Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan hutan diarah kenal pasti lokasi risiko, pasang sistem amaran elak bencana

KUALA LUMPUR 11 JAN: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) diarah supaya segera mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dilanda bencana di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata langkah itu sebagai tindakan serta-merta untuk mengelakkan insiden lambakan kayu hanyut, puing, gelinciran tanah dan kejadian kepala air di beberapa buah negeri ekoran berlakunya hujan lebat serta banjir besar, baru-baru ini.

Beliau berkata setakat ini JPSM telah menggunakan aplikasi sistem Forest Monitoring using Remote System (FMRS) termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara masa nyata.

“Saya juga telah mengarahkan JPSM untuk mengemukakan laporan tersebut serta langkah-langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata JPSM juga diminta mengenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan-hutan lipur yang belum dipasang dengan sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan berkenaan selamat kepada penduduk setempat serta orang awam.

Takiyuddin menjelaskan dalam sektor pengurusan perhutanan, dasar Kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Beliau berkata SFM merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih (SMS), Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I).

“Selain itu, urus tadbir sektor perhutanan dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan atau enakmen perhutanan di negeri-negeri,” katanya.

Takiyuddin berkata kerajaan turut memastikan pengawalan aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bertajuk ‘Panduan Amalan Baik Hutan untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ pada tahun 2016.

Justeru, beliau berkata Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) komited dalam memastikan kekayaan sumber asli kita terus dijaga, diuruskan secara mampan dan digunakan secara bertanggungjawab.

“Saya menyeru semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri untuk bersama-sama KeTSA memastikan dasar Kerajaan Persekutuan dilaksana dan dipantau demi pembangunan negara yang mampan dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata tindakan meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040, selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat dipersetujui dalam Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) di Putarajaya yang dipengerusikan beliau.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Kempen tanam 100 juta pokok libat hingga 80,000 hektar kawasan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Kempen Penanaman 100 juta Pokok pada sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 bakal melibatkan kawasan seluas 20,000 hingga 80,000 hektar di seluruh negara.

Diterajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), kempen itu akan menyaksikan kira-kira 20 juta batang pokok akan ditanam setiap tahun bermula 2021 hingga 2025.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang berkata penanaman pokok akan meliputi kawasan darat, pesisiran pantai, paya laut dan kawasan gambut.

“JPSM juga akan menumpukan penanaman di kawasan bekas penerokaan haram, hutan terosot, kawasan banjir besar, hutan miskin yang tidak banyak pokok tumbuh secara semula jadi serta hutan yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang dibenarkan seperti bekas kawasan penempatan kayu balak atau matau,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat JPSM baru-baru ini.

Antara pokok yang akan ditanam ialah merbau, meranti tembaga, merawan siput jantan serta spesies pokok nadir.

Beliau berkata peruntukan kempen sebanyak RM20 juta itu akan digunakan untuk penyediaan anak pokok, kerja penanaman, rawatan dan penyelenggaraan, menaik taraf tapak semaian serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Bagi memastikan sasaran tercapai, kerajaan turut menggalakkan penglibatan orang ramai termasuk sektor swasta, katanya.

Pemantauan terhadap pelaksanaan kempen yang bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” itu akan dibuat menggunakan aplikasi Penghijauan Malaysia yang boleh dimuat turun melalui aplikasi telefon mudah alih atau capaian melalui laman web www.100jutapokok.gov.my .

Aplikasi dan capaian ini akan berfungsi sebagai penghitung yang merekodkan jumlah pokok yang ditanam sepanjang kempen.

“Jadi, orang awam yang menanam apa jenis pokok berkayu, tidak kira sama ada pokok landskap atau pertanian, boleh melaporkan tanaman mereka untuk direkodkan bagi tujuan pengiraan sekali gus meyumbang kepada jumlah sasaran sepanjang kempen,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Ridza berkata penanaman 100 juta pokok itu bagi mendukung komitmen yang dibuat oleh negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro 1992 dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan.

Setakat 2019, seluas 18.27 juta hektar atau 55.3 peratus daripad keluasan tanah negara adalah kawasan berhutan dan seluas 4.81 juta hektar di Semenanjung Malaysia merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Mohd Ridza berkata kempen tersebut juga merupakan usaha menangani fenomena perubahan iklim di peringkat global yang semakin membimbangkan.

“Para saintis mengenal pasti hutan sebagai elemen penting dalam menangani sebarang perubahan iklim kerana proses fotosintesis pokok yang menyerap karbon dioksida di atmosfera mampu mengurangkan kesan rumah hijau,” katanya.

Sejak kempen dilancarkan pada 2010, sebanyak 72,167,890 batang pokok telah ditanam, melibatkan kawasan seluas 90,000 hektar di seluruh negara.

“JPSM berharap semua pihak termasuk badan bukan kerajaan, individu dan seluruh rakyat Malaysia dapat turut serta dalam menjayakan kempen ini bagi membantu mencapai sasaran menanam 100 juta pokok sekali gus menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara,” katanya.

– BERNAMA