Categories
AGENSI SELANGOR

Peserta vaksin Selangor gesa individu lengkap disuntik terus kekal di rumah

BANTING, 22 OGOS: Individu yang melengkapkan pengambilan vaksin diharap terus kekal di rumah dan tidak menyalah guna kelonggaran diberi kerajaan berikutan kes Covid-19 masih tinggi.

Suri rumah P Shanthi, 26, berkata beliau dan suami D Kalithasan, 25, serta keluarganya yang mendapat suntikan dos kedua hari ini memutuskan akan hanya keluar untuk mendapatkan keperluan harian serta bekerja.

P Shanthi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Walaupun kemudahan ini boleh dimanfaat dalam tempoh dua minggu lagi, kami akan kekal begitu kerana perasaan takut dijangkiti masih ada dan varian baharu Covid-19 yang mudah merebak membimbangkan.

“Mereka yang sudah lengkap dua dos juga diharap berbuat perkara sama,” katanya ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib di PPV Dewan MPKL Banting Baru hari ini.

Pembantu kantin Siti Khursiah Md Nor, 42, berkata beliau berasa lebih selamat untuk keluar bekerja selepas mendapat suntikan pelalian apabila kerajaan mengumumkan pembukaan semula sekolah nanti.

Siti Khursiah Md Nor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini kerana pekerjaan saya dikelilingi murid-murid yang berisiko dijangkiti Covid-19 selain di rumah ada dua anak berusia 12 dan lima tahun.

“Walaupun potensinya masih ada selepas divaksin, ini adalah antara usaha untuk mengurangkan jangkitan,” katanya.

Bekas pekerja swasta Chung Chin Sin, 56, berkata perasaan lega dirasai selepas lengkap dua dos suntikan ketika kes Covid-19 masih tinggi.

“Namun saya risaukan ibu yang masih tidak mahu divaksin kerana takut untuk keluar rumah walaupun dipujuk beberapa kali. Diharap wakil rakyat dapat mengadakan pemberian vaksin dari rumah ke rumah untuk kes terpencil seperti ini,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

1,400 individu di DUN Morib terima dos kedua vaksin

BANTING, 22 OGOS: Lebih 1,400 individu menerima dos kedua pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Morib di PPV Dewan MPKL Banting Baru.

Wakil rakyatnya Hasnul Baharuddin berkata pemberian suntikan kedua berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan jumlah kehadiran 600 orang semalam dan 800 individu esok.

“Suntikan dos kedua di dewan ini berlangsung selama lapan hari dan dimulakan DUN Morib, diikuti Banting, Tanjung Sepat dan Sijangkang,” katanya selepas meninjau program Selvax Komuniti di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua PPV Dewan MPKL Banting Baru Nur Zahirah Zainizam berkata proses pemberian dos kedua kepada penerima di daerah Kuala Langat akan berakhir pada 29 Ogos ini.

“Seramai 6,007 penerima di empat DUN terbabit dijangka hadir untuk melengkapkan suntikan vaksin. Sekiranya tidak dapat hadir, mereka akan diberikan tarikh janji temu dan perlu hadir ke Klinik Selcare berhampiran.

“Bagi suntikan dos kedua ini seramai 30 petugas dan sukarelawan ditempatkan di PPV ini bagi kelancaran proses vaksinasi,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Suntikan vaksin tanpa janji temu di PPV Dewan MPKL, Banting hari ini

SHAH ALAM, 2 OGOS: Orang ramai yang belum menerima janji temu dipelawa hadir ke Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Taman Banting Baru bagi mendapatkan vaksin Covid-19 secara terus hari ini.

Wakil rakyat Hasnul Baharuddin berkata program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib itu bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Bagi yang belum mendaftar atau belum menerima tarikh daripada MySejahtera dan ingin mengambil suntikan vaksin, boleh hadir secara terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) ini pada jam 10 pagi.

“Bagi bukan warganegara pula mereka boleh datang ke PPV yang sama pada jam 1 tengah hari,” katanya menerusi Facebook.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan dan masa menunggu yang lama.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Morib bantu 70 keluarga susah sempena Aidiladha

SHAH ALAM, 20 JULAI: Seramai 70 keluarga sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menerima bantuan makanan asas dan basah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Ahli Dewan Negerinya Hasnul Baharuddin berkata sumbangan melalui Misi Ziarah Kasih Aidiladha untuk membantu masyarakat Kampung Bandar yang memerlukan.

“Misi kali ini menggunakan kenderaan roda tiga bagi memudahkan bantuan diberi kepada penerima yang umumnya tinggal berhampiran satu sama lain.

“Usaha ini diharap dapat meringankan beban keluarga yang mempunyai punca pendapatan atau sumber kewangan isi rumah rendah,” katanya menerusi Facebook semalam.

Hasnul yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri mengagihkan bantuan bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bandar Abdullah Sani Sahbudin .

Beliau berkata gandingan bersama pusat khidmat masyarakat dan pihak MPKK juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan sumbangan kepada penerima.

“Selain membantu, kita juga dapat mendengar luahan penduduk mengenai situasi semasa,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Morib agih makanan sejuk beku bantu penduduk terjejas PKP

SHAH ALAM, 12 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menyediakan 500 pek makanan bagi membantu penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Wakil rakyatnya Hasnul Baharuddin berkata selain makanan asas seperti beras, gula, biskut dan minyak masak, pek makanan itu turut diisi makanan sejuk beku.

“Kita beri kelainan untuk kali ini. Setakat ini, jumlah diagihkan tidak banyak, mungkin penduduk telah membuat persediaan.

“Bagaimanapun, kita jangka permohonan bakul makanan akan meningkat kerana PKP disambung,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Hasnul berkata sebanyak 100 bakul makanan diagihkan kepada keluarga yang menjalani kuarantin di rumah dalam tempoh sebulan.

“Kita faham mereka tidak boleh keluar kerana mahu kekang penularan pandemik. Jadi, kita bantu meringankan beban mereka,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP dilanjutkan dua minggu lagi mulai 15 hingga 28 Jun susulan kes Covid-19 melebihi 5,000 sehari.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk Morib bersyukur terima bantuan makanan, jimat belanja dapur

MORIB, 3 APRIL: Rata-rata penerima bantuan makanan segar daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin menzahirkan rasa kesyukuran.

Warga emas, Normala Zakaria, 64, berkata bantuan ayam segar dan pelbagai jenis sayuran pertama kali diterimanya berbanding menerima barangan makanan kering sebelum ini.

Normala Zakaria

“Alhamdulillah saya bersyukur dan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Hasnul yang begitu cakna dengan keperluan rakyat.

“Barangan yang diterima hari ini saya cadang mahu masak lontong dan InsyaAllah ayam pula boleh simpan untuk buat rendang bagi sambut kedatangan Ramadan nanti,” katanya kepada Media Selangor.

Ibu kepada dua anak itu merupakan antara 200 penerima makanan segar daripada ADN Morib di pekarangan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Seri Jugra hari ini.

Shariffuddin Abu Bakar

Sementara itu, pesara Padiberas Nasional Berhad, Shariffuddin Abu Bakar, 71, berkata beliau memuji ketangkasan dan sifat peduli Hasnul yang sentiasa prihatin dengan masalah penduduk.

“Ini bukan kali pertama saya terima agihan seumpama ini, sebaliknya sudah beberapa kali Kerajaan Negeri mengagihkan bantuan berupa makanan asas dan kewangan.

S Vasantha

“Walaupun saya ada wang pencen tetapi ketika situasi pandemik ini bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat menjimatkan kos belanja dapur,” katanya.

Seorang lagi penerima, S Vasantha, 30, berkata beliau berharap bantuan itu berterusan dan lebih ramai golongan kurang berkemampuan dibantu.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Morib hargai sukarelawan, hulur bantuan kewangan

SHAH ALAM, 1 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menyumbangkan sejumlah RM5,000 kepada pasukan kawalan Covid-19.

Wakil rakyatnya berkata mereka terdiri daripada 10 sukarelawan yang bertugas empat kali seminggu di Pasar Pagi Banting, Pasar Malam Banting dan Pasar Malam Taman Sri Putra.

“Pasukan ini antara golongan petugas barisan hadapan yang mengawal ketat tatacara operasi piawai (SOP) di setiap pintu masuk pasar tersebut.

“Semoga sedikit sumbangan ini dapat meringankan beban perbelanjaan mereka selain bersemangat untuk terus membuat kebajikan,”kata Hasnul Baharuddin.

Timbalan speaker Dewan Negeri Selangor turut berharap agar masyarakat menghargai pasukan terbabit disamping mematuhi SOP ketika berkunjung ke pasar.

“Saya menyeru orang awam agar mematuhi arahan pasukan terbabit dan menjaga SOP seperti ditetapkan kerajaan demi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

10 masjid, 30 surau DUN Morib terima peruntukan sempena Ramadan

SHAH ALAM, 18 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib memperuntuk RM40,000 untuk diagihkan kepada 30 surau dan 10 masjid di kawasan itu.

Wakil Rakyat Hasnul Baharuddin berkata sumbangan bertujuan meringankan beban pengurusan menjalankan aktiviti atau tambah baik rumah ibadat tersebut.

“Malah, agihan ini juga sempena kedatangan bulan Ramadan. Kita harap ahli jawatankuasa memainkan peranan melaksanakan aktiviti dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Sumbangan ini juga membantu tambahkan kutipan tabung masjid atau surau yang berkurangan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, DUN berkenaan turut mengadakan program sanitasi di masjid sekitar Morib demi mencegah penularan Covid-19.

Hasnul berkata isu kebersihan masjid dan surau antara yang menjadi keutamaan dalam pengurusan rumah ibadah terutama ketika berdepan dengan ancaman pandemik.

“Cakna dengan keperluan berkenaan, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib tampil dengan pasukan khas sanitasi masjid mengambil tanggungjawab membersihkan keseluruhan ruang masjid termasuk ruang pejabat dan ruang solat muslimah,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Sebelas sekolah DUN Morib terima dana naik taraf kemudahan

SHAH ALAM, 8 JAN: Sebanyak 11 buah sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menerima bantuan kewangan berjumlah RM331,000 untuk menambah baik infrastruktur.

Wakil rakyatnya berkata sumbangan Kerajaan Negeri merangkumi dua sekolah maahad tahfiz, satu madrasah tahfiz dan dua Kelas Al-Quran dan Fardu Ain.

Hasnul Baharuddin memaklumkan dana turut disalur kepada sebuah sekolah rendah integrasi, tiga sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil dan dua SJK Cina.

“Peruntukan diagih mengikut bilangan murid dan keperluan membina infrastruktur dengan tertinggi menerima RM100,000 manakala terendah RM5,000,” tulisnya di Facebook.

Pada 23 November lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan dana berjumlah RM22.473 juta untuk menaik taraf infrastruktur 740 buah sekolah di Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu, sekolah agama rakyat merupakan penerima terbesar sebanyak RM9.113 juta melibatkan 538 sekolah diikuti 101 SJK Cina (RM6 juta) dan 83 SJK Tamil (RM4.36 juta).

Turut menerima manfaat, empat sekolah menengah persendirian Cina (RM2 juta) serta 14 sekolah mubaligh dan sekolah menengah jenis kebangsaan (RM1 juta).

Categories
ADN SELANGOR

140 sertai kempen derma darah DUN Morib sempena Merdeka

BANTING, 2 SEPT: Seramai 140 individu sertai kempen derma darah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib sempena Hari Kebangsaan Ke-63 pada 31 Ogos lalu.

Ahli Dewan Negerinya, Hasnul Baharuddin berkata program yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat adalah usaha membantu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menambah bekalan darah.

“Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggesa seluruh negara melabur dalam pembangunan infrastruktur dan kempen kesedaran awam bagi meningkatkan bilangan penderma darah sebagai usaha membendung pandemik Covid-19,” katanya di Facebook.

Beliau menambah kempen tersebut akan diadakan secara kerap di sekitar mukim itu bagi memudahkan masyarakat yang berdepan kekangan masa untuk pergi ke hospital.

“Misalnya, hari cuti sempena menyambut Merdeka sebegini dapat memberi peluang kepada mereka untuk hadir dengan keadaan lebih selesa seterusnya memupuk nilai murni,” katanya sambil menambah peserta diberi sijil penghargaan oleh HTAR.

Categories
ADN SELANGOR

Ibu tunggal terima bantuan ADN Morib, baik pulih rumah

SHAH ALAM, 1 SEPT: Penderitaan seorang ibu tunggal berakhir bulan lalu selepas Ahli Dewan Negeri Morib menghulurkan bantuan RM15,000 menampung kos membaik pulih rumahnya di Kanchong Darat, Banting dekat sini.

Masrubi Ruhani, 45, berkata bantuan daripada Hasnul Baharuddin itu amat dihargai kerana sepanjang bergelar ibu tunggal dan menanggung empat anak masih bersekolah, dia tidak pernah meminta bantuan sebaliknya berusaha membesarkan anak-anak.

“Dulu memang terima bantuan zakat (Lembaga Zakat Selangor) tapi wang itu masuk ke akaun bekas suami. Saya pun tak kemas kini rekod diri tapi zakat dah bantu betulkan.

“Saya hargai bantuan semua pihak terutama YB yang prihatin dengan kesusahan kami dan beliau yang uruskan semuanya. Anak-anak gembira dapat hidup lebih selesa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

 

Selain rumah dibaiki, Masrubi yang bekerja sebagai pembantu kedai turut dibantu mendapatkan bantuan Kasih Ibu Smart Selangor serta didaftarkan sebagai asnaf miskin.

Sebelum ini, beliau menjelaskan pelbagai masalah dihadapi bersama anaknya terutama musim tengkujuh berikutan keadaan rumah didiami tidak berdinding selain bumbung bocor.

“Tiap kali hujan lebat pasti saya dan anak-anak menangis sama-sama. Kami juga terpaksa bertungkus lumus alihkan barang-barang sebab banyak bumbung bocor dan tempat tidur sentiasa berubah.

“Bila hujan sekali ribut petir, saya minta anak-anak azan dalam rumah dengan harapan hujan berenti. Sepanjang dua tahun ini tiap kali hujan saya dan anak-anak trauma, risau perkara buruk berlaku,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

1,000 pek makanan untuk keluarga terjejas PKP di Morib

SHAH ALAM, 29 APRIL: Sebanyak 1,000 bungkusan makanan asas diagihkan kepada penduduk di 10 kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin berkata bantuan difokuskan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang hilang punca pendapatan sepanjang tempoh berkenaan.

“Agihan dibuat melalui ketua kampung, ketua taman dan surau termasuk individu itu sendiri yang tampil ke pusat gerakan untuk memohon bantuan.

”Diharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan khususnya peniaga, penjaja kecil dan pekerja kontrak yang hilang mata pencarian,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya bersedia meneruskan agihan sumbangan sehingga tempoh larangan itu ditamatkan demi memenuhi keperluan rakyat setempat.

“Terdapat kemungkinan mereka yang menerima bantuan dari awal sudah kehabisan stok makanan asas, jadi kita kena sedia membantu mereka bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Perkara ini sedang dipantau oleh ketua kampung dan petugas sukarelawan yang turun ke lapangan bagi mendapatkan maklum balas daripada masyarakat,” katanya.