Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM: Tindakan tegas ke atas pihak main isu 3R

KUALA PILAH, 24 OGOS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan isu kandungan 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) dalam media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, kementeriannya tidak akan bertolak ansur kerana perbuatan itu boleh mencetuskan sentimen ketegangan kaum di negara ini.

Katanya, walaupun Kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan sifat keterbukaan tetapi gabungan itu tidak mahu sesetengah pihak mengambil kesempatan atas keterbukaan dengan menjadikan isu sentimen kaum untuk mencetus api perkauman.

“3R ini saya percaya amat penting untuk mengekalkan kestabilan dan mengekang pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Perkara ini (tindakan tegas) bukanlah untuk menakutkan mana-mana pihak kecuali mereka yang sengaja mencabar pihak berkuasa. Jadi, tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Amal Merdeka Za’ba Parlimen Kuala Pilah 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan daripada orang awam berhubung insiden atau kandungan berunsur 3R yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), baru-baru ini.

Pelaksanaan 3R itu adalah hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia yang lebih mudah dan mempercepatkan proses tindakan penguatkuasaan diambil berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, ketika diminta perincian berhubung jumlah laporan terkini diterima pihaknya melalui aplikasi WhatsApp dan e-mel, Eddin Syazlee berkata masih belum dimaklumkan mengenainya.

Terdahulu, SKMM dalam kenyataannya sebelum ini menggesa orang ramai supaya tampil melaporkan insiden atau kandungan berunsur 3R dalam media sosial terus kepada suruhanjaya berkenaan.

Eddin Syazlee, yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata karnival yang diadakan pada hari ini satu contoh baik yang dilaksanakan kepimpinan sekolah dan ibu bapa bagi menjalankan aktiviti berbentuk pengisian kemerdekaan.

“Saya kagum dengan penyertaan peserta dari seluruh negara dan sambutan cukup menggalakkan ini seharusnya menjadi contoh kepada sekolah dan organisasi lain untuk menjadikan ia sebagai satu pengisian kemerdekaan yang diterjemahkan melalui tindakan menunjukkan tanda sayang kepada negara ini dan mengukuhkan perpaduan kaum.

Karnival anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Sukan Negeri, Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba Kuala Pilah dengan kerjasama Parlimen Kuala Pilah itu melibatkan 1,500 peserta dari seluruh negara dan telah bermula sejak semalam hingga esok dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Larian Merdeka Za’ba, persembahan teater, bicara ilmu dan pentarama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM komited beri penerangan program, dasar kerajaan

PUTRAJAYA, 25 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) komited dalam usaha memberi penerangan, penjelasan dan kefahaman kepada masyarakat keseluruhan berhubung program atau dasar kerajaan.

Komitmen berkenaan dinyatakan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad ketika merasmikan sesi Taklimat Isu Semasa siri 3 KKMM: Bantuan Sara Hidup (BSH), Skim Perlindungan Kesihatan Nasional B40 dan Skim Peduli Kesihatan B40 di kementerian itu hari ini.

Beliau berkata, KKMM melalui Bahagian Komunikasi Strategik melaksanakan beberapa siri taklimat membabitkan penerangan berhubung isu Tabung Haji, penyusunan semula Felda, jenayah pemerdagangan orang, penyeludupan migran serta jenayah siber.

“Saya percaya kerjasama pintar, perkongsian dan pertukaran maklumat seperti ini mampu melengkapkan warga kerja KKMM sebagai ejen penyampai maklumat kerajaan yang cekap dan berkesan melalui pendekatan komunikasi menyeluruh.

“Penggunaan pelbagai medium dalam inisiatif menyebar luaskan fakta sebenar menghindari orang ramai dari terpengaruh dengan berita tidak benar,” katanya.

Suriani berkata taklimat hari ini adalah salah satu daripada tanggungjawab KKMM dalam melaksanakan tindakan agenda promosi dan publisiti nasional bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan, memberikan bantuan kewangan dan penjagaan kesihatan kepada golongan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Taklimat pada hari ini disampaikan penceramah dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KKMM letak KPI syarikat telco selesai aduan pelanggan

BATANG KALI, 3 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) meletakkan sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua syarikat telco di negara ini berkaitan tindakan menyelesaikan aduan pelanggan.

Mengakui perkhidmatan jalur lebar di kawasan luar dan pinggir bandar masih lemah, menterinya Gobind Singh Deo berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah aduan pengguna.

Katanya, usaha penambahbaikan perlu dilakukan termasuk mewujudkan satu sistem bagi menangani setiap aduan dan diselesaikan dalam masa ditetapkan.

“Apa yang penting adalah kita perlu menambah baik sistem bagi menangani setiap aduan dikemukakan. Ia bukan sekadar bekalkan perkhidmatan yang murah dan laju malah syarikat-syarikat telco ini perlu juga memastikan segala aduan diselesaikan dalam masa ditetapkan,” katanya.

“Perkara ini yang diberi penekanan dan kita dalam proses melihat bagaimana syarikat telco boleh memastikan bahawa semua aduan ini diatasi dalam masa singkat. Kita letakkan KPI,” katanya.

Gobind berkata demikian selepas merasmikan pejabat Pos Malaysia Batang Kali baharu dan Majlis Mesra Aidilfitri yang turut dihadiri Pengerusi Pos Malaysia Bhd Datuk Yasmin Mahmood di perkarangan Pejabat Pos itu di Bandar Baru Batang Kali di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas masalah penembusan jalur lebar di kawasan luar bandar yang disuarakan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM).

Menurut sistem aduan kualiti liputan CFM, sebanyak 390 aduan pengguna yang tidak berpuas hati mengenai kualiti Internet di pinggir bandar telah diterima sehingga Mei tahun ini manakala sebanyak 387 aduan mengenai perkara sama dilaporkan sepanjang tahun lepas.

Dalam pada itu Gobind berkata, kementerian berpuas hati dengan produk dan perkhidmatan yang disediakan Pos Malaysia Berhad selaku pemain industri pos, kurier, logistik serta e-dagang di negara ini.

Menurut beliau, Pos Malaysia mempunyai kira-kira 8,000 penghantar surat yang komited menghantar dokumen dan bungkusan membabitkan kira-kira tiga juta alamat setiap hari.

Kejayaan itu didokong keupayaan logistik darat, udara dan air demi keselesaan serta kemudahan rakyat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKMM lancar pelan strategik bagi tempoh lima tahun

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) 2019-2023 yang dilancarkan hari ini menggariskan enam teras yang akan menjadi rangka kerja kementerian serta jabatan, agensi, dan bahagian di bawahnya bagi tempoh lima tahun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata pelan strategik itu adalah imperatif bagi memastikan gerak kerja kementerian dilaksanakan mengikut perancangan berasaskan visi, misi dan objektif kementerian serta dasar-dasar terkini kerajaan.

Berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KKMM 2018 di sini, Gobind berkata memperluaskan penyebaran maklumat kenegaraan untuk meningkatkan jati diri dan semangat patriotik rakyat merupakan antara enam teras yang digariskan di bawah pelan strategik itu.

Antara lain adalah memantapkan infrastruktur telekomunikasi yang terpercaya, berpatutan, berkualiti dan kebolehcapaian; memacu ekonomi digital dan ICT ke arah negara maju; memperkukuh kawal selia ekosistem komunikasi dan multimedia yang terpercaya dan stabil; memperkasa perkhidmatan penyiaran yang berkualiti dan terkini; dan memangkin industri kandungan kreatif yang berdaya saing dan bertaraf global.

Mengimbau kejayaan KKMM yang telah dicapai dan turut dirasai oleh rakyat sejak 9 Mei lalu, Gobind berkata pihaknya telah berjaya meningkatkan perkhidmatan jalur lebar dengan harga lebih murah atau yang selalu didengar, ‘double the speed, half the price’.

Pada awal tahun ini, sejumlah 1,100 kediaman di Jasin, Melaka mendapat akses internet berkelajuan tinggi selepas kejayaan projek rintis bagi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), katanya.

Satu program perintis, Terragraph pula telah dilancarkan di George Town, Pulau Pinang untuk menghasilkan sambungan jalur lebar yang berkelajuan tinggi pada bulan Februari lalu, katanya.

Dalam pada itu, Gobind memaklumkan melalui RTM, siaran sukan berprestij juga berjaya disiarkan seperti Asian Basketball League (ABL) dan Cub Prix.

Katanya Kejohanan All-England, Malaysia Axiata Open dan BWF World Championship akan disiarkan manakala peminat bola sepak akan dapat menyaksikan pertandingan Copa America juga akan disiarkan melalui RTM tahun ini.

Menurut Gobind, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melihatkan kejayaan filem cereka tempatan pada tahun 2018 yang meraih kutipan sebanyak RM170.4 juta bagi 58 buah filem.

“Di peringkat global, sebanyak 37 filem yang mendapat dana dan insentif kerajaan telah menembusi pelbagai festival filem antarabangsa dengan meraih 15 buah anugerah.

“Beberapa filem seperti One Two Jaga, Pulang, Hantu Kak Limah dan Paskal yang turut ditayangkan di platform antarabangsa seperti Netflix,” katanya.

Sementara itu, Gobind turut menyeru semua warga kementerian agar dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan pelaksanaannya.

“Saya berharap warga KKMM dapat melaksanakan tugas sebagai penjawat awam untuk sentiasa mempamerkan sikap tegas, berani, adil dan sanggup mengambil risiko bagi menentukan integriti dan tadbir urus (governans) tidak terjejas,” katanya.

Pada majlis itu, Gobind turut menyampaikan APC KKMM 2018 kepada 612 orang termasuk 35 penerima daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KKMM Shakib Ahmad Shakir, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nurini Kassim dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gobind bincang kedudukan LPF dengan KDN

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 NOV: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan membincangkan isu kedudukan Lembaga Penapisan Filem (LPF) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), tidak lama lagi.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ia ekoran beberapa pihak mencadangkan supaya lembaga berkenaan berada di bawah kementeriannya.

“Saya akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu, kami akan lihat sama ada isu ini boleh dibincangkan ataupun tidak.

“Sememangnya saya tidak mempunyai masalah jika LPF berada di bawah KKMM kerana ia dilihat relevan dengan kementerian saya, malah kami juga turut menguruskan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika Program Digital Transformation Asia 2018, di Hotel Shangri-La, di sini, hari ini.

Kenyataan itu dibuat bagi mengulas cadangan orang ramai di laman twitternya supaya LPF diletakkan di bawah KKMM, sama seperti FINAS.

 

Categories
NASIONAL

KKMM sambut baik peruntukan RM1 bilion bangunkan NFCP

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyambut baik Belanjawan 2019 dibentangkan dengan peruntukan RM1 bilion bagi pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, peruntukan itu baik bagi perkembangan perhubungan khususnya internet di seluruh negara.

“Saya ucap tahniah kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana memberi peruntukan baik untuk KKMM dengan fokus kepada pelaksanaan NFCP.

“Ini berita baik untuk kita dalam usaha bagi meningkatkan perkhidmatan ke seluruh negara khususnya luar bandar bagi mendapat kemudahan internet,” katanya kepada media di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2019.

Beliau berkata, perkembangan itu bagus kerana tumpuan dunia kini kepada industri 4.0 dengan bidang industri dan perniagaan menjadi perhatian ramai.

Katanya, belanjawan itu mengambil kira keperluan semasa walaupun Guan Eng menghuraikan pelbagai masalah ekonomi dihadapi selepas mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan terdahulu.

“Namun, inisiatif diberikan kerajaan amat baik khususnya kepada golongan B40 serta pemberian subsidi ke atas petrol, elektrik dan sebagainya.

“Saya melihat belanjawan ini mengambil kira keperluan semasa dengan memberi bantuan kepada orang ramai dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya.

Categories
NASIONAL

KKMM bakal sekat video pornografi

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menyekat video berbentuk pornografi daripada menular, dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, sekatan itu menjadi salah satu perkara utama yang sedang diperjuangkan kerajaan baharu kini.

“Sekatan ini akan turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.

“Bila ia mula disekat akan diumum kelak dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D’Klasik sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018, di Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, hari ini.

Majlis turut meraikan tiga pegawai RTM yang akan bersara iaitu mantan Ketua Pengarah Penyiaran, Dato Abu Bakar Ab Rahim; mantan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Magli Alias dan mantan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Azman Abdullah.

Eddin berkata, walaupun tidak berpeluang bekerjasama dengan pegawai terbabit, namun beliau mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan cemerlang sepanjang melaksanakan tugas, di RTM.

“Diharap perjuangan dan usaha mereka yang baik di RTM akan diteruskan anda semua,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, RTM adalah entiti penting dalam KKMM dan menghubungkan informasi kepada rakyat serta lidah rasmi kerajaan yang perlu diperkasakan dengan merakyatkan saluran media itu.

Katanya, walaupun berusia 72 tahun, RTM masih kekal relevan dan mampu berkembang ke tahap lebih cemerlang serta beliau komited membantu perkembangan organisasi dan transformasi stesen berkenaan.

“Bagi saya, RTM amat dekat di hati kerana saya membesar dengan mengikuti perkembangan semasa yang disajikan melalui berita dan program disiarkan.

“Saya yakin transformasi itu akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan RTM sebagai penyiar rasmi kerajaan, sekali gus meningkatkan daya saing dan produktiviti warga kerjanya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah.

Terdahulu, Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D’Klasik turut menampilkan persembahan daripada artis terkemuka tanah air antaranya Hazami, Ernie Zakri, Hael Husaini dan Nassier Wahab.

Pada majlis sama, RTM turut meraikan anak Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang pernah mengalami kebakaran sehingga meragut nyawa beberapa pelajar sebelum ini.

Categories
NASIONAL

“Sayangi Malaysiaku” manifestasi cinta kepada negara

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA,9 JULAI: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini membawa kelainan apabila membuka peluang kepada rakyat berkongsi idea kreatif mencipta logo.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berkata, penyertaan orang ramai amat menggalakkan dengan 632 sumbangan logo “Sayangi Malaysiaku” diterima melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JPM) selaku urus setia yang dibuka sebulan, bermula 7 Jun hingga 7 Julai lalu.

“Logo ini akan disenarai pendek juri untuk diangkat ke pertimbangan jemaah menteri dan dipilih sebagai logo rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

“Sambutan orang ramai amat membanggakan dan membuktikan manifestasi kasih sayang serta semangat patriotisme tinggi kepada negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Media dan Publisiti Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

Katanya, sumbangan logo itu disertai pelbagai bangsa merangkumi segenap lapisan usia antaranya warga emas berusia 84 tahun, manakala peserta termuda, pelajar 15 tahun.

Turut diterima, katanya, penyertaan lima logo daripada Orang Kelainan Upaya (OKU) dan lapan warga emas serta 46 logo dicpta secara lukisan tangan.

“Antara kriteria utama pemilihan 10 logo disenarai pendek adalah berpandukan kreativiti, keaslian ciptaan, ‘wow factor’ dan rasional logo berdasarkan tema,” katanya.

Semua sumbangan logo akan dinilai panel juri bertauliah terdiri daripada Ahli Lembaga Galeri Shah Alam Prof, Dato’ Raja Zahabuddin Raja Yaakob; Pengasas Bersama & Pengarah Eksekutif 3nity, Joseph Foo dan Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka JPM, Mohd Roffee Mohamad.

Pada masa sama, KKKM berkata, bagi menyemarakkan semangat patriotisme, orang ramai dialukan untuk terus mengemukakan cadangan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia melalui laman Facebook Merdeka 360 atau laman sesawang malaysiamerdeka.my

“KKMM mengucapkan terima atas sumbangan logo dan berharap sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia akan diraikan dengan semangat perpaduan,” katanya.

Categories
NASIONAL

KKMM beri tumpuan tingkat perkhidmatan telekomunikasi luar bandar

NASIONAL 30 JUN: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata kementeriannya memberi tumpuan kepada usaha menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar dan kampung di negara ini.

Beliau berkata ini kerana ia mampu memberi faedah kepada rakyat seluruh negara.

“Beberapa pandangan dan opsyen telahpun diketengahkan untuk perkara ini. Harap-harap ada keputusan dan pengumuman dalam masa terdekat. Terima kasih,” katanya di laman Twitter sebagai reaksi kepada cadangan pengguna akaun ‘@TuanAzmer’ berkaitan kualiti perkhidmatan internet dan talian komunikasi di luar bandar.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata beliau akan membangkitkan isu kandungan drama televisyen tempatan yang didakwa tidak mempunyai elemen yang mampu membina modal insan dalam mesyuarat kementerian itu akan datang.

Ia sebagai menjawab aduan pengguna akaun Twitter @MalequeArrasyid mengenai penyiaran drama televisyen yang hanya mengetengahkan kisah percintaan.

“Kalau ada cadangan-cadangan berkenaan jenis program yang lebih sesuai, sila maklumkan kepada saya. Terima kasih,” kata Gobind.

SUMBER: BERNAMA