Categories
KENYATAAN MEDIA

8 cadangan atasi krisis air Selangor

Oleh: Yeo Bee Yin
Selangor akan menghadapi krisis kekurangan air terawat bermula pada tahun 2017. JPK-SAM memberi lapan saranan kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk mencegah krisis ini.

Walaupun JPK-SAM bertanggungjawab untuk menyiasat sebarang masalah yang berkaitan dengan pengurusan sumber air mentah yang berlaku di dalam negeri Selangor, ahli-ahli JPK-SAM juga mengambil berat tentang status bekalan air terawat di Negeri Selangor memandangkan beberapa insiden yang berlaku pada tahun 2015 juga berkaitan dengan isu air terawat.

Dengan ini, dalam pendengaran dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Konsortium ABBAS Sdn. Bhd. (ABBAS) pada 25hb Jun 2015 dan 2hb Julai 2015, JPK-SAM juga diberi keterangan mengenai isu-isu air terawat.

krisis air syabasJawatankuasa mendapati bahawa kini kebanyakan LRA di Selangor sedang beroperasi melebihi keupayaan rekabentuk terutamanya di Wilayah Hulu Langat yang memberikan perkhidmatan kepada 242,568 akaun-akaun. LRA utama Hulu Langat, iaitu LRA Sg Langat dan LRA Sg Semenyih, sekarang beroperasi 120.60% dan 124.15% daripada kapasiti rekabentuknya.

Rezab air terawat negeri Selangor sekarang adalah 1%. Oleh sebab rezab yang begitu rendah, gangguan air akan berlaku jika terdapat gangguan pengeluaran air loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran sungai.

Jawatankuasa mendapati bahawa sebarang penaiktarafan di LRA-LRA tidak mampu memberikan impak yang besar kepada bekalan air terawat Selangor (penaiktarafan hanya mampu meningkatkan kurang daripada 1% jumlah air terawat).

Maka Selangor akan mengalami rezab air terawat yang sangat nipis dari sekarang sehingga tahun 2017 dimana rezab air terawat Negeri Selangor akan menjunam kepada negatif secara keseluruhannya.

Jawatankuasa mendapati bahawa sekalipun telah disediakan rancangan-rancangan mitigasi, bekalan air terawat di Selangor tidak akan mencukupi bermula tahun 2017 sehingga Projek Langat 2 Fasa 1 dijangkakan siap pada tahun 2019.

Selain situasi LRA, antara penyebab kekurangan bekalan air terawat di Negeri Selangor adalah akibat penggunaan air terawat dengan jumlah yang tidak terkawal oleh sesetengah pihak dan kebocoran NRW lebih daripada 30%.

Jawatankuasa juga mendapati bahawa penggunaan air rakyat Selangor adalah sangat tinggi berbanding dengan piawaian antarabangsa.

Penggunaan air domestik Selangor per kapita ialah sebanyak 235 liter sehari, iaitu 40% lebih daripada apa yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 165 liter sehari. Ini bermakna rakyat di Selangor menggunakan air 40% lebih daripada apa yang sepatutnya.

Dengan ini, Jawatankuasa telah memberi 8 saranan kepada pihak-pihak yang berkaitan seperti berikut:

i. Jawatankuasa menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan kebenaran merancang, permit serta pengambilan tanah yang diperlukan untuk membina Langat 2 boleh disegerakan.

ii. Projek Langat 2 hendaklah disiapkan secepat mungkin. Jawatankuasa menggesa Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebagai pemilik projek Langat 2 boleh membuat rancangan baru supaya Langat 2 Fasa 1 sekurang-kurang beroperasi sebahagiannya pada tahun 2017.

iii. Jawatankuasa menggesa supaya Kerajaan Negeri Selangor menetapkan piawaian (KPI) untuk mengurangkan NRW secara signifikan – sekurang-kurangnya 2% setiap tahun.

iv. Jawatankuasa menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk melipat-gandakan usaha kempen penjimatan air (demand management). Tindakan yang jauh lebih agresif dan efektif amat diperlukan untuk menangani masalah kekurangan air terawat dalam jangka masa pendek. Jawatankuasa berpendapat untuk melantik seorang ahli exco untuk mengetuai kempen ini.

v. Jawatankuasa mencadangkan supaya harga kadar penggunaan berperingkat (tier-pricing) yang lebih efektif dikenakan untuk mengubah tabiat pengguna supaya mengurangkan penggunaan air di Negeri Selangor.

vi. Jawatankuasa mencadangkan supaya Kerajaan Negeri meningkatkan usaha untuk menguatkuasakan aktiviti-aktiviti haram yang menggunakan air yang tinggi seperti perniagaan cuci kereta haram.

vii. Jawatankuasa mencadangkan supaya insentif tambahan diberikan kepada premis-premis yang menggunakan sistem menakung air hujan (rain water harvesting) dan peralatan yang menjimatkan penggunaan air (water efficient).

viii. Untuk memberikan teladan yang baik, Jawatankuasa menggesa semua pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi Kerajaan di bawah Kerajaan Negeri hendaklah mengguna pakai sistem ini.

* Yeo Bee Yin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Air Mentah Selangor(JPK-SAM) dan ADUN Damansara Utama pada Rabu 19hb Ogos 2015 di Shah Alam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Krisis Air – LENSA

Sinopsis:

Saksikan Lensa setiap hari Isnin dan Khamis jam 12.00 tengah hari hanya di www.selangorkini.net

Krisis air di Selangor sering menjadi perbualan rakyat.Seperti mana yang kita tahu, air
merupakan sumber yang penting dalam kehidupan seharian. Dari permasalahan ini, peranan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dipertikaikan. Dimana tanggungjawab mereka dalam memberi perkhidmatan bekalan air yang terbaik di Selangor?

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Abbas Tidak Pernah Di Arah Kurangkan Pengeluaran Air Terawat

SHAH ALAM 13 OGOS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak dakwaan kononnya Kerajaan Negeri mengarahkan Konsortium Abbas Sdn. Bhd. (Abbas) untuk mengurangkan pengeluaran air terawat di negeri ini.

Diminta mengulas kenyataan yang dibuat Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed, beliau berkata dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

“Kita sama sekali tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menyekat pengeluaran air terawat.

“Rasanya lebih elok di bulan Ramadhan ini kita jangan buat fitnah kerana hanya akan mengurangkan pahala sahaja,” sindir Abdul Khalid sewaktu sidang media di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Bukit Jelutong Lebuhraya Guthrie pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi yang juga mengetuai jawatankuasa air bagi memantau operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) turut menafikan perkara itu.

“Tidak ada arahan untuk tujuan itu, sama sekali tidak benar,” ujarnya ringkas.

Dua hari lalu, Mohd Zin mendakwa tindakan Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) mengarahkan Abbas mengurangkan pengeluaran air terawat menyebabkan berlakunya krisis air di kawasan Kajang dan Balakong.