Categories
ADN SELANGOR

4,725 kg ikan segar percuma diagih di Bukit Melawati

SHAH ALAM, 4 MEI: Sejumlah 4,725 kilogram (kg) ikan segar diagihkan secara percuma kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata jumlah itu melepasi sasaran awal sebelum ini iaitu sebanyak 3,800 kg bagi pengagihan ikan segar percuma.

“Alhamdulillah dengan keberkatan Ramadan ini, dapatlah saya berkongsi rezeki dengan penduduk Kuala Selangor di kawasan DUN Bukit Melawati (pemberian ikan seperti kembong atau cencaru).

“Sasaran kita sebanyak 3,800 kg namun atas permintaan yang tinggi dan sambutan menggalakkan, sehingga Sabtu lalu kita telah mengagihkan sehingga 4,725 kg ikan,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, pemberian itu diharap dapat memberikan kegembiraan kepada seluruh keluarga serta mengurangkan sedikit bebanan perbelanjaan dapur harian terutamanya dalam tempoh PKP yang sukar.

Semalam, agihan ikan segar percuma dilakukan di Kampung Pasir Tuntong, Tanjong Keramat, Taman Rajawali, Taman Kasawari, Kampung Sepakat, Kampung Asahan, Ladang Manmouth dan Taman Bukit Rotan.

Bantuan sama turut diberikan kepada warga Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor dan bomba Kuala Selangor serta Balai Polis Jeram.

Categories
ADN SELANGOR

Beli hasil tani penduduk, ADN sumbang keluarga kurang mampu

SHAH ALAM, 26 APRIL: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati mengambil inisiatif membeli hasil pertanian penduduk di Kuala Selangor bagi membantu golongan berkenaan yang mengalami kerugian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Juwairiya Zulkifli berkata semua hasil tani kemudian diagihkan kepada kumpulan memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang juga mengalami situasi sama apabila tidak boleh keluar untuk bekerja.

“Pendekatan itu diambil kerana ada petani tidak dapat menjual hasil pertanian di pasar borong, pasar tani dan pasar malam yang menyebabkan berlaku lambakan sehingga harga jualan jadi amat rendah berbanding harga di pasaran.

“Saya membeli 100 kilogram (kg) ubi kayu, 30 kg sayur bendi dan juga 30 kg kacang panjang untuk disumbang kepada penduduk Kampung Tanjung Keramat. Situasi menang-menang wujud untuk petani dan penduduk kampung yang amat memerlukan bantuan,” katanya katanya kepada SelangorKini.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih kuota, bantuan khas Covid-19 Bukit Melawati ditutup

SHAH ALAM, 6 APR: Program Bantuan Khas 2.0 Bukit Melawati Prihatin Covid-19 ditutup serta-merta berikutan permohonan telah melebihi kuota disediakan,” kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli menerusi Facebook berkata pihaknya berasa dukacita atas perkara itu kerana terpaksa berbuat demikian lebih awal daripada tarikh akhir ditetapkan.

“Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati ingin memohon maaf kepada orang ramai yang tidak sempat atau gagal memohon,” katanya.

Kelmarin, Juwairiya memaklumkan bantuan khusus untuk penduduk Bukit Melawati tersebut akan disambung untuk fasa kedua.

Program itu ditutup hari ini adalah sumbangan sekali bayar iaitu barangan dapur dengan keutamaan diberi kepada individu berpendapatan RM2,000 ke bawah seperti ibu tunggal atau mereka mempunyai tanggungan ramai.

Categories
ADN SELANGOR

500 kit penjagaan diri untuk penduduk, petugas Covid-19

SHAH ALAM, 2 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati mengagihkan 500 kit penjagaan diri kepada penduduk Kuala Selangor khususnya petugas barisan hadapan bagi mencegah penularan Covid-19.

Juwairiya Zulkifli berkata set kit berupa dua keping penutup muka dan cecair pembasmi kuman berukuran 175 mililiter setiap satu itu diedarkan kelmarin termasuk kepada badan beruniform, ketua kampung dan pejabat daerah.

“Moga sumbangan ini sedikit sebanyak membantu warga di Kuala Selangor khususnya di DUN Bukit Melawati sepanjang tempoh krisis Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata pek makanan dan tempat meletak payung pula diberikan kepada kakitangan ibu pejabat polis daerah, pejabat kesihatan dan klinik kesihatan daerah yang bertugas sehingga 14 April.

Setakat ini, Juwairiya sudah memberikan 1,100 pek barangan dapur, 1,500 cecair pembasmi kuman, 2,000 penutup muka, 2,580 pek makanan dan 450 kilogram hasil tani kepada pihak berkaitan di Dewan Undangan Negerinya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Bukit Melawati edar topeng muka kepada posmen, penghantar makanan

SHAH ALAM, 30 MAC: Posmen, pemandu lori dan penghantar makanan boleh mengambil cecair pembasmi kuman serta penutup hidung dan mulut di Pejabat Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati mulai jam 12 tengah hari esok.

Ahli Dewan Negerinya Juwairiya Zulkifli berkata bantuan yang bakal memanfaatkan lebih 500 penerima bagi menghargai pengorbanan mereka yang bekerja dalam suasana mencabar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Mereka bekerja bertungkus-lumus memastikan rantaian bekalan makanan atau bahan asas tidak terputus, justeru bantuan ini diharap memberi manfaat kepada mereka,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mereka yang layak mendapat bantuan itu hanya perlu menunjukkan kad atau surat akuan pekerja.

Categories
ADN SELANGOR

Tabung Covid-19 Bukit Melawati Care ditubuh bantu penduduk setempat

SHAH ALAM, 30 MAC: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menubuhkan Tabung Covid-19 Bukit Melawati Care untuk membantu masyarakat setempat mendapat bekalan asas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negerinya, Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya telah menyalurkan pelbagai bantuan terutama kepada golongan terjejas sumber pendapatan dan berharap ia meringankan beban masyarakat Kuala Selangor khususnya di Bukit Melawati ketika saat sukar ini.

“Kita telah salurkan barangan dapur sebanyak 1,100 pek, cecair pencuci tangan (1,020 botol), penutup hidung dan mulut (1,000 keping) dan hasil tani (406 kilogram),” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mengulas lanjut Juwairiya berkata inisiatif membeli hasil tani penduduk setempat diharap membantu golongan tersebut yang terjejas pendapatan kerana tidak dapat menjual hasil di pasar malam atau pasar pagi.

“Kebiasaannya petani atau pekebun yang usahakan tanaman secara kecil-kecilan menjual di pasar terlibat tetapi pelaksanaan PKP menyebabkan aktiviti mereka sedikit terganggu,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Job Vaganza 2020 tawar lebih 1,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 23 FEB: Lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan khusus kepada belia sempena Karnival Kerjaya Selangor Job Vaganza 2020 peringkat Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati pada 15 Mac ini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata karnival di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor membantu anak muda di daerah itu yang sukar mendapat pekerjaan.

“Kita bekerjasama dengan pejabat EXCO generasi muda dan sukan, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Qwork untuk menyediakan platform pekerjaan khusus kepada belia,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Karnival yang berlangsung bermula 9 pagi hingga 5.30 petang turut menyediakan aktiviti menarik seperti pertandingan sepakan penalti, bola jaring, golf, tukar minyak hitam motor percuma untuk 300 orang terawal dan persembahan busker.

Orang ramai turut berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) semasa karnival tersebut.

Selangor memfokuskan karnival kerjaya berskala mega di peringkat negeri dan berskala kecil mengikut daerah sebagai salah satu usaha menurunkan kadar pengangguran kepada 2.5 peratus tahun ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor dicadang bantu NGO lindungi mangsa keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 31 JAN: Institut Wanita Berdaya (IWB) mencadangkan Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang mengurus rumah perlindungan mangsa keganasan rumah tangga, kata pengerusinya.

Juwairiya Zulkifli berkata, peruntukan itu bagi menampung sebahagian kos operasi mahupun tambahan rumah perlindungan baharu berikutan permintaannya yang semakin meningkat.

“Tidak dinafikan sememangnya kita masih kekurangan pusat perlindungan wanita, sedangkan kes keganasan rumah tangga dicatatkan meningkat saban tahun.

“Pada masa sama Kerajaan Negeri perlu mengkaji keperluan bagi penyelarasan undang-undang, kualiti serta garis panduan operasi pusat perlindungan di Selangor mahupun negeri lain,” katanya mengulas laporan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang menggesa supaya kerajaan memperbanyakkan jumlah rumah perlindungan wanita di Selangor.

Menurut laporan itu, sehingga kini hanya 10 rumah seumpama itu dibina sedangkan kadar populasi di negeri ini mencecah sekitar 6.5 juta orang.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata, kajian WAO itu disokong dengan geran penyelidikan IWB bagi mencapai matlamat kelima dan keenam Dasar Wanita Selangor iaitu meningkatkan kesihatan, kesejahteraan serta bebas daripada keganasan dan ketakutan.

“Ia juga selaras dengan seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah Matlamat Pembangunan Lestari yang kelima iaitu kesaksamaan gender,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Program IWB berdaya wanita, lahir keluarga harmoni

SHAH ALAM, 30 JAN: Institut Wanita Berdaya (IWB) terus melaksanakan program bersifat pemberdayaan wanita dan keluarga dalam usaha melahirkan keluarga harmoni di Selangor, kata Pengerusinya.

Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya merancang Program Keluarga Harmoni pada tahun ini dengan tumpuan kepada pasangan suami isteri muda mengenai pengurusan kewangan, konflik dan komunikasi berkesan.

“Selain itu, IWB turut menjalankan Program Jaringan Muafakat yang menumpukan kumpulan sasar Orang Asli, Felda dan komuniti India,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas isu hampir 6.2 juta wanita di negara ini dikategorikan keluarga ‘sandwic’, beliau berkata kerajaan perlu mandang serius perkara itu dalam usaha memastikan kesejahteraan institusi keluarga serta kualiti generasi masa depan.

“Di peringkat IWB, kita merancang menjalankan kajian terperinci mengenai solusi dan dasar bersifat jangka panjang untuk tindakan Kerajaan Negeri,” kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati itu.

Keluarga ‘sandwic’ adalah istilah bagi wanita perlu menanggung anak sendiri di samping terpaksa menjaga ibu bapa iaitu dua atau tiga generasi duduk dalam satu rumah yang didapati menghadapi tekanan emosi dan mental teruk selain kemampuan kewangan terhad.

Categories
ADN SELANGOR

Muzium Permainan Tradisional Rakyat perlu dibaik pulih

SHAH ALAM, 17 JAN: Muzium Permainan Tradisional Rakyat di Kuala Selangor wajar dibaik pulih semula bagi memelihara aset warisan di negeri ini, kata ahli dewan negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata usaha itu perlu digerakkan Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan kewujudannya juga akan menggalakkan sektor pelancongan di Kuala Selangor bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata, pihaknya kini menggiatkan usaha menarik lebih ramai pengunjung ke daerah terbabit dan muzium itu diyakini mampu menjadi lokasi tumpuan pelancong domestik serta luar.

“Tarikan di daerah ini (Kuala Selangor) semakin berkurang apabila muzium terbabit ditutup dan dibimbangi menjadi lebih teruk jika dibiarkan terbengkalai tanpa sebarang penambahbaikan.

“Justeru, saya bercadang mengadakan pertemuan bersama Padat bagi mendapatkan penjelasan sebelum dibawa kepada EXCO Pelancongan,” katanya.

Katanya, pembukaan semula muzium itu akan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai asal-usul permainan tradisional.

Muzium tersebut terbiar selepas terbakar pada 2011 namun usaha untuk membaikinya masih gagal dilaksanakan.

Categories
AGENSI SELANGOR

IWB tekad perkasa kumpulan wanita minoriti

SHAH ALAM, 7 JAN: Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor mahu kumpulan wanita minoriti dimartabat serta diperkasakan menerusi Program Jaringan Muafakat sepanjang tahun ini, kata pengerusinya, Juwairiya Zulkifli.

Katanya, program berkenaan memfokuskan golongan terbabit khususnya di kawasan luar bandar termasuk kaum India di estet, wanita FELDA dan juga Orang Asli.

“Kerajaan Negeri menerusi IWB mahu kumpulan minoriti yang kurang terdedah dengan dunia luar mendapat maklumat sewajarnya dengan diberi pendidikan sivik iaitu antaranya undang-undang gangguan seksual, keganasan rumah tangga, perlindungan kanak-kanak serta kaedah mengurus kewangan rumah tangga.

 

“Matlamat kami ialah kesemua golongan wanita di negeri ini mendapat ilmu dan peluang sama rata tidak kira mereka menetap di pedalaman mahupun bandar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Juwairiya berkata, sebanyak 69 sesi latihan sudah dilaksanakan menerusi program terbabit dan menerima 601 penyertaan.

Katanya, program terbaharu IWB akan diadakan di Dewan Komuniti Dagang Jaya di Ampang Jaya pada 11 Januari ini bermula jam 8 pagi hingga 3.30 petang.

“Kesemua peserta ini berjaya dihimpunkan menerusi pejabat Dewan Undangan Negeri dan juga parlimen di setiap kawasan seluruh Selangor,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Pelihara Sungai Selangor, elak kelip-kelip ‘merajuk’

SHAH ALAM, 6 JAN: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli kesal susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam Sungai Selangor.

Katanya kerja pembersihan sungai giat dilakukan sejak tahun lalu bagi memelihara habitat kelip-kelip yang menjadi tarikan pelancong ke Kuala Selangor.

“Amat malang apabila Sungai Selangor yang istimewa dan unik dengan habitat kelip-kelip dicemari sampah yang dibawa oleh manusia.

“Aktiviti tidak bermoral ini berkemungkinan menyebabkan kelip-kelip merajuk, namun kita cuba atasi dengan penanaman pokok berembang yang menjadi tarikan habitat itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berhubung isu pencemaran di Sungai Selangor yang dijadikan ‘tong sampah’ dan pembuangan sisa toksik sejak sekian lama.

Lembangan sepanjang 110 kilometer dari hulu Bukit Fraser melalui daerah Kuala Kubu Baru ke Bestari Jaya mengalir ke hilir melalui Kampung Kuantan, yang juga destinasi ekopelancongan kelip-kelip.

Juwairiya berkata pejabat daerah dan tanah juga mengambil tindakan lanjut susulan aktiviti pengorekan pasir di kawasan berhampiran bagi mengelakkan isu pencemaran bertambah parah.