Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kes jangkitan JE babit kematian di daerah Kota Setar

ALOR SETAR, 29 NOV: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan terdapat dua kes jangkitan “Japanese Encephalitis” (JE) dikesan di Daerah Kota Setar dengan kedua-dua kes itu melibatkan kematian.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata kes pertama dilaporkan pada 18 Nov lepas kemudian diikuti dengan kes kedua pada Khamis lepas (25 Nov) sekali gus jabatan itu mengisytiharkan wabak berkenaan di daerah terbabit pada hari sama.

Sehubungan itu, beliau berkata jumlah kumulatif kes JE yang dilaporkan di negeri ini setakat Khamis lepas ialah 10 kes melibatkan tiga kematian daripada lapan kes pada tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus.

“Aktiviti kawalan wabak telah dilaksanakan serta-merta. Antara tindakan kawalan yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan Jabatan Kesihatan Negeri ialah kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvaciding (menghapuskan larva nyamuk) di lokaliti kediaman pesakit dan tempat berisiko di lokaliti wabak.

“Selain itu, kajian entomologi oleh Pegawai Sains Kaji Serangga di lokaliti wabak dan pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Othman berkata masyarakat dinasihatkan untuk membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing serta mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan muntah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Pelajar di Kota Setar laksana sesi belajar dalam talian

SUNGAI BESAR, 13 SEPT: Pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah Kota Setar, Kedah akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dikuatkuasakan di kawasan itu sejak Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata semua pentadbir sekolah dan guru diarahkan untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian sehingga sekolah kembali dibuka seperti biasa.

“Pihak sekolah diminta membantu pelajar yang tidak mempunyai akses kepada talian internet dan alat peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian.

“Bagi menangani perkara ini, guru boleh menghantar lembaran kerja ke rumah pelajar, atau ibu bapa pelajar boleh mengambilnya di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bomba Komuniti Zon Selangor Utara, di sini, hari ini yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai arahan kerajaan supaya semua taska, sekolah swasta dan kerajaan termasuk lain-lain institusi pengajian rendah, menengah dan prauniversiti ditutup sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran bagi membendung penularan Covid-19.

Muslimin berkata sehingga kini siaran TV Pendidikan masih dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan malah sebanyak 800 slot baki siaran ‘home based learning’ atau pembelajaran di rumah belum disiarkan.

Sementara itu, beliau berkata kementerian menyelesaikan kira-kira 60 peratus masalah guru ‘duka lara’ sejak 2016 untuk dipindahkan ke sekolah yang berdekatan dengan keluarga.

Beliau berkata kementerian telah menetapkan beberapa kriteria untuk memastikan proses yang adil terhadap semua pihak yang memohon untuk berpindah.

“Bagi guru bujang, dia harus berkhidmat (sekurang-kurangnya) 90 bulan (di sesebuah sekolah), baru boleh mohon (untuk pindah). Guru ‘duka lara’ yang berkahwin, perlu 60 bulan. Merit berkaitan laporan doktor dan sebagainya juga akan diberi keutamaan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini Kelantan merupakan negeri yang mencatatkan permohonan tertinggi dengan kira-kira 5,000 permohonan berbanding kira-kira 100 permohonan untuk pindah keluar dari negeri itu manakala Johor antara negeri mencatatkan permohonan terendah.

“Jadi kita syorkan kalau nak balik ke Semenanjung (guru dari Sabah dan Sarawak), kita boleh beri peluang untuk “transit” seketika di Johor (sebelum mohon pindah ke negeri pilihan),” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis sedia wujud pasukan petugas khas kesan individu keluar PKPD

ALOR SETAR, 12 SEPT: Polis mungkin menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi mengesan penduduk yang keluar meninggalkan daerah Kota Setar sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dikuatkuasakan di daerah Kota Setar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Nor Azman Mohd Noor berkata buat masa ini pihaknya sedang memantau situasi dan jumlah kes positif wabak Covid-19, sebelum merealisasikan penubuhan pasukan khas berkenaan.

“Kita tengok dahulu sama ada individu yang keluar dari Kota Setar itu ada bawa jangkitan ke kawasan luar dari PKPD ini. Sekiranya ada, kita akan ambil tindakan terhadap individu itu kerana telah membahayakan orang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Justeru katanya, semua pihak diminta untuk kekal dalam kawasan selain mematuhi arahan dan tatacara operasi piawai (SOP).

Sementara itu, Nor Azman berkata pihaknya telah menambah dua lagi sekatan jalan raya di laluan keluar dan masuk antara Kota Setar dan Jabi, Pokok Sena yang menjadikan jumlah keseluruhan sekatan jalan di kawasan PKPD ialah sembilan.

Katanya, buat masa ini, jumlah anggota yang bertugas adalah seramai 350 orang termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan permohonan penambahan anggota polis di kawasan itu telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Unit pemantau buat masa ini kekal 21 kerana kami kekurangan anggota. Dalam tempoh dua, tiga hari ini kita akan pantau laluan utama yang menghubungkan sempadan Kota Setar dan apabila sudah stabil kita akan tengok pula laluan mana yang masih lopong termasuk laluan tikus,” katanya.

Sehingga hari ini, polis mengadakan sembilan sekatan jalan yang melibatkan kawasan di hadapan Restoran Haji Ramli Simpang Empat; Jalan Batas Paip, Kuala Kedah; hadapan Balai Polis Alor Janggus; hadapan Balai Polis Kepala Batas; Jalan Hutan Kampung; Tol Alor Setar Utara; Tol Alor Setar Selatan; Jabi (Pokok Sena-Alor Setar) dan Jabi (Alor Setar-Pokok Sena).

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri Dr Mohd Fikri Ujang yang dihubungi Bernama berkata seramai 5,700 individu disaring pada hari pertama PKPD Kota Setar.

“Saringan yang dilakukan adalah secara bersasar. Jumlah individu yang akan disaring bergantung kepada bilangan kes positif yang dikesan, iaitu kontak rapat kepada kes positif akan disaring termasuk kontak lain yang berpotensi untuk mendapat jangkitan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD Pentadbiran dikuat kuasa 28 mukim Kota Setar mulai esok – menteri

PUTRAJAYA, 10 SEPT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran akan dikuatkuasakan di 28 mukim di Kota Setar, Kedah bermula 12.01 tengah malam ini sehingga 25 September.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia akan membabitkan seramai 366,787 penduduk secara keseluruhan.

Beliau berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas hari ini selepas mengambil kira peningkatan kes positif Covid-19 kluster Sungai dan Tawar di daerah berkenaan.

“Ini juga selaras dengan cadangan oleh Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata tatcara operasi piawai (SOP) di daerah berkenaan adalah sama sepertimana SOP PKPD Pentadbiran yang lain, termasuk larangan keluar dan masuk di kawasan berkenaan, di mana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya.

“Individu yang perlu keluar masuk, yang ingin keluar masuk untuk bekerja juga, tidak dibenarkan di kawasan PKPD ini, oleh itu saya berharap majikan perlu mengambil maklum tentang perintah ini. Ini bukan atas kehendak pekerja mereka, tetapi atas perintah yang dikeluarkan kerajaan yang menyebabkan mereka tidak dapat bekerja.

“Jadi saya berharap tidak ada tindakan diambil terhadap pekerja yang tidak (dapat) bekerja dan kalau boleh, kita galakkan majikan meminta pekerja mereka membuat kerja dari rumah,” katanya.

Ismail Sabri berkata sepanjang tempoh berkenaan, kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Bukit Kayu Hitam juga dihentikan manakala perkhidmatan feri di jeti Kuala Kedah juga tidak dibenarkan beroperasi.

Turut diarah tutup adalah masjid dan rumah ibadat, semua institusi berkaitan pendidikan, pasar tani dan pasar malam, selain aktiviti sukan, rekreasi dan sosio-budaya, sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut beliau hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi seperti premis menjual makanan, kedai runcit, warung, stesen minyak, farmasi, klinik dan hospital.

“Perkhidmatan lain seperti kilang perlu memohon kebenaran daripada PDRM terlebih dahulu sebelum dibenarkan beroperasi. Restoran dan kedai makan walaupun dibenarkan, hanya boleh menggunakan kaedah ‘takeaway’ sahaja dan beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam.

“Klinik dan hospital dibenarkan beroperasi 24 jam, manakala waktu operasi farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan dibenarkan sehingga pukul 8 malam sahaja. Stesen minyak dan kedai runcit pula boleh beroperasi dari 8.00 pagi sehingga 8 malam, pasar harian pula dari 6 pagi sehingga 2 petang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hanya ketua atau seorang wakil keluarga sahaja dibenar keluar untuk menjalankan sebarang urusan harian ini, manakala kebenaran keluar masuk turut diberikan kepada kenderaan yang membawa produk asas atau penting, namun mereka perlu mendapatkan kebenaran PDRM terlebih dahulu.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata PKPD Pentabiran turut dikenakan untuk tempoh sama di Penjara Tawau, Sabah selepas mengambil kira penularan kes jangkitan positif di lokasi berkenaan.

“Ia akan melibatkan banduan, anggota dan ahli keluarga jabatan penjara di Penjara Tawau. Perintah keluar masuk juga dikenakan iaitu mereka berada dalam kawasan PKPD penjara ini tak dibenar keluar dan tak ada pengunjung dari luar untuk masuk ke dalam kawasan penjara.

“Rakyat di kawasan Tawau dan Lahad Datu tak perlu gusar dengan kenaikan kes positif Covid-19 di penjara ini kerana mereka telah terkurung dan berada di dalam kawasan penjara, jadi kemungkinan atau peluang kes disebarkan kepada orang ramai, terhad. Yang ada memang dah terkurung di dalam itu,” katanya.

Beliau turut mengumumkan lanjutan tempoh PKPD Pentadbiran di Amanjaya, Sungai Petani Kedah selama tiga hari lagi sehingga 13 September ini, bagi memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan menyempurnakan keputusan saringan kedua Covid-19 di kawasan berkenaan.

-BERNAMA