Categories
SELANGOR

Empat pengedar ketum dicekup polis menyamar pembeli

KLANG, 15 DIS: Kehadiran anggota polis yang disangka sebagai pembeli membawa kepada penahanan empat lelaki yang memproses, menjual serta mengedar air ketum di sebuah rumah di sekitar Pulau Indah, Pelabuhan Klang Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata seorang daripada suspek juga sempat bertanya kepada anggota berkenaan berapa botol yang hendak dibeli sebelum polis bertindak memperkenalkan diri.

Cha berkata susulan itu, keempat-empat suspek berumur 30 hingga 33 tahun yang ketika itu sedang membungkus air ketum ditahan dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah sewa jenis berkembar sekitar 12.10 tengah malam hingga 2 pagi.

Katanya, serbuan hasil risikan polis itu turut menemukan sebuah stor dan tempat memproses cecair ketum di rumah tersebut selain merampas cecair disyaki ketum yang siap dibungkus berjumlah 600 liter, daun ketum 20 kilogram, cecair disyaki kodien (ubat batuk) sebanyak 583.20 liter serta peralatan memproses air ketum.

“Polis menganggarkan jumlah rampasan barangan tersebut bernilai RM12,000 dan turut disita wang tunai berjumlah RM250 disyaki hasil jualan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini hari ini.

Cha berkata hasil risikan mendapati sindiket yang beroperasi sejak enam bulan lepas itu memasarkan cecair ketum dan ubat batuk tersebut di sekitar daerah Klang.

Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala tempoh reman yang tamat pada hari ini, akan disambung untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Cha berkata pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan Geng Dubuk Samun Ragut yang dipercayai terlibat dalam kira-kira 20 kes samun dan ragut di sekitar kawasan Klang Selatan, susulan beberapa siri tangkapan terhadap empat lelaki pada 9 Dis lepas.

Penahanan ke atas semua suspek berumur 26 hingga 42 tahun itu dijalankan susulan aduan seorang lelaki berusia 55 tahun di Lorong Resak, Taman Palm Grove dekat sini yang didatangi dua lelaki dipercayai suspek menaiki motosikal dari arah belakang dan meragut beg sandang pengadu lalu melarikan diri.

Katanya, ketua kumpulan samun tersebut yang berumur 40-an juga pernah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 namun masih melakukan jenayah samun dan ragut di sekitar Klang.

“Suspek berumur 40-an itu sebelum ini diletakkan di bawah pengawasan polis di Balai Polis Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang akhirnya ditahan semula bersama tiga suspek pada Khamis lepas,” katanya sambil menambah kesemua suspek kini direman hingga 19 Dis.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Benarkan kanabis, ketum digunakan untuk ubat, cadang pakar

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Sebagai ahli psikiatri dan juga pakar merawat ketagihan dadah, Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid menyaksikan sendiri kesan marijuana atau ganja ke atas pesakit, termasuk mencetuskan psikosis dalam kalangan penghidap skizofrenia dan lain-lain gangguan mental.

Justeru, beliau terperanjat apabila mendapati bahan itu dapat menenangkan seorang individu autistik teruk. Individu tersebut merupakan anak lelaki pesakitnya yang mengalami kemurungan kerana tidak mampu menangani situasi si anak.

“Wanita itu memberikan minyak CBD (cannabidiol) kepada anaknya – dia cuma letakkan beberapa titik di bawah lidah si anak setiap hari – dia dapati kelakuan hiperaktif dan melampau anaknya berkurangan,” katanya.

Hal itu menimbulkan rasa ingin tahu Dr Rusdi tentang potensi kebaikan kanabis dari segi perubatan dan penggunaannya, terutama CBD iaitu bahagian bukan psikogenik pada tumbuhan itu, terhadap individu autistik teruk yang lebih tua.

Hasrat beliau dan beberapa penyelidik lain untuk mengkaji faedah perubatan kanabis dan ketum – sejenis dadah psikotropik yang berkait rapat dengan opium namun kurang dikenali, menghangatkan lagi polemik tentang “menghalalkan” dua dadah berkenaan di Malaysia, antara negara yang mengenakan hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah.

Di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, pemilikan lebih 200 gram kanabis atau resin ganja dianggap sebagai bukti niat untuk mengedar, dan mereka yang ditangkap dengan jumlah itu akan berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Ketum pula disenaraikan di bawah Akta Racun 1952. Walaupun tidak dikategorikan sebagai narkotik, dan penanaman pokoknya serta penggunaan dibenarkan, penjualan bahan itu diharamkan melainkan oleh ejen sah.

Ini bermakna, jika Dr Rusdi yang juga Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya, cuba menjalankan kajian mengenai keberkesanan CBD dalam merawat masalah kelakuan dengan menjalankan eksperimen sendiri menggunakan minyak CBD, beliau berisiko menghadapi hukuman mati.

Namun ada perkembangan yang mungkin dapat mengubah senario itu.

Susulan langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggugurkan marijuana perubatan daripada senarai dadah berbahaya, Malaysia kini menimbang untuk membolehkan penggunaan, penjualan dan pengedaran kanabis serta ketum bagi tujuan perubatan, melalui penubuhan kaukus bipartisan bagi mengkaji aspek perundangan.

Boleh dari segi teknikal

Pada 9 November lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu Parlimen bahawa penggunaan kanabis dibenarkan untuk tujuan perubatan di bawah undang-undang sedia ada, namun menambah produk mesti didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Beliau berkata penjual mesti mempunyai lesen dan permit di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik, Akta Racun serta Akta Dadah Berbahaya bagi mengimport dan menjual produk kanabis di Malaysia. Hanya pengamal perubatan berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 boleh membekalkan produk itu.

“Kanabis (hemp) turut dikawal di bawah Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 dan tersenarai di bawah Jadual I Konvensyen tersebut. Kawalan utama dikenakan ke atas bahan yang tersenarai dalam Jadual I adalah dihadkan hanya untuk tujuan perubatan atau saintifik yang melibatkan pengeluaran, pembuatan, eksport, import, pengedaran, perdagangan, penggunaan dan pemilikan,” kata Khairy.

Ramai pakar sedia maklum tentang peruntukan itu, namun mereka keberatan untuk memohon kebenaran daripada Kementerian Kesihatan kerana proses yang agak sukar.

Dr Rusdi berkata sekalipun penyelidik dapat meyakinkan jawatankuasa kelulusan mengenai merit kajian mereka, kos kajian terlalu tinggi untuk diteruskan kerana mereka perlu membeli bekalan kanabis, bukan menanam sendiri yang memerlukan satu lagi proses permohonan kebenaran.

Bagaimanapun susulan kenyataan Khairy itu, ramai yang menyatakan hasrat ingin berbuat demikian.

Seorang daripada ahli kaukus itu, Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen berharap dapat menangani permasalahan berkenaan bagi membolehkan kajian dijalankan dan seterusnya membentuk strategi kukuh bagi membenarkan dan mengawal selia penggunaan kanabis dan ketum.

“Kebenaran di sisi undang-undang tidak bermakna bahan itu akan diedarkan secara meluas di pasaran terbuka, iaitu dengan tanggapan setiap orang menggunakannya untuk khayal dan macam-macam lagi. Sebaliknya, kebenaran itu hanya bagi tujuan perubatan dan ekonomi,” jelas Dr Yii.

Beliau berkata dengan membenarkan penggunaan tumbuhan itu untuk tujuan perubatan, negara akan beroleh faedah dari segi kesihatan dan juga ekonomi, mengurangkan penjualan dadah di pasaran gelap selain memastikan produk itu selamat untuk digunakan.

Antara potensi kebaikan tumbuhan itu ialah melegakan kesakitan, relaksan otot (meredakan tegang otot), antiemetik/antimuntah dan antikonvulsan, selain sebagai pengganti untuk penyalahgunaan bahan.

“(Menerusi undang-undang ini) ada elemen kawalan, kita boleh memantau pelaksanaan, kita boleh kenakan cukai, kita boleh kawal pengeluaran dan penjualan serta menilai impak secara berterusan,” tambah Dr Yii.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan Universiti Sains Malaysia Prof Dr B. Vicknasingam melihat ada potensi ekonomi daripada penanaman dan penjualan kanabis serta ketum di pasaran antarabangsa, namun berpendapat Malaysia patut menerajui penyelidikan ketum bersandarkan pada sejarah penggunaannya sebagai ubat tradisional sejak sekian lama di negara ini.

Tidak seperti kanabis, tidak banyak halangan untuk mengkaji ketum di Malaysia.

“Kita ada kelebihan. Kita selalu beritahu mereka yang berminat untuk melakukan penyelidikan tentang marijuana dan kanabis bahawa dunia Barat sudah mendahului dan mereka juga sudah mengeluarkan produk di pasaran,” katanya.

Beliau antara lain ingin mengkaji potensi ketum sebagai ubat melegakan kesakitan dan juga dalam rawatan salah guna bahan.

Sekiranya dibenarkan di sisi undang-undang, Malaysia akan menuruti langkah beberapa negara yang telah “menghalalkan” kanabis serta menjadi negara kedua di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan kanabis dan ketum untuk perubatan selepas Thailand.

Guna terima dan cegah salah guna

Kebenaran penggunaan kanabis dan ketum untuk perubatan akan membawa perubahan kepada banyak sektor.

Pakar-pakar yang dihubungi Bernama, baik peguam mahupun pegawai perubatan atau aktivis antidadah, menyatakan sokongan terhadap marijuana perubatan. Bagaimanapun sokongan mereka berserta kaveat – peraturan mesti ketat bagi mencegah dan menghukum penyalahgunaan apabila penanaman dan penjualan dadah itu dibenarkan untuk tujuan perubatan.

Masyarakat tahu pasaran kanabis dunia bernilai berbilion dolar dan ketum juga berpotensi memberi nilai yang sama. Pulangan besar sedemikian pastinya menarik pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Peguam hak asasi manusia Samantha Chong berkata Malaysia boleh mencontohi Colorado, sebuah negeri di Amerika Syarikat, tentang bagaimana untuk menanam, memproses dan mengedar kanabis.

Namun katanya kerajaan perlu mengubah suai model itu agar menepati kebudayaan dan masyarakat Malaysia.

Menggambarkan perjalanannya untuk mengkaji industri kanabis di Colarado sebagai “pembuka mata”, beliau berkata industri itu melibatkan semua sektor – pelesenan, impak alam sekitar, penguat kuasa undang-undang, keselamatan pekerja, sekuriti serta pengangkutan dan jualan.

“Semua tanaman dipantau menerusi CCTV dan setiap pokok ditag dengan kod bar RFID… setiap pokok kanabis boleh dijejaki daripada penanaman hingga ke dispensari,” katanya.

Menurutnya, pendapatan daripada jualan marijuana itu digunakan oleh Colorado untuk membiayai perkhidmatan sosial serta latihan pekerja dalam industri berkenaan.

Dalam pada itu, pakar perundangan berkata undang-undang mesti dipinda untuk mencerminkan status quo, seperti menggugurkan kanabis daripada senarai Jadual Pertama dalam Akta Dadah Berbahaya dan mungkin memasukkannya dalam Akta Racun seperti ketum.

Chong berkata wujud keperluan undang-undang untuk mencegah salah guna kuasa selain mengemas kini undang-undang lain termasuk Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Penjara 1995.

Kerajaan juga perlu bersedia untuk mengurangkan hukuman ke atas pesalah yang dikenakan hukuman mati atas penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

“Sekiranya pindaan dibuat, pindaan hendaklah diaplikasikan secara retrospektif dan kemudian diaplikasikan dalam kes seperti Amiruddin,” kata Ramkarpal Singh, peguam bagi Amiruddin Nadarajan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dr Ganja, pesakit kanser berusia 63 tahun yang berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengedar kanabis.

Dari sudut perubatan, pakar berkata ada keperluan untuk mengubah cara kerajaan menangani masalah penagihan dan pemulihan yang pada masa ini menggunakan kaedah berbentuk hukuman.

Pakar perubatan yang berpandangan tidak sukar untuk membenarkan penggunaan kanabis perubatan dan ketum, berkata kerajaan boleh menggunakan rangka kerja sedia ada mengenai ubat-ubatan mengandungi bahan terkawal seperti opioid dan metadon.

Dr Rusdi berkata kaedah semasa melibatkan diagnosis dan preskripsi oleh pengamal perubatan terlatih dan bertauliah. Pesakit kemudian mendapatkan ubat-ubatan daripada farmasi berdaftar.

Pesakit juga perlu membawa kad perubatan yang menyatakan mereka telah dipreskripsikan bahan terkawal dan oleh siapa, sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa.

Beliau juga tidak menjangka timbul kesukaran untuk menghalang salah guna.

“Jika tidak ada diagnosis yang sahih dan kita syak mereka pengguna dadah rekreasi, maka jangan keluarkan preskripsi,” katanya.

Tentang kanabis

Hemp dan marijuana adalah kanabis, namun hemp merujuk kepada tumbuhan kanabis yang mengandungi 0.3 peratus tetrahydrocannabinol (THC) — bahan kimia yang membuatkan seseorang khayal. Semua tumbuhan kanabis — C. sativa, C. indica dan C. ruderalis — mengandungi jumlah-jumlah tertentu THC dan cannabidiol (CBD).

Penyelidik perubatan dan saintis paling berminat terhadap CBD, kandungan yang kebanyakannya ditemukan dalam hemp, khususnya jenis C. sativa. Kajian-kajian terhad yang dijalankan sebelum ini menunjukkan ada faedah perubatan. Daun dan bunga pokok hemp digunakan untuk membuat minyak CBD, bahan lazim dalam kebanyakan produk penjagaan diri seperti penjagaan kulit.

Hemp juga digunakan untuk membuat kertas, pakaian, tali dan kain layar.

Ketum pula merupakan tumbuhan lazim di rantau Asia Tenggara yang digunakan sebagai ubat tradisional oleh penduduknya sejak beratus tahun dahulu. Tumbuhan yang berkait rapat dengan opium itu semakin popular di Amerika Syarikat, khususnya bagi mengawal gejala penarikan ketagihan dadah. Tumbuhan ini berpotensi menjadi faktor pengubah dalam usaha negara mengawal krisis penagihan dadah.

Hingga kini belum ada laporan tentang seseorang mengalami dos berlebihan ketum di Malaysia. Di Amerika Syarikat, kematian akibat penggunaan ketum dilaporkan berlaku akibat dicampurkan dengan dadah lain dan ubat-ubatan seperti antihistamin.

(Sumber: Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid, Prof B. Vicknasingam, American Society for Biochemistry and Molecular Biology, National Institute on Drug Abuse dan Medical News Today.)

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanam ketum hanya dibenar untuk penyelidikan

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Penanaman tumbuhan psikoaktif seperti ketum dibenarkan hanya untuk tujuan penyelidikan namun memerlukan surat kebenaran yang dikeluarkan Menteri Kesihatan.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2019 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut buku RUU yang diedarkan kepada media hari ini, pindaan itu antara lain bagi mewujudkan kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif yang merangkumi pelbagai proses seperti penanaman, pengimportan, pengeksportan, pembekalan dan pemilikan bahan terbabit.

“Ia memperuntukkan kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk membenarkan mana-mana pegawai awam atau pegawai daripada badan berkanun menanam tumbuhan psikoaktif bagi tujuan penyelidikan, pendidikan, eksperimen atau perubatan sahaja.

“Ia tertakluk kepada terma dan syarat yang boleh ditetapkan dalam surat kebenaran yang dikeluarkan Menteri,” menurut buku itu.

Tujuan pindaan adalah untuk memperluaskan skop Akta 366 merangkumi kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif, memperkemas kawalan ke atas aktiviti berkaitan racun dan bahan psikotropik serta mengemaskini Akta 366 agar selaras dengan keperluan semasa.

Pindaan itu juga antara lain mencadangkan hukuman membabitkan denda maksimum RM200,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan apabila menanam tumbuhan psikoaktif tanpa kebenaran atau secara haram.

Selain itu, turut terkandung dalam buku itu adalah Ketua Pengarah Kesihatan atau Pegawai Penguatkuasa Farmasi yang dilantik (Ketua Pengarah Kesihatan) akan diberi kuasa mengeluarkan kompaun bagi kesalahan berkaitan racun dan tumbuhan psikoaktif.

Di bawah seksyen baharu 34A akta itu pula bertujuan melindungi mana-mana pegawai pelesenan, pegawai diberi kuasa, ahli Lembaga Racun, atau mana-mana orang yang bertindak atas arahannya daripada apa-apa tindakan atau pendakwaan sewaktu menjalankan tugas (mengeluarkan kompaun).

Selain itu, kementerian akan menetapkan prosedur mengeluarkan kompaun menerusi satu peraturan dan jumlah kompaun pula tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum bagi kesalahan berkaitan.

Menurut buku itu, selepas pindaan, Akta 366 akan dikenali sebagai Akta Racun dan Tumbuhan Psikoaktif 1952.

Selain itu, turut terkandung dalam pindaan adalah peruntukan baharu kawalan tumbuhan psikoaktif, fleksibiliti pembekalan dan penjualan racun, penjagaan hak pengguna atau pesakit mendapatkan ubat serta peningkatan penalti lebih deteren.

Pindaan juga antara lain berkaitan peningkatan penalti bagi kesalahan atau kecuaian hingga membahayakan nyawa manusia iaitu denda yang kini tidak melebihi RM200,000 atau pemenjaraan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya berkaitan Akta 366 ini.

Kerajaan sebelum ini kekal dengan pendirian tidak menggalakkan penanaman pokok ketum bagi dikomersialkan dan memutuskan untuk membuat pindaan Akta 366 merangkumi kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif seperti pokok ketum serta mengkaji kaedah menangani perkara itu.

Perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan kali ini yang berlangsung sehingga 5 Disember.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Daun dan cecair ketum bernilai RM49,878 dirampas

PADANG BESAR, 15 JUL: Polis dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) berjaya merampas 4,796 kilogram daun ketum dan 191.8 liter cecair ketum bernilai RM49,878 dalam satu operasi sekitar daerah ini, berakhir semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, dalam Op Tapis Bersepadu bermula 1 Julai itu, pihaknya turut menahan 13 lelaki berumur antara 30 dan 40-an, termasuk seorang penjawat awam kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Mereka disyaki cuba menyeludup daun dan cecair ketum yang telah diproses ke negara jiran (Thailand). Kita tahu permintaan daun ketum dan cecair ketum begitu tinggi di sana.

“Sekilo daun ketum dijual di sana (Thailand) bernilai RM40 hingga RM50, dan sekiranya jauh dari pintu sempadan boleh mencapai harga lebih tinggi. Kalau di Malaysia, cuma sekitar RM15 ke RM20 sekilogram daun ketum,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Komander Aksem Padang Besar, ASP Mohd Tajuddin Abdullah dan Komander Kompani A PGA Batalion Kedua Kulim, Kedah, ASP Mohd Nazrul Nanyan.

Muhamad Halim berkata, polis percaya kebanyakan mereka terlibat itu memindahkan operasi pembuatan dan pemprosesan cecair ketum jauh ke dalam hutan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, mereka tidak lagi menjalankan operasi di premis bangunan atau rumah kediaman kerana bimbang diserbu pihak berkuasa, selain turut menggunakan kenderaan sendiri dan treler.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak Januari hingga Jun tahun ini, polis bersama PGA dan Aksem merampas 42,909.5 kilogram daun ketum bernilai RM429.095, cecair ketum seberat 2,689.63 liter bernilai RM26,896.30 dan cecair kodein (ubat batuk) bernilai RM29,775 dengan tangkapan melibatkan 155 orang.

Turut dirampas dadah jenis syabu, heroin, ganja dan pil erimin 5 dianggarkan bernilai lebih RM73,000 dengan tangkapan membabitkan 223 orang, katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis rampas 1.57 tan daun ketum dan pistol

TANAH MERAH, 27 Mei: Polis merampas daun ketum seberat 1.57 tan bernilai RM26,280 dan merampas sepucuk pistol jenis Colt dalam dua serbuan berasingan di Jeli dan Pasir Mas semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hassanuddin Hassan berkata, rampasan ketum terbabit dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jeli di Kampung Baru Jalan Malaysia, Jeli pada pukul 6 petang semalam.

“Rampasan tersebut dilakukan selepas anggota kami menahan sebuah lori bonded jenis Hicom yang dinaiki oleh dua suspek berumur 20 dan 35 tahun yang mencurigakan.

Hasil pemeriksaan, anggota kami menemui satu botol lutsinar berisi cecair keperangan dipercayai air ketum dan pemerikasaan lanjut dibahagian belakang kenderaan itu anggota kami menjumpai 8,650 kilogram ketum yang diletakan didalam 173 bungkusan plastik hitam,” katanya pada sidang media di IPD Tanah Merah, di sini, hari ini.

Hassanudin berkata bekalan daun ketum terbabit diperolehi dari Daerah Sik, Kedah untuk dipasarkan ke Daerah Pasir Mas.

“Semakan rekod lampau suspek berumur 35 mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah manakala hasil ujian air kencing kedua-dua suspek negatif dadah.

“Permohonan reman ke atas dua suspek terbabit sedang dibuat hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Beliau berkata rampasan sepucuk pistol pula dilakukan di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang apabila menahan suspek lelaki berusia 29 tahun di sebuah premis kedai pada pukul 8 malam tadi.

“Rampasan itu dilakukan selepas anggota kami melakukan pemerhatian terhadap premis kedai terbabit selepas mendapat maklumat awam.

Pistol terbabit temui dibadan suspek yang diselit di bahagian pinggang, selain menemui tiga bilah parang dan satu baju hujan menyerupai hak milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di premis terbabit,” katanya.

Katanya hasil ujian air kencing terhadap suspek yang bekerja sebagai buruh itu positif dadah jenis amphetamine dan mempunyai lima rekod lampau.

“Suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis rampas daun ketum di Jeli

 

JELI, 20 Mei: Polis merampas daun ketum seberat 430 kilogram bernilai RM13,000 di Kampung Salor, Batu Melintang dalam satu sekatan jalan raya Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, rampasan terbabit dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli pada pukul 1.30 tengah hari selepas menahan kereta yang dinaiki oleh dua suspek berumur 21 dan 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan, anggota kami menemui 43 bungkus plastik hitam yang mengandungi 2,133 balutan plastik lut sinar yang dipercayai (daun) ketum.

Anggota kami juga turut menemui satu bungkusan plastik cerah yang berikat dengan gelang getah berisi cecair keperangan disyaki air ketum dan menemui satu botol plastik putih berisi cecair disyaki dadah jenis ubat batuk,” katanya pada sidang media di IPD Jeli di sini, hari ini.

Ahmad berkata soal siasat terhadap kedua-dua suspek, mengakui bekalan ketum itu diperoleh dari Kedah untuk dipasarkan di Daerah Machang.

“Suspek hanya mengambil upah RM400 satu perjalanan untuk membawa masuk bekalan itu ke negeri ini. Salah seorang daripada suspek terbabit turut mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu terlibat dengan aktiviti jenayah dan dadah,” katanya.

Katanya kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 22 Mei depan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -BERNAMA