Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan hutan diarah kenal pasti lokasi risiko, pasang sistem amaran elak bencana

KUALA LUMPUR 11 JAN: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) diarah supaya segera mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dilanda bencana di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata langkah itu sebagai tindakan serta-merta untuk mengelakkan insiden lambakan kayu hanyut, puing, gelinciran tanah dan kejadian kepala air di beberapa buah negeri ekoran berlakunya hujan lebat serta banjir besar, baru-baru ini.

Beliau berkata setakat ini JPSM telah menggunakan aplikasi sistem Forest Monitoring using Remote System (FMRS) termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara masa nyata.

“Saya juga telah mengarahkan JPSM untuk mengemukakan laporan tersebut serta langkah-langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata JPSM juga diminta mengenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan-hutan lipur yang belum dipasang dengan sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan berkenaan selamat kepada penduduk setempat serta orang awam.

Takiyuddin menjelaskan dalam sektor pengurusan perhutanan, dasar Kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Beliau berkata SFM merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih (SMS), Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I).

“Selain itu, urus tadbir sektor perhutanan dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan atau enakmen perhutanan di negeri-negeri,” katanya.

Takiyuddin berkata kerajaan turut memastikan pengawalan aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bertajuk ‘Panduan Amalan Baik Hutan untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ pada tahun 2016.

Justeru, beliau berkata Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) komited dalam memastikan kekayaan sumber asli kita terus dijaga, diuruskan secara mampan dan digunakan secara bertanggungjawab.

“Saya menyeru semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri untuk bersama-sama KeTSA memastikan dasar Kerajaan Persekutuan dilaksana dan dipantau demi pembangunan negara yang mampan dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata tindakan meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040, selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat dipersetujui dalam Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) di Putarajaya yang dipengerusikan beliau.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Firma guaman boleh operasi dengan SOP ketat

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Firma guaman di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan perintah itu dari 3 hingga 16 Julai ini dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kebenaran ini diberikan setelah mengambil kira keperluan perkhidmatan guaman untuk menyokong sektor perkhidmatan perlu yang lain serta melancarkan urusan berkaitan dengan mahkamah dan jabatan kerajaan.

“Hanya dua orang pekerja atau 20 peratus daripada jumlah bilangan pekerja, yang mana lebih tinggi, dibenarkan beroperasi dari pejabat dan waktu ditetapkan antara pukul 9 pagi sehingga 1 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Katanya, firma guaman juga perlu menetapkan janji temu dengan anak guam atau pelanggan sekiranya perlu berurusan secara fizikal.

Selain itu firma guaman juga boleh memohon kebenaran beroperasi melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 dan kebenaran beroperasi daripada CIMS yang telah diperoleh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 boleh terus digunakan.

Katanya SOP PKPD perkhidmatan ini boleh dirujuk dari platform komunikasi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada sama sama, katanya penguatkuasaan dan pemantauan akan dilakukan secara berintegrasi oleh pihak berkuasa bagi memastikan firma guaman terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kaji akta khusus tangani kes hina mahkamah

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menggubal undang-undang khusus bagi menangani kes menghina mahkamah di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara sedang menjalankan kajian dengan membuat perbandingan terhadap undang-undang di beberapa negara seperti di India, United Kingdom dan Singapura.

“Kerajaan juga akan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh yang berkepentingan mengenai perkara ini,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang khas bagi menangani kes menghina mahkamah yang kian meningkat terutama di media sosial.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Jabatan Peguam Negara mengkaji perkara itu sejak 2010 dan draf disiapkan pada 2013 serta dirujuk kepada pihak mahkamah.

Takiyuddin berkata pada 2016 draf rang undang-undang itu berada di peringkat pengesahan oleh Bahagian Gubalan Jabatan Peguam Negara.

“Namun setahun sebelum itu …Kementerian Dalam Negeri membuat pindaan terhadap Akta Hasutan yang juga melibatkan perkara penghinaan mahkamah …oleh itu, perkara berkenaan telah dikaji semula oleh kerajaan untuk menyelaras dengan pindaan yang dibuat,” katanya.

Jelasnya, pada masa ini mahkamah menggunakan prinsip common law, Akta Undang-Undang Sivil 1956 di samping beberapa peruntukan lain seperti Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani kes menghina mahkamah.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Liew berhubung kunjungannya serta beberapa lagi pemimpin menemui Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam keputusan kes mahkamah ahli parlimen Pekan itu, Takiyuddin berkata ia bukan sesuatu yang luar biasa.

“Pada masa dahulu ketika (Ahli Parlimen) Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dikenakan tindakan oleh parti dan mahkamah, presiden PAS pada masa itu telah berkunjung menziarahi (Anwar) ketika itu (ahli parlimen) Permatang Pauh. Jadi, itu amalan biasa,” katanya.

-BERNAMA