Categories
EXCO SELANGOR

MPAJ kesan tapak sesuai untuk bina krematorium

SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenal pasti satu lokasi sesuai untuk dijadikan tapak krematorium atau pusat pembakaran mayat.

EXCO kerajaan tempatan berkata bagaimanapun lokasi seluas 9.8 ekar di Lot 208, Mukim Hulu Kelang itu dalam proses penambahan kelas guna tanah memandangkan tapak terbabit untuk jirat Cina atau Buddha.

“MPAJ dalam proses mengemukakan permohonan penambahan fungsi tapak kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan krematorium dibina di kawasan itu.

“Selepas mendapat kelulusan kerja pembinaan akan dilaksanakan segera,” kata Ng Sze Han selepas melawat tapak berkenaan bersama Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Sze Han berkata setakat ini hanya empat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kompleks pembakaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

“Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menetapkan semua PBT menyediakan sekurang-kurangnya satu krematorium dalam kawasan masing-masing selain perlu mengenakan harga berpatutan untuk perkhidmatan,” katanya.

Pada 30 Ogos ketika sidang Dewan Negeri Selangor, Sze Han mengarahkan semua PBT mengambil tindakan segera berhubung tapak kompleks tersebut khususnya membabitkan kematian akibat Covid-19.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Caj krematorium negeri berpatutan banding swasta

SHAH ALAM, 4 SEPT: Caj perkhidmatan krematorium bagi mayat pesakit Covid-19 yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dianggap berpatutan berbanding syarikat swasta.

EXCO kerajaan prihatin berkata waris hanya perlu membayar antara RM150 hingga RM180 manakala kos utiliti, lesen dan pegawai pengurusan ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

“Secara jujur, bukan masalah mampu atau tidak (tetapi) saya nampak kos pembakaran mayat di syarikat swasta lebih kurang RM600. Mereka tidak buat keuntungan kerana itu kos paling minimum.

“Kalau tanya sesetengah syarikat swasta, bolehkah mereka buat RM150? Memang tak boleh sebab mereka tak mampu dan perlu jalankan pentadbiran. Jadi, kos yang dikenakan sekarang bukan sebenar tetapi subsidi PBT,” kata V Ganabatirau.

Beliau bercakap pada program bual bicara bertajuk Usaha Selangor Atasi Kesesakan Krematorium melalui Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Pengurus Operasi Kanan Fairy Park Group mencadangkan kerajaan menambah tempoh kerja pegawai pengurusan dengan memberi bayaran lebih masa bagi mengurangkan lambakan mayat di hospital.

“Sekarang mayat terlalu banyak dan ia menyebabkan urusan pembakaran tertangguh dua hingga tiga jam di hospital. Jika boleh atasi situasi ini, banyak mayat boleh diproses pada hari sama,” kata Koh Kian Siang.

Sebanyak lima PBT memiliki krematorium iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Sepang.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lanjut operasi krematorium percepat urusan mayat pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 4 SEPT: Tempoh pengurusan mayat mangsa Covid-19 bukan Islam di krematorium negeri ini berjaya disingkatkan antara dua hingga tiga hari berbanding seminggu sebelum ini.

EXCO kerajaan prihatin menjelaskan penambahbaikan itu berikutan lanjutan waktu operasi kompleks pembakaran sehingga jam 6.30 petang berbanding 4.30 petang beberapa bulan lalu.

V Ganabatirau berkata pembinaan krematorium baharu di Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) turut memberi kesan terhadap perubahan tersebut selain kerjasama syarikat swasta.

“Keadaan banyak berubah dari Julai dan sehingga sekarang kerana masa menunggu sudah kurang kepada dua hingga tiga hari. Paling penting angka (pembakaran tertangguh) yang ramai dapat diperbaiki.

V Ganabatirau bercakap kepada media berkaitan peruntukan rumah ibadat selain Islam fasa 2/2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 September 2021. Foto REMY ARIFIN/ SELANGORKINI

“Saya percaya Kerajaan Selangor melakukan usaha yang sangat baik dengan menerima mayat sehingga 6.30 petang termasuk menyediakan prasarana untuk mengendalikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara bertajuk Usaha Selangor Atasi Kesesakan Krematorium yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Ganabatirau berkata Selangor turut bercadang membina krematorium di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang bagi menampung peningkatan mayat mangsa wabak.

“Kita juga fikir tempat di Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor tetapi masih diperhalusi kerana tempat ini masih menjalankan pembakaran tradisional,” katanya.

Setakat ini, sebanyak lima pihak berkuasa tempatan negeri memiliki kompleks pembakaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang dan MPSepang.

 

Categories
EXCO SELANGOR

PBT diarah teliti tapak krematorium sesuai, elak beban kepada waris

SHAH ALAM, 30 OGOS: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengambil tindakan segera berhubung tapak krematorium kawasan masing-masing khususnya membabitkan kematian akibat Covid-19.

EXCO kerajaan tempatan berkata majlis juga diarah mengenal pasti dan meneliti lokasi pembinaan krematorium untuk proses pembakaran mayat.

“Semua PBT perlu merancang dan menelitinya untuk cadangan Belajawan 2022 termasuk penetapan kadar bayaran supaya tidak membebankan waris.

“Ini bagi membantu rakyat dan tidak mahu rakyat jadi terdesak,” kata Ng Sze Han ketika sesi penggulungan di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ketika sesi perbahasan minggu lalu, ada Ahli Dewan Negeri mengusulkan supaya setiap PBT menyediakan tempat pembakaran mayat.

Sementara itu Sze Han berkata lebih 8,000 penjaja kecil-kecilan ditawarkan lesen sementara sepanjang penularan Covid-19.

“Akibat pandemik, ramai keluar dari zon selesa dan berniaga termasuk di tepi jalan. Justeru, Kerajaan Negeri memilih untuk bersama dan membela mereka.

“Jadi Kerajaan Negeri mengarahkan PBT mempermudah dan mempercepatkan pemberian lesen selain mengenal pasti tapak sementara yang sesuai dengan kawalan keselamatan serta tiada kacau ganggu,” katanya.

Bermula Ogos tahun lalu, PBT negeri ini bermula dari Majlis Bandaraya Shah Alam memberikan permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

Categories
ADN SELANGOR

ADN cadang krematorium di setiap PBT atasi isu jenazah pesakit Covid-19

KLANG, 14 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa akan mencadangkan kewujudan kompleks pembakaran di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) akhir bulan ini.

Dr Gunarajah George berkata usul tersebut wajar dibincangkan berikutan krematorium sedia ada tidak mampu menampung peningkatan mayat mangsa Covid-19 dalam kalangan bukan Islam sejak dua bulan kebelakangan ini.

“Kekurangannya mengehadkan proses pengebumian atau pembakaran mayat. Ada jenazah terpaksa menunggu sehingga lima hari kerana tiada slot dan kita tidak boleh mengamalkan pembakaran terbuka.

“Jadi, inilah masa kita perlu saran dan pastikan PBT mesti memiliki sekurang-kurangnya satu krematorium,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan barangan asas kepada individu memerlukan di perkarangan pusat khidmatnya di sini hari ini.

Setakat ini, hanya lima PBT di Selangor memiliki kompleks pembakaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Gunaraj turut menyaran pihak berkuasa itu memberi perkhidmatan pembakaran mayat secara percuma bagi meringan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Setiap hari kita terima permintaan lima keluarga untuk pengebumian dan kos minimum bagi masyarakat India RM2,000, jadi PBT perlu membantu golongan ini,” katanya.

DNS dijadual bersidang pada 23 Ogos hingga 6 September depan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Waktu operasi krematorium tiga PBT dilanjut hingga 6.30 petang

SHAH ALAM, 25 JULAI: Waktu operasi krematorium di tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) dilanjutkan sehingga 6.30 petang berbanding 4.30 petang sebelum ini.

EXCO kerajaan prihatin berkata lanjutan masa kompleks pembakaran di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil kira peningkatan mayat mangsa Covid-19.

V Ganabatirau memaklumkan keputusan melanjutkan tempoh itu dicapai melalui perbincangan bersama wakil ketiga-tiga PBT terbabit baru-baru ini.

“Sejak pandemik, kes kematian meningkat secara mendadak dalam semua lapisan masyarakat termasuk kaum India dan mengakibatkan banyak mayat tidak dapat diurus dengan sempurna berikutan tempat untuk membakar terhad serta tidak menentu.

“Setelah berunding dengan pihak berkaitan, kita bersetuju dan langkah ini dapat membantu penambahan pembakaran mayat yang tersandar di bilik mayat,” katanya kepada Selangorkini.

Wakil rakyat Kota Kemuning menjelaskan pihaknya turut menerima cadangan Persatuan Kebajikan Khairat Pengebumian Kaum India Selangor (KHAIS) agar mayat yang menunggu giliran untuk pembakaran dikebumikan di tanah perkuburan Hindu.

“Pengerusi persatuan terbabit berpendapat mengapa harus sentiasa dibakar sedangkan tempat pembakaran sangat terhad manakala tapak untuk pengebumian masih ada dan boleh diuruskan pihak KHAIS.

“Beberapa persatuan kubur di Selangor juga mengalu-alukan cadangan ini dan sanggup bekerjasama dengan KHAIS, maka inisiatif pihak berkenaan perlu diberi dorongan serta sambutan yang baik,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Proses bina krematorium di Sepang lancar, hampir siap

SHAH ALAM, 24 JULAI: Proses pembinaan pusat krematorium di Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam masa terdekat.

EXCO kerajaan tempatan berkata kerja menyiapkan kompleks pembakaran berbaki antara 10 hingga 20 peratus dan apabila tersedia akan memudahkan urusan mayat mangsa Covid-19 bagi bukan Islam.

“Pembinaan kompleks yang bermula sejak tahun lalu berdepan sedikit kelewatan berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kelulusan sudah diberi kepada kontraktor untuk menyambung projek terbabit.

“Ia masih dalam proses dan hampir siap, sekarang hanya menunggu untuk membuat sambungan elektrik,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata lawatan ke tapak pembinaan akan diadakan minggu depan dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan projek berkenaan.

Sebelum ini, Sze Han berkata Kerajaan Negeri menyelaras pengurusan mayat mangsa Covid-19 bukan Islam di empat krematorium kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, langkah itu bagi mempercepat proses pembakaran mayat dan mengurangkan kesesakan di bilik mayat beberapa hospital di negeri ini.

Setakat ini, empat PBT memiliki kompleks pembakaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selaras empat krematorium PBT, percepat urus mayat Covid-19 bukan Islam

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan Negeri menyelaraskan pengurusan mayat mangsa Covid-19 bukan Islam di empat krematorium dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco kerajaan tempatan berkata langkah itu bagi mempercepatkan proses pembakaran mayat dan mengurangkan kesesakan di bilik mayat beberapa hospital di negeri ini.

Menurut Ng Sze Han empat PBT memiliki kompleks pembakaran ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) manakala satu lagi dalam pembinaan di bawah Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

“Pengurusannya dapat disegerakan contohnya masalah dihadapi di krematorium MPK pada masa ini apabila satu daripada tiga mesinnya rosak, mayat boleh dihantar ke pusat pembakaran diurus PBT lain.

“Ini dapat mengurangkan beban di sesebuah krematorium, pada ketika ini setiap pusat hanya dapat membakar sekitar empat hingga lima mayat sehari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga akan mengadakan perbincangan dengan krematorium swasta dengan memberi potongan bayaran berpatutan bagi proses pengurusan mayat mangsa Covid-19.

“Kita juga sedang meminta kebenaran supaya pembinaan pusat tersebut di bawah MPSepang yang dihentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan dapat diteruskan.

“Ia sudah hampir siap dan boleh meningkatkan kapasiti pengurusan mayat di Selangor,” katanya.

17 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat iaitu usaha mengurangkan masa pengurusan selain mengelak kesesakan jenazah dan mayat di beberapa hospital.

Inisiatif berkenaan melibatkan urusan jenazah Covid-19 di tiga hospital sama ada Islam dan bukan Islam khususnya di Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Tanah perkuburan bagi jenazah mangsa beragama Islam adalah di Tanah Perkuburan Seksyen 21 dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang manakala bagi bukan Islam dirujuk kepada PBT bagi tujuan pengebumian dan urusan bersesuaian.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua unit krematorium ditambah, percepat urusan jenazah Covid-19

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan negeri Selangor akan menambah dua unit krematorium dalam kadar segera bagi mempercepat urusan pembakaran mayat mangsa Covid-19 bukan Islam di Selangor.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata buat masa ini hanya satu unit krematorium sahaja boleh digunakan manakala dua unit lagi tidak berfungsi kerana rosak, di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Setakat ini yang berfungsi satu sahaja dan kita hendak tambah lagi dua. Yang di swasta ada lagi tapi tidak banyak. Ini antara usaha kita untuk mempermudah urusan tersebut dan dalam masa sama tidak menggunakan kos tinggi.

“Krematorium tersebut milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan urusan krematorium ini akan dikelola bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO). Saya juga minta PBT untuk turut membantu urusan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyasarkan agar urusan pengebumian jenazah dilakukan tiga kali sehari selepas inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat mula diumumkan semalam.

“Selepas ini kita akan tetapkan masa iaitu pagi satu sesi, tengah hari atau petang satu sesi, malam satu sesi. Secara tidak langsung kita boleh mempercepat urusan dan mengurangkan bilangan jenazah di bilik mayat hospital,” katanya.

Urusan pengebumian jenazah dilakukan satu hingga dua kali sehari dalam tempoh seminggu ini, bergantung pada jumlah jenazah di bilik mayat hospital yang mana setakat ini lebih 20 jenazah warganegara dan warga asing telah dikebumikan atas iniasitif berkenaan.

Mengenai dua tanah perkuburan dipilih untuk usaha tersebut, Amirudin berkata setakat ini Tanah Perkuburan Islam di Seksyen 21, dekat sini masih mempunyai 3.64 hektar tanah yang belum digunakan begitu juga di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Klang dengan baki keluasan tanah sama, cukup untuk menampung jumlah jenazah ketika ini.

Amirudin pada Sabtu (17 Julai) mengumumkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat iaitu satu usaha kerajaan negeri mengurangkan masa pengurusan selain mengelak kesesakan jenazah dan mayat di beberapa hospital di Selangor.

Amirudin dalam kenyataan berkata inisiatif berkenaan melibatkan urusan jenazah dan mayat Covid-19 di tiga hospital sama ada muslim dan bukan Islam khususnya di Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Pihaknya juga telah menghubungi Kementerian Luar pada Isnin dalam usaha mempercepat proses pengesahan jenazah atau mayat warga asing Covid-19 khususnya di tiga buah hospital terbabit susulan banyak jenazah atau mayat Covid-19 yang tidak dapat diuruskan dengan cepat.

-BERNAMA