Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Cadang Penyelesaian Hutang Pembeli Rumah PKNS

SHAH ALAM 4 OKT : Kerajaan Negeri akan meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyenaraikan nama pembeli-pembeli rumah PKNS yang dibebani hutang tertunggak bagi menyelamatkan daripada dilelong.

Cadangan itu dibuat ekoran beberapa pembeli rumah PKNS menuntut perbadanan itu mengambil alih hutang rumah mereka yang keseluruhannya berjumlah RM50 juta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan menggunakan mekanisme yang sedia ada bagi membantu masalah itu.

Katanya, ia termasuk bantuan melalui zakat dan mengenakan bayaran sewa rendah.

“Jika mahu kira dari segi orang yang berhutang, nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak 78 peratus. Ia melibatkan bilangan yang ramai.

“Kita tidak boleh senang-senang ambil hutang itu tetapi kita ada usaha sendiri untuk meringankan beban mereka,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco.

Justeru, Abdul Khalid berkata, pihaknya perlu menilai beberapa aspek antaranya golongan kurang berkemampuan dan berpenyakit akan layak menerima bantuan melalui zakat dan kadar sewa bulanan yang rendah.

Seramai 350 pembeli rumah PKNS menuntut perbadanan itu mengambil alih hutang rumah mereka.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pencapaian Ekonomi Empat Negeri PR Atasi Era Pemerintahan Umno-BN

 

SHAH ALAM 29 SEPT : Empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat(PR) membuktikan walau baru hanya empat tahun memerintah tetapi pencapaiannya sudah mengatasi lebih 50 tahun pemerintahan Umno-BN.

Perkara ini didedahkan dalam pembentangan khas kejayaan negeri-negeri PR ketika program Rapat Pimpinan Nasional PKR 2012 di sini.

Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan pencapaian Kerajaan Negeri berkata pencapaian ekonomi dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi Selangor mencapai 23 peratus pada tahun 2010 daripada 22.1 peratus ketika tahun 2008.

Manakala nilai pelaburan, Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM36 bilion sejak 2008 hingga 2012.

“Bagi pelaburan tempatan bagi tempoh itu sebanyak lebih RM14 bilion dan pelaburan asing sebanyak RM21.9 bilion.

“Manakala sebanyak RM7bilion sehingga Julai 2012,” katanya.

Selain itu, Kedah mencatatkan kecemerlangan apabila meningkatkan hasil pembangunan negeri melalui hasil balak kepada RM80 juta bagi tahun 2011 daripada RM9 juta semasa pentadbiran Umno-BN.

“Pada tahun 2008, ia meningkat kepada RM35 juta ; 2009 sebanyak RM38 juta; 2010 sebanyak RM53 juta ; 2011 sebanyak RM80 juta.

“Kita menyasarkan ia meningkat kepada lebih RM80 juta bagi tahun ini,” kata Exco Kerajaan Negeri Kedah, Amiruddin Hamzah.

Bagi Pulau Pinang pula, kejayaan terbesar mereka ialah dalam program memartabatkan agama Islam.

Menurut Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy ia melibatkan peruntukkan sejumlah RM64 juta bagi tahun 2012 daripada RM12.5 juta pada tahun 2008.

“Peruntukkan itu melibatkan antaranya pembesaran tanah kubur, pembinaan Sekolah Agama Rakyat, surau dan masjid,” katanya.

Manakala bagi negeri Kelantan, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata negeri itu berjaya mengatasi masalah miskin tegar dengan mencatatkan 0.2 peratus lebih rendah di peringkat nasional pada tahun 2011.

Katanya, bermula 17.8 peratus pada tahun 2002, Kelantan berjaya mengurangkan masalah itu kepada 4.8 peratus pada tahun 2011 seterusnya meletakkan negeri itu ke tangga ke lima selepas Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kedah.

“Walaupun kami sentiasa dipinggirkan sejak dahulu lagi tetapi kami berjaya membuktikan kami mampu melaksanakan pelbagai lagi agenda Kerajaan Negeri.

“Kita juga masih menunggu tunggakan royalti petroleum sebanyak RM10.4 bilion. Daripada tunggakan itu, pelbagai agenda dirangka untuk dibahagikan duit royalti itu kepada rakyat.

“Antaranya, menyelesaikan masalah miskin tegar dengan menyasarkan ke angka sifar menjelang 2015,” katanya.

Categories
NASIONAL

PKR Mengalu-Alukan Sokongan MAA Turunkan Harga Kereta

SHAH ALAM 28 OGOS : PKR mengalu-alukan kenyataan Presiden Persatuan Automatif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad yang menyokong tuntutan penurunan harga kereta.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kenyataan MAA itu bahawa harga kereta diturunkan secara berperingkat-peringkat seiring kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar menegaskan bahawa penurunan ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat selama lima tahun bagi mengelakkan harga kereta sedia ada dan terpakai merudum.

“Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat nanti akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.

“Ia termasuk institusi kewangan, pembuat dan penjual kereta sebelum sebarang penurunan duti eksais di dalam Belanjawan Persekutuan setiap tahun,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan medianya.

Jelas Nik Nazmi, PKR melancarkan kempen ‘Turunkan Harga Kereta’ kerana ia merupakan cara efektif dan segera untuk menaikkan pendapatan isirumah rakyat.

Angka-angka dari pelbagai sumber termasuk Kajiselidik Pendapatan Isirumah dan Kemudahan Awam 2009 yang diterbitkan Jabatan Statistik mencatatkan beberapa fakta yang merisaukan.

Fakta menunjukkan 53 peratus daripada isirumah di Malaysia mempunyai pendapatan bawah RM3,000 sebulan dengan 71.9 peratus daripada isirumah memiliki atau menggunakan kereta;

Malahan nisbah hutang isirumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 33 peratus pada 1997 kepada 78 peratus pada 2011.

Manakala Kadar hutang isirumah kepada KDNK adalah 140 peratus pada 2011, lebih tinggi dari Singapura (105 peratus), Thailand (53 peratus) dan Indonesia (38 peratus);

“Jumlah hutang daripada kereta peribadi merupakan jumlah hutang kedua terbesar selepas rumah kediaman sebanyak RM134.2 bilion pada akhir Mei 2012; dan

“Jumlah hutang daripada kereta swasta telah meningkat sebanyak RM16 bilion atau 14 peratus dalam 18 bulan, berbanding RM118 bilion pada November 2010,” ujar Nik Nazmi.

Tambah Nik Nazmi, harga kereta yang lebih rendah bermakna pinjaman kereta yang lebih rendah.

Maka rakyat tidak akan menghabiskan begitu banyak pendapatan isirumah untuk membayar pinjaman di mana sebahagian besarnya adalah cukai kerajaan.

Sebaliknya, mereka akan mempunyai pendapatan bolehguna yang lebih tinggi yang akan meningkatkan kualiti kehidupan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

“Dalam kempen Turunkan Harga Kereta ini, kami akan mengadakan forum-forum bermula September di seluruh negara.

“Kami turut bercadang menjemput MAA dan berharap mereka dapat hadir bagi berkongsi idea mereka tentang isu penting ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Anwar : Najib Patut Bentang Semula Belanjawan Negara 2012

SHAH ALAM,30 MEI : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaan agar Belanjawan 2012 dibentangkan semula dan dibahaskan dalam Parlimen pada sesi Jun ini.

Menurut Anwar, pertumbuhan ekonomi yang lembap pada kadar 4.7 peratus dalam suku tahun pertama 2012 seperti yang diumumkan oleh Bank Negara baru-baru ini memberikan kesan serius terhadap kewangan negara.

Ini adalah kali kedua pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk mencapai sasaran penting ekonomi berdasarkan Belanjawan 2012.

Tegas Anwar, bukan sahaja Najib gagal memenuhi sasaran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011, pentadbirannya hanya mencapai 14.4 peratus pertumbuhan pelaburan swasta berbanding sasaran 16.2 peratus.

“Saya telah mengingatkan Datuk Seri Najib bahawa kecenderungan beliau memanipulasi unjuran pertumbuhan ekonomi untuk mempamerkan angka defisit yang lebih rendah adalah tidak bertanggungjawab,” kata Anwar dalam kenyataan medianya.

Anwar menjelaskan,ketika perbahasan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2011, telah ditegaskan bahawa andaian ekonomi yang digunakan iaitu pertumbuhan 5.0 ? 5.5 peratus untuk 2011 dan 5 ? 6 peratus pada 2012, adalah tidak tepat.

“Kini terbukti bahawa andaian tersebut yang digunapakai dalam perancangan Belanjawan 2012 bersifat tidak absah.

“Pengumuman Bank Negara Malaysia pada 21 Mac 2012 yang menyemak unjuran pertumbuhan ekonomi 2012 kepada 4 peratus hingga 5 peratus sahaja menyetujui gesaan saya supaya Belanjawan 2012 dibentangkan semula,” ujar Anwar.

Anwar berkata,jika Barisan Nasional berterusan membelanjakan wang negara berdasarkan belanjawan tersebut, ia akan memberikan kesan parah terhadap kadar defisit.

Lebih lagi, defisit boleh melangkaui had 55 peratus nisbah hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).