Categories
AGENSI SELANGOR

IWB lancar kempen Berani Bersuara: Bangkit Lawan Rogol

PETALING JAYA, 30 NOV: Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor hari ini melancarkan Kempen Berani Bersuara: Bangkit Lawan Rogol sempena ‘16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender’ yang dianjurkan di seluruh dunia bermula 25 November hingga 10 Disember.

Pengerusinya, Juwairiya Zulkifli berkata, kempen yang menyasarkan golongan wanita, kanak-kanak dan masyarakat awam dilakukan secara dalam dan luar talian itu bertujuan mendidik golongan berkenaan tentang isu rogol serta kompleksitinya selain konsep keizinan, hubungan kuasa yang tidak seimbang, persetujuan juga menghormati tubuh individu.

“Menurut statistik yang dikeluarkan Polis, terdapat 7,704 kes rogol dan 1,315 kes sumbang mahram direkodkan dari 2015 hingga Oktober 2019.

“Oleh kerana angka yang membimbangkan ini, IWB mahu mendidik lebih ramai mangsa berani tampil ke hadapan untuk melaporkan kes rogol yang sebelum ini menjadi rahsia.

“Di sini kita lihat banyak jenis keganasan berlaku setiap hari kepada wanita dan kanak-kanak. Ia relevan untuk dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Kempen berkenaan di Common Ground, Jaya One, di sini.

Juwairiya berkata, masyarakat perlu diberi kefahaman untuk bertindak dan mengambil tahu apa yang berlaku disekeliling mereka.

Malah, katanya, akta yang melindungi mereka dan proses mahkamah perlu diketahui supaya mereka tidak boleh dimanipulasi mana-mana pihak sepanjang proses mendapatkan bantuan.

“Kajian oleh Centre of Governance and Political Studies bertajuk The Question of Sex In Malaysia mendapati bahawa 65 peratus lelaki yang ditemu ramah tidak mengetahui bahawa persetujuan perlu melalui persetujuan verbal.

“Dapatan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan masyarakat gagal memahami konsep keizinan dan autonomi wanita untuk mengatakan ya atau tidak kepada hubungan seks,” katanya.

Juwairiya Zulkifli berucap pada Majlis Perasmian Forum Adakah Malaysia Selamat Untuk Wanita dan Pelancaran Kempen Berani Bersuara di Comman Ground, Jaya One Petaling Jaya. pada 30 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Justeru, bagi menangani isu berkenaan, beliau menyeru masyarakat sama-sama campur tangan dan bertindak dengan kes yang berlaku di sekeliling.

“Kita juga menjangkakan melalui kempen ini, lebih ramai mangsa tampil ke hadapan dan pendidikan asas sentuhan yang dibenarkan serta apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku insiden dimasukkan sebagai kurikulum pendidikan di peringkat sekolah.

“Jawatankuasa penduduk kawasan perumahan bandar dan kampung menubuhkan sistem untuk menguruskan aduan kes keganasan seksual dapat ditubuhkan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Nelayan dinasihat berhati-hati ketika jerebu

SHAH ALAM, 19 SEPT: Susulan jerebu melanda beberapa kawasan di Selangor, nelayan dinasihatkan berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan ketika berada di laut.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, keadaan jerebu itu akan mengakibatkan jarak penglihatan agak terhad sekali gus menyukarkan nelayan untuk melakukan kerja mereka.

“Saya nasihatkan semua nelayan mengambil langkah berjaga-jaga terutama apabila berada di kawasan perairan laut dalam.

“Bagaimanapun, saya menyeru kita dapat bersama melakukan solat hajat supaya semua dilindungi dan jerebu dihilangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Berdasarkan rekod laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat jam 2 petang ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 166, Petaling Jaya (159), Banting (142), Shah Alam (147), Klang (130) dan Kuala Selangor 115.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Sambutan kemerdekaan erat perpaduan rakyat

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Sambutan kemerdekaan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati berjaya menyatu padukan penduduk di kawasan berkenaan walaupun berbeza bangsa dan agama.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya, Juwairiya Zulkifli berkata, sambutan yang julung kali diadakan itu bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan penduduk selain dapat menghayati erti kemerdekaan.

Katanya, beliau gembira sambutan diterima amat memberangsangkan dan optimis ia terus kekal dan tidak hanya pada Hari Kemerdekaan sahaja.

“Jika dilihat konsep kemerdekaan kini merentasi agama, bangsa dan latar belakang politik. Justeru, sebagai ADN saya berpeluang untuk bersua muka dengan rakyat sekali gus mendengar suara mereka.

“Pada masa sama, kita dapat membongkar keistimewaan yang ada di setiap kampung di DUN Bukit Melawati kepada sesama penduduk kampung berkenaan,” katanya.

Juwairiya Zulkifli ketika Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 DUN Bukit Melawati di padang Sekolah Kebangsaan Pasangan Kampung Kuantan, Kuala Selangor pada 13 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Malam Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 DUN Bukit Melawati di padang Sekolah Kebangsaan Pasangan Kampung Kuantan di sini, malam tadi.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Rahilah Rahmat.

Terdahulu, Malam Sambutan Bulan Kebangsaan itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya deklamasi sajak, pertandingan Kampungku Patriotik, pertandingan Pakaian Kebangsaan Kanak-Kanak dan cabutan bertuah.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Program kemerdekaan perlu dipandang serius

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menggesa rakyat untuk memandang serius terhadap program bersifat kemerdekaan.

Amirudin berkata, kebanyakan rakyat zaman sekarang kurang mendalami erti kemerdekaan dan mengganggap kebebasan dikecapi kini dapat dinikmati selamanya.

Katanya, rakyat seharusnya menghayati dan memahami erti kemerdekaan selain tidak mempersendakan program berunsurkan patriotisme.

“Di saat wujudnya program berunsurkan kemerdekaan kadang kala seseorang itu terlupa untuk menghayati malah ada yang ketawa, sinikal dan membuat jenaka terhadap program seperti ini.

“Hal ini kerana kita menganggap kemerdekaan itu dapat dinikmati selamanya seolah-olah ia datang bergolek sedangkan merdeka adalah satu perjuangan berterusan yang harus diingati, dihayati serta difahami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di Padang Sekolah Kebangsaan Pasangan Kampung Kuantan di sini, malam tadi.

Amirudin Shari memukul gendang simbolik perasmian pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 DUN Bukit Melawati di padang Sekolah Kebangsaan Pasangan Kampung Kuantan, Kuala Selangor pada 13 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Rahilah Rahmat.

Amirudin berkata, kemerdekaan itu adalah sifat dan naluri kemanusiaan yang timbul dalam jati diri seseorang hanya membentuk perjuangan semakin lama semakin berbeza.

“Sejak awal merdeka kita melawan penjajah, menentang keganasan namun selepas merdeka pula kita harus berjuang memajukan negara serta berusaha untuk bersaing dengan negara luar.

“Malah, untuk mengekalkan kemerdekaan kita harus bersikap kemandirian selain tidak membiarkan diri dikongkong orang lain,” katanya.

Terdahulu, Malam Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 anjuran DUN Bukit Melawati menampilkan pelbagai aktiviti antaranya deklamasi sajak, pertandingan Kampungku Patriotik, pertandingan Pakaian Kebangsaan Kanak-Kanak dan cabutan bertuah.

Categories
SELANGOR

Sumbang pakaian, bantu mereka yang memerlukan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 MEI: Menjelang Aidilfitri, orang ramai digalak menyumbang pakaian menerusi Projek Baju Raya 2.0, kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Beliau berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli pakaian sendiri.

Katanya, projek itu juga bersesuaian dengan bulan Ramadan yang sememangnya menggalakkan amalan bersedekah dan membantu golongan kurang berkemampuan.

“Program kali kedua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) saya anjurkan mendapat sambutan dan permintaan dalam kalangan penduduk tempatan.

“Malah, menerusi projek ini ia antara landasan terbaik untuk orang ramai menyumbang pakaian raya mahupun pakaian lain sama ada kepada dewasa, wanita dan kanak-kanak.

“Ramadan juga antara bulan yang amat digalakkan untuk umat Islam bersedekah dan membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melakukannya sebelum 17 Mei di PKM Bukit Melawati.

Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh menghubungi 0198728085 (Najib) atau 0172195685 (Atie).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

Penduduk lega Jalan Sungai Buloh-Assam Jawa dinaiktaraf

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 8 MEI: Penduduk di sini gembira apabila kerja naik taraf jalan raya Sungai Buloh-Assam Jawa hampir siap tidak lama lagi.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, Kerja Naik Taraf Jalan Persekutuan FT54 itu bakal memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk setempat sekali gus dapat menggalakkan pelbagai sektor di Kuala Selangor berkembang lebih baik.

“Ia termasuk sektor pelancongan yang mana membolehkan penduduk dari dalam dan luar negeri ini mempunyai akses jalan raya yang lebih selesa, untuk ke sini.

“Sudah tentu aspek keselamatan lebih terjamin kerana sebelum ini kejadian kemalangan kerap berlaku akibat keadaan jalan yang tidak elok,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, kerja naik taraf jalan sepanjang 25 kilometer itu akan bersambung dengan laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR) dan juga Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

Projek yang menelan belanja sehingga RM411 juta itu bakal memberi kemudahan jalan raya lebih baik kepada penduduk Selangor selain mengatasi kejadian kemalangan juga menyuraikan kesesakan.

Jalan terbabit mula dinaiktaraf sejak Ogos 2016 itu dijangka siap menjelang 2021, sehingga kini status kerja sudah hampir 59 peratus siap dan menunjukkan perbezaaan 20 hari lebih awal.

Juwairiya berkata, bagi kerja itu, jalan sepanjang 12 kilometer adalah melibatkan kawasannya, bermula dari Assam Jawa ke Bukit Rotan.

“Cuma saya berharap supaya pihak kontraktor dapat memperbaiki lagi kelemahan pengurusan trafik.

“Saya berharap supaya kerja ini dapat disiapkan secepat mungkin dan meminta penduduk lebih bersabar,” katanya.

Sebelum ini, Dato Menteri Besar Amirudin Shari turut turun padang melihat kerja naiktaraf yang dilakukan Jabatan Kerja Raya dan kontraktor, Aktif Unggul Sdn Bhd itu.

 

Categories
SELANGOR

Jelajah Pendidikan Selangor siri pertama 7 April

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 1 APR: Siri pertama Jelajah Pendidikan Selangor 2019 (JPS2019) bakal diadakan di zon utara pada Ahad ini.

Menurut kenyataannya di Facebook, program itu terbuka kepada semua lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf yang ingin melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Program yang membabitkan daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor itu akan berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sesi jelajah kali ini bakal menampilkan ikon pendidikan, Caprice Ariz bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Pada masa sama, pelbagai pihak seperti Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Selangor, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), IPT dan institut kemahiran akan hadir bagi memberi penerangan, kaunseling serta maklumat kepada peserta yang hadir.

Peserta yang hadir turut berpeluang memohon biasiswa dan bantuan kewangan secara terus kepada pihak terbabit.

Yuran penyertaan adalah percuma dan pendaftaran boleh dibuat di pautan www.jelajahpendidikanselangor.com

Tarikh tutup penyertaan pada 4 April ini.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-56260026 dan 011-50011000.

Categories
SELANGOR

Orang ramai dijemput meriahkan Karnival Wanita DUN Bukit Melawati

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 MAC: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Wanita bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di Dataran D’Anjung Santai Kuala Selangor, di sini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, karnival itu akan berlangsung pada 30 hingga 31 Mac ini dari 9 pagi hingga 10 malam.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan khas untuk kanak-kanak dan wanita pelbagai peringkat usia.

“Saya menjemput orang ramai terutama yang berada di Kuala Selangor dan seluruh rakyat di negeri ini hadir dan turut serta dalam program yang disediakan pada hari terbabit,” tulisnya di Facebook.

Antara pengisian menarik pada karnival itu adalah pemeriksaan kesihatan am, forum pencegahan keganasan terhadap wanita, perkongsian berkenaan pencegahan gangguan seksual terhadap wanita dan bengkel membuat aneka roti.

Selain itu, turut diadakan tutorial penjagaan kulit dan mekap, bengkel membuat kraftangan bakul, senamrobik dan zumba serta pemeriksaan mammogram percuma.

Antara lain turut diadakan kaunter pendaftaran program Insentif Peduli Rakyat Selangor seperti Skim Peduli Sihat, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor dan Bantuan Sihat Selangor.

Manakala, pertandingan mewarna turut diadakan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun ke bawah.

Turut diadakan kaunter bertemu pelanggan oleh jabatan kerajaan anjuran Yayasan Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor, Air Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Categories
SELANGOR

Elak guna laluan gelap Jalan Kereta Api Lama

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 14 MAC: Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menggunakan Jalan Kereta Api Lama terutama pada waktu malam, di Kuala Selangor, di sini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berkata, mereka yang melalui laluan itu disaran untuk terus menghubungi polis jika ternampak perkara mencurigakan di kawasan terbabit.

“Mohon orang awam untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan persekitaran sama ada sedang memandu atau berjalan kaki.

“Malah, penduduk juga dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada melalui kawasan itu secara berseorangan,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu, memetik laporan media tempatan, terdapat kejadian samun cubaan membaling batu daripada individu tidak dikenali kepada sesiapa sahaja yang menggunakan laluan terbabit.

Dipercayai tiga kejadian cubaan samun itu berlaku secara berturutan, pada hari sama, pada 11 Mac lalu dengan kejadian pertama berlaku pada 12.50 pagi membabitkan pemandu lelaki.

Manakala, kejadian kedua pada 1.50 pagi membabitkan dua lelaki sedang menaiki kereta yang menyebabkan cermin tingkap pecah, namun mangsa sempat melarikan diri apabila melihat suspek menghampiri kenderaan sambil memegang parang.

Kejadian ketiga sekitar jam 2 pagi membabitkan seorang mangsa berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan akibat terkena batu yang dibaling suspek tetapi tiada rompakan berlaku kerana mangsa sempat melarikan diri.

Difahamkan, sehingga kini belum ada sebarang penangkapan, namun pengguna laluan terbabit diminta berhati-hati.

Categories
SELANGOR

Jangan diskriminasi hak wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MAC: Masyarakat terutama lelaki digesa tidak mendiskriminasi hak wanita, dengan memandang rendah kemampuan dan kebolehan dimiliki golongan terbabit.

Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berkata, peranan wanita sangat penting dalam memberi keseimbangan terhadap pelbagai aspek kehidupan termasuk sosial, ekonomi, pendidikan dan kesihatan yang menyumbang kepada pembangunan negara.

“Saya optimis kaum lelaki memberi peluang kepada wanita untuk menceburi apa sahaja bidang yang mereka minati selagi ia tidak melanggar batas agama,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berharap masyarakat menghormati dan menyayangi wanita kerana hidup tidak akan lengkap tanpa golongan itu.

Terdahulu, Juwairiya bersama Wanita Cabang Kuala Selangor meluangkan masa mengedarkan 200 kuntum bunga mawar kepada wanita, di Pasar Malam Bandar Baru Kuala Selangor.

Edaran itu bersempena Ssambutan Hari Wanita Sedunia yang jatuh, pada 8 Mac lalu.

“Edaran bunga mawar ini sebagai tanda penghargaan dan hadiah untuk wanita yang banyak berkorban dalam membina keluarga, membesarkan generasi masa depan negara serta menyumbang kepada kesejahteraan keluarga,” katanya.

Categories
SELANGOR

Cadangan tambah baik jejantas Taman Rajawali

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 13 JAN: Kertas cadangan bagi permohonan menambah baik jejantas untuk pejalan kaki berhadapan Taman Rajawali, di sini, akan dibentangkan kepada kementerian berkaitan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, kertas cadangan tambahan itu akan disediakan kontraktor kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk diteliti dan dipertimbangkan.

“Saya dan JKR Daerah Kuala Selangor akan panjangkan perkara ini kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian bagi memohon peruntukan tambahan.

“Isu jejantas antara perkara yang dibincangkan dalam sesi pertemuan berhubung projek menaik taraf dan pelebaran Jalan Persekutuan FT54 di Assam Jawa-Bukit rotan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, perkara lain turut dibincangkan termasuk mempertingkat aspek keselamatan, di simpang Jalan Teluk Pian ekoran kemalangan yang kerap berlaku di kawasan terbabit.

Katanya, penambahbaikan itu perlu bagi memberi keselesaan kepada penduduk, khususnya ketika pemanduan pada lewat malam.

“Simpang Teluk Piah akan ditingkatkan ciri keselamatan seperti penambahan tanda amaran, had laju, pembatas jalan, pelekat reflektif dan pemasangan lampu solar (spotlight).

“Saya juga akan mencadangkan laluan alternatif keluar masuk penduduk Taman Kasawari dan akan dipanjangkan kepada Pegawai Daerah demi memudahkan urusan harian penduduk,” katanya.

Categories
SELANGOR

Semak dahulu sebelum sebar sesuatu berita – ADN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Masyarakat disaran merujuk kesahihan sesuatu berita terlebih dahulu sebelum bertindak menyebarkannya.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, ini kerana penyebaran berita tidak sahih mampu mengelirukan orang ramai.

Katanya, ia seperti berita pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Selangor yang tular, baru-baru ini.

“Saya ada terima salinan kertas kerja daripada pihak tidak dikenali kononnya ada cadangan mahu membina lapangan terbang terbabit.

“Namun, selepas disemak dengan pihak Pejabat Dato’ Menteri Besar, cadangan itu sebenarnya memang tiada.

“Oleh itu, saya berharap pihak tidak bertanggungjawab supaya tidak menyebarkan perkara sedemikian yang mana ia akan mengelirukan orang ramai,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, tular berita palsu berkenaan pembinaan Lapangan Terbang Kuala Selangor di laman Facebook ‘Hello Malaysia’ pada 1 Januari lalu.

Melalui laman Facebook itu, ‘admin’ kononnya memberitahu pihaknya menerima gambar peta perancangan pembangunan Lapangan Terbang Kuala Selangor yang bakal merubah landskap pembangunan di situ.

Gara-gara berita palsu terbabit, netizen membuat pelbagai spekulasi termasuk mengkritik tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) sudah mengesahkan menerusi kenyataan itu di laman Facebook rasminya bahawa tiada perancangan untuk membangunkan projek mega terbabit.