Categories
AGENDA NASIONAL

Polis sita ‘Kancil kuning’ tidak berbumbung tular di media sosial

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Polis menyita dua kereta jenis Perodua Kancil termasuk satu ‘Kancil kuning’ yang tular dalam media sosial yang dipandu tanpa mempunyai bumbung.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata polis telah menahan kenderaan berwarna kuning itu yang sedang dipandu seorang lelaki berumur 47 tahun pada 1 pagi tadi di Bandar Metropolitan, Kepong, di sini.

“Hasil pemeriksaan kenderaan berkenaan didapati tidak mempunyai cukai jalan, tidak mempunyai bumbung selain tayar kereta hadapan sebelah kanannya telah pecah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas kereta kuning itu dilakukan berikutan satu video tular di aplikasi Tiktok berkaitan kenderaan itu.

Zulkefly berkata polis dalam masa sama membuat pemeriksaan ke atas pemilik kenderaan berkenaan yang berasal dari Raub, Pahang yang dipercayai gelandangan sebelum mendapati dia turut tidak mempunyai lesen memandu.

Beliau berkata lelaki itu turut menunjukkan sebuah lagi kereta Perodua Kancil berwarna hijau juga tidak mempunyai nombor pendaftaran selain cermin pecah pada bahagian pintu belakang sebelah kiri.

Menurutnya, polis menyita kedua-dua kereta berkenaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tidak layak untuk berada di atas jalan raya dan membahayakan kepada pengguna yang lain.

“Saman turut dikeluarkan terhadap pemandu itu atas kesalahan tiada lesen memandu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan ambil risiko redah jalan banjir, utamakan keselamatan – polis

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Pengguna jalan raya dinasihatkan agar tidak mengambil risiko meredah jalan yang banjir untuk meneruskan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, orang ramai perlu memikirkan keselamatan mereka susulan banyak jalan yang telah dinaiki air dan aliran air deras boleh mengundang padah.

“Pengguna jalan raya perlu bersikap berhati-hati dan jangan mengambil risiko untuk melakukan perjalanan, sekiranya jalan yang dilalui dinaiki air.

“Berhati-hatilah semasa musim banjir ini. Tidak perlu keluar, jangan keluar, duduk sahaja di rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hari ini Bernama melaporkan seorang lelaki dipercayai hanyut bersama kenderaannya di Batu 18 Jalan Kluang-Kahang, jam 8 malam tadi selepas menyelamatkan isterinya ketika air naik mendadak sewaktu mereka cuba melalui jalan berkenaan.

Terdahulu, beberapa video turut tular di media sosial menunjukkan pengguna motosikal yang cuba meredah jalan yang banjir dan dilimpahi air deras sebelum mengalami kemalangan.

Satu video tular itu juga menunjukkan motosikal milik seorang lelaki hanyut dibawa arus deras namun penunggang dan penumpangnya berkenaan sempat menyelamatkan diri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis lancar Ops Lampu Isyarat Merah mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Polis melaksanakan Ops Lampu Isyarat Merah mulai hari ini susulan ramai pengguna jalan raya didapati tidak mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat merah.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata operasi sehingga 31 Disember itu bertujuan mengesan mereka yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah, terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal, termasuk penghantar makanan atau barangan serta pemandu kenderaan lain.

“Tindakan saman serta merta akan diambil atau direkodkan butiran kenderaan terlibat bagi tindakan susulan. Kami memandang serius sikap dan trend pemanduan ini yang boleh menyebabkan kemalangan serta menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata statistik penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah pada tahun lepas merekodkan 69,267 saman, dengan motosikal mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu 32,657 diikuti kereta (29,873), lori (2,808) dan 3,929 lain-lain kenderaan.

Bagi tempoh sejak Januari hingga Nov pula 52,170 saman dikeluarkan dengan kenderaan motosikal mencatatkan saman tertinggi iaitu 26,764 diikuti kereta (20,751), lori (2,208) dan 2,447 lain-lain kenderaan.

Azisman berkata individu yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 17 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti berbasikal di lebuh raya tetap dilarang – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Aktiviti berbasikal hanya dilarang di lebuh raya tetapi masih dibenarkan di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Beliau berkata JSPT menasihatkan kepada penunggang basikal yang ingin menjalankan aktiviti berkenaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan demi menjamin keselamatan diri mereka serta pengguna jalan raya lain.

“JSPT mendapati isu larangan penggunaan basikal di lebuh raya seluruh negara kini sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutama penggemar aktiviti berbasikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azisman berkata oleh itu mana-mana individu yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Apabila disabitkan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis keluarkan 80,950 saman sejak hari pertama PKPP

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Polis mengeluarkan sebanyak 80,950 saman terhadap pengguna jalan raya sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) (10 Jun) sehingga semalam.

Antara kesalahan utama yang dilakukan adalah memandu melebihi had laju dengan sebanyak 37,802 saman, lesen tamat tempoh (12,169) dan sebanyak 10,390 saman tidak mematuhi arahan papan tanda trafik.

Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, pihak JSPT akan terus mengambil tindakan saman dan membawa pesalah ke mahkamah, jika melanggar peraturan dan undang-undang raya.

“Ini juga termasuk pengguna jalan raya yang memandu dalam keadaan mabuk dan penunggang motosikal yang didapati merempit di jalan raya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sebanyak hampir 40 juta saman masih tertunggak yang belum diselesaikan orang ramai, sejak tahun 2000.

Beliau berkata kesemua saman berkenaan mencecah nilai sehingga lebih kurang RM4 bilion.

Azisman turut mengingatkan mereka yang menerima saman trafik berkenaan agar melunaskannya dengan segera.

“Kategori kesalahan tertinggi yang dilakukan oleh pesalah trafik ialah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi arahan papan tanda trafik, kesalahan berkaitan lesen dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: 10,000-15,000 saman trafik dikeluarkan setiap hari

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula pada Rabu yang antara lain membenarkan pergerakan merentas negeri, polis mengeluarkan 10,000 hingga 15,000 saman trafik setiap hari di seluruh negara atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata antara kesalahan ialah memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan melanggar lampu isyarat.

Ini menunjukkan tahap disiplin pemandu ketika di jalan raya masih rendah, katanya ketika menjadi tetamu dalam talian program ‘Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan: Raya atau Waspada’ terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Azisman turut mengingatkan mereka yang menerima saman trafik berkenaan agar melunaskannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Mengulas persiapan JSPT bagi menangani pergerakan masyarakat selepas dibenarkan merentas negeri, beliau berkata selain pasukan respons yang akan digerakkan segera untuk memastikan kelancaran aliran trafik, JSPT setiap kontinjen juga meletakkan unit kereta peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal di setiap hentian rehat dan rawat di lebuh raya.

Mengenai aliran trafik di seluruh negara ketika ini, Azisman berkata keadaan masih terkawal serta tiada kesesakan lalu lintas dilaporkan.

Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan PKPP mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri dan aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

22 kes kemalangan babit pemandu mabuk dari Jan hingga Mei

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Sejumlah 22 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dilapor dalam tempoh lima bulan tahun ini dan dalam tempoh itu juga seramai 822 orang ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias mereka yang ditahan dalam tempoh Januari hingga Mei lepas itu terdiri daripada mereka yang berusia antara 15 hingga 41 tahun.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis akan meningkatkan operasi (mengesan pemandu) mabuk di seluruh negara. Saya minta agensi-agensi penguat kuasa yang lain untuk mengambil tindakan keras dan kawal penjualan arak yang sangat mudah dibeli dan diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azisman berkata daripada 22 kes kemalangan yang dilapor itu, 12 kes masih dalam siasatan manakala 10 kes lagi telah dituduh di mahkamah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri tanpa sebab jejas pergerakan petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Tindakan segelintir individu melakukan perjalanan rentas negeri tanpa alasan munasabah hanya mengganggu pergerakan petugas barisan hadapan yang kini berusaha mengekang penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya mengganggu kelancaran pergerakan kenderaan perkhidmatan perlu untuk sampai ke destinasi tertentu.

Katanya tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan terhadap individu yang cuba melakukan pergerakan rentas negeri untuk menyambut Aidilfitri.

“Nasihat saya… polis akan bertegas dan arahkan mereka (yang tidak mendapat kebenaran rentas negeri) berpatah balik.

“Jika degil, tindakan kompaun dan undang-undang akan diambil dan saya seru semua pihak berkorban demi kebaikan bersama… ianya hanya untuk raya tahun ini sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata pasukan ‘jam squad’ masih ditugaskan memantau kesesakan lalu lintas yang berlaku di sekatan jalan raya.

“Pasukan ini akan memberi nasihat serta memastikan aliran trafik di sekatan jalan raya lancar,” katanya.

Pada 19 April lepas, Azisman berkata polis menubuhkan pasukan ‘jam squad’ yang dianggotai 20 anggota bermotosikal bagi memantau kesesakan lalu lintas di sekatan jalan raya sekitar Lembah Klang sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Kadar kemalangan jalan raya turun 70 peratus – polis

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Kadar kemalangan jalan raya menurun hampir 70 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dan dua, yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, sebanyak 10,382 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh PKP yang masuk hari ke-32 hari ini.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 130 kemalangan maut membabitkan 145 kematian dicatat sehingga 14 April, manakala purata kemalangan ketika PKP fasa satu dan dua adalah sebanyak 370 kemalangan sehari.

“Trend ini menunjukkan penurunan hampir 70 peratus yang mana sebelum pelaksanaan PKP, polis merekodkan sebanyak 1,500 kes kemalangan setiap hari dengan 16 hingga 17 maut dicatatkan.

“Dengan pelaksanaan PKP, trend kemalangan maut menunjukkan penurunan antara empat hingga lima kemalangan maut dicatatkan setiap hari,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut Azisman, sebanyak 80 peratus daripada jumlah kemalangan maut yang dicatatkan semasa PKP fasa satu dan dua, adalah membabitkan penunggang motosikal.

Sementara itu, mengenai persiapan polis menghadapi bulan Ramadan, Azisman berkata pihaknya masih meneliti beberapa perkara berkaitan dalam pelaksanaan arahan PKP serta bergantung kepada pengumuman dan polisi kerajaan.

“Untuk pihak saya, adalah lebih baik jika bilangan kenderaan atas jalan raya kurang, dan apabila diumumkan bahawa tiada bazar Ramadan, maka ia lebih baik.

“Kalau tidak, wabak Covid-19 ini tidak dapat diputuskan rantaiannya, (dan) ini akan memeningkan polis trafik dengan kenderaan yang banyak di tempat meletak kenderaan di tepi jalan berdekatan bazar,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

281,527 kes kemalangan direkodkan sehingga Jun

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Sejumlah 281,527 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, meningkat 2.5 peratus berbanding 274,556 bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, kes berkenaan meliputi kemalangan maut, kemalangan yang membawa cedera parah dan cedera ringan.

“Daripada jumlah itu, Selangor adalah negeri penyumbang tertinggi kes kemalangan iaitu 83,607 (29.7 peratus), diikuti Johor 41,161 (14.6 peratus) dan Kuala Lumpur di tempat ketiga dengan 36, 288 kes (12.9 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media laporan prestasi setengah tahun dan Op Saman Tertunggak Warga Asing (Ostwa IX) di Bukit Aman di sini semalam.

Azisman berkata, bagi kes kemalangan maut, Selangor dan Johor menjadi penyumbang tertinggi dengan 482 kematian direkodkan, diikuti Perak dengan 302 kematian.

“Penunggang motosikal pula kekal mendahului senarai penyumbang kematian paling ramai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan 1,984 kes kematian direkodkan, diikuti dengan kereta (580 kematian) dan pejalan kaki (220 kematian) dan selebihnya adalah lain-lain kenderaan,” katanya.

-BERNAMA