Categories
AGENDA NASIONAL

Gaji pekerja asing, kereta terbang antara isu penting Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Usaha kerajaan mengurangkan kadar guna pekerja asing serta perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang antara perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu penggajian pekerja asing yang mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan itu akan diajukan oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kepada Menteri Sumber Manusia semasa sesi soal jawab lisan.

Abdul Azeez juga dijangka bertanyakan keberhasilan usaha mengurangkan kadar pengangguran warga tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19.

Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAKATAN-Lumut) dijadual bertanyakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang dan sama ada ia masih diteruskan di bawah kementerian itu.

Selain itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) akan mengajukan soalan mengenai rasional mewujudkan kementerian khusus yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar dan air serta objektif dan fokus utama kementerian berkenaan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-14 ini akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, dijangka melibatkan tujuh kementerian.

Pembentangan beberapa rang undang-undang bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 turut disenaraikan dalam urusan Aturan Mesyuarat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Malaysia tetap teruskan projek kereta terbang

PETALING JAYA, 28 OGOS: Malaysia tetap dengan pendiriannya berhubung projek kereta terbang pertamanya, walaupun sekalipun dikritik pelbagai pihak.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ia termasuk kritikan pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Profesor Phillip Alston, baru-baru ini, .

“Kita terbuka kepada mana-mana pendapat untuk membangunkan projek itu. PBB mungkin punya pandangannya sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat syarikat pembekal solution ICT berasaskan sekuriti, Datasonic Group Bhd di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Alston berhubung projek itu bahawa ia tidak praktikal dilaksanakan di Malaysia, dengan alasan negara ini sering terdedah kepada ribut dan kenderaan itu akan menggunakan terlalu banyak bahan bakar fossil.

Alston dilaporkan berkata projek kereta itu membazirkan sumber dan masa bagi Malaysia yang sepatutnya membuat persediaan bagi menghadapi kesan perubahan iklim yang kini mula terasa.

“Projek ini adalah inisiatif swasta. Jika anda lihat pada seluruh eko sistem industri itu sendiri, saiznya adalah kira-kira USD500 bilion seantero dunia, ini industri besar yang kita harus terlibat dan sokong,” kata Mohd Redzuan.

Prototaip kereta terbang itu sedang didirikan oleh sebuah syarikat Malaysia di Jepun, dan kerja membina kereta berkenaan kini 85 peratus siap.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Projek kereta terbang 85 peratus siap

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Kerja membina kereta terbang pertama Malaysia sudah 85 peratus siap, menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Prototaip kereta terbang itu menurut beliau, sedang dibina oleh sebuah syarikat Malaysia di Jepun, berikutan kuasa ekonomi negara itu mempunyai ekosistem sokongan untuk industri kereta terbang.

“Saya akan ke Jepun pada September untuk menghadiri Persidangan Penerbangan dan saya berharap dapat melihat kereta (terbang) yang hampir siap yang kami akan bawa pulang ke tanah air pada akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Kepimpinan PKS 2019 di sini hari ini.

Pihak kementerian, katanya, sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian yang terlibat dalam sektor penerbangan untuk mewujudkan ruang udara yang sesuai untuk kereta terbang di Malaysia, serupa dengan usaha dilakukan di beberapa negara lain, untuk melengkapi kemahiran usahawan tempatan bagi membangunkan kereta terbang.

“Kereta terbang adalah inisiatif swasta. Kami tidak mengawal mereka (pelabur) mengenai apa yang mereka mahu lakukan, tetapi kami perlu mewujudkan industri (kereta terbang) di Malaysia,” katanya.

Berhubung sama ada kereta terbang pertama negara akan dilancarkan pada akhir tahun, Mohd Redzuan berkata, ia akan bergantung kepada ekosistem Malaysia untuk kereta terbang, khususnya dari segi ketersediaan untuk terbang pada waktu itu.

Persidangan Kepimpinan PKS 2019 selama sehari itu dianjurkan ATCEN Sdn Bhd dan menyasarkan pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ketua pegawai eksekutif, pengurus besar, pengurus kanan dan eksekutif daripada pelbagai industri.

Menurut penganjur, hampir 450 perwakilan akan dapat menimba ilmu daripada pakar industri, amalan terbaik mereka, cadangan penyelesaian dan mendapat pendedahan terhadap model perniagaan lebih baik sebagai sebahagian transformasi kepimpinan.

– BERNAMA

Categories
RENCANA

Kereta oh kereta, bila lagi kau boleh terbang?

OLEH NAZLI IBRAHIM

Kepintaran seorang kanak-kanak yang baru menjangkau darjah lima di sebuah sekolah di Retroville, Texas memang tidak boleh disangkal.

Dalam usia mentah itu, dia sudah membina pelbagai peralatan canggih termasuk kereta terbang ‘Hover Car’. Ia digunakan untuk bersiar-siar dengan sahabatnya Carl dan Sheen terbang tinggi di atas awan.

Lebih mengejutkan, kereta terbangnya yang diperbuat daripada barangan terpakai seperti pelampung dan kipas turut dipersiapkan dengan sistem pertahanan berupa peluru berpandu!

Nanti dahulu, jangan cari di YouTube, kereta terbang ini hanya dapat disaksikan dalam siri animasi ‘Jimmy Neutron’ yang popular awal 2000-an. Kanak-kanak ini sering bersama robot anjingnya Goddard.

Dua karakter ini wujud dalam dunia kartun. Bagaimanapun dalam dunia sebenar impian melihat kereta terbang juga semakin hampir menjadi kenyataan.

Di Malaysia sendiri, Proton Holdings Bhd menerusi syarikat induknya Geely Holding dilaporkan sudah memiliki teknologi berkenaan tetapi mungkin belum mampu dikomersialkan.

Ia memiliki prototaip kereta terbang tetapi masih ada beberapa perkara perlu diteliti seperti lesen, undang-undang dan pasaran, kata seorang editor portal permotoran.

“Tiada yang mustahil tetapi saya lihat negara belum bersedia. Sistem, pengurusan, kawal selia, perlesenan dan aspek perundangan masih banyak belum diteliti.

“Buat masa ini, kekangan kos, praktikaliti, perlesenan, kawalan dan latihan menjadikannya kurang praktikal sebagai kenderaan massa,” kata Shamsul Yunos seperti dilaporkan BH Online.

Akhbar itu mengupas cadangan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof mengenai prototaip kenderaan tersebut bulan lalu.

Baru-baru ini, sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019, beliau menunjuk model kecil kereta seumpama itu.

Tambahnya, seperti dipetik Utusan Online, prototaip kereta itu dibangunkan oleh rakyat Malaysia di Jepun tanpa menggunakan wang negara dan ia dijangka siap hujung tahun ini.

Sementara di luar negara, teknologi pembuatan kereta terbang terus diteroka dan dikembang untuk mencapai tahap yang lebih murah dan mudah. Syarikat gergasi pengeluar pesawat seperti Boeing dan Airbus juga berminat.

Elon Musk, usahawan teknologi terkenal dunia, menimbulkan kegemparan pada Januari apabila memaklumkan syarikatnya Tesla berminat mengeluarkan kereta yang mampu terbang.

https://www.youtube.com/watch?v=VRZNLBL7Px4

Model baru Roadster “mampu terbang”, katanya seperti dilapor portal Forbes, dengan melampirkan gambar kenderaan DeLorean daripada filem Back to the Future.

Namun beberapa jurutera automotif masih ragu-ragu dengan projek sedemikian. Dr Markus Lienkamp, dari Universiti Teknikal Munich, berkata, dari sudut teknikal, idea menambah sistem tekanan udara dan penggunaan bahan api cecair mampu menerbangkan kereta itu.

Bagaimanapun beliau berpendapat kenderaan itu sekadar satu pameran disebabkan ia terlalu berat dan menelan kos yang tinggi.

Manakala, Dr John Allport dari Universiti Huddersfield di United Kingdom juga berasa ragu dengan idea Musk, yang memang dikenali sering mengeluarkan idea-idea radikal.

Allport juga melihat kos yang besar, selain sistem tujahan itu hanya mampu mengapungkan kereta itu hanya dalam masa beberapa saat sahaja.

“Secara teknikalnya tidak ada yang mustahil mengenai apa yang beliau [Musk] cadangkan tetapi dari mana datangnya tenaga yang cukup untuk mengapungkan kereta itu?” katanya kepada Forbes.

Selain Tesla, AeroMobil mula mencipta prototaip sejak awal 1990-an lagi. Pada 2010, perintisnya Stefan Klein bersama Juraj Vaculik mengasaskan syarikat pengeluar kereta terbang dengan model versi 2.5.

Lima tahun kemudian, model prototaip eksperimen mereka, AeroMobil 3.0 menerima anugerah berprestij daripada majalah Popular Science bagi kategori Ciptaan Terbaik Tahunan.

AeroMobil 3.0 turut menjadi tarikan popular masyarakat pemotoran dunia menerusi penyertaan Expo 2015 dan acara lain bertaraf dunia.

Selepas itu, AeroMobil yang mendakwa “pencipta pertama” kereta jenis ini berjaya membina model lebih maju, iaitu AeroMobil 3.0 pada 2014 dan diikuti versi 4.0 pada 2017.

Ketika ini mereka sedang melakukan persiapan rapi sebelum melancarkan jualan AeroMobil 4.0 pada tahun 2020 sebelum diikuti AeroMobil 5.0 pada 2025.

Malah, syarikat yang berpangkalan di Slovakia ini juga sudah mula membuka tempahan kepada pihak yang berminat memiliki kereta terbangnya.

Di Pameran Auto Geneva baru-baru ini, model kereta terbang Pal-V Liberty Pioneer ditunjukkan. Sementara syarikat terkenal Goodyear memperkenalkan model kereta terbang Aero menggunakan tayar yang berpusing.

Semua perkembangan terkini menimbulkan tanda tanya, adakah detik-detik memandu kereta terbang seperti ditonton dalam filem cereka sains boleh kita nikmati tidak lama lagi?

Categories
NASIONAL

UniMAP sedia kerjasama bangunkan kereta terbang

ARAU, 10 MAC: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan pelbagai agensi dalam usaha membangun kereta terbang, di negara ini berdasarkan kepakaran sedia ada yang dimiliki pusat pengajian tinggi itu.

Naib Canselornya, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kereta terbang atau ‘aeromobile’ bukan sesuatu yang mustahil direalisasikan di Malaysia, seiring perkembangan teknologi yang kian pesat, pada abad ini.

“Kereta terbang antara lainnya hampir menyamai fungsi dron. Ia maampu dibangunkan dan memerlukan peruntukan serta bajet tinggi memandangkan ia membabitkan penggunaan teknologi sistem tanpa pemandu (UAS) yang terkini,” katanya kepada Bernama.

Katanya, Pusat Kecemerlangan Sistem Tanpa Pemandu (COEUAS) yang diterajui Prof Dr Hazry Desa, sememangnya adalah hab penyelidikan yang memberi fokus kepada teknologi UAS.

“UniMAP bersedia memberikan kepakaran untuk idea ini dan bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam aspek perpindahan teknologi secara bersepadu.

“Jika ia mampu direalisasikan, pasti kita mampu untuk melihat kewujudan kereta terbang di negara ini, sekali gus menjadi kebanggaan negara,” katanya.

Bagaimanapun, Zul Azhar berkata, dalam merealisasikan hasrat itu, kerajaan perlu menyediakan peruntukan dalam bentuk dana kewangan mencukupi dan membuka peluang serta ruang kepada rakyat, di negara ini untuk turut menyumbang idea.

Katanya, usaha giat perlu dikemukakan secara berfasa dan semua pihak harus menyokong inovasi serta penciptaan warga tempatan dalam UAS kerana tidak mustahil Malaysia mencapai kejayaan lebih tinggi termasuk membangunkan kereta terbang.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof berkata, prototaip kereta terbang pertama Malaysia dijangka diperkenalkan kepada awam, tahun ini. -BERNAMA