Categories
AGENDA NASIONAL

Tangguh umrah, jemaah dapat sagu hati RM1,671 mulai 18 Februari

SHAH ALAM, 13 FEB: Jemaah umrah yang terpaksa membatalkan perjalanan ke Mekah susulan penularan varian Omicron akan menerima sagu hati berjumlah RM1,671 pada 18 Februari.

Bayaran itu akan dikreditkan ke akaun simpanan Tabung Haji (TH) penerima setelah dipersetujui dalam mesyuarat beberapa kementerian sebelum ini, kata menteri hal ehwal agama.

Menurut Datuk Idris Ahmad, seramai 8,027 jemaah umrah yang terkesan layak menerima ganti rugi itu namun hampir 1,000 dikesan belum mempunyai akaun simpanan TH.

“Oleh kerana kaedah bayaran melalui akaun simpanan TH, maka saya menyeru semua jemaah umrah yang belum mempunyai akaun untuk membukanya sebelum 18 Februari,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata pendaftaran akaun boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan www.thijari.com.my dan hadir ke kaunter TH terdekat bagi proses pengaktifan secara biometrik.

Idris menambah, mereka juga boleh merujuk mana-mana cawangan TH untuk pendaftaran secara manual dan akan dilayan serta-merta tanpa perlu beratur atau menunggu lama.

“Saya juga maklumkan kepada TH supaya segala tuntutan pembayaran ini dipermudah semaksimumnya supaya tidak berlaku kesulitan yang besar terhadap tuntutan ini,” katanya lagi.

Kerajaan menangguhkan sementara kebenaran umrah bermula 8 Januari susulan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah dan membenarkannya semula sebulan selepas itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Umrah ditangguh sebulan, perkenal SOP baharu kekang penularan Omicron

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan memutuskan untuk menangguh sementara ibadah umrah selama sebulan bermula 8 Januari susulan penularan varian Omicron, kata menteri kesihatan

Khairy Jamaluddin berkata dalam tempoh penangguhan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan merangka tatacara operasi piawai (SOP)  baharu termasuk perlu mengambil dos penggalak sebelum mengerjakan umrah.

“Selain itu antara tambah baik SOP yang turut dilaksanakan adalah melibatkan pengurusan kes dan kontak rapat di Arab Saudi, pemantauan status kesihatan jemaah di Arab Saudi serta memperkukuhkan tanggungjawab kepada agensi pelancongan.

“Agensi pelancongan mesti memastikan pematuhan SOP jemaah umrah serta melaporkan kes positif dan kontak rapat kes positif,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata KKM melakukan penilaian risiko dari semasa ke semasa sebelum mempertimbangkan semula kebenaran mengerjakan umrah.

Categories
AGENDA NASIONAL

245 kes Omicron dikesan, 12 jangkitan tempatan – Khairy

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebanyak 245 kes jangkitan Covid-19 varian Omicron dikesan di Malaysia setakat hari ini, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata daripada jumlah tersebut, 233 kes merupakan jangkitan import manakala 12 kes penularan tempatan.

“Selain itu, sebanyak 157 kes atau 64 peratus daripada semua kes tersebut melibatkan jemaah umrah,” katanya pada sidang media hari ini.

– BERITA LANJUT MENYUSUL

Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah umrah perlu tunggu giliran dapat dos penggalak

SHAH ALAM, 2 NOV: Jemaah umrah yang mendapat tarikh penerbangan ke tanah suci perlu menunggu giliran bagi menerima dos penggalak vaksin, kata timbalan menteri kesihatan 1.

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menjelaskan keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan, warga emas dan individu yang menghadapi masalah kesihatan atau komorbid, lapor Berita Harian.

“Dos penggalak ini, sekarang kita buka untuk petugas hadapan, mereka yang ada komorbid, berusia 60 tahun ke atas yang ada masalah dan yang berdepan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata individu yang menerima vaksin Sinovac akan mendapat dos penggalak selepas tiga bulan bagi memenuhi syarat menunaikan umrah.

“Sekarang sudah dibenarkan dos campuran, Pfizer, Pfizer dan Sinovac atau Sinovac dan Pfizer. Macam di Arab Saudi, mereka masih mengekalkan hanya Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna,” kata Dr Noor Azmi.

Pada Julai, kerajaan Arab Saudi mengumumkan hanya penerima empat jenis dos vaksin dibenarkan memasuki tanah suci bagi menunaikan ibadah haji dan umrah.

Bagaimanapun, pada Ogos, negara itu membenarkan kemasukan penerima vaksin Sinovac dan Sinopharm dengan syarat mendapatkan dos penggalak Pfizer, Astra Zeneca, Moderna atau Johnson&Johnson.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 100 jemaah umrah Malaysia, Indonesia terkandas di KLIA

SEPANG, 28 FEB: Lebih 100 jemaah umrah Malaysia dan Indonesia yang transit di negara ini terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam susulan keputusan Kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan warganegara asing bagi mengekang penularan Covid-19.

Seorang jemaah dari Kedah, Mohd Fadzil Osman, 49, berkata beliau bersama 39 lagi jemaah dari Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah tiba di KLIA pada 6 pagi dan sepatutnya berlepas dengan pesawat Saudi Airlines pada 4.40 petang.

Beliau yang turut membawa isteri Norharisah Harun, 47, berkata mereka hanya mengetahui mengenai keputusan Kerajaan Arab Saudi pada 9 pagi.

“Ketika itu kami dimaklumkan keputusan belum muktamad, jadi kami menunggu lagi, tetapi kira-kira pukul 1 tengah hari barulah dapat pengesahan kami tak boleh terbang.

“Ada antara kami yang sudah mendaftar masuk, tetapi terpaksa keluar semula selepas dimaklumkan penerbangan batal,” katanya kepada Bernama, di sini malam tadi.

Mohd Fadzil berkata oleh kerana mereka datang menaiki bas, mereka terpaksa menunggu sehingga 1 pagi esok (hari ini) untuk bas berkenaan berpatah balik ke KLIA.

Walaupun kecewa tidak dapat menunaikan umrah pada saat akhir, namun beliau menganggap rezeki belum memihak kepadanya.

“Ini sepatutnya pertama kali saya dan isteri menunaikan umrah, tetapi apa boleh buat, kita hanya merancang. Penerbangan cuma ditangguh sehingga pihak Arab Saudi buka semula kemasukan jemaah umrah,” katanya.

Seorang lagi jemaah Rohani Abdul Rahman, 57, berharap penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi ditarik balik dalam masa terdekat.

“Kami sudah buat persediaan selama enam bulan untuk ibadah umrah ini, tak sangka saat akhir terpaksa dibatalkan. Memang sedih, tetapi kami reda,” katanya.

Sementara itu, jemaah dari Indonesia Muhammad Jamil Arfah, 28, berkata beliau bersama 23 lagi jemaah tiba di KLIA dari Makassar pada 3 petang tadi untuk transit sebentar sebelum menaiki penerbangan ke Arab Saudi.

“Penerbangan kami sepatutnya 9 malam tadi, tetapi dibatalkan. Ketika ini kami masih menunggu kata putus sama ada mahu pulang (ke Makassar) atau masih bisa (boleh) terbang ke Arab Saudi,” katanya.

Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, ziarah dan pelancongan susulan tindakan pihak berkuasa negara itu.

-BERNAMA