Categories
EXCO SELANGOR

Individu tidak sihat disaran pakai topeng

SHAH ALAM, 14 FEB: Penghidap demam, batuk dan selsema disaran memakai topeng hidung dan mulut serta mengelak diri berkunjung ke tempat awam, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata golongan yang sihat pula tidak perlu melakukan perkara sama kerana koronavirus 2019 (Covid-19) bukan dijangkiti melalui udara sebaliknya menerusi sentuhan.

“Sebab itu penting untuk menjaga kebersihan diri iaitu sentiasa membasuh tangan dengan sabun dan bukan sekadar menggunakan cecair pembasmi kuman sahaja.

“Individu yang tidak sihat dinasihat berehat sahaja di rumah dan jika perlu keluar berjumpa doktor baharulah memakai topeng berkenaan,” katanya.

Dr Siti Mariah berkata isu kekurangan stok topeng hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman pula tidak harus dikaitkan dengan Kerajaan Negeri disebabkan ketika ini barangan itu sedang mendapat permintaan tinggi.

“Saya percaya ia tidak disengajakan dan pembekal pasti berusaha mencari jalan mendapatkan stok terbabit,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes ke-19 di Malaysia, wanita China positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Satu lagi kes positif virus Covid-19 disahkan, menjadikan jumlah kes positif di negara ini meningkat kepada 19, setakat 3 petang ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaharu itu membabitkan seorang wanita warga China berumur 39 tahun yang merupakan rakan kepada kes ke-14 dan anak kepada kes ke-16.

Beliau berkata wanita itu bersama empat individu lain tiba di Malaysia dari Wuhan, China pada 25 Januari lepas.

“Sebaik sahaja dua kes terdahulu dikesan positif (kes ke-14 dan 16), masing-masing pada 5 Februari dan 7 Februari wanita itu diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemantauan.

“Hasil pemantauan berterusan terhadap wanita itu oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lembah Pantai, mendapati beliau mula mengalami gejala demam dan batuk pada 12 Februari lepas,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata wanita itu dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menerima rawatan dan siasatan selanjutnya.

Beliau berkata ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19 yang dijalankan terhadap wanita itu dilaporkan positif pada hari yang sama.

“Wanita itu kini dimasukkan ke wad isolasi di HKL dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) Kementerian Kesihatan (KKM) digerakkan sejak 6 Feb, susulan Misi Bantuan Kemanusiaan bagi membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dari Wuhan, China pada 4 Februari.

Katanya, pasukan itu memberi perkhidmatan sokongan psikososial kepada individu yang diletakkan di bawah perintah pemantauan, petugas KKM dan agensi lain yang turut sama terlibat.

“Aktiviti termasuk sesi bantuan asas psikologi (PFA) kelompok dan individu, kaunseling dan rujukan kepada pakar sekiranya perlu.

“Buat masa ini, terdapat dua kes dirujuk untuk menerima rawatan lanjut, kerana stres akut dan keresahan. Mereka diberikan ubatan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Bantuan PFA turut diberikan kepada anggota kesihatan di lapangan, meliputi anggota kesihatan yang mengendalikan kes di wad isolasi hospital terlibat, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia tidak halang kapal persiaran, kargo berlabuh

PELABUHAN KLANG, 13 FEB: Kerajaan tidak merancang untuk menyekat kapal persiaran atau kapal kargo daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini susulan penularan virus Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ini kerana setiap penumpang kapal persiaran akan melalui dua saringan kesihatan yang dijalankan oleh kerajaan dan operator kapal sebelum mereka dibenarkan turun daripada kapal.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat kerana sekiranya larangan terhadap mana-mana kapal persiaran atau kapal kargo daripada berlabuh di sini dikeluarkan, ia akan membawa impak buruk terhadap sektor pelancongan, dan ekonomi negara.

“Sebelum mana-mana kapal persiaran berlabuh di Malaysia, mereka terlebih dahulu perlu menghantar senarai nama penumpang dan melakukan saringan kesihatan awal. Jika didapati ada dalam kalangan penumpang menunjukkan gejala influenza atau COVID-19, mereka akan dikuarantin dan tidak dibenarkan turun daripada kapal.

“Di pelabuhan pula, setiap pintu masuk dilengkapi dengan pengimbas suhu badan ‘thermal scanner’. Bagi anak kapal kargo pula, pegawai kesihatan kita akan menaiki kapal berkenaan dan melakukan saringan sebelum mereka dibenarkan mendarat.

“Setakat ini, semua penumpang kapal persiaran dan kapal kargo yang berlabuh di pelabuhan seluruh negara adalah sihat, dan rakyat negara ini tidak perlu risau atau takut,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Terminal Boustead Cruise Center di sini hari ini.

Tambah Loke, rakyat di negara ini juga tidak perlu bimbang dengan penularan Covid-19, kerana mana-mana pelancong yang dikesan tiba dari Wuhan dan Wilayah Hubei tidak dibenarkan masuk ke negara ini malah mereka terlebih dahulu perlu melepasi saringan keselamatan di China dan di pelabuhan utama, di mana kapal persiaran berkenaan beroperasi.

“Malaysia hanyalah sebuah ‘calling port’ di mana kapal persiaran ini singgah untuk sehari atau dua hari. Kebanyakan kapal persiaran yang singgah di sini beroperasi di pelabuhan di Singapura dan seperti kita maklum, Singapura telah mengambil pelbagai langkah keselamatan bagi elak penularan Covid-19,” katanya.

Covid-19 adalah nama rasmi bagi koronavirus 2019 yang diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata berkata ujian yang dijalankan terhadap 550 kontak rapat dan mereka yang bergejala di 18 makmal awam di negara ini mendapati hanya 18 disahkan positif bagi Covid-19. Tiga daripada 18 kes tersebut, telah sembuh sepenuhnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia sentiasa siap sedia hadapi penyakit berjangkit

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Pengalaman Malaysia berdepan dengan krisis kesihatan seperti virus Zika, Influenza dan Nipah pada masa lepas membolehkan negara ini sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang penularan penyakit berjangkit.

Ketua dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Perubatan Kecemasan Universiti Malaya Prof Madya Datuk Dr M. Rishya berkata berdasarkan pengalaman itu, dengan beberapa penambahbaikan mengikut panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan Covid-19 di negara ini dapat dikawal dan dikendalikan dengan baik.

“Kita pernah diuji dengan penyakit seperti Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) ataupun Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sebelum ini, jadi kesiapsiagaan dapat dilakukan dengan cepat melalui garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia dan WHO,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program televisyen ‘The Nation’, di Wisma Bernama hari ini.

Beliau berkata antara langkah kesiapsiagaan yang dilakukan itu ialah pengasingan pesakit, mengehadkan kontak kepada staf yang merawat sahaja dan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap.

“Contoh, sekiranya pesakit mempunyai tanda-tanda positif Covid-19 dan mempunyai sejarah ke China, mereka perlu laporkan diri ke tempat khas di luar jabatan kecemasan…dan jika disahkan positif mereka akan ditempatkan dalam bilik berasingan bagi tujuan pemantauan yang lebih lanjut,” katanya.

Pada masa sama Dr Rishya menasihati masyarakat supaya tidak panik kerana jumlah jangkitan Covid-19 di negara ini masih rendah dan mereka perlu menjaga kesihatan diri serta mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belum sah Covid -19 tersebar melalui bawaan udara

PUTRAJAYA, 12 FEB: Teori menyatakan jangkitan koronavirus 2019 (Covid – 19) boleh tersebar melalui bawaan udara belum mendapat ‘kata sepakat’ dalam kalangan saintis mahupun pakar perubatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sehingga kini, kebanyakan pakar perubatan menyebut bahawa titisan cecair dikenal pasti sebagai mod penyebaran virus berkenaan menjangkiti manusia ke manusia.

Bercakap kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif di pejabatnya beliau menjelaskan apabila seseorang (dijangkiti virus) itu batuk atau bersin (tanpa mengamalkan etika batuk dan bersin), maka rembesan (sekresi) itu akan melekat pada sebarang permukaan seperti meja.

“Apabila individu tidak dijangkiti menyentuh permukaan yang terkena droplet (rembesan) dan disapu pada rongga tubuh seperti hidung …di situlah keadaan yang mengakibatkan berlakunya transmisi.

“Bayangkan kalau airborne (bawaan udara) saya tidak tahu kesudahan perkara ini …tetapi sehingga kini belum dapat disahkan lagi (virus korona tersebar menerusi bawaan udara),” katanya.

Covid-19 yang bermaksud ‘Penyakit Virus Korona’ adalah nama rasmi bagi koronavirus 2019 virus baharu yang pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lepas dan telah meragut 1,017 nyawa di republik itu dan satu kematian di Filipina serta 43,155 kes positif Covid-19.

Semalam, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menjelaskan bahawa co bermaksud ‘korona’, vi (virus) dan d (penyakit).

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata perkongsian makanan, minuman atau peralatan yang berkemungkinan tercemar dengan rembesan itu adalah berisiko menyebabkan jangkitan kepada orang lain.

Justeru, beliau berkata mereka yang bergejala (batuk dan selesema) perlulah memakai penutup mulut dan hidung supaya titisan atau rembesan cecair tidak tersebar ketika bercakap, batuk dan bersin.

Baru-baru ini, media melaporkan pakar di China berpendapat virus berkenaan boleh merebak menerusi bawaan udara, sementara sekumpulan pakar perubatan antarabangsa berpendapat cirit-birit sebagai agen kedua yang boleh menyebarkan virus itu.

Mengulas perkembangan berkaitan, Dzulkefly berkata tiada sebarang kesan sampingan drastik yang dialami oleh semua 18 pesakit Covid-19 di negara ini sepanjang tempoh pemantauan mereka di wad isolasi.

“Tidak seperti virus Ebola, yang menyebabkan kematian mengejut, this is normal Coronavirus yang membawa pneumonia atau gejala berkaitan saluran pernafasan.

“Pesakit koronavirus yang meninggal dunia didapati ada penyakit sampingan lain seperti sakit jantung dan kegagalan buah pinggang …bukan kerana koronavirus sangat ‘ganas’ atau ‘dahsyat,” jelasnya.

Dzulkefly sekali lagi menegaskan golongan berisiko tinggi dijangkiti virus itu seperti warga emas berusia lebih 65 tahun, kanak-kanak imuniti rendah dan mereka yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan seperti asma perlu mengehadkan lawatan ke hospital sekiranya tiada urusan penting.

Beliau berkata penting bagi golongan itu tidak pergi ke kawasan awam atau keramaian, khususnya hospital bagi mengelakkan risiko ‘Hospital Acquired Infection’ (HAI) atau Jangkitan Diperoleh Di Hospital.

Tidak menolak kemungkinan trend kehadiran golongan berisiko itu ke hospital akan meningkat pada waktu ini, Menteri Kesihatan itu menegaskan KKM sentiasa memantau perkembangan hal berkenaan dan bersiap siaga menanganinya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pertemuan dapatkan input kesan koronavirus ke atas industri

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengadakan pertemuan dengan persatuan industri utama khususnya pembuatan dan perkhidmatan bagi mendapatkan input selain mengenal pasti sejauh mana penularan jangkitan koronavirus 2019 memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI Norazman Ayob berkata pertemuan yang diadakan esok itu juga akan mendapatkan cadangan daripada pihak industri mengenai langkah menangani impak koronavirus bagi jangka pendek dan sederhana.

“Apabila kita mempunyai semua maklumat ini, kita akan kemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), untuk mereka memperkenalkan pakej rangsangan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan perdana MITI dan agensi di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan sebelum ini berkata pihaknya akan melihat impak penularan koronavirus ke atas negara sebelum menentukan jumlah pakej rangsangan ekonomi bagi membantu sektor yang terjejas.

Norazman berkata ketika ini MITI, MoF dan MEA sedang merangka langkah yang boleh diperkenalkan bertujuan membantu pihak industri dalam usaha menangani impak koronavirus terhadap perniagaan mereka.

“Ia bertujuan menangani kos perniagaan atau cuba mengurangkan kos perniagaan manakala yang kedua memperkenalkan langkah yang boleh membantu pihak industri menangani kemungkinan kemerosotan perniagaan atau dari segi kesukaran mendapatkan bahan komponen atau import khususnya dari China,” katanya.

Mengulas pertemuan MoF dengan pihak industri yang diadakan hari ini bagi mendapatkan input kesan penularan koronavirus, Norazman berkata masih terlalu awal untuk menyatakan cadangan yang akan dikemukakan oleh pihak industri.

“Perbincangan yang akan diadakan di antara MoF dengan pihak industri adalah lebih bersifat mendengar untuk mendapatkan pandangan pihak industri,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Koronavirus: Angka kematian meningkat 908

SHAH ALAM, 10 FEB: Angka korban akibat wabak koronavirus di China meningkat kepada 908 orang sehingga semalam dengan 97 kematian baharu dilaporkan, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan hari ini.

Wilayah Hubei melaporkan 91 kematian semalam manakala ibu kotanya Wuhan merekodkan 73 kematian, lapor The Straits Times.

Di seluruh China, terdapat 3,062 jangkitan baharu yang disahkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini mencecah 40,171.

Sejumlah 3,281 pesakit yang dijangkiti virus itu dibenarkan keluar dari hospital selepas pulih sepenuhnya, kata pihak berkuasa kesihatan China.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat dijangkiti koronavirus di hospital swasta, pusat beli-belah palsu

SHAH ALAM, 9 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan mesej tular berkenaan seorang rakyat tempatan dijangkiti koronavirus 2019 (2019-nCoV) di salah sebuah hospital swasta di sini.

KKM dalam kenyataan di Facebook memaklumkan pesanan itu adalah palsu dan meminta orang ramai tidak mempercayai serta menyebarkan berita berkenaan.

“Jangan berkongsi atau menyebarkan berita palsu ini,” tegas KKM semalam.

Difahamkan terdapat mendakwa seorang warga tempatan dijangkiti koronavirus di Hospital Sunway Cheras sekali gus memberi amaran kepada orang awam untuk tidak mendekati lokasi terbabit.

Pada masa sama, KKM turut menafikan dakwaan sama membabitkan individu di tingkat tiga pusat beli-belah Mid Valley dan pengurusan pusat membeli belah itu turut memaklumkan ia adalah palsu selain pihaknya sentiasa melakukan pemantauan.

“Kita sudah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menempatkan bahan pembasmi kuman di lokasi tertentu serta menjalankan pemeriksaan suhu terhadap kakitangan pengurusan dan pembekal barangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perluas sekatan perjalanan terhadap dua lagi wilayah di China

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Sekatan perjalanan ke Malaysia, yang kini dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, pusat penularan koronavirus 2019 (2019-nCoV), kini diperluaskan kepada Wilayah Zhejiang dan Wilayah Jiangsu berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ini berikutan tindakan pihak berkuasa di China, termasuk pihak berkuasa tempatan yang membuat sekatan pergerakan keluar dan masuk terhadap Wilayah Zhejiang melibatkan lima bandar dan Wilayah Jiangsu (dua bandar).

“Selaras dengan keputusan pada 27 Januari lalu iaitu sekatan perjalanan akan dikuatkuasakan mengikut wilayah yang dikenakan sekatan pergerakan keluar dan masuk oleh kerajaan China, maka diputuskan sekatan perjalanan yang sebelum ini dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei akan diperluaskan terhadap dua lagi wilayah berkenaan berkuat kuasa serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Jamuan Muhibbah sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Kerajaan pada 27 Januari lepas menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta sekelilingnya.

Pada masa yang sama, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut meminta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperketatkan lagi syarat sekatan untuk memastikan semua pelancong tanpa mengira kerakyatan yang pernah mengunjungi atau berada di tiga wilayah terlibat supaya tidak memasuki negara ini dalam tempoh 14 hari selepas itu.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi menegaskan kerajaan belum bercadang untuk mengenakan sekatan terus perjalanan keluar masuk dari China.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM), JIM dan agensi lain yang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru juga perlu meningkatkan aspek kawalan.

“Petugas turut diminta memberi nasihat yang sewajarnya kepada orang ramai yang melalui pintu-pintu masuk ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: 12 hospital KKM, makmal kesihatan sedia kesan jangkitan

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Sebanyak 12 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dan Makmal Kesihatan Awam (MKA) seluruh negara telah dipertingkatkan dengan kapasiti membuat ujian ‘real time RT-PCR 2019-nCoV’ bagi mengesan koronavirus 2019 (2019-nCoV) sejak 30 Januari lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata MKA berkenaan ialah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh, MKA Ipoh, MKA Kota Kinabalu, MKA Kota Bharu dan MKA Johor Bahru.

“Kapasiti ini juga diperluaskan bagi rangkaian makmal swasta melalui latihan berkaitan yang diadakan oleh pihak MKAK Sungai Buloh pada 6 Feb,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pada peringkat awal, Unit Virologi Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) merupakan satu-satunya makmal yang terlibat secara langsung menjalankan ujian diagnostik mengesan 2019-nCoV di Malaysia.

Pada 3 Januari, makmal berkenaan telah memulakan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan penularan 2019-nCoV di mana reagen untuk mengesan koronavirus dengan mengunakan kaedah Conventional RT-PCR disediakan.

“Namun, pada 11 Januari, ahli saintis dari China telah berkongsi maklumat genetik 2019-nCoV di pangkalan data guna sama. Ini membolehkan pegawai dari Unit Virologi IMR mereka cipta urutan reagen yang dikenali sebagai ‘primers and probes specific for 2019-nCoV’ pada hari yang sama.

“Beberapa hari kemudian, Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah mengeluarkan protokol untuk ujian real time RT-PCR 2019-nCoV dan protokol ini hampir sama seperti yang digunakan di IMR,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata reagen untuk mengenal pasti 2019-nCoV telah tiba ke makmal IMR pada 21 Januari dan pada masa sama pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya telah berkongsi virus yang tergolong dalam famili yang sama dengan 2019-nCoV nyahaktif, untuk digunakan sebagai kawalan positif.

“Pegawai daripada IMR telah berjaya menjalankan optimasi ujian real time RT-PCR 2019-nCoV pada 22 Januari dan reagen ini telah dibekalkan kepada MKAK Sungai Buloh pada 24 Januari untuk menguji sampel kontak di Johor yang membolehkan pengenalpastian kes pertama positif di kalangan kontak rapat.

“Pada 25 Januari pula, makmal IMR juga telah mengesan kes pertama positif bagi pesakit dalam siasatan (PUI),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata pada setiap hari (termasuk cuti umum) staf bertugas akan bersedia menerima sampel dari hospital seawal pukul 7 pagi dan akan meneruskan ujian supaya keputusan dapat dikeluarkan dalam masa 24 jam.

“Namun, kebanyakan keputusan ujian ini berjaya disiapkan lebih awal dari tempoh 24 jam tersebut,” katanya.

Dr Hisham berkata hanya staf yang menjalani ujian kompetensi dan dilatih cara pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dengan betul dibenarkan menjalankan ujian tersebut.

Secara ringkas katanya, staf akan menerima sampel dan merekodkan penerimaan dalam buku log.

Seterusnya sampel ini dibawa ke makmal Biosafety Level 2 di mana staf yang memakai PPE akan memproses serta mengasingkan sedikit sampel klinikal untuk nyahaktif virus dan diteruskan dengan ujian real time RT-PCR 2019-nCoV, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guru, pelajar balik dari China perlu dikuarantin 14 hari

KULAI, 9 FEB: Semua guru dan pelajar yang baru pulang dari China perlu menjalani proses kuarantin di kediaman sendiri selama 14 hari sebagai usaha mengekang penyebaran jangkitan koronavirus 2019 di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata kementerian telah mengeluarkan arahan itu pada 30 Januari lepas.

“Guru dan murid yang pernah pergi ke China baru-baru ini sama ada mereka pergi semasa cuti atau lawatan, mereka ini perlu dikuarantin di rumah.

“Apabila balik dari negara terbabit, saringan kesihatan perlu dilakukan… walaupun mereka tidak mengalami sebarang simptom, mereka perlu lalui pemantauan di rumah sepanjang 14 hari dan mereka tidak boleh ke sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di sini hari ini.

Katanya Kementerian Pendidikan juga telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pendaftaran pelajar dari negara tersebut di semua institusi pendidikan di Malaysia ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk Malaysia mengambil langkah sama seperti Singapura iaitu melarang semua aktiviti luar di sekolah sebagai langkah pencegahan jangkitan koronavirus.

Teo berkata sehingga kini tiada arahan dikeluarkan untuk menangguhkan sebarang aktiviti luar sekolah memandangkan situasi di Malaysia berbeza daripada Singapura.

“Selain langkah-langkah yang telah kita ambil tadi, apa-apa langkah seperti menangguhkan sebarang aktiviti luar di sekolah, kita akan dapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan terlebih dahulu dan setakat ini, belum ada arahan untuk melarang aktiviti luar.

“Ini kerana saya rasa situasi antara negara kita dengan Singapura berbeza memandangkan kes yang berlaku di Singapura lebih banyak dan tinggi daripada negara kita dan Singapura adalah sebuah negara yang berkepadatan tinggi,” katanya lagi.

Sehingga semalam, jumlah kumulatif kes positif koronavirus adalah sebanyak 16 orang, iaitu 12 warga China dan empat rakyat tempatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Jumlah pegawai diplomatik di kedutaan, pejabat konsulat di China kekal

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Jumlah pegawai diplomatik di Kedutaan Besar Malaysia dan pejabat-pejabat konsulat Malaysia di China akan dikekalkan bagi memastikan sebarang urusan berjalan lancar dan berkesan.

Kedutaan Besar Malaysia di China dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu diambil terutamanya bagi memberi khidmat bantuan kepada rakyat Malaysia yang berdepan dengan situasi wabak koronavirus 2019 di Wuhan dan juga China.

“Rakyat Malaysia yang berada di China boleh menghubungi pejabat Kedutaan di Beijing atau pejabat konsulat Malaysia di Shanghai, Guangzhou, Kunming, Nanning, Xi’an dan Hong Kong,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang menetap di kawasan Beijing, Hubei, Tianjin, Henan, Hebei, Heilongjiang, Jilin, Liaoning, Wilayah Autonomi Inner Mongolia, Qinghai, Shandong, Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur dan Wilayah Autonomi Tibet boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Beijing di talian +861065322531 (waktu pejabat) atau +8613161219838 / +8618513665810 (kecemasan).

Selain itu, bagi yang menetap di Shanghai, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang boleh menghubungi Pejabat Konsulat Malaysia di Shanghai di talian +862160900360 (waktu pejabat)/ +8613761154009 (kecemasan).

Rakyat Malaysia yang menetap di Guangdong, Fujian, Hainan, Hunan dan Jiangxi, wakil Wisma Putra dapat dihubungi melalui Pejabat Konsulat Malaysia di Guangzhou di talian +862038770763 (waktu pejabat)/ +8618802087683 (kecemasan).

Bagi yang menetap di Hong Kong dan Wilayah Pentadbiran Khas Macau pula boleh menghubungi Pejabat Konsulat Malaysia di Hong Kong di talian +85228210800 (waktu pejabat)/ +85269006390 (kecemasan) manakala yang tinggal di Shaanxi, Gansu dan Wilayah Autonomi Ningxia Hu boleh menghubungi Pejabat Konsulat Malaysia di Xi’an di talian +862989568478 (waktu pejabat)/ +8615229089757 (kecemasan).

Sementara itu, rakyat Malaysia yang menetap di Yunnan, Sichuan dan Chongqing boleh menghubungi Pejabat Konsulat Malaysia di Kunming di talian +8687163165088 (waktu pejabat)/ +8618487341474 (kecemasan).

Bagi yang menetap di Guizhou dan Guangxi Zhuang Autonomous Region, wakil Wisma Putra di Pejabat Konsulat Malaysia di Nanning boleh dihubungi di talian +867715662562 (waktu pejabat) atau+8615977783818/ +8615977783898 (kecemasan).

Baru-baru ini, media melaporkan kerajaan memberi jaminan akan membawa pulang 298 pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia termasuk 212 ahli keluarga mereka di Beijing dan tujuh lagi pejabat kedutaan.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, ia juga bertujuan meminimumkan risiko pendedahan kepada mereka yang berada di China, susulan penularan wabak koronavirus baharu.

– BERNAMA