Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Tiada maaf, tindakan keras untuk pencemar sungai

mb

SHAH ALAM, 4 Sept: Individu atau syarikat yang mencemar alam sekitar bukan sahaja perlu membayar kos kerosakan akibat perbuatan mereka, bahkan perlu menanggung kos pemulihan pencemaran tersebut.

Begitu saranan Kerajaan Negeri Selangor kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya menguatkuasakan prinsip seperti itu yang termaktub dalam Akta Kualiti Alam Sekililing 1974.

Tegas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, langkah itu perlu bagi menghalang kes seperti pembuangan minyak di Sungai Selangor yang menjejaskan kehidupan lebih 899,931 pengguna Lembah Klang daripada berulang lagi.

“Penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di negara ini perlu dipertingkatkan memandangkan kes-kes pencemaran yang disebabkan kecuaian semakin kerap berlaku,” tegas Abdul Khalid di satu sidang akhbar di ibu negeri.

Tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mengakibatkan pencemaran dan kerosakan serius pada alam sekitar dan kehidupan penduduk di negeri Selangor sering menerjah ke ruang media.

Kerajaan Negeri sebelum ini berkata, Kerajaan Pusat perlu bekerjasama dengan Selangor untuk bersama-sama membanteras kegiatan ‘penyangak’ alam sekitar.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi berwajib dan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan terus bekerjasama memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan kes-kes pencemaran sungai seperti yang berlaku baru-baru ini dapat dielakkan.

“Kerajaan negeri mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan membekukan semua permohonan menjalankan sebarang bentuk aktiviti di kawasan rezab sungai berkuatkuasa serta merta,” tegas beliau.

Semua PBT juga diarahkan menjalankan kerja-kerja pemantauan semua aktiviti di kawasan rezab sungai terutama aktiviti tidak berlesen.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Beri Insentif Bangunan Hijau, Bangunkan Tenaga Diperbaharu

Elizabeth Kotak 3R PJ 01

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Selangor menjunjung Perjanjian Cancun dengan melaksanakan beberapa program galakan dalam usaha memelihara alam sekitar dan menangani isu masalah pemanasan global.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata, ia berdasarkan kerangka ditetapkan Kerajaan Persekutuan meliputi tiga program.

Iaitu Kecekapan Penggunaan Tenaga (Energy Efficiency – EE), Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy ? RE) dan Pengurusan Sisa Pepejal.

“Bagi program EE, Kerajaan Negeri akan memberikan insentif melalui diskaun kepada Kumpulan Wang Perkhidmatan Infrastruktur (ISF) untuk membangunkan bangunan hijau (Green Building).

“Bagi program RE, Kerajaan Negeri akan membangunkan mikro hidro di desa dan luar bandar yang mana salah satu tempat telah dibina berlokasi di Kampung Orang Asli Tanjung Rambai Genting Peras, Hulu Langat.

“Manakala bagi pengurusan sisa pepejal pula, Exco Kerajaan Tempatan dicadangkan untuk mengkaji projek ‘waste to energy’,” katanya menjawab soalan Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata, lagi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga disyorkan untuk melaksanakan Garis Panduan Kejiranan Hijau.

Perjanjian Cancun dibuat di Cancun, Mexico pada 11 Disember 2010 adalah satu perjanjian oleh komuniti antarabangsa untuk menangani cabaran jangka masa panjang perubahan iklim dan pemanasan global secara kolektif dan komprehensif.

Bagi menangani isu perubahan iklim secara bersepadu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah menyediakan Dasar Perubahan Iklim Negara yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 20 November 2009.