Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

1,800 penduduk Bukit Gasing terima pelalian dari Selvax Komuniti

PETALING JAYA, 16 JULAI: Seramai 1,800 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti hari ini.

Wakil rakyat R Rajiv berkata jumlah itu membabitkan kumpulan pertama yang mendaftar dengan Pusat Khidmat DUN sepanjang minggu ini.

“Kebanyakan penerima ini merupakan golongan muda memandangkan majoriti warga emas di sini sudah disuntik melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kami tidak memfokuskan mana-mana golongan asalkan individu itu mahu disuntik dan menetap sekitar DUN Bukit Gasing,” katanya ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Garden Mall hari ini.

Rajiv berkata pihaknya akan turun padang ke kawasan perumahan bagi mengesan individu yang tidak tahu cara mendaftar namun mahu mengambil pelalian berkenaan.

“Ini untuk peringkat kedua. Kita mahu penuhkan kuota 2,500 yang diberikan Kerajaan Selangor supaya imuniti kelompok dapat dicapai dan penduduk dilindungi,” katanya.

Selvax dilancarkan bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini meliputi Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi memelihara pekerja.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk negeri ini yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan penerima Inisiatif Peduli Rakyat.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 100 rumah kibar bendera putih antara 1,500 keluarga dibantu

SHAH ALAM, 6 JULAI: Hampir 100 rumah sekitar Rawang yang mengibarkan bendera putih kerana desakan hidup akibat pandemik antara 1,500 keluarga yang dibantu dalam tempoh tiga minggu ini.

Wakil rakyatnya Chua Wei Kiat berkata bantuan meliputi bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan telur selain mewujudkan bank makanan di pusat khidmat.

“Petang semalam saya mewujudkan rak bank makanan di depan pejabat. Sesiapa yang memerlukan bekalan makanan boleh datang pada bila-bila masa dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Harap kemudahan ini dapat membantu golongan yang memerlukan. Kalau kaedah ini berjaya, saya akan mewujudkan lebih banyak bank makanan di kawasan lain,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Wei Kiat kecewa terhadap segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan mengibar bendera putih meskipun mereka golongan berkemampuan.

“Jumlah mereka tidak ramai dianggar 15 keluarga dan ada yang enggan menurunkan bendera walaupun sudah dibantu. Selepas ini kita akan siasat dan kumpul maklumat bagi memastikan yang layak sahaja dibantu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing berkata bantuan tambah nilai kredit telefon antara permohonan diterima pihaknya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Rajiv Rishyakaran berkata individu berkenaan terdesak bagi memastikan anaknya tidak ketinggalan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Dalam tempoh seminggu ini hampir 300 keluarga dibantu dan jumlahnya meningkat ketika PKPD. Kita jangka bilangan yang terkesan akan meningkat lagi jika tempoh PKPD disambung,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Penduduk risau dijangkiti, ADN Bukit Gasing tanggung kos saring Covid-19

SHAH ALAM, 10 OKT: Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing menanggung kos ujian saringan Covid-19 untuk penduduk Pangsapuri Damansara Bistari Petaling Jaya setelah berlakunya kes positif di situ.

R Rajiv berkata inisiatif itu diambil apabila Kementerian Kesihatan memaklumkan saringan kontak rapat tidak perlu dibuat berikutan pesakit tinggal sendirian dan dijangkiti ketika bekerja.

“Namun, penduduk masih risau kerana keadaan tempat yang agak padat dan kami ambil inisiatif lakukan ujian persampelan itu sendiri dengan kerjasama makmal swasta. Kos ditanggung pejabat Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing,” katanya dipetik MalaysiaKini.

Rajiv berkata sebanyak 116 sampel diambil dari saringan Covid-19 pada 7 Oktober lalu dan kesemuanya didapati sifar jangkitan pada 8 Oktober.

“”Syukur, lepas dapat keputusan semua yang kita uji negatif dan tidak dijangkiti Covid-19,” katanya lagi.

Categories
ADN SELANGOR

Masyarakat diseru sumbang komputer riba, bantu mahasiswa belajar dalam talian

SHAH ALAM, 8 SEPT: Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing menyeru orang ramai menyumbang komputer riba kepada mahasiswa bagi memudahkan pembelajaran secara dalam talian golongan itu ekoran penangguhan kuliah secara bersemuka.

Rajiv Rishyakaran berkata pihaknya dengan kerjasama badan bukan kerajaan StandUpMalaysia melancarkan program ‘Laptop4siswa’ bagi membantu pelajar mendapat akses pendidikan dengan sempurna ketika peningkatan kes Covid-19.

“Kelas ketika ini bermula secara dalam talian, ada antara mereka yang tidak mempunyai komputer riba, bahkan ada terpaksa berkongsi dengan adik beradik yang lain.

“Permulaan ini kita mengharapkan sumbangan komputer riba daripada orang ramai untuk membantu mereka, komputer riba terpakai pun kita terima,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Wakil StandUpMalaysia, Rheanne Wong Li An pula berkata setakat ini, pihaknya menerima lebih 50 permohonan dan menyeru mereka yang ingin menyumbang menghubungi Pejabat Khidmat Masyarakat Bukit Gasing di talian 03-79547490/[email protected] atau StandUpMalaysia 014-6691320/[email protected].

Pada 2 Oktober, Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan semua institusi pengajian menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi penuntut baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini susulan peningkatan kes pandemik.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Bukit Gasing tawar elaun pengangkutan RM100

SHAH ALAM, 25 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menawarkan bantuan elaun pengangkutan RM100 kepada pekerja barisan hadapan yang menggunakan pengangkutan awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negerinya, R Rajiv berkata inisiatif itu diberikan kepada penduduk di DUN berkenaan yang berkhidmat di hospital, polis dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Katanya individu yang tidak menetap di Bukit Gasing tetapi bekerja di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Petaling Jaya, Balai Polis Petaling Jaya, Balai Polis Seapark serta Balai Polis Damansara juga boleh memohon bantuan itu.

“Mereka yang menggunakan pengangkutan awam dan bekerja dalam syif di mana pengangkutan awam tidak lagi beroperasi layak mendapat manfaat ini.

“Pemohon perlu menyertakan dokumen seperti slip gaji, salinan kad pengenalan, dokumen atau apa-apa bukti mereka menggunakan perkhidmatan awam seterusnya emel kepada [email protected] / [email protected],” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Rajiv berkata beliau menyedari waktu operasi pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dikurangkan dan pekerja barisan hadapan yang menggunakan perkhidmatan itu terjejas sepanjang tempoh PKP.

“Saya amat prihatin mengenai keadaan ini dan melancarkan inisiatif pemberian elaun pengangkutan RM100 untuk pekerja barisan hadapan dalam ‘perkhidmatan perlu’.

“Jika anda merupakan pekerja barisan hadapan dan berkelayakan yang kini harus menggunakan perkhidmatan e-panggilan seperti Grab atau Teksi untuk ke tempat kerja boleh hubungi kami untuk permohonan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sambutan KISS DUN Bukit Gasing meriah dan penuh cabaran

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 9 FEB: Sambutan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing meriah, namun penuh dengan cabaran.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv berkata, antara cabarannya adalah apabila terdapat ramai penduduk Bukit Gasing tidak menepati syarat kelayakan mendapatkan KISS.

“Di kawasan saya, ramai warga emas yang miskin tiada tanggungan bawah 21 tahun, malahan terdapat juga golongan bapa tunggal kurang pendapatan.

“Bagaimanapun, hal ini sudah saya usulkan di sidang DUN yang lepas ketika Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan berhubung program KISS ini,” katanya kepada SelangorKini.

Rajiv berkata, bagi mengelakkan golongan berkenaan rasa tersisih, maka beliau akan menggunakan Tabung Penyayang untuk membantu mereka yang tidak menepati syarat menerima KISS.

“Kami sedang bekerjasama dengan pasar raya 99 Speedmart bagi mendapatkan baucer membeli-belah dan pada hujung bulan ini ia akan mula diedarkan kepada golongan yang terpilih.

“Langkah Kerajaan Negeri mewujudkan Tabung Penyayang di setiap DUN ini saya lihat sedikit sebanyak membantu mereka yang tidak mendapat KISS, sekali gus dapat meringankan beban dengan keadaan kos sara hidup meningkat, pada masa kini,” katanya.

Pada masa sama, Rajiv menyambut baik program KISS kerana belum ada mana-mana negeri di Malaysia berupaya membuat inisiatif seperti Kerajaan Negeri lakukan itu.

“Saya amat gembira apabila Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membantu dan menyediakan pelbagai inisiatif kepada setiap golongan daripada yang kecil hingga warga emas,” katanya.

Categories
SELANGOR

Perubahan laluan trafik Petaling Jaya bakal beri manfaat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 MAC: Perubahan laluan trafik membabitkan beberapa kawasan di sekitar Petaling Jaya bakal memberi manfaat jangka panjang kepada pengguna.

ADN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, berkata Petaling Jaya memerlukan perancangan khsusus bagi mengatasi masalah kesesakan di bandar raya itu.

“Sehingga kini pelan itu disambut baik penduduk setempat dan kita tidak menerima sebarang aduan atau bantahan berkenaannya.

yb rajiv a“Pelan ini juga sebenarnya dirangka khas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama penduduk di kawasan terlibat dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, Ranjiv berkata, perubahan itu dijangka mengambil masa beberapa minggu bagi membolehkan penduduk setempat menyesuaikan diri.

“Peringkat awalnya mungkin ramai yang tidak ikut pelan laluan baru ini kerana masih belum dapat sesuaikan lagi dengan keadaan itu.

“Tetapi saya yakin dalam tempoh tiga atau empat minggu berikutaya, pengguna jalan raya lain tentunya dapat menyesuaikan diri dengan aliran laluan baru itu,” katanya.

Pelan aliran laluan baru itu mula dihebahkan kepada pengguna jalan raya sejak sebulan lalu melalui notis dan papan tanda pemberitahuan.

Perubahan trafik itu membabitkan kawasan komesial dan perumahan sekitar Seksyen 1 PJ Old Town yang dilaksanakan sejak 16 Mac lalu.

Antara laluan terlibat adalah:

  1. Laluan Jalan 1/10 dan 1/19 akan ditukar menjadi jalan sehala (berhampiran kedai kopi Heng Kee Bak Kut Teh dan Soon Lee)
  2. Pengguna jalan raya yang ingin ke Jalan 1/14 disarakan melalui simpang pertama di Jalan 1/14 kerana tidak boleh melalui simpang kedua.
  3. Jalan Dispensary (Jalan 2/28) dan Jalan 1/18 juga akan menjadi jalan sehala.
  4. Pengguna jalan raya dari Jalan 1/12 yang ingin ke Jalan Othman perlu memasuki simpang selepas Restoran C&S atau selepas Medan Selera Jati

-AA-