Categories
AGENDA NASIONAL

Peraturan 5 minit elak kesesakan kawasan KLIA

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Pelaksanaan tempoh menunggu selama lima minit bagi semua pemandu e-hailing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibuat untuk mengatasi kesesakan yang mungkin berlaku di tepi jalan terminal itu, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam satu kenyataan semalam, MAHB turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa langkah itu dilaksanakan bagi menjana pendapatan tambahan.

Menurut MAHB, kajian sebelum pelaksanaan itu mendapati pengambilan penumpang bagi perjalanan enam orang termasuk warga emas dan kanak-kanak boleh dicapai dalam masa kurang daripada empat minit.

“Amat penting untuk kami mengenakan tempoh menunggu maksimum ini bagi mengelakkan kesesakan dan ketidakselesaan kepada semua pengunjung lapangan terbang,” katanya.

MAHB menegaskan bahawa pemandu e-hailing yang mengambil penumpang di terminal boleh mengelak pembayaran caj tambahan dengan memandu keluar daripada terminal dalam tempoh ditetapkan.

Sekiranya penumpang masih belum tiba di lokasi pengambilan ditetapkan dalam tempoh tertentu, pemandu boleh keluar daripada kawasan itu dan masuk semula ke tepi jalan.

“Kami menyarankan pemandu e-hailing supaya mengesahkan dengan penumpang terlebih dahulu untuk memastikan penumpang telah bersedia menunggu di lokasi pengambilan,” katanya.

MAHB sentiasa berusaha menyediakan pengalaman lebih baik bagi menyokong mod pengangkutan e-hailing.

“Ketika ini kami sedang berbincang dengan pusat beli-belah gateway@klia2, operator hab pengangkutan di terminal klia2 untuk menyelesaikan isu bayaran masuk RM5 ke hab pengangkutan tersebut,” katanya.

KLIA mempunyai purata harian kira-kira 165,000 penumpang yang menggunakan terminal utama KLIA dan klia2.

Hab pengangkutan awam di kedua-dua terminal itu menyaksikan purata harian kira-kira 2,200 kenderaan pengangkutan awam, termasuk 300 pemandu e-hailing.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kebocoran bumbung ruang niaga KLIA terkawal – MAHB

PUTRAJAYA, 7 OKT: Bahagian bumbung sebuah ruang perniagaan runcit, Flying Emporium, di terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami kebocoran serius hari ini, disebabkan keadaan cuaca yang melampau.

Syarikat pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam catatan twitternya bagaimanapun berkata insiden pada pikul 3.40 petang itu berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira sejam kemudian.

“Pasukan operasi lapangan terbang bertindak dengan pantas menggerakkan petugas dan jentera ke sana untuk menangani keadaan,” katanya.

MAHB berkata perkara itu sedang disiasat dan tindakan bagi menambah baik infrastruktur sentiasa dilaksanakan.

“Kami ingin memohon maaf bagi sebarang kesulitan yang timbul terhadap para pelanggan dan rakan niaga kami,” menurutnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gangguan rangkaian sistem KLIA belum ada petunjuk kukuh

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum mempunyai petunjuk kukuh bagi mengaitkan insiden gangguan rangkaian sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan perbuatan sabotaj.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan masih dijalankan dengan polis mengambil kira pandangan pakar dalam bidang membabitkan teknologi.

“Masih tiada lagi petunjuk drastik untuk kami memastikan sama ada berlaku sabotaj atau tidak.

“Polis masih meneliti kenyataan yang diambil sebelum ini terhadap beberapa individu yang dipanggil,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar ke Unit Tindakan Khas (UTK) di sini, hari ini.

Setakat ini, 12 individu dipanggil untuk membantu siasatan berhubung gangguan sistem di KLIA yang berlaku selama empat hari bermula 21 Ogos lalu.

Empat pegawai bahagian Teknologi Maklumat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sebelum ini membuat laporan polis bagi menafikan pembabitan mereka dalam insiden gangguan rangkaian sistem di KLIA baru-baru ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi urusan manual di KLIA

SEPANG, 28 OGOS: Tiada lagi urusan dijalankan secara manual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila sistem rangkaiannya semakin stabil sejak dilanda gangguan sistem, baru-baru ini.

Ketika melakukan tinjauan pada 11 pagi tadi, Bernama dimaklumkan segala urusan termasuk daftar masuk penumpang dan pemeriksaan Imigresen dijalankan seperti biasa.

Sistem Paparan Maklumat Penerbangan utama turut berfungsi sepenuhnya dan sentiasa dikemas kini.

Namun, sukarelawan Malaysia Airports tetap kelihatan di balai pelepasan dan sentiasa bersedia untuk melayan penumpang berhubung maklumat terkini penerbangan.

Bernama turut dimaklumkan urusan penerbangan lancar pada waktu puncak antara 8 hingga 10 pagi hari ini walaupun suasana di balai pelepasan kelihatan agak sibuk.

Keadaan kembali lengang selepas 10.30 pagi.

Seorang penumpang, Norhana Sulaiman, berkata beliau sengaja datang empat jam lebih awal sebelum penerbangannya ke Honolulu, Hawaii pada 2.45 petang bagi mengelak sebarang kesulitan.

Norhana, 55, yang tinggal di Honolulu sejak 1995 bersama keluarganya berkata, beliau tiba untuk bercuti sambil melawat keluarganya di Shah Alam pada Jumaat lalu ketika KLIA masih mengalami gangguan sistem.

“Masa itu di ketibaan tiada masalah tetapi saya tengok bahagian pelepasan agak sibuk beratur panjang. Jadi, saya fikir lebih baik saya datang awal, tetapi saya nampak hari ini keadaan sudah baik,” katanya.

Seorang warga Iran, Mohammed Reza Hussein yang ingin bercuti di Langkawi, Kedah bersama keluarganya berkata mereka juga tidak mengalami sebarang masalah semasa proses daftar masuk bagasi.

“Saya ada dengar berhubung gangguan sistem, tetapi buat masa ini semuanya berjalan lancar,” katanya.

Walaupun situasi kembali pulih, pengumuman berkenaan lapangan terbang mengalami masalah gangguan sistem dan peringatan kepada penumpang supaya terus melakukan pemeriksaan Imigresen masih kedengaran.

KLIA mengalami gangguan sistem sejak 21 Ogos lalu susulan kegagalan sistem rangkaiannya yang menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gangguan sistem di KLIA ditangani, kesesakan berkurangan

SEPANG, 24 OGOS: Gangguan sistem di KLIA mula ditangani dan keadaan bertambah baik dengan kesesakan di lapangan terbang itu berkurangan dan orang ramai yang beratur di kaunter daftar masuk terkawal.

Ini berikutan tindakan Malaysia Airports menangani masalah dengan menggantikan peralatan rangkaian selepas ia dikenal pasti punca kegagalan rangkaian dan sistem.

Gangguan sistem sejak Rabu malam (21 Ogos) menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan Malaysia, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam satu kenyataan berkata, sejak penggantian peralatan rangkaian, terdapat kemajuan dalam kestabilan rankaian.

“Sistem kritikal di terminal utama KLIA kebanyakannya kini berjalan dengan lancar,” katanya

Jurucakap Malaysia Airports berkata mereka masih memantau kestabilan sistem sejak penggantian peralatan itu.

Tinjauan Bernama pada 9.30 pagi mendapati keadaan lapangan terbang itu dalam kawalan dan kakitangan Malaysia Airports kelihatan di serata tempat membantu para penumpang.

Duta Airport CARE itu bekerja keras bagi menentukan keselesaan penumpang dengan mengedarkan minuman teh dan kopi dari 6.30 pagi hingga 9 pagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB temani PM rai ulang tahun ke-21 KLIA

SHAH ALAM, 14 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir meraikan majlis sambutan ulang tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Tun Mahathir menzahirkan rasa bangga apabila menyaksikan ladang kelapa sawit bertukar wajah menjadi sebuah lapangan terbang yang begitu indah dan berupaya menjadi sebuah ikon.

“Ia adalah suatu keajaiban seni bina, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada mendiang Kisho Kurokawa, arkitek tersohor Jepun yang bertanggungjawab ke atas konsep ‘Lapangan Terbang di Dalam Hutan, Hutan di Dalam Lapangan Terbang’ KLIA.

“Pada mulanya tidak begitu, tetapi selepas 21 tahun, jelas ia adalah sebuah lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang,” katanya.

Sementara itu, Amirudin dalam kenyataan berkata, ia adalah acara bersejarah kerana sambutan ulang tahun itu disertai lelaki hebat yang mengilhamkan KLIA, yang kini menjadi lapangan terbang paling ikonik dalam negara.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Tan Sri Zainun Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin.

KLIA adalah salah satu hab penerbangan terpenting di rantau Asia Tenggara selain Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Changi Singapura.

Lapangan terbang yang terletak di Sepang, Selangor itu dibina dengan kos mencecah AS$ 3.5 bilion dan kemudiannya dibuka secara rasmi, pada 27 Jun 1998.

Selain mampu menampung 35 juta penumpang setahun, KLIA juga berupaya memuatkan1.2 juta tan metrik kargo dalam fasa pembinaannya sekarang.

Lapangan terbang ini menduduki tempat yang ke-13 di dunia dari segi bilangan penumpang asing iaitu 24,129,748 penumpang sudah menggunakan lapangan terbang ini, pada 2006.

Pada tahun sama, lapangan terbang ini juga mengendalikan 677,446 tan metrik kargo untuk menduduki tempat ke-30 di dunia dari segi pengendalian kargo.

Categories
NASIONAL

MAHB struktur semula aliran pergerakan penumpang KLIA

 

SEPANG, 23 Mei: Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia (KDM) menstruktur semula aliran pergerakan penumpang di balai ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 bagi mengurangkan kadar kesesakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif itu yang dilaksanakan bermula hari ini di KLIA dan 1 Jun di klia2 juga adalah bagi meningkatkan tahap keselamatan negara semasa proses deklarasi barangan yang dibawa masuk ke dalam negara kepada pihak kastam.

“Kesesakan di balai ketibaan ini dijangka berkurangan dengan penggunaan empat mesin pengimbas serta pewujudan enam laluan keluar bagi para penumpang berbanding satu laluan sebelumnya,” katanya.

Raja Azmi berkata empat unit mesin pengimbas tersebut akan ditambah menjadi sembilan unit kesemuanya bagi mencapai matlamat 100 peratus penggunaan mesin pengimbas.

“Buat masa ini, pihak MAHB telah memasang beberapa struktur fizikal seperti penghadang di kawasan pemeriksaan kastam bagi melancarkan proses penstrukturan semula aliran pergerakan ini dijalankan,” katanya.

Raja Azmi berkata penstrukturan semula itu dibuat susulan Mesyuarat KLIA One Stop Centre yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik hari ini sebagai persediaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2020. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Anda kini boleh solat Jumaat di bumbung KLIA

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 MEI: Penumpang dan pengunjung Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini boleh menunaikan solat Jumaat di ‘rooftop’ (kawasan atas bumbung) apabila musolla di kawasan parkir blok B beroperasi secara rasmi, sejak 10 Mei lalu.

Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) berkongsi detik kali pertama solat Jumaat dilangsungkan, di situ selepas mendapat persetujuan daripada Pejabat Agama Daerah Sepang.

“Kami amat gembira dengan sambutan menggalakkan sempena pembukaan musolla untuk solat Jumaat di kawasan parkir blok B, Lapangan Terbang KL tengah hari semalam (10 Mei).

“Pembukaan musolla ini salah satu inisiatif Malaysia Airports untuk memudahkan jemaah menunaikan solat Jumaat terutama warga kerja dan penumpang.

“Haa, musolla pun dah dekat, jangan sia-siakan peluang untuk mengumpul saham akhirat kita di bulan yang mulia ini ya!” katanya di Facebook rasmi MAHB.

Musolla yang mampu memuatkan hampir 1,000 jemaah dalam satu-satu masa itu menyediakan lebih 50 unit paip bagi pengambilan wuduk, pendingin hawa, kipas gergasi dan kipas berwap sejuk di semua sudut.

SelangorKini sebelum ini melaporkan MAHB menafikan ruang solat itu sedia digunakan untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat bermula 5 April 2019 susulan penyebaran beberapa keping gambar menerusi aplikasi WhatsApp, pada 3 April lalu.

Kredit Foto: Facebook Malaysia Airport

Categories
NASIONAL

MAHB bina anjung tinjau pesawat di KLIA

SEPANG, 9 MAC: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan membina anjung tinjau pesawat pertamanya, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dalam usaha mengubah lapangan terbang itu dan persekitarannya menjadi destinasi menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pembinaan anjung dinamakan Anjung Spotter itu dijadualkan bermula bulan ini dan dijangka siap, pada bulan depan.

Katanya, anjung tinjau itu akan dibina di luar perimeter lapangan terbang, bersebelahan satu daripada tiga landasan KLIA.

“Dari Anjung Spotter, orang ramai akan dapat menikmati pemandangan saat-saat pesawat berlepas dan mendarat di landasan.

“’Planespotter’ (pengesan pesawat) dan penggemar penerbangan pastinya teruja kerana mereka kini mempunyai tempat terbaik untuk melihat pesawat tiba di Runway 32L, membolehkan mereka mengambil gambar menarik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Azmi berkata, anjung tinjau pesawat itu adalah simbol komitmen syarikat dalam meningkatkan pengalaman di lapangan terbang.

Katanya, Anjung Spotter juga akan dijadikan tarikan pelancong yang harus dikunjungi pelawat yang tiba di KLIA.

“Pada masa ini, terdapat ramai pengesan pesawat yang datang ke Malaysia untuk berjumpa rakan dengan minat sama sebelum ke lapangan terbang bagi merakam gambar.

“Anjung Spotter pasti akan menjadi lokasi ‘Insta-worthy’ (berbaloi untuk perkongsian dalam Instagram) seterusnya,” katanya. -BERNAMA

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Condor Airlines tawar penerbangan terus KLIA-Frankfurt

SEPANG, 2 NOV: Condor Airlines, pesawat komersial dari Jerman muncul pengendali penerbangan terbaru memilih Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai destinasi penghubung.

Ketua Pegawai Strategi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Azli Mohamed berkata, pemilihan itu berupaya melonjakkan lagi imej KLIA berdasarkan reputasi Condor Airlines sebagai operator penerbangan kedua terbesar di Jerman.

“Condor Airlines, antara perintis yang mempunyai sejarah dalam industri penerbangan menjadi pesawat penumpang ke-58 memilih untuk beroperasi di KLIA.

“Selain berupaya meningkatkan jumlah penumpang di KLIA, penerbangan terus ini juga mampu mengukuhkan segmen ekonomi dan pelancongan negara,” katanya sejurus menyambut ketibaan penerbangan sulung Condor Airlines yang mendarat di KLIA hari ini.

Ketibaan pesawat B767-300 dari Frankfurt pada 6.35 pagi yang disertai Duta Malaysia di Jerman, Sarah Nava Rani Al Bakri Devadason itu disambut oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Ketibaan pesawat yang turut membawa bersama tujuh petugas media dari Jerman itu disambut dengan water salute sebaik mendarat, manakala penumpang dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh Tourism Malaysia.

Mengulas lanjut, Azli berkata untuk permulaan Condor Airlines menyediakan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan Kuala Lumpur-Frankfurt iaitu pada Selasa, Jumaat dan Ahad manakala Isnin, Khamis dan Sabtu bagi Frankfurt ke Kuala Lumpur.

Sementara itu Kamarudin dalam ucapan alu-aluannya memuji usaha itu dengan berkata ia adalah tepat pada masanya, terutama dalam usaha untuk melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata ia juga menunjukkan minat yang tinggi oleh kerajaan untuk mengukuhkan kehadiran negara di pasaran Jerman, iaitu Malaysia sering menjadi rakan dagang utama Jerman dalam kalangan negara ASEAN.

“Dengan tawaran laluan baharu ini, saya berharap ia akan menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada rakan kongsi kedua-dua negara dan jaminan komitmen kami untuk pertumbuhan pelancongan yang lebih baik dan lengkap,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Trafik penumpang di lapangan terbang Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR 11 OGOS: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan trafik penumpang berjumlah 8.6 juta orang bagi lapangan-lapangan terbang dalam negara pada bulan lepas, kenaikan 2.2 peratus dari tahun ke tahun selepas dipacu oleh angka penumpang antarabangsa tertinggi.

Syarikat itu dalam satu kenyataan, berkata sektor antarabangsa mencatatkan seramai 4.6 juta penumpang dengan pertumbuhan 5.1 peratus, yang berjaya dicapai dengan faktor beban purata sebanyak 78.4 peratus, yang tertinggi untuk tahun ini.

Sementara itu, sektor domestik terus berada dalam zon negatif, susut 1.0 peratus dengan 4.0 juta penumpang.

Secara keseluruhan, rangkaian lapangan terbang MAHB termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (Istanbul SGIA), merekodkan trafik penumpang berjumlah 11.9 juta pada bulan lepas, naik 4.2 peratus berbanding Julai 2017.

Penumpang Istanbul SGIA menokok 9.8 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelum ini kepada 3.3 juta penumpang. Lapangan terbang itu mencapai rekod prestasi pergerakan penumpang bagi sektor domestik dan antarabangsa.

Lapangan terbang MAHB di Malaysia pula menyaksikan pergerakan penumpang antarabangsa membabitkan destinasi ASEAN berkembang sebanyak 4.7 peratus kepada 2.2 juta manakala pergerakan penumpang bukan destinasi ASEAN mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus dengan 2.3 juta penumpang.

Secara keseluruhan, pergerakan pesawat naik sebanyak 0.2 peratus.

Trafik pesawat antarabangsa bertambah 2.6 peratus manakala pergerakan pesawat domestik berkurangan sebanyak 1.4 peratus berbanding Julai 2017.

Pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding Julai 2017 dengan trafik penumpang mencecah 5.3 juta.

Destinasi dalam ASEAN mencatatkan sejumlah 1.8 juta penumpang manakala 2.0 juta penumpang direkodkan untuk destinasi bukan ASEAN.

Sektor domestik berkembang 0.8 peratus dengan 1.4 juta penumpang.

Secara keseluruhan, pergerakan pesawat di KLIA telah melonjak sebanyak 0.8 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun lepas.

Trafik pesawat antarabangsa di KLIA meningkat sedikit manakala pergerakan pesawat domestik turut mencatatkan pertumbuhan 2.7 peratus.

Pergerakan penumpang untuk 12 bulan terakhir di Terminal Utama KLIA berjumlah 28.2 juta penumpang, merosot 0.4 peratus.

Trafik penumpang bagi klia2 mencerminkan peningkatan sebanyak 11.8 peratus kepada 31.8 juta penumpang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pesawat terbesar dunia mendarat di KLIA

SEPANG 14 APR: Pesawat terbesar di dunia, Antonov An-225 Mriya, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.10 pagi ini dalam penerbangan komersial sulungnya ke Malaysia setelah melalui kerja menaik taraf lebih setahun lepas.

Pesawat kargo gergasi Ukraine itu tidak asing bagi KLIA kerana ia pernah mendarat 2 kali di sini iaitu pada 2007 dan 2016 sebagai pesawat pengangkut barangan komersial.

Juruterbang, Antonov Dmytrov memberitahu Malaysia tempat persinggahan ketiga selepas Leipzig, Jerman dan Dammam, Arab Saudi, bagi menghantar kargo berat.

Dmytrov, yang berpengalaman menerbangkan pesawat kargo selama 16 tahun berkata, pesawat bersama 24 anak kapal itu akan berada di sini selama 3 hari, sebelum terbang semula ke Arab Saudi.

“Pesawat ini direhatkan di Kiev selama lebih setahun (bagi tujuan menaik taraf) dan kami terbang semula untuk kali pertama pada 3 April. Ini kali kedua saya menerbangkan pesawat ini ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Ukraine di Malaysia Olexander Nechytaylo, yang hadir di KLIA bagi menyambut ketibaan anak kapal pesawat berkenaan berkata, beliau amat teruja apabila berpeluang melihat hasil hebat daripada teknologi penerbangan itu dari dekat.

“Inilah antara contoh hasil daripada teknologi yang dimiliki Ukraine. Ia menunjukkan bahawa dalam sesetengah bidang seperti aeroangkasa dan pembinaan kapal terbang, Ukraine antara peneraju dunia.

“Saya sungguh gembira apabila pesawat ini kini berada di Malaysia dan dapatlah rakyat negara ini melihatnya sendiri,” kata beliau.

Menurut eksekutif komersial Antonov Airlines, Dmytrii Dolhov, dengan ukuran 84m panjang dan 18m tinggi, Antonov An-225 mampu membawa berat berlepas maksimum 640 tan.

“Selalunya, kami mengangkut barangan “super” berat. Bagi pelanggan, adalah lebih cepat dan murah untuk menghantar kargo berat dengan menggunakan pesawat ini kerana ia bersamaan dengan 5 pesawat lain,” kata beliau.

Dolhov berkata, Antonov An-225 menggunakan 6 enjin dan memiliki sayap berukuran 88m panjang dan 32 tayar.

Direka bentuk pada akhir 1980-an, Antonov An-225 adalah pesawat paling panjang dan paling berat yang pernah dibina setakat ini.

SUMBER/FOTO: BERNAMA