Categories
SELANGOR

Universiti sambut baik larangan merokok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JAN: Universiti Selangor (UNISEL) menyambut baik langkah kementerian untuk menjadikan kawasan universiti sebagai kawasan larangan merokok.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata, langkah itu sebagai usaha mendidik pelajar mahupun orang ramai mengenai kesedaran untuk mewujudkan masyarakat sihat.

“Kita semua sedia maklum orang di sekeliling akan turut terkesan jika terkena asap rokok, jadi langkah ini seharusnya disambut baik kita semua.

“Ia bagi memastikan kawasan terbabit selamat dan pengguna lain dapat menghirup udara segar,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Hasril berkata, larangan merokok di UNISEL dikuatkuasa sejak ditubuhkan iaitu pada 1999.

Malah, katanya, papan tanda larangan merokok juga dipasang sehingga ke hari ni di kedua-dua kampus, Shah Alam dan Bestari Jaya.

“Pelajar juga mengetahui larangan merokok di dalam kawasan universiti kerana bukan setakat arahan di papan tanda malah mereka semua sentiasa diperingatkan pengurusan universiti selama ini.

“Larangan ini juga bukan kepada pelajar sahaja tetapi kepada semua yang berada di dalam kawasan kampus termasuk ibu bapa dan pihak berurusan dengan universiti,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Kanan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Raja Nor Ashikin Raja Ramli berkata, pihaknya turut menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguatkuasakan larangan merokok di semua institusi pengajian tinggi.

“Larangan merokok di KUIS juga sudah lama dilaksanakan semenjak ianya beroperasi di Bandar Seri Putra Bangi pada 2000.

“Pada dasarnya larangan merokok ini adalah bagi memastikan KUIS mempunyai persekitaran yang selesa dan terhindar daripada pencemaran udara khususnya daripada asap rokok,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan KUIS adalah sebuah institusi pengajian tinggi Islam tersohor milik penuh Majlis Agama Islam (MAIS) di Selangor maka pelaksanaan larangan merokok di kawasan kampus diberi perhatian.

“KUIS sentiasa memberi perhatian dan akan memaklumkan kepada mana-mana penganjur melaksanakan program di kampus dan kebanyakan mereka amat memahami serta mengambil maklum akan larangan itu juga menghormati undang-undang dilaksanakan,” katanya.

Categories
SELANGOR

KUIS dedah pelajar atasi depresi

OLEH HAZIQ ISMAIL

KAJANG, 16 APR: Isu kemurungan dan kecelaruan minda dikupas secara ilmiah menerusi Program Motivasi: Depression “Gilakah Aku?” anjuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), pada 10 April lalu.

Bertempat di Auditorium Dr Zainuddin Jaffar, program kolaborasi antara Seksyen Alumni dan Rundingcara, Bahagian Pembangunan Mahasiswa (BPM) dan Pusat Asasi KUIS itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan isu serta cara menangani permasalahan depresi.

Ia merupakan program Wajib Mentoring untuk pelajar Asasi KUIS bersedia menghadapi permasalahan semasa.

Ceramah disampaikan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Nurashikin Ibrahim.

Categories
SELANGOR

KUIS laksana e-Kaunseling, bantu mahasiswa memerlukan

SHAH ALAM, 1 JAN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) terus proaktif menyantuni kebajikan mahasiswanya dalam pelbagai aspek termasuk yang terbaharu, memperkenalkan sistem e-Kaunseling.

KUIS menerusi facebooknya berkata, pelaksanaan sistem kaunseling dalam talian yang dikendalikan Seksyen Alumni dan Rundingcara, Bahagian Pembangunan Mahasiswa (BPM) itu khusus membantu mahasiswanya menerima perkhidmatan kaunseling bermula 12 Disember lalu.

“Tetapkan temujanji kaunseling bersama kaunselor anda secara online melalui MyLMS e-Kaunseling,” tulisnya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung perkhidmatan itu, mahasiswa boleh menghubungi kaunselor di talian 03-8911 7064 atau melalui e-mel [email protected].

Categories
SELANGOR

KUIS kutip zakat RM1.5 juta, agih bantu mahasiswa asnaf

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 7 SEPT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berjaya mengumpul RM1.5 juta dalam kempen Jom Berzakat dalam membantu mahasiswa mengikuti pengajian di kolej berkenaan.

Timbalan Rektor Pengurusan Korporatnya, Dr Zulkifli Abd Hamid, berkata kutipan dijalankan sejak 2014 mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat prihatin.

“Bermula 2014, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi kebenaran kepada KUIS mengutip zakat dan setakat ini kutipan dibuat sentiasa meningkat dengan pada awal penubuhan, kita berjaya mengutip hampir RM400,000.

“Memasuki tahun ketiga iaitu setakat September tahun ini, kita berjaya mengutip kira-kira RM1.5 juta,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, 50 peratus daripada hasil kutipan akan diagih KUIS kepada golongan asnaf yang berhak khususnya pelajar kolej sendiri.

KUIS dilantik sebagai agen Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan 50 peratus daripada kutipan zakat diagihkan kepada mahasiswa manakala selebihnya kepada agensi berkenaan.

Categories
SELANGOR

KUIS terima pelajar pondok lanjut pengajian

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bakal menjadi Institut Pengajian Tinggi (IPT) pertama menerima pelajar pondok ke universiti itu bagi mengetengahkan pelbagai bidang akademik untuk mencorak masa depan pelajar yang lebih cerah.

Rektor KUIS, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, inisiatif itu membuka peluang kepada pelajar berkenaan mendalami bidang lain selain pengajian islam.

“Mereka di beri peluang mendalami bidang lain seperti Teknologi Maklumat (IT), Perniagaan dan juga Teknikal supaya mereka setanding dengan pelajar lain,” katanya.

IMG_20170801_135159-1280x767Halim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Islamiyyat Kali ketiga (IRSYAD 2017), semalam.

Halim berkata, pendekatan itu sudah diamalkan di Indonesia, Brunei, Thailand dan negara-negara Asia Barat yang memberikan peluang kepada golongan itu.

“Sememangnya pengajian kitab pelajar pondok yang lebih tinggi daripada mahasiswa di universiti cuma pengajian mereka tidak mempunyai sistem yang lebih teratur seperti pembelajaran di universiti tempatan.

“Jadi saya melihat, mereka juga harus diberi pendidikan lain dan itu yang cuba KUIS laksanakan supaya ilmu pendidikan Islam dan pendidikan konvensional dapat diselarikan demi masa depan mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

KUIS IPTA pertama ikrar bebas rasuah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) mengorak langkah proaktif memperkukuhkan hubungan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Rektor KUIS, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, ikrar itu berlangsung serentak pada majlis perutusan Ramadhan Rektor KUIS bersama 300 kakitangannya dan turut disertai Pengurusan Tertinggi KUIS.

“Kerjasama KUIS dan SPRM terjalin sejak 2015 melalui penganjuran beberapa program dan penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) dalam kalangan mahasiswa KUIS.

“KUIS juga merupakan IPTS pertama menyambut baik Ikrar Tntegriti Korporat dan kini disusuli dengan Ikrar Bebas Rasuah (IBR),” katanya dalam kenyataan.

sprm-1Majlis menandatangani ikrar dan bacaanIBR diketuai Rektor KUIS, Prof. Dato’ Dr Ab Halim Tamuri dan disaksikan Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah.

Sementara itu, Wan Ramli turut menyambut baik usaha KUIS sebagai IPTS pertama di Selangor yang sentiasa menyokong usaha SPRM.

“Saya mengingatkan agar seluruh warga kerja KUIS sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan menolak sebarang unsur rasuah sebagai usaha melahirkan generasi benci rasuah dan bersikap integriti dalam pentadbirannya.

“Kerana sebelum ini terdapat juga kes yang turut melibatkan institusi Islam dan ini perlu diambil iktibar oleh KUIS kerana rasuah boleh berlaku dimana-mana sahaja,” katanya.sprm-3

Categories
SELANGOR

KUIS cemerlang lahir huffaz profesional

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 23 JAN: Kecemerlangan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dalam pendidikan serta melahirkan kalangan huffaz profesional amat membanggakan dan bersesuaian dengan matlamat Kerajaan Negeri menjadikannya sebagai hub pendidikan Islam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata kejayaan dicatat adalah berkat kerjasama pengurusan dan semua petugas di kolej itu yang sentiasa tampil bersedia dalam mendidik pelajar mendalami ilmu agama dan al-Quran.

Yunus“Penghargaan khusus Kerajaan Negeri kepada pengurusan KUIS di bawah pimpinan Rektornya, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri yang berjaya mentadbir dengan cemerlang sebagai sebuah institusi pendidikan Islam yang melahirkan kalangan daei, ulama dan umara.

“Kerajaan Negeri sememangnya mahu menjadikan KUIS sebagai hub melahirkan golongan huffaz di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam Majlis Apresiasi Mahasiswa Tahfiz KUIS Bersama Kerajaan Negeri dan Pelancaran Fakulti Syariah Dan Undang-Undang KUIS di sini, hari ini.

Katanya, tahniah juga kepada KUIS di atas penganjuran majlis itu bagi meraikan seramai 545 pelajar yang meneruskan pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dalam bidang berkenaan.

“Al-Quran adalah kemuliaan tertinggi iaitu kalam Allah S.W.T diturunkan dengan penuh berkat dan memberikan petunjuk kepada manusia ke jalan yang lurus.

KUIS (7)“Sesungguhnya tiada keburukan di dalamnya dan sebaik-baik manusia adalah mereka yang mempelajari juga mengajar al-Quran,” katanya.

Bagi menjayakan Tabung Pendidikan Tahfiz al-Quran Dan al-Qiraat KUIS, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan sejumlah RM5 juta setahun hasil daripada sumber kewangan anak syarikatnya di mana majis terbabit turut meraikan Kerajaan Negeri bersama pihak berkenaan.

Antara anak syarikat Kerajaan Negeri itu ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), WorldWide Holding Bhd, Pemerbadanan Dato’ Menteri Besar Selangor (MBI), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kumpulan Semesta Ssdn Bhd.

-nR-

Categories
SELANGOR

ISMEC berlangsung jaya di KUIS

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 7 DIS: Seminar Antarabangsa Multi Etnik dan Silang Budaya (ISMEC) berlangsung dengan jayanya di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 19 November lalu.

Pengarah seminar, Dr Zulkifli Aini, berkata seminar bertema “Kebijaksanaan Menangani Kepelbagaian Etnik dan Budaya” mengupas isu Orang Asli dan Pribumi berjaya mencapai matlamat dengan penyertaan ahli akademik serta pengkaji dari dalam dan luar negara.

“Penyertaan datangnya daripada negara seperti Indonesia, Brunei, Sri Lanka, Bangladesh dan Libya di mana ia berlangsung menarik melalui perkongsian pandangan juga idea hasil pembentangan kertas kerja.

“Antara pembentang kertas kerja utama ialah Rektor KUIS, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri dan Prof Madya Dr M Jabal Buaben dari Universiti Brunei Darussalam,” katanya.

Seminar anjuran Pusat Kajian Dakwah Orang Asli dan Peribumi Fakulti Pengajian Islam Universiti Kenbangsaan Malaysia (UKM) serta Ahli-Sunnah Wal-Jamaah and Dakwah Development Center (ASDEC) KUIS dengan kerjasama Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam UKM.

Ia dirasmikan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi, Mohd Shafie Ngah.

Beliau berkata, hasil daripada perbincangan seminar itu, satu majlis menandatangani surat hasrat berjaya dimeterai antara Fakulti Pengajian Islam UKM bersama KUISCELL Sdn Bhd.

“Ia adalah bagi bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan mengenai masyarakat Orang Asli dan Pribumi di Malaysia,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

KUIS-STKIP Qomaruddin jalin MoU, perkasa kerjasama akademik

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 10 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bersama Sekolah Tinggi Keguruan dan Ilmu Pendidikan (STKIP) Qomaruddin, Jawa Timur, Indonesia, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di dalam memperkasakan jaringan kerjasama akademik dan pembangunan mahasiswa di peringkat antarabangsa.

Majlis bersejarah itu diadakan di kolej terbabit, baru-baru ini, dengan diketuai Rektornya, Prof Dato’ Ab Halim Tamuri manakala, Drs H Moh Maghfur mewakili STKIP Qomaruddin.

Ab Halim dalam kenyataannya berkata, KUIS melahirkan rasa bangga atas kesudian STKIP Qomaruddin menjalin hubungan dan kerjasama demi kebaikan bersama.

Hasil perbincangan KUIS dan STKIP Qomaruddin bersetuju untuk terus melebarkan dan mempelbagaikan jaringan kerjasama di dalam pertukaran pensyarah dan program mobiliti pembangunan mahasiswa.

“Ia juga termasuk penganjuran seminar dan konvensyen, penerbitan jurnal serta penyelidikan yang memberi impak positif kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Rektor Pengurusan korporat KUIS, Dr Zulkifli Abd Hamid; Timbalan Rektor Pembangunan Mahasiswa dan Alumni KUIS, Dr Mokmin Basri.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Di sini lahirnya Da’i, Ulama dan Umara

OLEH NAEEM RAFFI

Sejajar dengan iltizam menjunjung tradisi kecemerlangan ilmu dan mendokong agenda pendidikan Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) komited mencapai gagasan sebuah Universiti lengkap dengan program pengajian akademik berteraskan tauhid bersesuai keperluan fizikal dan zaman.

Timbalan Pendaftar KUIS, Halim Mohtar, berkata misi besar KUIS itu didokong saf pensyarah dan warga kerja berjiwa mudarris, mu`allim, muaddib dan murabbi yang mengutamakan konsep penguasaan ilmu sebagai prinsip asas di dalam pendidikannya.

“KUIS tetap mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional Islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangunkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan Islam.

“Selain itu, KUIS juga berperanan menyediakan alternatif melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk pelajar lulusan SPM, STAM, STPM dan Diploma,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

KUISKUIS kini mempunyai 9,350 mahasiswa merentasi pelbagai disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, perniagaan, perbankan Islam, pendidikan, komunikasi, dan teknologi maklumat yang berdaya saing menyelusuri dunia globalisasi.

Sebanyak 51 program pengajian ditawarkan di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah yang telah memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Dengan kemudahan pengajiannya kondusif, KUIS turut mengutamakan program pembangunan sahsiah holistik, prinsip persekitaran (bi’ah) solehah, dan program khidmat ummah ke arah melahirkan warga KUIS berakhlak terpuji demi pembentukan negara Baldatun Tayyibatul Wa Rabbul Ghaffor.

“KUIS secara tuntas meletakkan mahasiswa sebagai ‘agent of change’ menjadi aset negara amat berharga dan pelapis generasi pemimpin pada masa hadapan.

“Justeru mahasiswa dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran ke arah pembentukkan mahasiswa yang dinamik, berdaya saing dan berjiwa besar,” katanya.

Pada 13 Ogos ini, KUIS akan meraikan Da’i, Ulama dan Umara kelahirannya dalam Majlis Konvokesyen KUIS ke-19 dengan seramai 1,006 graduan akan menerima Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

Kini, KUIS telah melahirkan seramai 15179 Alumni yang telah berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara di peringkat nasional dan antarabangsa.

Untuk informasi terkini sila layari KUIS www.kuis.edu.my atau 03 89117000

-nR-

Categories
SELANGOR

KUIS – IIIT meterai tujuh MoA perkasa penyelidikan berimpak

Oleh: HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 26 FEB: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memetrai tujuh Perjanjian Pendidikan (MoA) bersama Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) dalam usaha membudayakan penyelidikan dan penulisan lebih berimpak.

Rektornya, Prof Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata KUIS komited menjayakan projek itu dengan harapan ia membuka pintu kepada kerjasama lain pada masa akan datang.

Katanya, usaha berterusan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) KUIS itu amat bermakna dalam usaha menyokong hasrat kolej itu menjadi universiti penuh.

Prof Datuk Dr Ab Halim Tamuri“Saya melahirkan rasa bangga kerana KUIS dipilih menjayakan projek penulisan buku teks ini yang juga akan menjadi bahan rujukan kepada semua universiti dan kolej bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

“Diyakini dengan dedikasi golongan ilmuan KUIS dan kerjasama pakar IIIT, projek ini terlaksana dengan jayanya,” katanya.

Majlis MoA kedua-dua pihak ditandatangani Ab Halim bersama Setiausaha Kehormat IIIT, Prof Dr Omar H Kasul di Hotel Concorde, KLIA pada 29 Januari lalu.

Ia disaksikan Pengarah RMC KUIS, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Perwakilan Wilayah Timur dan Asia Tenggara IIIT, Datuk Dr Jamil Osman.

Turut hadir, wakil IIIT Jepun, Korea, China, Hong Kong, Cambodia, Filipina, Thailand, Brunei dan Indonesia serta beberapa Felo Penyelidik Kanannya di sekitar Kuala Lumpur.

Daripada tujuh MoA ditandatangani, enam daripadanya adalah bagi penyelidikan dan penulisan buku.

KUISIa merangkumi Falsafah dan Pemikiran Islam, Falsafah Islam, Pembangunan Potensi Insan, Pengantar Akhlak, Tamadun Islam dan Tamadun Asia serta Teknologi Maklumat Dalam Kehidupan Insan.

Manakala satu lagi adalah Penganjuran Bengkel meliputi tiga bengkel kerjasama KUIS – IIIT bagi pengukuhan usaha enam penyelidikan dan penulisan buku berkenaan.

“Dua daripadanya sudah dilaksanakan iaitu Bengkel Pengenalan Islamisasi pada 27 Julai tahun lalu dan Bengkel Pemahaman Epistemologi Islam (21 Januari lalu) selain Bengkel Penulisan Buku Teks akan dilaksanakan pada Mac ini.

“Keseluruhan dana diperuntukkan untuk projek ini ialah RM140,000 melalui sumbangan bersama KUIS dan IIIT dan ia dijangka siap pada penghujung tahun depan,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

KUIS rancang pasarkan hasil penyelidikan

Oleh : NORHAYATI UMOR

BANGI, 22 OKT: Hasil penyelidikan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bakal dikomersialkan bermula tahun depan.

Rektor, Prof Dr Ab Halim Tamuri, berkata proses pengkomersilan hasil penyelidikan itu giat dijalankan mengikut peringkat bermula dengan penerbitan.

Halim Tamuri“Pada awalnya, ia tidak dikomersilakan kerana KUIS belum bersedia menjadi universiti penyelidikan

“Namun, tahun ini kita mulakan secara serius dengan geran penyelidikan RM1 juta dan tahun depan sebanyak RM1.5 juta,” katanya kepada SelangorKini.

Ab Halim berkata penyelidikan dalam bidang Bahasa Arab dan Teknologi Maklumat berpotensi besar untuk dikomersialkan.

“Kita banyak modul yang lebih kepada pratikal begitu juga bidang teknologi. Kita boleh patenkan. Insyaallah, apabila geran disediakan tiada masalah untuk dikomersialkan.

“Malah, saya mencadangkan bidang bahasa dan teknologi juga digabungkan supaya ia akan menjadi produk yang lebih baik untuk KUIS masa depan,” katanya.

Beliau menjangkakan dalam tempoh lima tahun, hasil penyelidikan KUIS akan siap dipatenkan sepenuhnya.

-nR-