Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pemegang kad Peduli Sihat dijangkiti Covid-19 boleh tuntut sehingga RM6,000

SHAH ALAM, 19 OGOS: Semua pemegang kad Peduli Sihat yang dijangkiti Covid-19 boleh menuntut insurans sehingga RM6,000, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata waris juga boleh membuat tuntutan sama jika ahli keluarga yang mendaftar program tersebut meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

“Saya ingin maklumkan sebenarnya pemegang kad Peduli Sihat yang dijangkiti Covid-19 atau meninggal dunia, waris mereka boleh menuntut insurans sedia ada ini sehingga RM6,000.

“Kita anggarkan ada 60,000 pemegang kad Peduli Sihat dan sehingga semalam ada kira-kira 4,000 orang telah meninggal dunia cuma kita tidak pasti mereka ini pemegang kad atau sebaliknya,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Rakyat Selangor khususnya kelompok kategori berpendapatan rendah (B40) disarankan untuk mendaftar di bawah Skim Insurans Peduli Sihat bagi mendapatkan rawatan asas secara percuma.

Pada 1 April tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan skim tersebut akan turut memberi perlindungan kesihatan seperti berikut:

– Bantuan pengebumian
– Perlindungan kemalangan diri
– Perlindungan penyakit kritikal
– Insuran nyawa / hayat

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: 85,000 pemegang Kad Peduli Sihat antara penerima vaksin

SHAH ALAM, 23 APRIL: Seramai 85,000 pemegang Kad Peduli Sihat bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 yang dibeli oleh Kerajaan Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amiruddin Shari berkata golongan itu antara kumpulan sasar dalam pengagihan vaksin yang dijangka tiba pertengahan tahun ini.

“Kita mempunyai penerima Kad Peduli Sihat dan data mereka menunjukkan golongan ini sahaja dekat 85,000 orang.

“Kta juga memberi fokus kepada sudut ekonomi membabitkan kilang, pembinaan…kalau tunggu mungkin ambil masa yang lama kerana ekonomi perlu bergerak,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Mahabbah Ramadan Bersama Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Kerajaan Negeri merancang untuk membeli antara tiga hingga lima juta dos vaksin bagi membendung penularan wabak demi memenuhi keperluan warga tempatan.

Pada 18 Mac, Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan sekurang-kurangnya RM100 juta untuk pembelian vaksin Covid-19 bagi negeri ini.

Selangor dijangka mendapat vaksin sekitar Mei atau Jun yang secara langsung akan membantu mempercepat proses program suntikan vaksin kebangsaan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: 496 ketua kampung dapat perlindungan insurans

HULU LANGAT, 29 MAC: Seramai 496 ketua kampung di negeri ini mendapat perlindungan insurans sejak diperkenal Kerajaan Selangor tahun lalu.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Borhan Aman Shah berkata perlindungan termasuk kos rawatan di hospital akibat kemalangan.

“Jika mereka meninggal dunia akibat kemalangan pampasan yang diterima waris ialah RM15,000. Bagi kematian biasa pula layak menerima RM5,000.

“Selain itu, mereka juga menerima manfaat Kad Peduli Sihat. Kad ini untuk mereka menerima rawatan di klinik,” katanya.

Terdahulu, Borhan menyampaikan manfaat bantuan khairat kematian kepada waris ketua kampung di Kampung Sesapan Minangkabau di Beranang di sini.

Beliau juga turut menyampaikan bantuan yang sama di Kampung Jalan Kebun di Shah Alam.

Categories
EXCO SELANGOR

Ketua kampung diberi Kad Peduli Sihat secara automatik

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan pemberian Kad Peduli Sihat secara automatik kepada semua ketua kampung di negeri ini, kata EXCO kampung tradisinya.

Rodziah Ismail berkata selepas semakan didapati kira-kira 80 peratus daripada ketua kampung layak menerima bantuan terbabit.

Katanya, sebelum ini ketua kampung tidak diberi faedah kesihatan itu kerana khuatir ia akan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Kita tidak mahu masyarakat fikir `untunglah jadi ketua kampung’ sedangkan menerusi semakan, ketua kampung memang layak kerana mereka hanya diberi elaun RM1,200 sebulan.

“Justeru, dalam mesyuarat MMKN minggu lalu telah meluluskan pemberian kad itu,” katanya selepas Seminar Integriti Tumbuk Rusuk, Duit Panadol Pengkisahan Dari Tirai Besi di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2020, Kerajaan Negeri mengumumkan untuk meneruskan Skim Peduli Sihat dengan peruntukan RM42.5 juta bagi memberi manfaat kepada 85,000 rakyat Selangor pada tahun ini.

Categories
SELANGOR

MB: Amalkan gaya hidup sihat sebelum guna Kad Peduli Sihat

OLEH SHEEDA FATHIL

BATU CAVES, 24 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menggalakkan rakyat supaya mengamalkan gaya hidup sihat sebelum menggunakan Kad Peduli Sihat.

Beliau berkata, hal itu kerana pepatah Melayu ada menyebut bahawa menghindari lebih baik daripada mengubati iaitu mengelak lebih baik daripada mencari ubat.

“Namun, saya faham sedikit sebanyak ia sukar dilaksanakan kerana sikap dan cara hidup individu itu sendiri yang tidak mengawal pemakanan harian sekali gus akan menyebabkan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) mudah tersebar.

“Dengan pemakanan yang tidak terkawal maka ia akan mendatangkan masalah kepada penyakit NCD seperti darah tinggi, kencing manis, jantung dan pelbagai lagi yang menjadi punca utama kematian di negara ini.

“Oleh itu, saya nasihatkan sebelum kita menggunakan kad Peduli Sihat, kita dapat mengamalkan gaya hidup sihat supaya tiada lagi penyakit NCD dijangkiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Sihat Selangor 2018 Peringkat Majlis Perbandaran Selayang di Taman Ekstrem Gau Damai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri komited dalam membantu rakyat menangani masalah kesihatan, justeru pada Pembentangan Belanjawan 2019 turut disebut peruntukan RM10 juta untuk Peduli Sihat.

“Saya optimis di saat kita sedang berhadapan dengan kemajuan, kejayaan dan kemakmuran ekonomi ini, ia bukan hanya perlu dinikmati tetapi harus bersedia amalkan gaya hidup sihat, stabil dan berkualiti,” katanya.

Terdahulu, Amirudin menerusi Pembentangan Belanjawan 2019 beliau turut mengumumkan Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM10 juta bagi Skim Peduli Sihat pada tahun depan.

Categories
SELANGOR

Peduli Sihat sedia perkhidmatan efektif, ambil peluang segera

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 OGOS: Program Skim Peduli Sihat Selangor mendapat sambutan positif rakyat di Selangor berikutan kemudahan rawatan yang efektif dan menyenangkan.

Rata-rata peserta yang menyertai program diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak awal tahun ini, berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan menerusi 1,000 klinik di seluruh Selangor di bawah program berkenaan.

Sehubungan itu, rakyat Selangor berkelayakan disaran menggunakan kemudahan program itu kerana Kerajaan Negeri memperuntukkan RM125 juta bagi tujuan itu dengan sasaran sejuta orang memperoleh manfaat melaluinya.

Seorang peserta melahirkan rasa puas hati terhadap skim berkenaan melalui laman sosial facebooknya, Pak Pen Firdaus, menyatakan kemudahan dialami ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik berbanding pengalaman ditempohnya sebelum itu.

Peduli Sihat“Pengalaman sebelum ini, saya perlu menunggu hampir tiga hingga empat jam untuk mendapatkan rawatan dan berjumpa doktor, bagaimanapun hari ini saya terus ke Klinik Panel Peduli Sihat Selangor dan mendapatkan rawatan kurang dari 5 minit.

“Keseluruhan urusan saya di klinik hanya mengambil masa 10 minit sebelum saya melangkah keluar. Apa yang lebih mengembirakan, saya tidak dikenakan bayaran langsung kerana bil rawatan saya sebanyak RM50 telah dibayar menggunakan Kad Peduli Sihat ini,” catatnya dan menggalakkan rakyat yang layak mengambil kesempatan menggunakan kemudahan itu.

Skim Peduli Sihat adalah skim perlindungan asas bagi meringankan kos sara hidup untuk kumpulan B40 iaitu golongan berpendapatan RM1,500 hingga RM3,000 sebulan.

Dibahagikan kepada dua kategori iaitu keluarga dan individu di mana bagi kategori keluarga, mereka layak menerima RM500 diperuntukkan dalam satu kad Peduli Sihat dengan syarat rakyat Selangor atau bermastautin di negeri itu selama 10 tahun dan berpendapatan di bawah RM3,000.

Bagi kategori individu, mereka berumur 21 tahun ke atas layak menerima pembiayaan RM200 setahun, berpendapatan di bawah RM1,500 serta syarat sama.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari lama sesawang – https://www.pedulisihat.com