Categories
AGENDA NASIONAL

Dua lagi rakyat Malaysia positif koronavirus

PUTRAJAYA, 5 FEB: Dua daripada 107 individu, yang tiba di tanah air Selasa pagi dari Wuhan, China menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) digerakkan kerajaan Malaysia, disahkan positif koronavirus 2019.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster koronavirus di Malaysia kepada 12.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes terbaharu ini melibatkan dua warga Malaysia iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun dan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun.

“Kedua-dua mereka (bapa dan anak) tidak menunjukkan sebarang gejala koronavirus ketika dibawa pulang dan disahkan positif di Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media harian perkembangan 2019-nCoV di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata kedua-duanya kini dirawat di wad isolasi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Selain anak lelakinya, lelaki itu pulang bersama isteri dan seorang lagi anak perempuan mereka.

Jelas Dr Dzulkefly, kedua-dua rakyat Malaysia yang didapati positif koronavirus dikesan melalui ujian sampel calitan tekak.

Katanya daripada 12 kes positif di Malaysia pada masa ini, sembilan kes melibatkan warga China dan tiga merupakan warganegara Malaysia.

Mengenai dua individu yang tidak melepasi tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari misi Wuhan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, Menteri Kesihatan itu mengesahkan mereka negatif 2019-nCoV.

Penerbangan khas dari Wuhan itu membawa 107 individu terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 ahli keluarga bukan warganegara serta 12 kru penerbangan, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Malaysia di Beijing.

Mengenai risiko penumpang lain dan kru dalam penerbangan dijangkiti koronavirus memandangkan dua orang kini didapati positif, Dr Dzulkefly berkata kesemua mereka perlu melalui prosedur pemeriksaan koronavirus.

“Kami tidak boleh terlepas satu atau dua individu. Kita akan mengendalikan perkara ini dengan teliti. Mereka akan dipantau selama 14 hari,” tegasnya.

Beliau menjelaskan daripada 12 kes positif koronavirus di Malaysia, lima kes merupakan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI), lima kontak rapat dan dua merupakan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan.

Setakat pagi ini, jumlah kumulatif kes PUI koronavirus adalah 257 orang iaitu 161 adalah warganegara Malaysia, 91 warga China dan masing-masing satu warganegara Australia, Korea Selatan, Jordan, Brazil dan Thailand, katanya.

Beliau berkata 235 kes adalah negatif dan 17 kes masih menunggu keputusan makmal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kanak-kanak China sembuh koronavirus di Langkawi dibenar pulang

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Seorang kanak-kanak perempuan warga China yang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah bagi koronavirus 2019 dibenarkan pulang setelah sembuh dengan hasil ujian pengesanan ulangan bagi virus itu didapati negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan malam tadi berkata kes berkenaan menunjukkan bahawa jangkitan koronavirus boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak lagi kes lain yang turut dilaporkan di negara China.

“Hasil ujian pengesanan ulangan koronavirus yang dijalankan ke atasnya sebanyak dua kali ini telah didapati negatif. Beliau (kanak-kanak terbabit) kini berada dalam keadaan sihat dan telah dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya.

Beliau berkata tanggapan ramai bahawa penyakit ini pastinya membawa maut kepada mereka yang menghidapnya adalah tidak tepat.

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengucapkan tahniah kepada Hospital Sultanah Maliha, Langkawi yang telah memberikan rawatan dan pemantauan yang rapi sehingga kanak-kanak ini sihat semula dan dibenarkan pulang.

Pada 29 Januari lepas, satu kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara China telah dilaporkan positif bagi jangkitan koronavirus dan dirawat di wad isolasi hospital berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Koronavirus: Angka korban meningkat kepada 490

SHAH ALAM, 5 FEB: Jumlah kematian yang disahkan susulan wabak koronavirus 2019 meningkat kepada 490 orang, selepas pihak berkuasa di wilayah Hubei melaporkan 65 kematian baharu hari ini.

Dalam kemas kini harian, angka dari suruhanjaya kesihatan di Hubei turut menunjukkan peningkatan jumlah jangkitan positif dengan 3,156 kes baharu, lapor The Straits Times.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di China meningkat kepada 24,324, berpandukan kepada perangkaan dikeluarkan kerajaan persekutuan sebelum ini.

Wabak berkenaan yang diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global, dipercayai bermula Disember lalu di sebuah pasar menjual hidupan liar di ibu kota Hubei, Wuhan.

Kes membabitkan koronavirus ketika ini dilaporkan berlaku di lebih 20 negara di seluruh dunia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Masjid tumpuan pelancong terima pembersih tangan

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Kerajaan mengagihkan pembersih tangan dan tisu basah kepada masjid tumpuan pelancong di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan koronavirus 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata usaha itu bagi memastikan masjid tumpuan pelancong terpelihara daripada jangkitan wabak berkenaan.

“Kita memilih Masjid Jamek Sultan Abdul Samad kerana ramai pengunjung yang datang dan berikan mereka pembersih tangan mini yang boleh dibawa ke mana-mana.

“Usaha ini sebagai kesedaran kepada pengunjung untuk menjaga kesihatan sepanjang (musim) virus ini (masih ada), yang menjadi ‘kebimbangan kesihatan awam,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kedua-dua item kepada 18 wakil masjid sekitar ibu negara semalam.

Mujahid berkata pembersih tangan dan tisu basah akan diagihkan oleh wakil masjid kepada orang ramai termasuk jemaah dan pelancong asing.

Minggu lalu, media melaporkan beberapa masjid tumpuan pelancong ditutup kepada golongan itu susulan kebimbangan terhadap isu jangkitan koronavirus.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bukan dasar kerajaan untuk menghalang pelancong daripada mengunjungi lokasi yang menjadi tumpuan termasuk masjid.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia rekod kes pertama positif koronavirus

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 41 tahun dari Selangor, antara dua kes baharu yang dilaporkan positif koronavirus 2019, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata satu lagi kes membabitkan seorang lelaki warganegara China berumur 63 tahun, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Januari lepas.

“Bagi kes warganegara Malaysia, beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara jiran (Singapura) dari 16 hingga 23 Januari lalu, bagi menghadiri mesyuarat yang turut dihadiri beberapa delegasi antarabangsa termasuk dari negara China.

“Beliau pulang ke Malaysia pada 23 Januari dan pada 29 Januari beliau mendapatkan rawatan di pusat rawatan swasta di Selangor kerana demam dan batuk. Selanjutnya beliau dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari dan dimasukkan ke wad isolasi. Beliau disahkan positif koronavirus 2019 semalam,” katanya pada sidang media perkembangan terkini kluster koronavirus 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia itu kini dalam keadaan stabil dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengadakan kerjasama erat dengan pihak negara jiran untuk mengenal pasti aktiviti pengesanan sentuh (contact tracing).

Dr Dzulkefly berkata KKM kini sedang mengadakan pengesanan kontak dengan keluarga terdekat pesakit mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.

Berhubung kes kedua lelaki berasal dari Wuhan, China, beliau berkata pesakit mula mengalami demam biasa pada 23 Januari dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

“Kes dimaklumkan kepada KKM dan beliau diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan untuk tempoh 14 hari.

“Pada 2 Februari, demam masih berterusan dan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menerima rawatan lanjut. Ujian makmal positif koronavirus 2019 pada 3 Februari dan pesakit kini berada dalam wad isolasi dan dalam keadaan stabil,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata dengan pertambahan dua kes baharu positif itu, jumlah kes berkenaan yang dilaporkan sehingga hari ini adalah 10 kes, iaitu lima kes dalam kalangan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) jangkitan koronavirus 2019 dan lima kes lagi dalam kalangan kontak rapat.

Daripada jumlah kes itu, sembilan kes adalah warganegara China dan seorang rakyat Malaysia.

“Jumlah kumulatif kes PUI dari 10 Januari hingga 3 Februari setakat enam petang adalah seramai 213 orang melibatkan 122 warganegara Malaysia, China (86), Australia (1), Republik Korea (1), Jordan (1), Brazil (1) dan Thailand (1),” katanya.

Ditanya mengenai status 34 warganegara Malaysia yang tidak turut serta dalam misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan awal pagi ini, Dr Dzulkefly berkata beliau percaya Kementerian Luar akan mengambil tindakan sesuai berhubung perkara itu.

Pesawat AirAsia yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) digerakkan kerajaan Malaysia, membawa pulang 107 individu yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.

Pesawat khas itu, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.57 pagi ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

147 rakyat China dari Hubei tidak dibenar masuk Malaysia

SHAH ALAM, 4 FEB: Seramai 147 warga China dari wilayah Hubei, termasuk dari ibu kotanya Wuhan, dihalang masuk ke Malaysia sehingga semalam, kata menteri dalam negeri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jumlah itu direkodkan sejak larangan Malaysia terhadap kemasukan rakyat dari wilayah berkenaan pada 27 Januari.

“Jumlah rakyat China dari Wuhan dan Hubei yang tidak dibenarkan masuk ke Malaysia selepas larangan dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia sehingga 3 Februari 2020,” katanya di Facebook.

Beliau turut memuatkan angka lengkap warga China yang disekat setiap hari di pintu masuk negara ini, termasuk di Pelabuhan Klang, Selangor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.

Semalam, 33 orang tidak dibenarkan masuk di Pelabuhan Klang, manakala 32 lagi disekat pada 29 Januari. Di KSAB pula, 30 orang dihalang pada 28 Januari lalu.

Mulai 27 Januari, Malaysia menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat dari wilayah itu termasuk kemudahan tanpa visa (eNTRY), visa semasa ketibaan e-visa dan visa manual.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Koronavirus: Angka korban meningkat kepada 425

BEIJING, 4 FEB: Jumlah kematian susulan wabak koronavirus 2019 meningkat kepada 425, selepas pihak berkuasa di wilayah Hubei melaporkan 64 kematian baharu hari ini.

Dalam kemaskini hariannya, data suruhanjaya kesihatan di wilayah itu turut merekodkan 2,345 kes baharu, lapor The Straits Times yang memetik AFP dan Reuters.

Sehingga semalam, terdapat 3,235 jangkitan baharu disahkan di seluruh China, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini mencecah 20,438.

Jumlah jangkitan di Hubei pula meningkat kepada 13,522 kes.

Kerajaan China sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya “segera” memerlukan topeng pembedahan, seragam perlindungan dan gogal keselamatan kerana mereka “berperang” untuk mengawal wabak tersebut.

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Koronavirus: Angka korban meningkat kepada 361

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Lebih 2,000 lagi kes disahkan koronavirus 2019 dilaporkan pada Ahad di China.

Kedutaan China di Malaysia hari ini berkata 2,829 kes baharu disahkan, menjadikan jumlah keseluruhan 17,205, memetik Suruhanjaya Kesihatan Negara China.

Sementara itu, 57 kematian dilaporkan (56 di wilayah Hubei dan satu di Perbandaran Chongqing), menjadikan angka korban setakat ini sebanyak 361 pada tengah malam Ahad.

Setakat ini, 475 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

“Pada masa ini, 189,583 mereka yang berhubung rapat dengan pesakit dikesan, 10,055 dibebaskan daripada pemantauan perubatan manakala 152,700 lagi masih dalam pemerhatian,” menurut kedutaan itu dalam Facebooknya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Koronavirus: Pakai penutup hidung dan mulut jika demam, selesama, batuk

IPOH, 2 FEB: Penutup hidung dan mulut perlu dipakai oleh mereka yang mempunyai gejala seperti demam, selesema dan batuk bagi mengelak jangkitan penyakit yang dihidapi kepada orang lain, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau menegaskan pemakaian penutup hidung dan mulut itu mesti dilakukan dengan cara yang betul, khususnya apabila berada di tempat awam.

“Untuk elakkan jangkitan, paling penting adalah basuh tangan selalu, gunakan sabun, pencuci sesuai. Kalau pakai penutup hidung dan mulut dengan cara tak betul seperti sentuh muka juga berisiko alami jangkitan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Tahun Baharu Cina Dewan Perhimpunan Cina Perak di sini, hari ini.

Dr Lee, yang juga Ahli Parlimen Gopeng, berkata demikian sebagai mengulas mengenai pandangan beberapa pakar bahawa pemakaian penutup hidung dan mulut perlu untuk mencegah jangkitan koronavirus 2019.

Beliau berkata sekiranya pemakaian penutup hidung dan mulut diwajibkan, ia akan mencetuskan satu suasana panik dengan terdapat kemungkinan permintaan untuk menutup tempat-tempat awam.

“Adakah kita perlu hentikan semua perhimpunan, tutup sekolah, tutup panggung wayang? Ini akan menyebabkan keadaan panik,” katanya.

Setakat ini, jumlah kumulatif kes positif koronavirus 2019 yang dilaporkan di Malaysia kekal lapan dengan jumlah kumulatif kes pesakit dalam siasatan (PUI) adalah 183 orang dan 18 orang masih menunggu keputusan makmal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwaan wujud kes koronavirus di Forest City tidak benar

JOHOR BAHRU, 1 FEB: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini menafikan dakwaan terdapat dua kes jangkitan koronavirus 2019 dikesan di Forest City, Gelang Patah, dekat sini, seperti tular dalam laman sosial Facebook.

JKNJ menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya berkata laporan itu tidak benar sama sekali dan satu laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya.

“Orang awam diminta tidak menyebarkan, viral (berita) tidak sahih ini kerana mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat,” kata JKNJ menerusi laman berkenaan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya menerima laporan tersebut dan sedang mengesan pemilik akaun Facebook bernama “Haziq Fahami” untuk membantu siasatan berhubung penularan maklumat palsu berkenaan.

Mohd Kamarudin berkata laporan tersebut dibuat seorang pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata pihaknya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sedang mengesan pemilik akaun Facebook tersebut bagi membantu siasatan.

“Orang ramai tidak seharusnya menyalahgunakan aplikasi media sosial untuk memuat naik ataupun menularkan sebarang posting atau komen palsu yang akan menggugat ketenteraman awam,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belum ada keputusan sekat penerbangan dari China

SEREMBAN, 31 JAN: Tiada keputusan setakat ini dibuat bagi menyekat penerbangan dari China ke Malaysia di sebalik langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytihar darurat kesihatan global pada Khamis berhubung jangkitan koronavirus 2019.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu dibuat secara bersama oleh Kabinet termasuk mengambil kira arahan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini kita belum sekat mana-mana penerbangan dari China. Apa dilaksanakan di Sabah ialah warganegara China yang terbang dari China tidak dibenarkan masuk ke Sabah, itu keputusan kabinet Sabah.

“Tetapi bagi kerajaan Persekutuan, (sekatan penerbangan di) pintu-pintu masuk lain perlu dibuat bersama oleh Kabinet dan setakat ini belum ada keputusan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pameran jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini hari ini.

Ditanya sama ada langkah untuk menyekat penerbangan dari China akan dipertimbang kerajaan, Loke berkata pelbagai implikasi harus dilihat terlebih dahulu.

“Implikasi banyak, kita tidak boleh dengan mudah sekat penerbangan dari China sebab kita ada juga warganegara Malaysia di China dan warga China juga ada ramai di Malaysia. Kalau sekat (penerbangan) mereka akan terkandas di sini.

“Setakat ini pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi memeriksa tahap kesihatan penumpang dari China. Tetapi kita juga akan pantau secara dekat untuk lihat perkembangan setiap hari,” kata Loke.

WHO mengisytiharkan darurat kesihatan global berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan virus itu, selepas mesyuarat jawatankuasa kecemasan badan itu yang berlangsung di Geneva.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew semalam pula mengumumkan kerajaan negeri mengambil keputusan menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan dicarter dari China ke Sabah berkuat kuasa serta-merta bagi menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat di negeri itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata 13 pekerja ECRL yang merupakan warga China dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan pulang ke Malaysia buat sementara waktu.

Katanya, cuti khas diberikan kepada pekerja warga China itu selepas mereka pulang ke Wuhan untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

“Ini sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan koronavirus yang berlaku di Wuhan, China… Kita minta mereka tangguhkan perjalanan dahulu, dan kita berikan mereka cuti khas sehingga keadaan ini (kes koronavirus) reda.

“Bagaimanapun kerja-kerja tidak terjejas, ia berjalan seperti biasa kerana kebanyakan kerja awal sudah pun dilakukan oleh pekerja tempatan sedia ada,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Usaha tangani koronavirus tiada kaitan dengan kaum

SHAH ALAM, 31 JAN: Rakyat Malaysia digesa berhenti mengaitkan usaha kerajaan menangani wabak koronavirus 2019 dengan isu perkauman, kata menteri luar negeri.

Datuk Saifuddin Abdullah berkata isu terbabit timbul susulan jangkitan itu berasal dari China, lapor Malaysiakini.

“Koronavirus kebetulan datang dari China, sebelum ini kita ada ebola dari Afrika dan jangkitan lain dari benua yang lain tetapi tidak pernah timbul isu perkauman.

“Sebab itu saya harap kita sebagai rakyat Malaysia boleh hentikan isu perkauman ini,” katanya kepada media pada majlis Tahun Baru Cina di Kuantan, Pahang semalam.

Sehingga semalam, jumlah kematian akibat wabak itu di China meningkat kepada 213 dengan 9,692 kes dilaporkan.