Categories
ADN SELANGOR

ADN: Langkah tepat jaya program kebajikan, agenda perkasa wanita

SHAH ALAM, 2 NOV: Kerajaan Selangor melakukan rancangan tepat apabila bakal melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pemberdayaan wanita menerusi Belanjawan 2021.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata peruntukan RM71.3 juta bagi meneruskan agenda memperkasa wanita dan keluarga dilihat penting kerana mereka turut memainkan peranan bagi membentuk generasi masa depan lebih berkualiti.

“Saya gembira dengan pengumuman Dato’ Menteri Besar yang menyediakan sejumlah peruntukan signifikan bagi pembangunan wanita, keluarga dan kebajikan masyarakat.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri amat prihatin kerana terus mengutamakan mereka yang selama ini turut sama menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara,” kata Juwairiya Zulkifli kepada SelangorKini.

Jumaat lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat Kerajaan Negeri untuk tetap memberi fokus kepada usaha pemberdayaan wanita di negeri ini.

Katanya, tahun hadapan merupakan tahun lonjakan paradigma bagi memartabatkan wanita Selangor dalam Belanjawan 2021.

Categories
ADN SELANGOR

Pendapatan terjejas, wakil rakyat bantu pendayung sampan kelip-kelip

SHAH ALAM, 28 OKT: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati hari ini menghulurkan bantuan wang tunai dan keperluan asas kepada 35 pendayung Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan.

Juwairiya Zulkifli berkata sumbangan itu bagi meringankan beban mereka yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac.

Beliau menjelaskan keadaan bertambah parah apabila PKP Bersyarat dilaksana di seluruh negeri mulai 14 Oktober, yang kemudian dilanjut sehingga 9 November.

“Sumbangan ini inisiatif saya sendiri bagi membantu pendayung yang punca pendapatannya terjejas dan nasib mereka perlu diberi perhatian lebih,” katanya ketika dihubungi.

Sumbangan Prihatin Covid-19 di Balai Raya Penghulu Mukim Pasangan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin.

Hadir sama, Pegawai Pelancongan Majlis Daerah Kuala Selangor Shazlan Hakim Mazalan dan Penghulu Mukim Pasangan Shahrul Affendi.

Categories
ADN SELANGOR

ADN sambut baik guna bas mini, gesa tambah laluan luar bandar

SHAH ALAM, 17 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati menyambut baik cadangan penggunaan bas mini Smart Selangor untuk laluan luar bandar.

Juwairiya Zulkifli bagaimanapun berharap bas mini digunakan untuk menambah laluan baharu bukan mengganti perkhidmatan bas laluan sedia ada.

“Ini bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat kerana bas bersaiz biasa tidak sesuai di desa kerana hanya sebilangan kecil menggunakannya tetapi masih diperlukan mereka yang bergantung kepada keluarga untuk pergi serta pulang dari tempat kerja,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Dusun Tua pula berkata penggunaan sedemikian perlu seiring dengan pertambahan laluan baharu bagi memudahkan pergerakan rakyat.

“Saya menyambut baik usaha untuk meluaskan capaian Bas Smart Selangor ke luar bandar kerana laluan perkhidmatan setakat ini lebih tertumpu di bandar,” kata Edry Faizal Eddy Yusof.

Bagi ADN Morib Hasnul Baharuddin, cadangan itu menjimatkan kos kerana laluan luar bandar kurang penumpang berbanding di bandar manakala bas sedia ada boleh digunakan untuk tujuan lain.

Pada 10 Oktober EXCO pengangkutan awam mencadangkan penggunaan bas mini bagi mengganti bas Smart Selangor sedia ada untuk laluan di luar bandar.

Ng Sze Han berkata cadangan tersebut antara tumpuan yang bakal dibawa dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 pada 30 Oktober.

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

YB Juwairiya tegas atasi pencemaran sungai, keciciran murid

ANTARA cabaran awal yang dihadapi Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati adalah pencemaran Sungai Buloh di Kuala Selangor.

Justeru, Juwairiya Zulkifli, 35, melancarkan misi menyelamatkan sungai itu bagi memastikan mata pencarian nelayan dan reputasi kawasan itu sebagai destinasi pelancongan tidak terus terjejas.

Sebelum ini, kualitinya air turun daripada kategori sederhana tercemar kepada tercemar.

Berkhidmat penggal pertama, beliau kerap turun padang, malah rajin membangkitkan isu itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor. Juwariya juga menulis kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Juwairiya bertekad masalah akibat pembuangan sisa kumbahan kilang dan kegiatan pertanian yang berlarutan lebih 15 tahun harus dinoktahkan. Usahanya membuahkan hasil sejak pertengahan tahun lalu apabila pihak berkuasa melakukan siri siasatan dan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Pencemaran Sungai Buloh menjejaskan pendapatan penduduk termasuk nelayan dan memberi imej negatif kepada perkembangan sektor pelancongan di Kuala Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Berhenti sekolah

Juwairiya juga berusaha mengatasi masalah keciciran dalam kalangan murid akibat kesempitan hidup. Sesetengah kanak-kanak atau remaja dikesan bekerja bagi membantu keluarga.

Juwairiya Zulkifli

Sejak 2018, beliau membantu empat murid kembali ke sekolah. Mereka meninggalkan bangku persekolahan berikutan kematian bapa. Ibu mereka pula mengalami masalah kesihatan dan menjaga adik bongsu yang masih bayi.

“Abang bekerja sebagai mekanik dan adik pula mengambil upah menggubah bunga malai. Apabila ditanya kedua-duanya masih mahu ke sekolah tetapi perlu membantu keluarga.

“Mereka sebenarnya tiada pilihan selain berhenti sekolah. Jadi, kita bantu dengan sediakan dokumen persekolahan dan pada masa sama memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk keluarga mereka,” katanya.

Juwairiya bertemu pengurusan sekolah yang turut memberitahunya ada pelajar datang dalam keadaan tidak bersedia atau selekeh.

“Ada murid terpaksa bekerja sebelum ke sekolah. Perkara seperti itu tidak harus berlaku kerana individu bawah usia 18 tahun tidak boleh bekerja mengikut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan).

“Jadi pentingnya bagi saya tumpu usaha mengatasi masalah keciciran murid ini kerana hanya melalui pendidikan mereka dapat mengubah kehidupan keluarga pada masa depan,” katanya.

Beliau juga memastikan destinasi pelancongan seperti Sky Mirror, kelip-kelip di Kampung Kuantan, memberi makan kepada helang, Bukit Melawati dan Muzium Daerah Kuala Selangor terjaga dengan baik, malah turut mempromosikannya.

Juwairiya percaya kehadiran pelancong memberi pulangan lumayan kepada penduduk setempat. Justeru, Juwairiya mengambil inisiatif menerbitkan video promosi pelancongan Cuti-Cuti Kuala Selangor.

“Perbincangan juga diadakan dengan Tourism Selangor untuk mempromosikan kawasan pelancongan dalam DUN Bukit Melawati,” jelas beliau.

Penerima insentif di DUN Bukit Melawati:

1. Skim Insurans Peduli Sihat: 1,914 orang
2. Skim Mesra Usia Emas: 910 orang
3. Kad Kasih Ibu Smart Selangor: 272 orang

Categories
ADN SELANGOR

Air pasang besar: Penduduk dinasihat berjaga-jaga hingga November

SHAH ALAM, 4 SEPT: Penduduk dinasihat berjaga-jaga sepanjang tempoh fenomena air pasang besar yang diramal melanda lima pantai negeri ini bermula Oktober.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Rozana Zainal Abidin berkata penduduk perlu menghindari kawasan pesisiran pantai sehingga penghujung November.

“Saya ingin minta kerjasama ketua kampung agar memastikan maklumat ini sampai kepada penduduk, pada masa sama, penduduk juga haruslah sentiasa peka dan patuh pada arahan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ADN Tanjung Sepat Borhan Aman Shah berkata bagi mengelak situasi buruk berlaku, pihak bertanggungjawab perlu memastikan parit tersumbat dibaiki dan benteng sungai di kawasan berisiko dalam keadaan baik.

Beliau menambah kebiasaannya jumlah hujan melebihi kadar normal ketika kejadian menyebabkan air parit atau sungai melimpah sehingga berisiko merosakkan benteng.

“Jika ada kejadian ban (benteng) pecah, kejadian banjir akan berlaku lebih buruk. Oleh itu pihak bertanggungjawab perlu memastikan ia dalam keadaan baik.

“Ibu bapa jangan leka dengan membiarkan anak-anak bermain di sungai ataupun laut, pantau mereka kerana keadaan cuaca tidak menentu ini berlaku bila-bila masa sahaja,” katanya.

Manakala, ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menggesa penduduk Kuala Selangor terutama di kawasan rendah untuk bersiap sedia.

“Kita jangkakan kemungkinan akan berlaku banjir jika fenomena ini berlaku di luar jangkaan, antara kampung berisiko banjir termasuk Kampung Asahan, Kampung Tanjung Siam dan Kampung Bukit Kuching.”

Semalam, Justeru Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata fenomena air pasang besar diramal berlaku pada 19 dan 20 September, 17 sehingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter.

Unit itu mengarahkan persediaan bencana tahap tinggi dilaksanakan di Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam bagi menghadapi keadaan tersebut.

Categories
ADN SELANGOR

Jeti terapung Kampung Asahan jadi pusat ekonomi, riadah penduduk

KUALA SELANGOR, 30 OGOS: Jeti terapung bernilai RM100,000 di Batu 8 Kampung Asahan di sini, bakal dijadikan pusat ekonomi dan riadah penduduk setempat.

Wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata kawasan itu turut dilengkapi pondok ‘home of river’ sebagai tempat perbincangan dan aktiviti lebih 1,000 penduduk.

“Penduduk di sini kebanyakan bekerja sebagai nelayan, jadi jeti ini sangat membantu mereka untuk mendaratkan ikan termasuk benih ikan dan udang.

“Kaki pancing juga boleh menyewa kemudahan sampan dan menyertai acara memancing yang dianjurkan setiap tahun,” katanya ditemui pada Majlis Perasmian Pangkalan Jeti Terapung di sini hari ini.

Juwairiya memaklumkan pihaknya juga sedang mencari tapak sesuai bagi membina balai raya dan gelanggang futsal untuk kemudahan penduduk setempat.

“Ini janji saya kepada penduduk terutama belia Kampung Asahan. Saya sudah nyatakan hasrat ini kepada Kerajaan Negeri dan perbincangan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Peserta akademi wanita jalani Program Parlimen Wanita

SHAH ALAM, 27 OGOS: Seramai 10 peserta Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Selangor dipilih sebagai mentee Program Parlimen Wanita bersama mentor Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata program tersebut bermatlamat memantapkan kemahiran, mencungkil bakat dan melahirkan lebih ramai pemimpin dalam politik serta kerja sosial.

“Peserta dilatih berbahas mengikut format sebenar sidang dewan negeri, kita latih mereka lebih berani serta yakin dengan kebolehan diri selain cekap memimpin organisasi.

“Matlamat kita untuk menyediakan barisan pimpinan wanita di setiap peringkat sekali gus mencapai sasaran minimum 30 peratus penglibatan sebagai pembuat keputusan,” katanya pada sidang media.

Beliau turut mencadangkan modul Parlimen Wanita dimasukkan dalam kursus AKW Selangor yang diyakini akan memantapkan lagi kualiti graduan akademi tersebut.

Program AKW ketika ini menawarkan empat modul merangkumi 12 subjek gabungan kuliah fizikal, pembelajaran dalam talian dan kerja lapangan selama 18 bulan.

Categories
ADN SELANGOR

Kempen ‘Malaysiaku’ sasar RM10,000 bantu veteran ATM

SHAH ALAM, 26 OGOS: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menyasarkan kutipan RM10,000 menerusi kempen ‘Malaysiaku’ untuk membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ahli Dewan Negerinya berkata program dengan dengan kerjasama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kuala Selangor menyasarkan bekas tentera yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) serta bantuan bencana alam, kebakaran rumah dan kerusi roda.

“Menerusi kempen ini kita menjual 1,000 unit Pin Merdeka yang berharga RM10 seunit dan seluruh kutipan ini akan disalurkan terus ke Tabung PVATM cawangan Kuala Selangor.

“Selain mengumpul dana, objektif kempen ini antara lain meningkatkan kesedaran rakyat mengenai pengorbanan veteran tentera dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda tentang pengorbanan dilakukan golongan tersebut mempertahan negara,” kata Juwairiya Zulkifli pada sidang media hari ini.

Beliau berharap masyarakat di Selangor khususnya di Kuala Selangor dapat bersama menyokong dan menjayakan kempen tersebut dengan menghubungi Pejabat DUN Bukit Melawati di talian 03-32814233.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN kerjasama dengan Perkeso, bantu nelayan buat caruman

SHAH ALAM, 10 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati bakal bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menganjurkan kempen membantu nelayan mendaftar sebagai pencarum skim tersebut.

Juwairiya Zulkifli berkata beliau memuji inisiatif yang memberi manfaat dan perlindungan keselamatan kepada golongan nelayan serta ahli keluarga mereka.

“Saya bercadang akan bekerjasama dengan Perkeso untuk anjur kempen daftar golongan nelayan ini sebagai pencarum sekali gus menguar-uarkan manfaat yang mereka bakal peroleh,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Perkeso mengumumkan kira-kira 40,000 nelayan di seluruh negara akan dicarumkan bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) secara berperingkat mulai 15 Ogos ini.

Usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama erat pihak Perkeso dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan bagi menggantikan caruman insurans nelayan berkelompok LKIM yang dibuat melalui potongan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN).

Difahamkan, sebagai permulaan, LKIM akan membuat caruman SKSPS membabitkan 3,879 nelayan di seluruh Malaysia dengan bayaran setahun berjumlah RM157.20 iaitu mengikut pilihan Pelan 1 SKSPS.`

Categories
ADN SELANGOR

Sky Mirror Kuala Selangor dibuka kembali

SHAH ALAM, 25 JUN: Lokasi pelancongan, Sky Mirror di Kuala Selangor beroperasi kembali selepas hampir tiga bulan ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata sehubungan itu orang ramai digalakkan berkunjung ke situ selari dengan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ bagi merasai keindahan serta pengalaman unik ketika berada di negeri ini.

“Ketika berada di Sky Mirror, pengunjung berpeluang melihat beting pasir di permukaan laut untuk selama beberapa jam akibat fenomena air surut.

“Suasana berkenaan pasti membuat pengunjung teruja tetapi jangan lupa untuk patuh dengan tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, satu lagi lokasi pelancongan popular di Kuala Selangor iaitu Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan masih lagi ditutup.

Majlis Daerah Kuala Selangor memaklumkan penutupan bermula pada 11 Jun lalu bagi kerja membaik pulih serta naik taraf dan pengumuman mengenai pembukaan semula pusat pelancongan berkenaan akan dibuat kelak.

Sky Mirror Kuala Selangor setiap hari dilawati hampir 200 pelancong dari dalam dan luar negara antaranya dari Jepun, Korea, Taiwan dan Hong Kong.

Categories
ADN SELANGOR

Bantuan lampin, susu formula masih dibuka – Juwairiya

SHAH ALAM, 10 JUN: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati dialu-alukan untuk memohon bantuan lampin pakai buang dan susu formula, kata Ahli Dewan Negerinya.

Juwairiya Zulkifli berkata permohonan itu terbuka kepada pasangan muda yang mempunyai anak kecil terutama mereka yang terjejas susulan Covid-19 sehingga hilang punca pendapatan.

“Alhamdulillah kita sudah mengagihkan kepada lebih 150 penduduk dan atas sifat keprihatinan ia masih dibuka dengan anda cuma perlu hadir ke pusat khidmat DUN untuk memohon,” katanya kepada SelangorKini.

Juwairiya berkata insiatif ini dilaksanakan Kerajaan Negeri selepas melihat ramai dalam kalangan ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membeli keperluan bayi susulan pandemik.

“Terima kasih Kerajaan Negeri dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) yang prihatin terhadap nasib golongan ini. Semoga bantuan diteruskan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Juwairiya: Rangka pelan strategik bantu pelancongan Kuala Selangor

SHAH ALAM, 3 JUN: Kerajaan Negeri perlu merangka pelan strategik bagi membantu pengusaha pusat pelancongan di Kuala Selangor yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata kebanyakan mereka hilang sumber pendapatan sekali gus tidak mampu menampung bayaran gaji pekerja.

“Sudah tiba masa Kerajaan Negeri memikirkan pelan atau inisiatif bagi membantu pengusaha ini kerana sektor pelancongan juga punca ekonomi utama di Kuala Selangor,” kata Juwairiya Zulkifli kepada SelangorKini.

Sky Mirror dan Kelip-kelip Kampung Kuantan antara lokasi tarikan pelancong di Kuala Selangor sejak beberapa tahun lalu.

Sky Mirror menerima jolokan Salar De Uyani Malaysia seperti di Bolivia kerana memiliki hamparan tebing pasir pantai seakan cermin sementara kelip-kelip menjadi tumpuan pelancong serata dunia serta aktivis alam sekitar.