Categories
SELANGOR

Sambutan KISS DUN Bukit Gasing meriah dan penuh cabaran

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 9 FEB: Sambutan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing meriah, namun penuh dengan cabaran.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv berkata, antara cabarannya adalah apabila terdapat ramai penduduk Bukit Gasing tidak menepati syarat kelayakan mendapatkan KISS.

“Di kawasan saya, ramai warga emas yang miskin tiada tanggungan bawah 21 tahun, malahan terdapat juga golongan bapa tunggal kurang pendapatan.

“Bagaimanapun, hal ini sudah saya usulkan di sidang DUN yang lepas ketika Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan berhubung program KISS ini,” katanya kepada SelangorKini.

Rajiv berkata, bagi mengelakkan golongan berkenaan rasa tersisih, maka beliau akan menggunakan Tabung Penyayang untuk membantu mereka yang tidak menepati syarat menerima KISS.

“Kami sedang bekerjasama dengan pasar raya 99 Speedmart bagi mendapatkan baucer membeli-belah dan pada hujung bulan ini ia akan mula diedarkan kepada golongan yang terpilih.

“Langkah Kerajaan Negeri mewujudkan Tabung Penyayang di setiap DUN ini saya lihat sedikit sebanyak membantu mereka yang tidak mendapat KISS, sekali gus dapat meringankan beban dengan keadaan kos sara hidup meningkat, pada masa kini,” katanya.

Pada masa sama, Rajiv menyambut baik program KISS kerana belum ada mana-mana negeri di Malaysia berupaya membuat inisiatif seperti Kerajaan Negeri lakukan itu.

“Saya amat gembira apabila Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membantu dan menyediakan pelbagai inisiatif kepada setiap golongan daripada yang kecil hingga warga emas,” katanya.

Categories
SELANGOR

2,000 Permohonan, Sambutan KISS Luar Biasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 FEB: Sekurang-kurangnya 2,000 permohonan diterima bagi DUN Batu Tiga menerusi pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Ahli Dewan Negerinya, Rodziah Ismail menyifatkan program itu mendapat sambutan luar biasa dalam usaha Kerajaan Negeri memberdaya golongan wanita.

Katanya, beliau tidak menyangka akan menerima permohonan yang banyak, namun Kerajaan Negeri hanya menetapkan kuota 500 permohonan di setiap DUN, ketika ini.

“Saya berharap pemohon yang belum terpilih supaya dapat bersabar dan saya percaya Kerajaan Negeri akan menambah kuota lebih banyak tahun depan.

“Program ini program yang sangat bermanfaat, sudah pasti pelaksanaan yang komprehensif terus dilaksanakan,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, program KISS adalah inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memberdaya golongan wanita dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk mereka membeli barang keperluan.

Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.

Skim berkenaan terbuka kepada rakyat Selangor atau mereka yang menetap melebihi 10 tahun dan merupakan pemilih berdaftar, di Selangor.

Ia juga terbuka wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak atau tanggungan di bawah umur 21 tahun.

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan dalam talian di laman sesawang www.kiss.com.my; atau mendaftar terus di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Categories
SELANGOR

KISS bantu, GST miskinkan rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 23 JAN: Pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) tepat pada masanya tatkala ekonomi semakin tenat, pada masa kini.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, KISS mendapat sambutan luar jangkaan ekoran ramai dalam kalangan penerima skim berkenaan dibelenggu kos sara hidup tinggi.

Katanya, situasi itu berbeza dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan Kerajaan Persekutuan yang menyebabkan semakin ramai rakyat menjadi papa kedana.

“Semuanya berpunca daripada pelaksanaan GST menjadikan harga barangan semakin tinggi dan rakyat terhimpit dengan bebanan membeli barang keperluan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran KISS, di Padang Awam Kampung Permatang, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, pemotongan subsidi oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional turut menjadikan harga barangan keperluan meningkat mendadak.

Menyedari hakikat itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri tampil prihatin dengan nasib rakyat yang terhimpit menerusi pelaksanaan KISS tanpa mengenakan sebarang cukai mahupun potongan subsidi.

“Inilah beza seperti langit dan bumi antara Kerajaan Negeri yang dipimpin di bawah parti Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan kerajaan yang dipimpin BN membantu rakyatnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan golongan wanita, di negeri ini terus menwar-warkan KISS supaya rakyat dapat menikmati hasil Kerajaan Negeri.

“Untuk keluarga di zon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan, RM200 sebulan untuk perbelanjaan membeli barangan dapur sudah cukup, malah dapat meringankan beban mereka,” katanya.

KISS dikhususkan kepada wanita berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah yang melayakkan mereka mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung juga pakaian sekolah di pasar raya serta kedai runcit terpilih.

Categories
SELANGOR

KISS bukan untuk rokok, gincu 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 JAN: Pasar raya dan kedai berdaftar di bawah program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) tidak dibenarkan menjual peralatan kosmetik dan rokok kepada penerima skim berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta kepada lebih 500 pemilik kedai berdaftar.

“Saya sudah keluarkan arahan kepada semua pasar raya, jika ada ibu yang datang nak beli rokok untuk suami, jangan benarkan.

“Itu arahan menteri besar. Rokok tidak boleh, gincu juga tidak boleh. Kelengkapan lain, boleh kita pertimbangkan,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin merasmikan program KISS di bawah peruntukan RM72 juta bagi meningkatkan status sosio ekonomi dan autonomi wanita Selangor.

Skim berkenaan terbuka kepada rakyat Selangor atau mereka yang menetap melebihi 10 tahun dan merupakan pemilih berdaftar, di negeri itu.

Ia juga terbuka wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak atau tanggungan, di bawah umur 21 tahun.

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian di laman sesawang www.kiss.com.my; atau mendaftar terus di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rebut peluang mohon KISS

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 22 JAN: Pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membuka peluang kepada seluruh wanita, khususnya golongan ibu, di negeri ini untuk memohon skim terbabit bagi meringankan beban.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, beliau berharap lebih ramai wanita mahupun golongan ibu memohon KISS, pada masa akan datang.

“Peluang emas begini tiada di mana-mana negeri mahupun di peringkat Kerajaan Persekutuan, jadi saya harap golongan wanita mulai sedar dan ambil peluang memohon KISS.

“Saya rasa terharu kerana Kerajaan Negeri mengiktiraf status dan sumbangan golongan wanita dan ibu, di Malaysia dengan mewujudkan program yang dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran KISS, di Padang Awam Kampung Permatang, Kuala Selangor, petang ini.

Program itu dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada masa sama, Elizabeth berkata, beliau berasa terharu apabila melihat ramai di antara golongan wanita yang menerima kad KISS itu kelihatan ceria.

“Saya yakin program ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan wanita dan ahli keluarga mereka untuk membeli barang keperluan.

“Bagi saya, ini adalah program pertama Kerajaan Negeri yang memberi kuasa terhadap wanita menguasai ekonomi dan membuktikan golongan itu mampu menguruskan kewangan keluarga,” katanya.

Terdahulu, program KISS adalah inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memberdaya golongan wanita dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk mereka membeli barang keperluan.

Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.

Skim berkenaan terbuka kepada rakyat Selangor atau mereka yang menetap melebihi 10 tahun dan merupakan pemilih berdaftar, di Selangor.

Ia juga terbuka wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak atau tanggungan di bawah umur 21 tahun.

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan dalam talian di laman sesawang www.kiss.com.my; atau mendaftar terus di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

Categories
SELANGOR

KISS: Sinar baru buat ibu Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 22 JAN: Pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) diyakini mampu membawa sinar baru kepada golongan ibu, di negeri ini.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, inisiatif berkenaan dilihat relevan ketika golongan itu terus terbeban dengan pelaksanaan dasar yang menekan rakyat, di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, menerusinya penerima boleh membeli keperluan makanan dan perlatan serta kelengkapan, di pasar raya berdaftar.

“Jadi tidak hairanlah selepas KISS dibentangkan, tular di media sosial dengan jelas ada pihak yang cemburu dengan pelaksanaan berkebajikan, di Selangor.

“Hakikatnya, dasar ini dilihat mampu memberi sinar baru kepada golongan ibu, malahan ia juga sebagai pengiktirafan kepada ibu yang banyak berkorban dalam mengangkat institusi kekeluargaan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran PKISS, di Padang Awam Kampung Permatang, Kuala Selangor, petang ini.

Program itu dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerusi pengumuman peruntukan RM72 juta bagi memberdaya program berkenaan.

Majlis pelancaran turut menyaksikan selebriti terkenal, Elly Mazlein mempromosikan pelaksanaan dasar berkenaan kepada kaum wanita yang hadir.

Sebelumnya, Mohamed Azmin berkata, bantuan KISS dikhususkan kepada ibu berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah atas penghargaan terhadap pengorbanan serta perit jerih dilakukan.

Katanya, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan yang akan memberi manfaat kepada 30,000 penerima.

“Melalui KISS, ibu di Selangor akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di sekitar 500 pasar raya dan kedai runcit yang sudah dikenal pasti.

“Namun, diingatkan barang keperluan ini hanya terhad kepada keperluan asas dan bukan untuk peralatan kosmetik atau rokok,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KISS tepat masanya, bantu hadapi cabaran ekonomi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JAN: “Apabila melihat kepada permohonan daripada golongan wanita khususnya ibu tunggal, saya sangat sedih,” luah Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Hal itu kerana pendapatan yang mereka terima sangat sedikit berbanding tanggungjawab yang dipikul golongan itu.

Katanya, ada dikalangan ibu tunggal memelihara enam hingga tujuh orang anak dengan hanya berpendapatan kira-kira RM1,000 sahaja.

“Jadi, pada saya langkah Kerajaan Negeri mewujudkan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) sangat bertepatan.

“Ketika ekonomi sangat mencabar ini, mereka sangat memerlukan kita sebagai pihak kerajaan untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata permohonan KISS itu kini terdiri daripada golongan petani, nelayan, ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah.

KISS bakal dilancarkan pada 22 Januari ini, dengan penyertaan awal sejumlah 30,000 orang.

Setakat ini, program itu menerima sambutan luar biasa apabila hampir setiap kawasan DUN menerima lebih 1,000 permohonan.

Untuk rekod, peratusan isi rumah dan agihan pendapatan kasar bulanan bagi Selangor 2016, sebanyak 1.7 peratus menerima pendapatan sebanyak RM1,999 ke bawah.

Justeru, seramai 108,800 isi rumah terbabit atau 30,000 layak menerima insentif KISS.

Setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Melalui KISS, ibu di Selangor akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di pasaraya dan kedai runcit yang akan dikenalpasti.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KISS terima sambutan luar biasa

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 JAN: Bakal dilancarkan pada 22 Januari ini, program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) menerima sambutan luar biasa apabila hampir setiap kawasan DUN menerima lebih 1,000 permohonan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Haniza Talha berkata, walaupun Kerajaan Negeri hanya menetapkan kuota 500 permohonan di setiap DUN, namun pejabatnya masih menerima permohonan baru sehingga kini.

“Kalau ikot kuota, kawasan saya memang tidak cukup sebab masih ramai pemohon berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

“Justeru, saya berharap Kerajaan Negeri boleh meluluskan untuk memberi kuota bagi kawasan DUN yang masih tidak penuh kepada kawasan yang lebih memerlukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

ADN Rawang, Gan Pei Nei berkata, pejabatnya turut menerima sambutan memberangsangkan.

Katanya, sambutan luar biasa diterima masyarakat membuktikan inisiatif Kerajaan Negeri membantu rakyat bertepatan dengan keadaan ekonomi, hari ini.

“Saya dapat lihat ia satu penambahbaikan kepada program Foodstamp tetapi menerusi KISS, penerima boleh membeli barangan dengan pilihan sendiri seperti barangan kesihatan selain makanan asas,” katanya.

Sementara itu, ADN Dusun Tua, Razaly Hassan berkata, langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan program itu memberi harapan besar kepada rakyat selangor yang dibelenggu masalah ekonomi.

“Pada awal program ini diperkenal sahaja kita dapat lihat ramai yang menanti untuk memohon.

“Dalam tempoh seminggu sahaja, permohoanan KISS boleh mencecah lebih 1,000. Jadi, kita menjangkakan program ini akan terus memberi manfaat kepada rakyat Selangor,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kad KISS dilancar 22 Januari ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 JAN: Kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) akan dilancarkan pada 22 Januari ini oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, lokasi pelancaran program itu akan diumumkan kelak.

“Sejumlah 30,000 permohonan yang berdaftar akan selesai, pada hujung Januari ini, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh wanita, terutama golongan ibu di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Ramah Mesra Hi-Tea Bersama Media sempena tahun baru 2018: Usher in The New Year and #PressForProgress with IWB, di Hotel Concorde, di sini.

Turut hadir, Penasihat dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Wanita Berdaya (IWB), Zuraida Kamaruddin dan Pengarah IWB, Haniza Talha.

Terdahulu, menerusi Belanjawan 2018, Mohamed Azmin mengumumkan program KISS dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan yang akan memberi manfaat kepada 30,000 penerima.

KISS dikhususkan kepada wanita berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah yang melayakkan mereka mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di pasar raya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti.

Pada masa sama, Dr Daroyah berkata, Kerajaan Negeri bakal melancarkan Koperasi Wanita Selangor dan Pusat Sokongan Santunan Harmoni (PSSH) untuk memberi manfaat kepada seluruh wanita di Selangor.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kad KISS bakal dilancar Januari ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 DIS: Kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang dinantikan rakyat bakal dilancarkan Januari ini oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pelancaran itu dipercepatkan bagi memberi manfaat kepada seluruh wanita, terutama golongan ibu di negeri ini.

“Setiap hari di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) sentiasa dipenuhi orang ramai yang hadir untuk memohon KISS.

“Selepas perayaan Krismas ini, kami akan mula membuat tapisan dan memilih pemohon yang layak menerima kad KISS,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, setiap permohonan akan ditapis mengikut kategori ditetapkan.

“Kita faham dengan keadaan ekonomi kini, sudah pasti ramai tidak sabar untuk menikmati faedah yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, menerusi Belanjawan 2018, Mohamed Azmin mengumumkan program KISS dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan yang akan memberi manfaat kepada 30,000 penerima.

KISS dikhususkan kepada wanita berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah yang melayakkan mereka mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di pasar raya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Permohonan KISS bagai pisang goreng panas

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 22 DIS: Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang memfokuskan golongan ibu, di negeri ini terus mendapat sambutan menggalakan daripada rakyat.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, sehingga kini lebih 700 permohonan KISS sudah diterima, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Kami sasarkan 1,000 permohonan bakal diterima sehingga hujung tahun ini.

“Setiap hari Pusat Khidmat Rakyat DUN Rawang menerima kunjungan daripada komuniti setempat untuk memohon KISS,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, setiap permohonan KISS akan menjalani proses tapisan sebelum diluluskan, sama ada layak atau tidak untuk menerima skim terbabit.

Pei Nei berkata, setakat ini sudah lima kedai runcit di DUN Rawang sudah dikenal pasti akan bekerjasama menggunakan skim KISS.

“Pada masa sama, kebanyakan kedai runcit turut memuji Kerajaan Negeri melaksanakan skim ini kerana ia membantu mereka mendapatkan lebih sumber pendapatan,” katanya.

Terdahulu, dalam Belanjawan 2018, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pelaksanaan Kad KISS dengan sasaran 30,000 ibu, di negeri ini yang bakal menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Melalui KISS, golongan ibu akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di pasar raya serta kedai runcit yang dikenal pasti.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Ibu berpendapatan RM2,000 ke bawah terima RM200 sebulan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 3 NOV: Golongan ibu menyambut baik insentif RM200 sebulan yang diberikan Kerajaan Negeri bagi mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah, bermula tahun 2018.

Bagi kerani akaun, Norfazilah Harun, 28, pemberian bantuan itu amat dinantikan kerana ia mampu meringankan bebannya dan keluarga terutama sebagai ibu yang bekerja serta berpendapatan rendah.

“Ini adalah peluang baik untuk golongan ibu bergaji rendah seperti saya kerana dengan bantuan itu boleh juga dibuat simpanan atau perbelanjaan anak yang tak mencukupi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Pengumuman itu diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menerusi inisiatif baharu yang diperkenalkan Kerajaan Negeri iaitu Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang akan memberdaya golongan ibu sebagai pengurus kewangan untuk keluarga masing-masing, di Selangor.

“Ia bagi membantu ibu daripada setiap keluarga atas segala pengorbanan dan perit jerih mereka khususnya berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah.

“Setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan,” katanya.

Selain itu, 30,000 ibu di negeri itu akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di pasaraya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti melalui Kad KISS,.

Sementara itu, guru tadika, Jaslina Harun, 36 berkata, bantuan itu dilihat sebagai penghargaan kepada peranan dan jasa ibu selama ini yang banyak membantu keluarga.

“Saya amat gembira dan bersyukur dengan bantuan ini serta bangga menjadi sebahagian daripada warga Selangor yang amat mementingkan golongan ibu,” katanya.