dan Reezal Merican dilantik sebagai timbalan menteri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai dalam rombakan kabinetnya.

Selain itu, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong turut dilantik mengantikan wakil MCA, Datuk Chua Tee Yong, yang dilantik menjadi timbalan menteri kewangan.

PAC kini mempunyai 14 ahli termasuk pengerusi baharunya, Datuk Hasan Arifin yang merupakan Ahli Parlimen Rompin dari BN.

pix-for-wawancara-tony-pua-DALAM1Bagaiamanpun, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, dari DAP, Tony Pua yang baru-baru ini menerima kritikan susulan kenyataannya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kekal dalam jawatankuasa itu.

-nR-

PAC patut siasat salah urus tadbir MAS

Pakatan Rakyat menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) yang menanggung hutang berbilion ringgit dan alasan pemberhentian pekerjanya tidak masuk akal.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Laporan Audit : Menteri jangan salahkan pegawai rendah

audit

KUALA LUMPUR, 3 OKT : Menteri Kabinet digesa berhenti menyalahkan pegawai rendah dengan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala penyelewengan dan pemborosan perbelanjaan yang berlaku di jabatan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2012 terdapat banyak kebocoran perbelanjaan di jabatan persekutuan yang memerlukan siasatan agar tidak berulang.

“Menteri harus bertanggungjawab dan tidak menyalahkan pegawai rendah kerana ia berlaku di depan mata mereka tanpa pengawasan.

“Kita tidak mahu dengar menteri kata ia dalam siasatan atau pertimbangan kerana setiap tahun perkara ini berlaku, malah lebih parah lagi,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Beliau turut menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) supaya mengadakan satu sidang khas untuk meneliti perkara ini selain meminta ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang terlibat dalam jawatankuasa itu untuk terus mendesak isu berkenaan dipantau.

“Setiap kali laporan audit diterbitkan, kita seolah-olah terkejut sedangkan kebocoran dan penyelewengan berlaku setiap tahun.

“Kebocoran berlaku dalam keadaan harga barang naik, rakyat ditekan tetapi penyelewengan yang berlaku ini dibiarkan,” katanya.

-MEM