Categories
AGENDA NASIONAL

Khazanah, KWSP tidak babit secara rasmi jualan PLUS

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemilik PLUS Malaysia Bhd (PLUS), tidak dilibatkan secara rasmi oleh kerajaan dalam penjualan konsesi lebuh raya itu walaupun kerajaan dilaporkan telah mendapat tawaran beberapa syarikat.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata dari perspektif tadbir urus, sebarang keputusan membabitkan jualan atau pengambilalihan aset itu perlu dilakukan secara teratur menerusi penglibatan rasmi pihak pemegang kepentingan tersebut iaitu Khazanah dan KWSP.

“Perkara itu tidak pernah dimulakan,” katanya kepada pemberita di luar Forum Integriti 2020 Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) di sini, hari ini.

Khazanah yang juga dana kekayaan negara memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS menerusi anak syarikatnya UEM Group Bhd, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh KWSP.

Selain itu, Shahril Ridza berkata Khazanah dan KWSP tidak pernah menawarkan aset itu untuk dijual, malah tiada sebarang proses bidaan yang dilaksanakan pada masa ini.

“Apabila merujuk tawaran yang diterima, wujud sedikit kesilapan kerana tiada sebarang proses bidaan yang dilaksanakan atau wujud pihak pembida.

“Itu semua merupakan tawaran secara sendirian yang dikemukakan kepada kerajaan berbanding kepada pemegang saham semasa PLUS dan kami tidak terbabit dalam sebarang proses jualan aset tersebut,” katanya.

Ditanya mengenai impak terhadap Khazanah dan KWSP sekiranya kerajaan memutuskan penjualan PLUS kepada pihak ketiga, Shahril Ridza berkata apa yang penting adalah untuk memastikan nilai munasabah aset itu dipertahankan.

“Atas alasan inilah kami tidak melayan sebarang tawaran sebelum ini…secara jujur, tawaran itu hanya merendahkan nilai (sebenar) aset berkenaan.”

Beliau bagaimanapun gembira kerana penilaian yang dilakukan oleh kerajaan menerusi sebuah bank pelaburan bebas, adalah seiring dengan nilai semasa PLUS.

“Saya amat gembira kerana secara dasarnya, kami berasakan nilai itu telah disahkan oleh perbankan bebas, baik dari pihak kami atau pun di pihak kerajaan,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, Shahril Ridza berkata pemilik PLUS perlu menunggu keputusan dasar kerajaan yang akan dimuktamadkan menerusi Kabinet sebelum isu itu dipanjangkan.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata cadangan pengambilalihan PLUS dan empat lebuh raya milik Gamuda di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu dengan pengumuman mengenainya dibuat selepas mesyuarat tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif KWSP tambah nilai simpanan ahli

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah berjaya melaksanakan sejumlah inisiatif sepanjang 2019 dalam usaha bagi terus menambah nilai simpanan anggota-anggotanya dan memastikan pulangan yang stabil serta konsisten untuk jangka panjang.

Dalam suku pertama tahun lepas, KWSP telah mengumumkan pengurangan kadar statutori minimum oleh sumbangan majikan kepada pekerja yang berumur 60 ke atas kepada 4.0 peratus sebulan daripada 6.0 peratus sebulan sebelum ini sementara pekerja ini tidak lagi perlu mencarum bahagian mereka sebanyak 5.5 peratus seperti sebelumnya.

Dalam suku yang sama badan tersebut turut mengumumkan penyaluran RM117.56 bilion kepada pengurus dana luar pada 31 Disember 2018, peningkatan sebanyak 2.62 peratus berbanding tempoh sama bagi 2017, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada suku kedua pula, KWSP telah menandatangani Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-banga Bersatu (PBB), bagi melaksanakan amalan-amalan terbaik dalam bidang pelaburan termasuk amalan-amalan alam sekitar, sosial serta tadbir urus dan dalam masa yang sama menjaga kepentingan jangka panjang ahlinya.

Semasa suku ketiga pula KWSP telah mengumumkan jumlah pendapatan pelaburan RM12.32 bilion bagi suku kedua, RM700 juta lebih rendah berbanding RM12.39 bilion pada suku sama 2018.

KWSP juga telah menlancarkan i-Invest pada suku ketiga dalam usaha untuk memperkasakan anggota dengan pilihan pelaburan, di mana anggota-anggota KWSP boleh melabur terus sebahagian daripada simpanan Akaun 1 ke dalam dana unit amanah yang ditawarkan oleh institusi pengurusan dana yang diluluskan KWSP.

Di dalam suku keempat, beberapa inisiatif melibatkan KWSP telah diumumkan semasa Belanjawan 2020, yang mana, anggota boleh membuat pengeluaran untuk membiayai pendidikan mereka daripada peringkat sijil ke atas.

Belanjawan 2020 juga turut mengumumkan bahawa anggota-anggota KWSP dibenarkan membuat pengeluaran daripada Akaun KWSP 2 mereka untuk membiayai rawatan subkesuburan.

Pada suku yang sama KWSP juga turut menandatangani perjanjian dengan Perkhidmatan Pencen Kebangsaan Korea Selatan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan amalan terbaik dalam bidang perlindungan sosial serta menggalakkan perkongsian pengetahuan dalam pengurusan sistem pencen.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP meterai MoU dengan dana pencen Korea Selatan

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perkhidmatan Pencen Nasional Korea Selatan (NPS) bagi memperoleh akses kepada amalan terbaik dalam bidang perlindungan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, usaha sama itu juga akan meggalakkan perkongsian pengetahuan dalam pengurusan sistem pencen.

“Kerjasama ini memberi peluang kepada kami untuk memanfaatkan kumpulan pakar global selain mengenal pasti penyelesaian daripada perspektif yang berbeza,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu yang disaksikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Tunku Alizakri menandatangani MoU itu bagi pihak KWSP manakala NPS diwakili oleh Pengerusi dan CEOnya, Sung Joo Kim.

KWSP berminat untuk memanfaatkan kemahiran dan inisiatif baharu dari rakan serantau dalam menangani penuaan selain penduduk yang bekerja sendiri, kata Tunku Alizakri.

“Memandangkan Malaysia mahu menjadi negara maju, kita perlu melihat model terbaik untuk memperoleh strategi baharu dalam menangani isu-isu sosial seperti peningkatan ekonomi bebas dan penduduk yang semakin tua.

“Usaha sama ini menetapkan komitmen proaktif kami untuk menangani isu-isu berkaitan kesejahteraan pencarum,” katanya.

Ditubuhkan pada 1987, NPS merupakan antara dana pencen terbesar di dunia dengan jumlah aset dalam pengurusan sebanyak AS$600 bilion dan 21 juta pencarum wajib.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sokong caruman KWSP, Perkeso demi kebajikan penggiat seni

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Kebajikan para karyawan serta penggiat seni negara akan lebih terjamin dengan pelaksanaan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta), Dr Mahadi J Murat berkata, pihaknya amat mengalu-alukan pengumuman yang dibuat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkenaan caruman itu yang bakal dikuatkuasakan mulai tahun hadapan.

“Dengan terlaksananya skim tersebut, satu bentuk perlindungan serta faedah kebajikan dalam kalangan artis, karyawan dan pekerja filem dapat dipastikan terutamanya ketika di usia lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac pada 26 Ogos lalu mengumumkan pihaknya sudah mencapai persetujuan dengan KWSP dan Perkeso untuk pelaksanaan caruman tersebut bagi para penggiat seni.

Selaras dengan itu Mahadi berkata, satu kaedah yang tidak membebankan penerbit serta mengurangkan pendapatan tunai golongan tersebut hendaklah dicari supaya matlamat pelaksanaan caruman berkenaan akan lebih berkesaan.

Selain itu, beliau berharap agar Finas juga dapat menggariskan dasar dan matlamat baharu industri seni khususnya demi menjayakan matlamat pembangunan filem nasional dalam gagasan Malaysia baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggiat seni bakal nikmati caruman KWSP, Perkeso mulai Januari 2020

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Lebih 30,000 penggiat seni tanah air bakal menikmati kemudahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) apabila dilaksanakan bermula Januari 2020.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Issac berkata, proses menyiapkan kemudahan caruman itu sudah mencapai 90 peratus.

“Apabila dilancarkan pada Oktober depan, kemudahan caruman ini akan dinikmati lebih 30,000 penggiat seni tanah air dan sekali gus nasib mereka akan lebih terbela.

“Ditambah pula, di bawah Akta Finas 1981 (Akta 244), ia membolehkan skim ini diperkenalkan kepada penggiat seni yang bekerja dalam industri termasuk jurumekap, ‘runner’ dan krew produksi,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Townhall bersama Penggiat Industri Filem Siri 1 Kompleks Studio Merdeka Finas, di sini hari ini.

Sesi dialog itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan turut dihadiri lebih 300 penggiat seni tanah air.

Mengulas lanjut, Hans menjelaskan proses dan jumlah caruman itu bergantung kepada gaji dan polisi insurans.

“Jika gaji pekerja adalah pada tahap gaji mininum iaitu RM1,100, maka majikan mereka wajib memotong caruman. Melalui caruman ini juga, majikan tetap diwajibkan membuat caruman kepada pekerja walaupun tempoh bekerja mereka adalah singkat,” katanya.

Jelas Hans, ini termasuklah di mana situasi seseorang pelakon bekerja untuk dua projek bagi sebuah produksi pada satu masa yang sama, maka produksi diwajibkan membayar caruman itu.

“Jika penerbit tidak bayar caruman itu, Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP) mereka akan ditahan,” katanya.

Terdahulu, skim KWSP dan Perkeso adalah antara 15 manifesto penting dalam pelan pembentangan Hans sebaik dilantik sebagai Pengerusi Finas pada 8 April lalu.

Inisiatif itu adalah bagi memastikan kebajikan pemain indsutri seni tanah air terbela.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KWSP kredit RM9.51 juta insentif kerajaan ke dalam akaun skim I-Suri

KUALA LUMPUR, 5 APR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengkreditkan sejumlah RM9.51 juta yang diluluskan kerajaan ke dalam akaun anggota Caruman Sukarela i-Suri bagi tahun 2018.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata, jumlah tersebut merujuk kepada insentif RM40 sebulan yang dikreditkan kepada 49,857 pemegang akaun i-Suri yang telah membuat sumbangan minimum sebanyak RM5 setiap bulan.

“Anggota i-Suri boleh menyemak akaun mereka dalam talian melalui kiosk KWSP atau di mana-mana kaunter KWSP di seluruh negara mulai hari ini,” katanya.

Sebagai tambahan kepada insentif RM40 kerajaan itu, anggota i-Suri juga layak menikmati faedah yang sama seperti ahli KWSP, seperti dividen tahunan ke atas simpanan persaraan mereka, pengeluaran simpanan KWSP, faedah hilang upaya dan manfaat kematian.

Dana pencen ini juga menggalakkan lebih ramai suri rumah atau wanita yang menjadi ketua isi rumah dan tersenarai dalam sistem pangkalan data keluarga miskin (eKasih) untuk mendaftar i-Suri.

“Anggota KWSP boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM5 setiap bulan ke dalam akaun simpanan persaraan untuk melayakkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 sebulan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

ADN galak majikan daftarkan PERKESO, KWSP

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 1 APR: Majikan digalakkan mendaftarkan pekerja mereka menerusi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Shatiri Mansor berkata, pendaftaran kedua-dua caruman terbabit adalah penting memandangkan ia sudah termaktub dalam peruntukan undang-undang.

Katanya, pekerja tidak perlu takut atau khuatir untuk menegakkan hak sekiranya majikan tidak mendaftarkan mereka dalam caruman terbabit.

“Sebagai ADN Kota Damansara saya mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Pusat Khidmat Masyarakat saya di Star Avenue untuk mengetahui maklumat lebih jelas berkenaan hak pekerja dan KWSP serta PERKESO.

“Pusat khidmat saya dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang (Isnin-Jumaat), namun sekiranya mahu berjumpa terus dengan saya boleh hadir pada Rabu jam 6 petang hingga 10 malam bagi membincangkan isu berkaitan hak pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Ops Kesan Bersepadu PERKESO-KWSP di sebuah restoran di Damansara, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ops Kesan Bersepadu PERKESO-KWSP itu dijalankan serentak seluruh Malaysia manakala pelancaran peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang.

Difahamkan, sehingga jam 12.15 tengah hari tadi, sebanyak 979 lawatan dibuat ke atas premis seluruh Malaysia manakala jumlah saman dikeluarkan adalah 119,119.

Manakala, di Selangor, PERKESO menjalankan Ops di 133 premis sekitar Petaling Jaya dan lapan kompaun sejumlah RM5,500 dikeluarkan di bawah Akta Perkeso Seksyen 4/Seksyen 5 setakat jam 12.15 tengah hari tadi.

Sementara itu, KWSP turut menjalankan Ops sama ke atas 126 premis dan mendapati 21 majikan tidak berdaftar, operasi itu akan diteruskan sehingga 3 petang ini.

 

 

 

 

Categories
EKONOMI

Kadar dividen KWSP 2018 bukti ekonomi memberangsangkan

BUTTERWORTH, 17 FEB: Pengumuman kadar dividen 2018 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam membuktikan kedudukan ekonomi negara berada di tahap memberangsangkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan kadar itu sebagai di luar jangka kerana kebanyakan pakar sebelum ini meramalkan kadar dividen KWSP tidak dapat melebihi lima peratus berikutan keadaan ekonomi sekarang yang mencabar dan tidak menentu.

“Ia melebihi jangkaan semua pihak. Kalau ikut ramalan daripada semua pakar mereka menjangkakan tidak mungkin enam peratus, nak capai lima peratus pun payah. (Pengumuman kadar) ini sesuatu yang amat baik.

“Dalam keadaan ekonomi global semua lembap kerana konflik perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, Malaysia masih boleh dianggap antara negara yang mempunyai prestasi yang baik.

“Tapi kita harus juga berhati-hati supaya kita dapat memastikan pembangunan yang mampan ini dapat diteruskan,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang, di sini hari ini.

KWSP dalam kenyataan semalam, mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional 2018, dengan agihan dividen sebanyak RM43.00 bilion dan 5.90 peratus untuk Simpanan Shariah, dengan agihan dividen RM4.32 bilion.

Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengkritik kadar dividen itu kerana KWSP tidak mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuiti tersenarainya pada 2018 berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pengiraan kadar dividen itu dibuat oleh golongan profesional.

“Semua pun yang dia (Najib) lihat tak kena. Tapi sekarang apabila KWSP buat pengumuman sedemikian mereka buat secara profesional, beliau pula pertikaikannya.

“Sekarang beliau nampaknya bersetuju ini (kadar dividen) melebihi jangkaan, dia pun tak duga. Terima kasihlah Najib sekarang akui ini adalah satu pengumuman dividen yang baik.

“Tapi jangan pula cuba persoalkan profesionalisme Ketua Pegawai Eksekutif KWSP ini yang memang disegani. Kalau pun nak hentam semua jangan hentam semberono.
“Kalau beliau tak puas hati beliau boleh buat permohonan untuk jadi Ketua Pegawai Eksekutif KWSP,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
EKONOMI

KWSP umum dividen Simpanan Konvensional 6.15%, Shariah 5.9%

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengisytiharkan kadar dividen 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional 2018, dengan agihan dividen RM43.00 bilion.

Sementara, dividen bagi Simpanan Shariah pada kadar 5.90 peratrus dengan agihan dividen RM4.32 bilion.

Jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM47.31 bilion, turun 1.70 peratus berbanding pada 2017, lapor BERNAMA.

“Dengan purata kadar dividen sebenar bagi tiga tahun berturut-turut sebanyak 3.93 peratus melebihi kadar inflasi untuk Simpanan Konvensional dan 3.68 peratus untuk Simpanan Shariah, KWSP telah menjangkaui mandatnya untuk mengisytiharkan 2.5 peratus dividen setiap tahun dan tidak kurang dari 2 peratus bagi dividen sebenar untuk purata tiga tahun,” kata KWSP dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pihaknya bersyukur dan sukacita apabila berjaya memenuhi dua sasaran pelaburan strategik KWSP secara konsisten.

“Selain dividen nominal, adalah menjadi keutamaan kami untuk memberikan pulangan melebihi kadar inflasi secara konsisten agar kami dapat mengekalkan dan meningkatkan nilai simpanan ahli dalam jangka panjang serta membantu mereka mencapai masa depan persaraan yang lebih baik,”katanya.

Ini, katanya masih dapat direalisasikan meskipun 2018 merupakan tahun yang sukar dan didominasi oleh ketidaktentuan dan trend penurunan pasaran global yang dicetus oleh perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China serta empat kitaran kenaikan kadar faedah AS dalam satu tahun yang sama.

” Bagaimanapun, kami tetap fokus kepada strategi jangka panjang dan kepelbagaian portfolio yang telah memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli kami,” katanya.

Pendapatan pelaburan kasar untuk 2018 adalah sebanyak RM50.88 bilion dengan RM4.62 bilion dijana bagi Simpanan Shariah, berkadar dengan bahagiannya daripada keseluruhan jumlah aset Syariah; manakala RM46.26 bilion dijana bagi Simpanan Konvensional.

Penurunan pendapatan portfolio Shariah KWSP pada 2018 adalah disebabkan oleh prestasi kurang memberangsangkan untuk sektor telekomunikasi, pembinaan dan minyak dan gas dalam portfolio domestik.

Pengagihan dividen untuk setiap akaun diperolehi daripada jumlah pendapatan nyata untuk 2018 selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, keuntungan ataukerugian tidak nyata daripada transaksi antara subsidiari/syarikat bersekutu, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Jumlah yang perlu diagihkan untuk setiap 1 peratus kadar dividen 2018 adalah RM7.72 bilion, lebih tinggi berbanding RM7.02 bilion pada tahun 2017.

Selaras dengan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) yang telah berkuat kuasa 1 Jan 2018, keuntungan modal atas pelupusan ekuiti berjumlah RM18.21 bilion untuk tahun 2018 akan disalurkan kepada keuntungan terkumpul daripada Penyata Pendapatan Komprehensif Lain dan bukan kepada Penyata Untung Rugi seperti amalan MFRS 139 sebelumnya.

Katanya, di bawah MFRS9, KWSP tidak lagi akan mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuiti tersenarainya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KWSP: Mesej tular insentif RM6,000 adalah palsu

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menegaskan mesej tular mendakwa ahli bekerja antara 1990 dan 2018 berhak mendapat insentif RM 6,000 adalah palsu dan tiada kaitan dengan KWSP.

Katanya, mesej itu juga mempunyai pautan ke laman web palsu, yang meminta orang ramai menjawab kaji selidik bagi menyemak kelayakan mereka untuk menerima ‘insentif’ itu.

“KWSP percaya ia adalah cubaan penipuan data peribadi ahli bagi tujuan berunsur jenayah.

“Ahli digesa supaya tidak klik pada pautan itu atau memberikan data peribadi mereka kepada mana-mana pihak ketiga yang tidak disahkan. Ahli juga diseru supaya tidak menyebarkan mesej tular tersebut,” katanya lapor Berita Harian.

KWSP berkata, semua maklumat rasmi berhubung produk dan perkhidmatan KWSP hanya akan disiarkan dalam laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my.

Ahli juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-89226000 atau e-mel melalui http://enquiry.kwsp.gov.my untuk tujuan pengesahan jika terdapat mesej berkenaan KWSP yang meragukan di media sosial.

Categories
NASIONAL

89 peratus netizen tidak setuju potongan 3 peratus KWSP

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 FEB: 169 daripada 190 netizen tidak bersetuju dengan langkah Kerajaan Persekutuan melaksanakan pemotongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus seperti yang diumumkan pada 28 Januari lalu.

Berdasarkan culaan yang dibuat Selangor Kini menerusi akaun mikro Twitter, jumlah itu mewakili 89 peratus sementara 11 peratus lagi bersetuju.

CULAAN KWSP SELANGORKINICulaan itu bertajuk ‘Selaku pencarum KWSP adakah anada bersetuju dengan cadangan potongan caruman sebanyak 3 peratus?’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017.

Langkah yang dimasukkan dalam pengubahsuaian Bajet 2016 itu dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit setahun.

-nR-

Categories
NASIONAL

KWSP: Lebihan potongan 3 peratus peluang wujudkan pelaburan baru

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 FEB: Pengurangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tiga peratus perlu dimanfaatkan pencarum bagi mencari peluang pelaburan yang membawa pulangan lebih tinggi.

Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan, berkata jika lebihan pendapatan hasil potongan itu dibelanjakan secara hangus, ia tidak membawa kebaikan kepada pencarum untuk tempoh panjang.

WAN SAIFUL WAN JAN“Caruman wajib KWSP ini perlu difikirkan semula kerana mungkin ada pencarum yang boleh mencari tempat caruman membawa pulangan lebih tinggi.

“Potongan tiga peratus ini patut digunakan pencarum untuk mencari peluang pelaburan lebih baik, bukan dibelanjakan sewenang-wenangnya.

“Ia langkah yang baik dengan syarat pencarum menggunakan untuk menyimpan di tempat membawa pulangan lebih tinggi,” katanya kepada Selangor Kini.

Jelasnya, cadangan potongan jumlah caruman itu bukanlah isu kerajaan ingin mengutip cukai daripada rakyat melalui GST tetapi lebih kepada persoalan pencarum mengambil tanggungjawab peribadi menjaga masa depan sendiri.

“Itu mungkin benar sekiranya pencarum mengambil langkah untuk berbelanja. Kalau tidak digunakan untuk berbelanja sebaliknya sebagai contoh disimpan dalam unit teras bagi pulangan lebih tinggi, maka kritikan itu menjadi tidak tepat,” katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai yang menyifatkan simpanan carumam KWSP sebagai sukar dikawal memandangkan baki akan berkurang selepas 10 tahun persaraan.

Katanya, pengurangan tiga peratus setiap bulan adalah satu ujian daripada disiplin itu.

Tegas Barjoyai, disiplin kewangan lebih penting berbanding skim simpanan memandangkan pulangan perbelanjaan dilakukan pencarum akan meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dan menambah keuntungan pemain termasuk Kerajaan secara tidak langsung.

barjoyai-bardai“Pastinya sebagai orang awam kita mahu dapatkan tiga peratus itu hari ini supaya kita dapat kawal barangan yang diperlukan.

“Kepada kumpulan pekerja yang berjimat, mereka akan mewujudkan satu skim simpanan baru yang memberikan pulangan lebih besar daripada KWSP.

“Tiga peratus itu dianggap sebagai simpanan paksa kepada pekerja. Kalau boleh mereka mengelak simpanan paksa ini,” katanya.

-nR-