Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor anjur Semenyih Sihat, berjaya kumpul 86 beg darah

SHAH ALAM, 23 NOV: Program Semenyih Sihat yang dianjurkan Team Selangor berjaya mengumpul 86 beg darah, kata ketua sekretariatnya.

Syahaizel Keman berkata darah didermakan 110 individu itu mampu menyelamatkan pesakit yang memerlukan bekalan.

“Memang tujuan kita anjurkan program ini untuk membantu Pusat Darah Negara mendapatkan darah seterusnya agih kepada hospital.

“Kita cuba meneruskan program ini pada masa akan datang memandangkan manfaatnya besar kepada masyarakat,” katanya kepada SelangorKini.

Syahaizel berkata program berkenaan dijalankan bersama Ahli Majlis MPKj Zon 20 Pejabat Kesihatan Hulu Langat, Pusat Darah Negara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bidadari, Agensi Dadah Kebangsaan dan Persatuan Semarak.

“Selain aktiviti derma darah, kita turut adakan pemeran kesihatan bagi mendidik penduduk selain senaman aerobik sebagai pembuka program,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

140 sertai kempen derma darah DUN Morib sempena Merdeka

BANTING, 2 SEPT: Seramai 140 individu sertai kempen derma darah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib sempena Hari Kebangsaan Ke-63 pada 31 Ogos lalu.

Ahli Dewan Negerinya, Hasnul Baharuddin berkata program yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat adalah usaha membantu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menambah bekalan darah.

“Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggesa seluruh negara melabur dalam pembangunan infrastruktur dan kempen kesedaran awam bagi meningkatkan bilangan penderma darah sebagai usaha membendung pandemik Covid-19,” katanya di Facebook.

Beliau menambah kempen tersebut akan diadakan secara kerap di sekitar mukim itu bagi memudahkan masyarakat yang berdepan kekangan masa untuk pergi ke hospital.

“Misalnya, hari cuti sempena menyambut Merdeka sebegini dapat memberi peluang kepada mereka untuk hadir dengan keadaan lebih selesa seterusnya memupuk nilai murni,” katanya sambil menambah peserta diberi sijil penghargaan oleh HTAR.