Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat rakyat Malaysia dijangkiti koronavirus stabil

PUTRAJAYA, 7 FEB: Empat rakyat Malaysia yang dijangkiti wabak koronavirus 2019 dalam keadaan stabil selepas beberapa langkah diambil untuk memulihkan mereka, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata mereka bersama pesakit lain kes positif wabak itu termasuk warga China, pada masa ini ditempatkan di wad isolasi.

Semua pesakit dari China juga umumnya dalam keadaan stabil.

“Kami beri segala diet, ruang untuk pemulihan dan tingkatkan sistem imun mereka,” katanya pada sidang media harian situasi terkini koronavirus di sini hari ini yang turut memaklumkan kes positif koronavirus ke-15 di Malaysia melibatkan pelancong wanita berumur 59 tahun dari Wuhan, China.

Sebelas kes positif itu membabitkan 11 rakyat China.

Dalam pada itu, orang ramai terutama golongan berisiko tinggi dinasihat agar mengehadkan lawatan ke hospital terutama atas urusan tidak penting bagi mengekang penularan jangkitan koronavirus.

Dr Dzulkefly berkata mereka termasuk kanak-kanak, warga emas berusia 65 tahun ke atas, mereka yang menghidap penyakit kronik, pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah dan wanita hamil.

“Jika golongan ini masih perlu hadir ke hospital, mereka dinasihat mengamalkan penjagaan kesihatan diri,” katanya sambil memeberitahu antara amalan itu ialah mengelak daripada menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa membasuh tangan terlebih dahulu, basuh tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun sekurang-kurangnya 20 saat atau gunakan hand sanitiser.

Beliau turut bercakap tentang keperluan mengelak mendekati mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti batuk dan selesema, menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, serta membasuh tangan dengan serta-merta.

Dr Dzulkefly berkata sesiapa yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan harus memakai penutup hidung dan mulut serta kekalkan jarak yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Malaysia, negara ASEAN lain sentiasa kongsi maklumat

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia sentiasa bekerjasama erat dengan negara anggota ASEAN lain dalam berkongsi data dan maklumat mengenai koronavirus 2019.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata maklumat diperoleh negara sentiasa dikongsi dengan kesemua negara blok berkenaan, antara lain melalui persidangan video.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata data diperoleh negara juga dikongsi dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Sebab kita tahu, virus ini novel, kita tak tahu secara terperinci bagaimana dia malah apa semua itu, jadi kalau kita ada perkongsian ilmu dan data ini akan banyak membantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taska Parlimen Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Thailand memberi kerjasama kepada Indonesia dan negara anggota ASEAN lain bagi membendung penularan virus berkenaan sepertimana diciap Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha dalam akaun twitter rasminya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Kerajaan belum cadang sekat kemasukan kapal persiaran

Koronavirus: Kerajaan belum cadang sekat kemasukan kapal persiaran

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Kementerian Pengangkutan belum berhasrat menyekat kemasukan kapal persiaran yang berlabuh di negara ini berikutan penularan koronavirus 2019.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan sekatan itu hanya akan dibuat selepas mendapat saranan daripada Kementerian Kesihatan berdasarkan bukti tertentu.

“Kita hanya sekat kepada warganegara China dari wilayah Hubei atau pun mana-mana wilayah yang diisytiharkan oleh kerajaan China sebagai sekatan pergerakan keluar masuk (lock down).’

“Kalau ada mana-mana wilayah yang telah diisytiharkan ada curfew atau lockdown oleh kerajaan China, maka kita akan menyekat kemasukan warganegara China daripada wilayah tersebut,” katanya selepas merasmikan Perkhidmatan Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tetap mengambil semua langkah pencegahan termasuk memeriksa suhu badan dan tahap kesihatan pelancong di pintu masuk negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Angka korban akibat koronavirus meningkat kepada 636 orang

SHAH ALAM, 7 FEB: Jumlah kematian di China susulan wabak koronavirus 2019 meningkat kepada 636 orang, dengan kes jangkitan melonjak melebihi 31,000.

Angka itu direkodkan selepas republik tersebut melaporkan 73 kematian baharu susulan penularan wabak berkenaan, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara, lapor The Straits Times.

Daripada jumlah kes dilaporkan, lebih 4,800 orang memerlukan pemantauan rapi.

Sementara itu, sejumlah 1,540 pesakit yang dijangkiti virus tersebut di seluruh negara dibenarkan keluar dari hospital selepas pulih sepenuhnya.

Hari ini, seorang doktor di China yang merupakan antara terawal memberi amaran mengenai ancaman koronavirus, meninggal dunia akibat wabak itu.

Kematian Li Wenliang, 34, yang bertugas sebagai pakar mata di sebuah hospital di Wuhan, diratapi dalam media sosial ketika Beijing mengisytiharkan ‘perang rakyat’ terhadap wabak yang menular dengan pantas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Operator pengangkutan awam diminta tingkat kebersihan

PUTRAJAYA, 6 FEB: Kementerian Pengangkutan mengarahkan kesemua operator pengangkutan awam untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan tahap kebersihan bagi mencegah penularan koronavirus 2019, kata menterinya Anthony Loke Siew Fook.

Dalam mesyuarat pasca Kabinet di sini semalam, beliau berkata semua agensi di bawah kementeriannya diarahkan untuk menyediakan cecair pembasmi kuman tangan selain memastikan kebersihan tempat pengangkutan awam sentiasa terjaga.

“Semua pihak ada tanggungjawab dalam mencegah koronavirus. Setakat ini Kementerian Pengangkutan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Tahun Baharu Cina dan perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Loke berkata terminal pengangkutan awam yang dikendalikan pihak swasta juga disarankan mengambil langkah sama seperti di lapangan terbang.

Sehingga kini, Malaysia merekodkan 14 kes positif koronavirus membabitkan 10 warganegara China dan empat rakyat tempatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Koronavirus: Angka korban meningkat kepada 563

SHAH ALAM, 6 FEB: Jumlah kematian akibat wabak koronavirus 2019 di China melonjak kepada 563 setakat ini, dengan 73 kematian baharu dilaporkan hari ini.

Keadaan itu memaksa republik tersebut menggiatkan usaha mencari vaksin bagi merawat penularan virus yang menyebabkan ribuan rakyatnya dikuarantin di seluruh dunia, lapor The Straits Times.

Di wilayah Hubei, sebanyak 2,987 kes baharu disahkan, lebih 80 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pihak berkuasa China di seluruh negara.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China berkata negara itu merekodkan 28,018 kes setakat ini.

Sementara itu, seramai 261 pesakit dibenarkan keluar dari hospital selepas menjalani pemulihan, menjadikan 1,153 pesakit bebas jangkitan sepenuhnya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada kes pesakit dalam siasatan koronavirus di Sepang

SHAH ALAM, 5 FEB: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini menafikan wujudnya kes pesakit dalam siasatan (PUI) koronavirus 2019 di Klinik Kesihatan Salak di Sepang seperti yang tular di media sosial.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Sha’ari Ngadiman berkata semakan menunjukkan kes yang kononnya PUI 2019-nCoV didapati tidak memenuhi definisi jangkitan virus itu dan tiada kontak dengan kes positif koronavirus atau sejarah ke negara China dalam tempoh 14 hari.

“Tindakan penutupan dan dekontaminasi yang dilakukan oleh klinik kesihatan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga. Kes berkenaan telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan yang disebabkan oleh penyakit lain, bukannya PUI 2019-nCoV.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak risau dengan apa yang berlaku di klinik kesihatan berkenaan. Pegawai berkaitan juga telah dimaklumkan supaya mematuhi prosedur operasi standard dalam semua tindakan yang diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Sha’ari berkata JKNS memohon maaf atas segala kesulitan akibat penutupan sementara klinik kesihatan tersebut namun ia telah beroperasi semula seperti biasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

74 individu rapat dengan rakyat Malaysia pertama dijangkiti koronavirus dikenal pasti

PUTRAJAYA, 5 FEB: Sejumlah 74 orang telah dikenal pasti melalui pengesanan kontak susulan kes pertama rakyat Malaysia dijangkiti koronavirus 2019, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 35 kontak rapat telah dikesan dan sampel telah diambil daripada mereka.

“Selepas itu, kesemua kontak rapat ini akan diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan dengan segera,” katanya semasa taklimat harian kepada media mengenai kemas kini koronavirus 2019 di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa seorang lelaki berusia 41 tahun dari Selangor menjadi rakyat Malaysia pertama yang dijangkiti koronavirus 2019.

Dilaporkan bahawa mangsa telah melakukan perjalanan ke Singapura untuk menghadiri satu persidangan dengan delegasi antarabangsa, termasuk dari China.

Dr Dzulkefly berkata pengesanan kontak sedang dijalankan buat masa ini dan orang ramai akan dikemas kini mengenai perkembangan terbaharu dari semasa ke semasa.

Beliau berkata semua kontak rapat itu akan dipantau dengan teliti oleh kakitangan Kementerian Kesihatan.

“Jika mereka mengalami sebarang gejala atau sampel diuji positif, mereka akan dimasukkan ke hospital dengan segera,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan mendedahkan sejarah perjalanan mereka yang dijangkiti seperti yang dilakukan di Singapura, Dr Dzulkefly berkata kementerian telah melakukan pengesanan kontak dengan teliti dan perkara itu adalah dalam pengetahuan mereka.

“Bagaimanapun, sama ada kita ingin mendedahkannya atau tidak bergantung kepada kepentingan dan kesannya kepada orang ramai. Kami telus dari hari pertama dan akan kekal dengan prosedur serta etika seperti itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan setuju bawa balik staf kerajaan di China

BENTONG, 5 FEB: Kerajaan hari ini bersetuju untuk membawa pulang staf tertentu Wisma Putra dan agensi kerajaan lain yang berada di China bersama pasangan dan tanggungan mereka ekoran penularan koronavirus 2019 di negara itu.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata mereka akan dibawa balik dengan menggunakan penerbangan komersial secara berperingkat secepat mungkin dan diharap ia dapat dilaksanakan mulai minggu hadapan bergantung kepada penerbangan yang masih ada.

Selain pejabat kedutaan di Beijing, Saifudin berkata Malaysia juga mempunyai konsulat di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi’an selain Taipei dengan jumlah pegawai Wisma Putra seramai 34 orang dan 77 orang tanggungan.

Sementara itu, jumlah pegawai agensi kerajaan yang berada di China seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Tourism Malaysia ialah seramai 52 orang dengan 135 tanggungan.

“… daripada angka itu, kita akan menilai berapa orang (pegawai) yang perlu tinggal dan berapa yang akan dibawa balik kerana kita akan meninggalkan jumlah pegawai sama ada dari Wisma Putra atau agensi yang hanya betul-betul diperlukan buat masa ini.

“Untuk pasangan dan anak-anak, kita berhasrat untuk bawa pulang secepat mungkin. Tindakan ini tidak akan menjejaskan kerja di sana kerana banyak bandar yang disekat pergerakan keluar masuk, menyebabkan sesetengah kerja tidak dapat dibuat… yang menjadi pertimbangan siapa yang akan dibawa pulang,” katanya.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sepakat@Komuniti Sempena Tahun Baharu Cina 2020 di Kampung Batu Satu di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bentong Wong Tack dan Pengarah Penerangan Pahang Mohd Salmun Mustafa.

Beliau berkata selain faktor keselamatan, keputusan membawa pulang itu juga dibuat atas pertimbangan sekiranya berlaku keadaan terputus bekalan makanan jika situasi itu berlanjutan, walaupun setakat ini, bekalan masih mencukupi selain kerajaan juga akan menghantar makanan ke sana.

“Mereka yang dibawa pulang perlu menjalani proses sama seperti sebelum ini, iaitu proses saringan di China sebelum menaiki pesawat dan sekali lagi disaring di Malaysia serta dikuarantin kerana ia juga dilaksanakan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya.

Mengulas mengenai 34 rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan kerana tidak dapat menaiki pesawat semalam atas faktor logistik, Saifuddin berkata keutamaan masih diberikan untuk membawa mereka pulang dan pihaknya telah berhubung dengan perwakilan Malaysia di sana.

Ditanya jika ada perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di wilayah lain di China, Saifuddin berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian kerana ia melibatkan jumlah yang besar iaitu lebih 30,000 orang selain ada yang kini tidak dapat bergerak bebas.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Tiada kes koronavirus di GM Klang

SHAH ALAM, 5 FEB: GM Klang menafikan terdapat kes koronavirus 2019 berlaku di pusat pemborong tersebut sebagaimana tular di laman sosial sejak semalam.

Dalam kenyataan pihaknya memandang serius penyebaran berita palsu berkenaan kerana mencemar kredibiliti dan mengganggu aktiviti perniagaan di situ.

“Perkara ini dipercayai tercetus daripada pengumuman yang telah dibuat oleh khidmat pelanggan GM Klang yang berkongsikan kepada para pengunjung mengenai langkah-langkah pencegahan koronavirus disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bagaimanapun, niat baik itu disalahertikan oleh sesetengah pihak yang beranggapan pengumuman itu dibuat kerana terdapat kes koronavirus di pusat pemborong itu.

“Kami juga telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya siasatan dan tindakan susulan dapat dilakukan,” kata kenyataan itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Individu timbul, sebar pembohongan perlu disiasat – Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Mana-mana individu yang menimbulkan dan menyebarkan pembohongan dalam isu melibatkan jangkitan koronavirus 2019 di internet hendaklah disiasat dan sekiranya wujud kes dituduh di mahkamah, kata Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Membuat keputusan itu demi kepentingan negara, Thomas menegaskan bahawa tidak terdapat kebebasan mutlak dalam mana-mana masyarakat pada bila-bila masa dalam sejarah.

“Kebebasan untuk bercakap dan bersuara termaktub di bawah Perlembagaan serta jaminan hak di bawah undang-undang untuk tidak menapis internet seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak membenarkan seseorang untuk menyebarkan pembohongan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berasaskan latar belakangnya selaku Pendakwa Raya, Thomas berkata beliau memandang serius pembohongan yang berleluasa berhubung jangkitan itu yang menjadi perhatian rakyat Malaysia dan masyarakat global.

Jelasnya fenomena itu semakin menjadi-jadi akibat ketaksuban masyarakat mengaitkan sentimen perkauman dan agama ke dalam setiap isu kehidupan awam, yang boleh membahayakan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama erat dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menghalang penyebaran kenyataan palsu berkaitan koronavirus dan pertuduhan akan dibuat terhadap individu-individu terbabit dalam masa terdekat.

Thomas berkata individu-individu terbabit akan dituduh di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang menyentuh kenyataan berhubung khianat awam.

Katanya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ialah salah satu pilihan, bagaimanapun elemen-elemen yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan sebelum seseorang itu disabitkan mahkamah di bawah peruntukan tersebut tidak menepati kategori kesalahan yang telah dilakukan mutakhir ini.

“Jelas di sini bahawa Seksyen 233 wajar dipertimbangkan oleh pihak Parlimen bagi tujuan pindaan dalam masa terdekat,” katanya.

Thomas turut meminta agar pihak berkuasa kesihatan diberi ruang untuk menangani masalah itu dengan tenang dan teliti tanpa perlu berdepan dengan isu-isu luaran yang tidak berkenaan.

“Jabatan ini dengan kerjasama polis, SKMM dan agensi kerajaan yang lain, bertekad untuk menghalang penyebaran kenyataan-kenyataan palsu berkaitan koronavirus. Pembohongan berkenaan dengan asal usul, skala dan keseriusan wabak tersebut tidak dibenarkan kerana ia memudaratkan keselamatan awam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

China lancar program penyelidikan klinikal rawat koronavirus

WUHAN, 5 FEB: China pada Isnin melancarkan program penyelidikan klinikal untuk menilai keberkesanan perubatan tradisional Cina (TCM) yang digabungkan dengan perubatan Barat dalam mencegah dan merawat penyakit radang paru-paru yang disebabkan oleh koronavirus 2019 lapor agensi berita Xinhua.

Program itu diketuai ahli akademik di Akademi Kejuruteraan China Zhang Boli. Lapan institusi daripada empat wilayah menyertai penyelidikan itu, anjuran Hospital Perubatan Cina dan Barat Bersepadu Wilayah Hubei.

Kajian itu akan menilai keberkesanan dari segi klinikal apabila TCM digabungkan dengan perubatan Barat dalam merawat kes-kes ringan dan kritikal.

TCM dan perubatan Barat mempunyai tumpuan dan kekuatan masing-masing sebagai pelengkap dalam merawat penyakit itu, kata Zhang, sambil menambah program berkenaan perlu menjalani rawatan klinikal dan dikukuhkan lagi dengan penyelidikan saintifik.

Setakat ini, pasukan penyelidik telah menyelesaikan pangkalan data serta latihan profesional perubatan dan sedang memulakan kajian kes.

– BERNAMA