Categories
AGENDA NASIONAL

Keyakinan perjalanan udara meningkat, KLIA kekal hab serantau menarik

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kekal hab penerbangan serantau yang menarik dengan tiga lagi syarikat penerbangan global menyambung operasi pada awal bulan ini.

Perkembangan itu didorong oleh peningkatan keyakinan terhadap perjalanan udara berikutan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan bagi membendung penularan Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata tiga syarikat penerbangan antarabangsa itu adalah British Airways yang menawarkan empat penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur ke United Kingdom dan seterusnya; Oman Air (dua kali seminggu ke Muscat) dan Ethiopian Airlines (penerbangan mingguan ke Addis Ababa).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata selain itu terdapat 21 syarikat penerbangan kargo yang beroperasi di Kuala Lumpur termasuk sewa khas pada masa ini.

Menurutnya, walaupun terdapat penyusutan ketara muatan tan kargo pada Mac dan April susulan pengurangan kapasiti kargo dalam pesawat, kapasiti berkenaan telah diambilalih oleh pesawat kargo penuh.

“Ini membuktikan bahawa Kuala Lumpur kekal sebagai hab penerbangan serantau yang menarik.

“Malah, pengoperasian hab e-penunaian di KLIA Aeropolis iaitu usaha sama antara Malaysia Airports dan Cainiau, unit logistik Kumpulan Alibaba, akan memperkukuhkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab pengagihan serantau,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut MAHB, lapangan terbang di Malaysia juga terus menyaksikan peningkatan bulanan dari segi jumlah penumpang dan aliran trafik berkaitan.

Pada September lepas, aliran trafik atau jumlah pergerakan penumpang udara meningkat sebanyak 19 peratus pada Ogos kepada 1.7 juta manakala pergerakan pesawat juga menokok 9.8 peratus kepada 27,010.

Dalam pada itu, operasi MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul mencatat hampir dua juta penumpang bulan lepas dengan lima syarikat penerbangan beroperasi di pintu masuk Turki itu, setakat ini.

“Berikutan itu, kumpulan mencatat sebanyak 3.5 juta pergerakan penumpang pada September 2020,” kata syarikat pengendali lapangan terbang itu.

Menurut MAHB, syarikat penerbangan kargo, Pos Asia Cargo Express, baru-baru ini memperkenalkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sibu yang beroperasi enam kali seminggu menggunakan pesawat jenis B737-400F.

Dalam pada itu, operasi kargo udara di Malaysia juga kekal stabil bagi tempoh hampir sepanjang tahun ini.

Malah, menurut MAHB, walaupun terdapat penurunan pergerakan penumpang yang ketara, trafik kargo sebaliknya terus berdaya tahan.

Ini menerusi data bagi tempoh Januari-Ogos 2020 yang menunjukkan operasi kargo di Malaysia mencatat purata kira-kira 65,000 tan metrik sebulan berbanding kira-kira 76,000 tan metrik sebulan pada 2019.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

British Airways sambung semula penerbangan ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 OKT: British Airways menyambung semula penerbangan ke Kuala Lumpur mulai semalam selepas enam bulan terhenti.

Syarikat penerbangan itu akan mengendalikan empat penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur, memberikan pelanggan di Malaysia pilihan penerbangan yang selesa bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan terus ke United Kingdom (UK) atau laluan penerbangan lain.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Jualan bagi Asia Pasifik dan Timur Tengah British Airways, Moran Birger berkata syarikat penerbangan itu akan membawa semua pelanggannya ke London dan laluan penerbangan lain dalam rangkaian penerbangannya sekarang.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada sekatan perjalanan udara dan larangan kemasukan serta sekatan sambungan penerbangan, dokumen yang diperlukan dan syarat kemasukan diperlukan.

Beliau berkata pelanggan boleh membuat tempahan secara langsung dengan British Airways dengan melayari laman web, ba.com atau dengan menghubungi ejen pelancongan mereka.

“Setelah sekian lama keadaan ketidakpastian yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 di peringkat global, kami gembira dapat menyediakan empat penerbangan dalam seminggu dari Kuala Lumpur ke London Heathrow, United Kingdom (UK).

“Kami tahu ramai pelanggan kami di Malaysia menunggu untuk bertemu semula dengan orang yang tersayang atau melakukan urusan perniagaan, justeru penerbangan ini memberi peluang kepada mereka melakukannya menerusi perkhidmatan penerbangan disediakan British Airways ini,” katanya.

Sebagai tambahan, sebagai pencegahan terhadap penularan Covid-19, British Airways memperkenalkan pelbagai langkah untuk memastikan keselamatan pelanggannya dan meminta pelanggan untuk mematuhi langkah-langkah baharu ini bagi kesejahteraan semua orang yang melakukan perjalanan tersebut.

Ini termasuk daftar masuk secara dalam talian, memuat turun pas masuk untuk ke balai pelepasan dan mengimbas sendiri pas masuk mereka di pintu pelepasan lapangan terbang; mematuhi penjarakan fizikal dan menggunakan cecair pembasmi kuman yang disediakan di lapangan terbang dan memakai pelitup muka pada setiap masa dan membawa bekalan pelitup muka mencukupi untuk menggantikannya setiap empat jam untuk penerbangan jarak jauh.

Pelanggan juga diminta untuk tidak melakukan perjalanan udara jika mereka mempunyai gejala Covid-19, dan kru kabin pula diarahkan supaya memakai peralatan pelindung diri dan perkhidmatan menyediakan makanan cara baharu akan mengurangkan masa berinteraksi dengan pelanggan.

Pelanggan juga mesti memastikan mereka mempunyai semua yang mereka perlukan termasuk bagasi kabin sebelum berlepas dan sekiranya boleh, mereka diminta meletakkan bagasi kabin di bawah tempat duduk di hadapan mereka.

Syarikat penerbangan akan membersihkan semua permukaan utama dalam pesawat termasuk tempat duduk, skrin di kerusi, taling pinggang keselamatan dan dulang membawa makanan pada setiap penerbangan dan setiap ruang dalam pesawat dibersihkan sepenuhnya.

Sistem pengudaraan di semua pesawat British Airways dikitar semula selepas melalui tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (Hepa) yang menghapuskan bakteria mikroskopik dan virus dengan berkesan pada kadar daripada 99.9 peratus, setaraf dengan standard bilik pembedahan di hospital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata British Airways akan menjadi syarikat penerbangan ketiga yang menawarkan laluan penerbangan ke Eropah.

MAHB merasa lega kerana banyak syarikat penerbangan antarabangsa menyambung semula operasi penerbangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), katanya.

“Sehingga kini, kami mempunyai sekitar 33 syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA. MAHB akan terus melakukan yang terbaik dalam memastikan memberikan pengalaman lapangan terbang yang selamat untuk penumpang kami.

“MAHB mematuhi sepenuhnya garis panduan ditetapkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) serta pihak berkuasa tempatan berkaitan semua protokol kesihatan dan keselamatan,” kata Mohd Shukrie.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Proses saringan Covid-19 di KLIA terkawal

SEPANG, 29 SEPT: Proses menunggu bagi penumpang dari Sabah untuk membuat saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam didapati kurang dari tiga jam dalam suasana yang terkawal, berbanding sehingga enam jam seperti yang dilaporkan pada Ahad.

Seramai 50 orang diasingkan dalam satu kumpulan untuk menjalani ujian dan diberi penerangan jelas oleh petugas kesihatan mengenai tanggungjawab setiap individu termasuk kuarantin di rumah.

Angela Ng, 39, dari Tenom berkata keadaan di balai ketibaan kelihatan teratur sementara menunggu gilirannya membuat ujian.

“Masa menunggu pun tidak lama dalam masa tiga jam. Ujian saringan dan kuarantin wajib adalah bagus untuk memastikan tiada jangkitan kepada komuniti dan semua orang perlu mematuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya yang pulang ke Sabah untuk mengundi.

Ng berkata kesesakan dan masa menunggu lama yang dilaporkan pada Ahad berkemungkinan disebabkan ramai penumpang bergegas untuk pulang kerana perlu bekerja semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Zakaria Shaaban berkata kepadatan penumpang di balai ketibaan dijangka hanya berlaku pada minggu ini susulan berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Kesesakan adalah kerana ketibaan serentak dan jumlah penumpang yang ramai jadi masa menunggu itu panjang,” katanya sambil menambah tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah petugas kesihatan telah melancarkan proses.

Menurutnya, dianggarkan 4,400 orang tiba dari Sabah semalam, melibatkan 29 penerbangan iaitu 10 ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala 19 di klia2.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu mengumumkan peraturan yang mewajibkan semua individu yang baru tiba dari Sabah menjalani saringan Covid-19 di pintu masuk bermula Ahad hingga 10 Oktober.

Petugas media, Nor Sarah Fatihah Abdullah, 33, berkata beliau lega dengan pengumuman kerajaan berhubung saringan wajib itu kerana beliau berada di Sabah selama 19 hari untuk bertugas sempena PRN Sabah.

“Memang tiap-tiap hari akan pantau perkembangan Covid-19 yang KKM buat. Masa sebelum pengumuman saringan wajib, memang kita mengharapkan ujian saringan dari pejabat bila balik Kuala Lumpur,” katanya yang bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Seorang penumpang dikenali sebagai Siti Nur Aqilah, 22, dari Seremban yang ke Kota Kinabalu pada Sabtu lepas untuk urusan keluarga pula berkata dia pada mulanya risau dengan peraturan mengenai ujian saringan wajib.

“Selepas dapat tahu pengumuman itu, rasa risau juga tapi sedar itu tanggungjawab dan untuk kebaikan komuniti supaya tiada penularan baharu,” katanya, yang memuji petugas kesihatan serta keselamatan kerana memberi perkhidmatan baik dan maklumat yang jelas.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh yang juga baru tiba dari Kota Kinabalu berkata sistem di balai ketibaan untuk ujian saringan adalah lebih teratur termasuk perhatian khas yang diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak.

Beliau turut menyeru agar orang ramai terus patuh kepada SOP Covid-19 yang ditetapkan KKM bagi membendung penularan wabak berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

APM sedia gerak lebih anggota bantu proses saringan Covid-19 di KLIA, klia2

PUTRAJAYA, 28 SEPT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia menggerakkan lebih ramai anggota bagi membantu penyelarasan proses saringan Covid-19 untuk individu yang tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata 50 anggota APM kini bertugas di KLIA dan klia2 dan dengan keanggotaan lebih 4,000 orang, lebih ramai boleh digerakkan ke dua terminal berkenaan.

“APM sebagai barisan hadapan sedia membantu dan jika diperlukan kita akan tambah bilangan anggota kerana kita ada sumber manusia yang mencukupi,” katanya mengulas aduan dan laporan berhubung kesesakan di terminal lapangan terbang ketika proses saringan Covid-19 terhadap individu yang tiba dari Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu mengumumkan peraturan yang mewajibkan semua individu yang baru tiba dari Sabah menjalani saringan Covid-19 di pintu masuk bermula 27 Sept hingga 10 Oktober.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bil 1/2020 hari ini, Mohd Redzuan berkata APM juga boleh membantu menghantar pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit bawah pengawasan (PUS) ke hospital atau pusat kuarantin.

“Jika ada yang dari Sabah ini dikesan sebagai PUS atau PUI, kita akan bantu hantar mereka ini menggunakan aset sedia ada,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tambah petugas, peralatan saringan Covid-19 KLIA, atasi sesak

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Jumlah petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan peralatan saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 akan ditambah bagi mengurangkan kesesakan proses saringan terhadap individu yang tiba dari Sabah.

KKM menerusi Twitter memaklumkan susulan terdapat aduan kesesakan proses saringan Covid-19, Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menambah bilangan petugas dan peralatan bagi melancarkan proses saringan.

“Masalah kesesakan akan diselesaikan segera dengan penambahan peralatan dan petugas,” katanya.

Terdahulu, Dr Adham bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meninjau proses saringan Covid-19 yang dilakukan kakitangan KKM di KLIA dan klia2, awal pagi tadi.

Sementara itu, Malaysia Airports menerusi Twitter merakamkan penghargaan kepada Dr Adham dan Dr Noor Hisham terhadap dedikasi dan komitmen mereka bagi memastikan semua langkah keselamatan dan prosedur ujian berjalan lancar.

Pada Sabtu, Dr Noor Hisham berkata bermula semalam hingga 10 Oktober, individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan Covid-19 serta diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Categories
AGENDA NASIONAL

Penumpang dihalang naik pesawat tidak mohon kebenaran imigresen

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Kes sekumpulan penumpang yang tidak dibenarkan menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu lepas (12 Sept) kerana tidak membuat permohonan ke luar negara dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata penumpang terlibat didapati mempunyai rekod pergerakan masuk ke Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka yang ditahan ketika berada (di balai berlepas) itu melibatkan individu rakyat Malaysia pemegang pas pemastautin tetap (PR) luar negara atau mereka yang bekerja di luar negara yang pulang dalam tempoh PKP, dan ingin pergi semula ke luar negara,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya, ada dalam kalangan penumpang berkenaan baru pulang ke Malaysia dalam tempoh sebulan lepas dan ingin terbang semula ke keluar negara atas alasan bekerja.

“Oleh itu, individu yang hendak ke luar negara, wajib memohon kelulusan daripada pihak imigresen dahulu,” katanya menambah syarat ini bertujuan mengelak rakyat Malaysia yang bekerja atau menetap di luar negara keluar dan masuk ke Malaysia sesuka hati, ketika negara masih berdepan penularan wabak Covid-19.

Pada 12 Sept lepas, JIM mengumumkan garis panduan dan syarat terbaharu bagi rakyat Malaysia yang ingin keluar dan masuk ke dalam negara sehingga berakhirnya tempoh PKP Pemulihan (PKPP) 31 Dis ini.

Garis panduan itu memaklumkan beberapa kategori terlibat dalam garis panduan itu, antaranya golongan yang tidak perlu memohon kelulusan, perlu memohon kelulusan dan tidak dibenarkan keluar negara serta tatacara untuk masuk semula ke Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan terdapat sekumpulan rakyat tempatan terkandas di KLIA, Sabtu lepas kerana tidak dibenarkan ke luar negara walaupun mendakwa diri mereka tergolong dalam kumpulan yang dibenarkan ke luar negara tanpa memohon kelulusan berdasarkan garis panduan terbaharu itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham mohon rakyat doa keselamatan petugas kesihatan

SHAH ALAM, 6 SEPT: Rakyat diminta berdoa memohon keselamatan petugas barisan hadapan yang membuat saringan Covid-19 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata risiko kakitangan Pejabat Kesihatan KLIA dijangkiti virus itu amat tinggi kerana berurusan dengan individu yang pulang dari pelbagai negara.

“Petugas Kesihatan barisan hadapan dari Pejabat Kesihatan KLIA bekerja 24 jam sehari secara bergilir-gilir untuk saringan Covid- 19. Kes import dari luar negara semakin meningkat dan mereka berurusan dengan individu yang datang dari pelbagai negara.

“Risiko dijangkiti amat tinggi. Sama-sama kita berdoa agar semua petugas kesihatan kita terhindar dari jangkitan Covid-19,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Semalam Malaysia merekodkan empat kes import dari Pakistan, Angola, India dan Bangladesh, melibatkan dua rakyat tempatan dan dua rakyat asing.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 47 rakyat Malaysia selamat pulang dari Arab Saudi

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Empat puluh tujuh rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19 selamat pulang ke tanah air hari ini dari Arab Saudi, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata proses kepulangan mereka dimudah cara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan kos pembiayaan tiket ditanggung sendiri sepenuhnya oleh penumpang.

Kesemua rakyat Malaysia itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.26 tengah hari dari Arab Saudi menerusi penerbangan khas Saudia Airlines.

“Kesemua 47 orang rakyat Malaysia ini diwajibkan untuk menjalani proses saringan kesihatan setibanya mereka di KLIA dan seterusnya menjalani proses kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarudin berkata Wisma Putra juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah membantu dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air.

“Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

787 rakyat Malaysia pulang dari luar negara jalani kuarantin wajib

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Seramai 787 daripada 793 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dari Australia, Indonesia, Singapura, Qatar, Myanmar, Filipina, Taiwan, India, Laos, China dan Hong Kong semalam diperintah jalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selebihnya enam individu dibawa ke hospital.

“Seramai 139 individu telah masuk melalui pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pelabuhan Pasir Gudang dan feri Pasir Gudang dan kesemua diperintah untuk menjalani kuarantin di rumah.

“Polis turut melakukan 1,178 pemantauan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) kuarantin di rumah dan mendapati kesemuanya mematuhi arahan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Jelasnya bagi tempoh 10 Jun sehingga semalam, Kementerian Kesihatan membuat saringan terhadap 17,152 individu di pintu masuk KLIA.

Katanya daripada jumlah tersebut seramai 17,080 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala 72 individu lagi didapati positif telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, katanya polis telah menahan 37 individu atas kesalahan ingkar arahan dan daripada jumlah itu, lima direman manakala selebihnya dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan tersebut termasuk aktiviti dalam kelab malam (seorang individu), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (16 individu) serta aktiviti yang melanggar SOP (20 individu).

Mengenai tapak binaan, Ismail Sabri berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di sembilan tapak binaan di seluruh negara melibatkan 15 penguat kuasa, mendapati kesemuanya mematuhi SOP ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Imbas suhu badan sebelum daftar masuk di KLIA

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Semua penumpang yang berlepas dari terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini akan menjalani pemeriksaan suhu badan melalui penggunaan alat pengimbas haba yang ditempatkan sebelum kawasan daftar masuk.

Pemeriksaan untuk penumpang yang berlepas bermula semalam sehingga sehingga notis selanjutnya, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang mengendalikan KLIA serta 38 lapangan terbang lain di negara ini.

“Ini adalah salah satu usaha kami untuk memerangi penularan Covid-19 dan memastikan keselamatan semua penumpang dan komuniti di lapangan terbang,” kata MAHB menerusi catatan di media sosial.

MAHB berkata alat pengimbas haba itu ditempatkan di antara pintu masuk ke kaunter daftar masuk B dan C, serta kaunter H dan I.

Hanya penumpang, kakitangan dan anak kapal yang berlepas dengan suhu badan di bawah 37.5 darjah celsius dibenarkan masuk ke kawasan daftar masuk, kata operator lapangan terbang itu.

“Orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan daftar masuk. Pengecualian akan diberikan untuk seorang penjaga kanak-kanak atau penumpang yang memerlukan bantuan khas, “katanya.

Seseorang yang tidak dibenarkan masuk perlu memaklumkan kepada syarikat penerbangan dan disyorkan untuk segera pergi ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan kesihatan, kata MAHB.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesawat bawa pulang rakyat Malaysia dari Iran tiba di KLIA

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Pesawat khas yang membawa rakyat Malaysia dari Tehran, Iran, satu daripada negara yang terjejas teruk dengan wabak Covid-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang awal pagi ini.

Pesawat AirAsia disewa khusus untuk Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia tiba pada 6.35 pagi, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Laporan terdahulu menyatakan seramai 46 individu termasuk 10 kanak-kanak, yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Tehran akan dibawa pulang dalam penerbangan khas.

Mereka yang dibawa pulang akan melalui proses saringan kesihatan di Unit Kecemasan Udara di KLIA, sama seperti dua misi HADR dari Wuhan, China pada Februari lalu.

Semalam, Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata pesawat AirAsia berlepas ke Tehran untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Iran hasil perbincangan peringkat tertinggi antara kerajaan negara terlibat dalam semangat kerjasama Asean.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 100 jemaah umrah Malaysia, Indonesia terkandas di KLIA

SEPANG, 28 FEB: Lebih 100 jemaah umrah Malaysia dan Indonesia yang transit di negara ini terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam susulan keputusan Kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan warganegara asing bagi mengekang penularan Covid-19.

Seorang jemaah dari Kedah, Mohd Fadzil Osman, 49, berkata beliau bersama 39 lagi jemaah dari Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah tiba di KLIA pada 6 pagi dan sepatutnya berlepas dengan pesawat Saudi Airlines pada 4.40 petang.

Beliau yang turut membawa isteri Norharisah Harun, 47, berkata mereka hanya mengetahui mengenai keputusan Kerajaan Arab Saudi pada 9 pagi.

“Ketika itu kami dimaklumkan keputusan belum muktamad, jadi kami menunggu lagi, tetapi kira-kira pukul 1 tengah hari barulah dapat pengesahan kami tak boleh terbang.

“Ada antara kami yang sudah mendaftar masuk, tetapi terpaksa keluar semula selepas dimaklumkan penerbangan batal,” katanya kepada Bernama, di sini malam tadi.

Mohd Fadzil berkata oleh kerana mereka datang menaiki bas, mereka terpaksa menunggu sehingga 1 pagi esok (hari ini) untuk bas berkenaan berpatah balik ke KLIA.

Walaupun kecewa tidak dapat menunaikan umrah pada saat akhir, namun beliau menganggap rezeki belum memihak kepadanya.

“Ini sepatutnya pertama kali saya dan isteri menunaikan umrah, tetapi apa boleh buat, kita hanya merancang. Penerbangan cuma ditangguh sehingga pihak Arab Saudi buka semula kemasukan jemaah umrah,” katanya.

Seorang lagi jemaah Rohani Abdul Rahman, 57, berharap penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi ditarik balik dalam masa terdekat.

“Kami sudah buat persediaan selama enam bulan untuk ibadah umrah ini, tak sangka saat akhir terpaksa dibatalkan. Memang sedih, tetapi kami reda,” katanya.

Sementara itu, jemaah dari Indonesia Muhammad Jamil Arfah, 28, berkata beliau bersama 23 lagi jemaah tiba di KLIA dari Makassar pada 3 petang tadi untuk transit sebentar sebelum menaiki penerbangan ke Arab Saudi.

“Penerbangan kami sepatutnya 9 malam tadi, tetapi dibatalkan. Ketika ini kami masih menunggu kata putus sama ada mahu pulang (ke Makassar) atau masih bisa (boleh) terbang ke Arab Saudi,” katanya.

Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, ziarah dan pelancongan susulan tindakan pihak berkuasa negara itu.

-BERNAMA