Categories
NASIONAL

ECRL dijangka sumbang 2.7 peratus pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menelan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion dijangka menyumbang sebanyak 2.7 peratus kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, demikian menurut MIDF Research.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, MIDF Research berkata, rangsangan pertumbuhan itu dijangka diterima seawal projek itu dimulakan sehinggalah ia selesai.

“Bagaimanapun, unjuran penuh sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan bergantung kepada kadar kesan limpahan ke atas sektor ekonomi lain. Selain itu, pembayaran pampasan terhadap pekerja dan lebihan operasi bersih juga dijangka meningkat masing-masing sebanyak 3.6 dan 2.1 peratus.

“Memandangkan projek itu memerlukan kelengkapan jentera dan pengangkutan, unjuran kami menunjukkan import komoditi dan penggunaan modal tetap akan meningkat masing-masing sebanyak 3.3 peratus dan 2.1 peratus,” katanya.

Mengulas selanjutnya, MIDF Research berkata bagi kemajuan masa depan, projek rel itu akan memberi kesan dari segi pengembangan ekonomi secara langsung dan tidak langsung dalam tempoh jangka panjang.

Ini termasuk pembentukan peluang pekerjaan, membuka kawasan baharu, pelaburan langsung asing, meningkatkan aktiviti dagangan luaran serta memperkukuh permintaan domestik.

Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan projek tersebut akan menjadi pemangkin industri dan pengeksport di Malaysia berikutan 70 peratus pengangkutannya adalah bagi tujuan penghantaran.

“Ini turut memberi kelebihan kepada Malaysia yang merangkumi perdagangan antarabangsa berikutan lokasi strategik projek itu untuk ke China serta negara-negara ASEAN lainnya.

“Malah, peningkatan aspek pengangkutan dan kesalinghubungan itu akan turut membantu Malaysia dari segi peruntukan sumber yang lebih baik, meningkatkan produktiviti, mobiliti serta pembangunan sosioekonomi dengan sebahagian daripadanya dapat memudahkan inisiatif Jajaran dan Laluan China.”

Menurut MIDF Research, projek ECRL itu juga akan menjana lebih banyak aktiviti ekonomi sektor lain, sekali gus membolehkan peralihan kepada ekonomi yang kurang bergantung kepada kerajaan.

Ia juga sejajar dengan idea Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan saiz sektor awam pada masa akan datang menerusi usaha perindustrian.

“Ini akan mengurangkan perbelanjaan pengurusan kerajaan, khususnya ke atas emolumen yang merupakan bahagian terbesar daripada jumlah perbelanjaan iaitu kira-kira 30 peratus,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

ECRL mampu bantu kontraktor tempatan terbabit projek mega

KUALA TERENGGANU, 1 MEI: Keputusan kerajaan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memberi nafas baru kepada kontraktor di Terengganu yang semakin ‘ketandusan’ projek mega.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT), Zamri Awang Hitam berkata, pengumuman itu sememangnya dinanti-nantikan mereka, kerana pelbagai manfaat bakal diperoleh daripadanya.

Katanya, selepas projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 yang siap pembinaannya pada 2015, tiada lagi projek berstatus mega dilaksanakan di negeri itu, hingga kontraktor mengalami penyusutan pendapatan dan perkembangan ekonomi negeri turut perlahan.

“Terdapat kira-kira 4,000 anggota PKMMT di seluruh negeri, dengan 70 hingga 80 peratus daripadanya terdiri daripada kontraktor kecil, iaitu dari gred G1 sehingga G5.

“Banyak rungutan yang kita terima daripada mereka berkenaan ketiadaan projek sejak kebelakangan ini, sehinggakan ada daripadanya terpaksa gulung tikar, dan ada juga yang tinggal nyawa-nyawa ikan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Oleh itu, beliau amat yakin bahawa pelaksaaan projek ECRL akan memberi sinar baharu kepada golongan kontraktor, kerana banyak projek sosio-ekonomi yang boleh diterokai.

Seorang pemilik syarikat pembinaan, Tengku Mahri Tengku Chik berkata, rundingan baharu ECRL antara Malaysia dengan China yang berjaya meningkatkan penglibatan kontraktor tempatan daripada 30 peratus ke 40 peratus, adalah satu pencapaian sangat besar.

Katannya, pertambahan itu secara langsung akan menyediakan lebih banyak peluang projek, sekali gus menarik penglibatan lebih ramai kontraktor tempatan.

“Perkiraan mudah yang boleh kita buat iaitu sekiranya projek di Terengganu bernilai RM1 billion, maka 40 peratus daripadanya adalah RM400 juta. Nilai RM400 juta ini sangat besar dan jika diagih-agihkan kepada kontraktor negeri, amat membantu bagi menjana pendapatan dan memulihkan syarikat yang tenat,” katanya.

Tengku Mahri berkata, apa yang perlu ialah usaha keras dan profil syarikat yang cemerlang bagi mendapatkan tender, malah kerajaan juga perlu membuat agihan secara adil bagi membantu kontraktor kecil.

Seorang lagi kontraktor tempatan, Hanafiah Hanafee berkata, pelaksanaan ECRL akan memberi pelbagai impak termasuk mewujudkan peluang projek serta industri hiliran, yang akan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

Beliau berkata, antara bidang yang boleh dimanfaatkan kontraktor tempatan termasuk projek sivil, mekanikal dan elektrikal, yang tidak memerlukan kepakaran tinggi dan khusus, seperti pembinaan rel yang perlu dibawa dari China.

“Kerja-kerja sivil ini seperti kerja-kerja tapak dan pembinaan bangunan stesen, yang mana kontraktor tempatan memang sudah lama berkecimpung dan mahir. Begitu juga dengan kerja-kerja elektrikal yang mana kita ada banyak syarikat tempatan yang bagus-bagus, dan juga berpengalaman dalam projek besar,” katanya.

Bagi masyarakat setempat pula, Hanafiah berkata mereka boleh mengambil peluang dalam bidang perniagaan makanan dan peruncitan terutama di stesen-stesen yang bakal diwujudkan kelak.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rundingan ECRL kerajaan sebelum ini tidak telus – PM

BEIJING, 28 APR: Rundingan untuk membina Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dilakukan secara tidak telus tanpa sebarang kajian terperinci mengenainya, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Itu Perdana Menteri dahulu (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang membuat rundingan, tiada usaha yang wajar, tiada kajian daya maju.

“Tidak telus, kemudian hendak pinjam (duit) banyak-banyak,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerjanya selama lima hari ke China untuk menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa (BRF) kedua yang berakhir semalam.

Kerajaan memutuskan untuk meneruskan pembangunan ECRL, yang akan menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia selepas digantung pembinaannya pada tahun lepas berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Persetujuan untuk meneruskan ECRL dibuat selepas kejayaan rundingan semula oleh Wakil Khas Perdana Menteri Tun Daim Zainuddin, yang berjaya mengurangkan kos pembinaan ECRL daripada kos asal iaitu RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.

Melalui rundingan semula dengan China mengenai pelaksanaan projek ECRL, kerajaan berjaya menjimatkan RM21.5 bilion atau 32.8 peratus daripada kos asal.

Ditanya jika terdapat kemungkinan kos ECRL itu boleh diturunkan daripada RM44 bilion, Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan itu tetapi ia bergantung kepada skop kerja projek itu.

Ditanya tentang kenyataan Daim dalam temu bual dengan Bernama News Channel baru-baru ini, Dr Mahathir hanya berkata : “Itu maklumat yang kita tahu.”

Daim dalam temu bual tersebut mempersoalkan sama ada wakil khas bekas perdana menteri, yang bertindak secara sendirian telah terlibat dalam perbincangan dan rundingan terus bagi kontrak ECRL yang lama.

Beliau bertanya sama ada wakil peribadi berunding secara terus dengan China dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), menyebabkan perjanjian ECRL yang lama ditandatangani pada kos amat tinggi dan tanpa ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat.

“Adakah ia disediakan oleh EPU seperti sepatutnya dalam kes ini, atau adakah EPU hanya diarahkan untuk menerima kertas cadangan yang disediakan oleh agensi lain,” soal Daim.

Dr Mahathir turut ditanya sama ada kerajaan akan mendedahkan kepada awam butiran mengenai kontrak ECRL.

Katanya walaupun kerajaan telah mendedahkan sebahagian daripada perjanjian itu tetapi ia juga perlu mengambil kira sensitiviti rakyat China.

“Ya, kami akan mendedahkannya kepada awam, tetapi kita perlu memahami sensitiviti rakyat China. Kami tidak mahu menyatakan yang mungkin menyakiti mereka. Kami telah banyak mendedahkan (butiran tersebut),” katanya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perlu manfaatkan projek ECRL perkukuh sektor pengeluaran, pengedaran

KUALA LUMPUR, 23 APR: Malaysia perlu memanfaatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula berasaskan kedudukan strategik negara di tengah-tengah ASEAN untuk memperkukuh sektor pengeluaran dan pengedaran.

Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Liew Sew Yee berkata, firma Malaysia boleh lebih giat menjalankan pengeluaran dan pengedaran ke dalam pasaran ASEAN mewakili syarikat asing daripada membenarkan perniagaan luar mengambil peluang atas kedudukan negara.

Beliau berkata, pasaran ASEAN, dengan jumlah penduduk lebih 600 juta, merupakan pasaran luas bagi Malaysia.

Pelabuhan Kuantan yang menjadi pintu masuk perkhidmatan logistik bagi Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) juga berupaya berperanan sebagai pintu keluar produk Malaysia untuk diedarkan ke seluruh China.

“Kargo dari ASEAN boleh melalui pelabuhan ini dan menjalankan pengedaran semula ke pasaran lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis jaringan perniagaan dengan delegasi perdagangan Mesir di sini, hari ini.

Liew berkata, penyambungan semula projek ECRL adalah positif untuk hubungan dua hala Malaysia-China.

“Bagi golongan ahli perniagaan, penyambungan semula ECRL merupakan berita baik. Ia juga berita yang amat positif dari segi projek itu diteruskan oleh kontraktor China tersebut. Sekurang-kurangnya, ini membantu mempertingkat hubungan Malaysia dengan China,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan kos projek ECRL dikurangkan sebanyak 32.8 peratus kepada RM44 bilion daripada RM66 bilion, dengan penjajaran semula sepanjang 640 kilometer.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) akan mewujudkan firma usaha sama 50:50 untuk menguruskan dan menyenggara laluan berkenaan.

Jajaran baharu itu bukan hanya tidak memerlukan pembinaan Terowong Genting sepanjang 17.8 kilometer dari Bentong, Pahang ke Gombak, Selangor malah menyediakan hubungan terus dari Pelabuhan Kuantan, Pahang ke Pelabuhan Klang, Selangor sebagai laluan darat antara dua pelabuhan tersebut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

ECRL: Tanah berhampiran stesen tidak diberi percuma

PUTRAJAYA, 23 APR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menolak dakwaan bahawa 4,500 ekar tanah di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diberikan secara percuma kepada China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Guan Eng mengulas dakwaan blogger Raja Petra Kamarudin bahawa untuk ‘diskaun’ sebanyak RM21.5 bilion, CCCC diberikan kira-kira 4,500 ekar tanah di tujuh taman perindustrian yang berbeza berhampiran stesen ECRL.

ECRL diteruskan dengan perjanjian yang lebih baik dengan CCCC, dengan kos ECRL dikurangkan kepada RM44 bilion daripada RM65.5 bilion sebelum ini, penjimatan sebanyak RM21.5 bilion.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai 4,500 ekar diberikan secara percuma. Saya tidak fikir itu betul. Melihat kepada kontrak, jika terdapat apa-apa tambahan, ia perlu melalui Kabinet.

“Setakat ini, kami tidak dimaklumkan mengenai apa-apa tambahan 4,500 ekar diberikan secara percuma. Saya tidak fikir begitu,” katanya.

Guan Eng berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian bagi Program Kerjasama Industri antara kerajaan Malaysia dan Bombardier Hartasuma Consortium di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Katanya, butiran kontrak rasmi akan didedahkan.

“Setakat yang saya tahu, ia tidak diberikan secara percuma. Jika anda melihat TOD (pembangunan berorientasikan transit), justeru, ia bukan percuma. TOD merupakan kaedah standard untuk semua projek infrastruktur,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Daim saran tubuh bahagian khas kendali pelaburan ECRL

KUALA LUMPUR, 19 APR: Satu bahagian khas perlu ditubuhkan bagi melancarkan serta memberi kemudahan pelaburan China dan sumber domestik untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketika melontarkan cadangan itu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin berkata, ini penting kerana beliau menerima pertanyaan daripada pihak yang berminat untuk melabur di negara ini.

Malah, kata beliau, cadangan penubuhan bahagian khusus itu turut disuarakan oleh kedua-dua pelabur China serta tempatan dan beliau sendiri sudah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sewaktu ke China baru-baru ini, saya turut didatangi pelabur yang menyatakan minat mereka untuk melabur di sini. Oleh itu, saya berpendapat bahagian khas itu akan berperanan membantu (urusan pelaburan) pelabur dari China serta pelabur tempatan.

“Sekiranya ini (bahagian khas) diwujudkan, apabila pelabur China ke Malaysia, kita dapat menguruskan dari segi mengatur mesyuarat dan membantu sehingga mereka mendapat kelulusan (bagi pelaburan masing-masing).

“Mereka akan mendapati bahawa semua urusan itu berjalan lancar dan pantas dan kita juga akan mendapat kepercayaan mereka,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Mengulas selanjutnya, Daim turut mengingatkan pelabur tempatan untuk bersedia dengan impak limpahan projek ECRL itu kerana para pekerja terbabit akan memerlukan perkhidmatan seperti tempat tinggal serta makanan.

Beliau juga menyifatkan pada kos RM44 bilion, projek rel itu adalah yang terbesar terutamanya bagi kalangan penduduk Pantai Timur dan peluang besar itu wajar dimanfaatkan oleh mereka serta perniagaan di kawasan terbabit.

“Oleh itu, jika penduduk tempatan bijak dan mengambil kesempatan (di atas projek itu), mereka boleh membantu (pelaburan) dengan meningkatkan perbelanjaan dan menjana pendapatan. Ini turut menjadi antara cara bagi merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar,” jelasnya.

Selain itu, Daim juga menggesa penduduk di sekitar kawasan laluan rel berkenaan untuk turut sama mempromosikan kelebihan (produk), kepakaran dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan.

“Mereka perlu berani tampil dan menawarkan aspek infrastruktur atau pun tenaga kerja yang ada.

“Saya juga menjangkakan kita akan menyaksikan lebih banyak manfaat untuk negara ini sekembalinya Perdana Menteri daripada Sidang Kemuncak ‘One Belt, One Road’ (Satu Jajaran, Satu Laluan) di China pada akhir bulan ini,” katanya.

Pada awal minggu ini, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersetuju membentuk syarikat usaha sama 50:50 untuk pengendalian, pengoperasian dan penyelenggaraan rangkaian rel ECRL tersebut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Daim: ECRL kini beri lebih peluang kontraktor tempatan

KUALA LUMPUR, 19 APR: Projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah dirunding semula menawarkan banyak peluang kepada kontraktor tempatan termasuk Bumiputera terutama dalam kerja-kerja awam seperti pembekalan dan aspek teknikal, kata Tun Daim Zainuddin.

Wakil Khas Perdana Menteri dalam kejayaan rundingan semula projek ECRL bersama kerajaan China pada 12 April lepas itu berkata, peluang ini perlu direbut kontraktor tempatan kerana terlalu banyak pakej menarik yang ditawarkan dalam projek yang akan mengubah landskap ekonomi negara, dan menjadi kerugian jika ia dilepaskan begitu sahaja.

“Jika tiada keupayaan, kena kerjasama erat dengan pakar asing kerana terlalu banyak pakej ditawarkan. Malah tidak mustahil, penglibatan mereka akan lebih daripada 40 peratus jika kolaborasi itu berjaya. Saya nampak, mungkin dari sudut pembekalan dan teknikal. Jadi mereka ini perlu bersedia.

“Mereka perlu pergi berbincang dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), tunjuk kepakaran dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan. Ini tender antarabangsa, kena produktif, jangan tunggu peluang datang bergolek, jangan tunggu orang panggil, jangan kritik tanpa fakta, orang meniaga kena bergerak.

“Datang jumpa saya jika malu, saya akan bantu jika mereka betul-betul layak. Jangan mengharapkan kerajaan untuk datang kepada anda, anda sendiri yang perlu bersedia dan berjumpa dengan pemain industri,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di pejabatnya di sini.

Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Pada 12 April, MRL dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) yang membolehkan projek ECRL yang ditangguhkan, disambung semula.

Di bawah perjanjian baharu, kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL akan disambung semula dengan harga RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion. Ia akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Pada 15 April, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian SA itu.

Mengulas lanjut, Daim berkata, projek mega untuk limpahan pelbagai pihak khasnya warga pantai timur itu, bukanlah projek gajah putih kerana melibatkan 70 peratus muatan kargo dan 30 peratus penumpang sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

“Pastinya ini antara projek terbesar untuk warga pantai timur dan paling mahal pernah dibuat untuk membawa persamaan (kemajuan) antara barat dengan timur kerana selama ini mereka ketinggalan. Pantai timur akan berubah berbanding sebelum ini, kita ada peluang dengan adanya ECRL.

“Malah saya sendiri telah berbincang dengan Menteri Besar Terengganu (mengenai prospek ECRL). Dan saya akan ke Kelantan nanti. Kita harap negeri-negeri terlibat ambil kesempatan dengan membuat pelbagai promosi untuk menarik pelabur.

“Ini peluang untuk ambil kesempatan dengan bijak kerana ia projek terbesar pernah diadakan di jajaran pantai timur yang kaya dengan budaya dan adat, makanan sedap, peluang pelaburan dan perniagaan. Kerana itu kena ambil kesempatan untuk kebaikan bersama-sama,” katanya.

Tegasnya, antara bidang yang akan menerima manfaat dengan kewujudan ECRL ini adalah sektor ekonomi dan pelancongan yang pastinya akan melibatkan banyak peluang ekonomi dan pekerjaan baharu di setiap stesen dan perhentian.

“Kalau sebelum ini boleh berjaya di pantai barat, kenapa tidak lakukan perkara yang sama di pantai timur. Ini bakal mewujudkan kemajuan yang seimbang di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Jajaran baharu itu menyaksikan panjang landasan dikurangkan kepada 648 kilometer berbanding rancangan awal 688 kilometer, melalui lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan selain Putrajaya berbanding hanya empat negeri sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada ancaman keselamatan usaha sama ECRL dengan firma China

KUALA LUMPUR, 18 APR: Kerajaan Malaysia akan menjadi pemilik 100 peratus bagi kesemua aset projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan usaha sama dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) tidak akan menimbulkan sebarang ancaman kepada keselamatan negara, demikian menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Kerajaan akan memiliki sepenuhnya kesemua aset berkenaan melalui MRL dari peringkat awal hingga akhir pengaturan pengurusan, operasi dan penyenggaraan (MOM) bersama tersebut, katanya dalam kenyataan hari ini bagi memperjelas maklumat yang mengelirukan berhubung projek ECRL.

MRL berkata, usaha sama 50:50 antaranya dengan CCCC tidak akan memberi sebarang ancaman kepada keselamatan negara memandangkan firma usaha sama berkenaan adalah di bawah pengurusan Malaysia.

“Para pengarah firma usaha sama serta pelantikan ketua pegawai eksekutif akan dibuat mengikut budi bicara MRL,” katanya.

MRL berkata, mana-mana pihak perlu membezakan antara pemilikan dan operasi bersama.

“Pengaturan operasi bersama itu tidak dalam apa jua cara, melibatkan penyerahan sebarang bentuk pemilikan ECRL kepada CCCC.

“Ia semata-mata mengenai perkongsian kos MOM selain pertukaran pengetahuan teknikal serta kepakaran antara CCCC dan MRL,” menurutnya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, adalah tidak wajar syarikat China itu menyertai projek ECRL dengan menguruskan 50 peratus daripada sistem tren berkenaan, memandangkan ia akan melibatkan keselamatan negara.

MRL berkata, dakwaan bahawa projek ECRL yang ditambah baik itu akan menyebabkan tempoh perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur bertambah kepada lima hingga enam jam adalah mengelirukan, sebaliknya perjalanan hanya akan mengambil masa kira-kira empat jam.

“Jarak dari Kota Bharu ke Putrajaya Sentral berdasarkan Jajaran Selatan baharu adalah 550 kilometer (km) meliputi 17 stesen, manakala jarak dari Kota Bharu ke Gombak mengikut jajaran asal adalah 525 km melalui 18 stesen.

“Berasaskan kelajuan perjalanan 160 km sejam, tambahan 25 km (mengikut jajaran asal) akan menambah masa iaitu kurang daripada 10 minit bagi perjalanan itu dan ia yang akan dikurangkan lagi disebabkan pengurangan hentian,” menurutnya.

MRL turut menjelaskan pengurangan kos projek ECRL adalah kerana penjajaran baharu tersebut tidak memerlukan terowong sepanjang 18 km melalui Banjaran Titiwangsa selain pengurangan jumlah stesen yang akan dibina.

Syarikat itu berkata keseluruhan kos projek ECRL asal, termasuk kos landasan berkembar, adalah berjumlah RM65.5 bilion, termasuk bagi tujuan ‘terowong RM10 bilion’ (Terowong Genting) melalui Banjaran Titiwangsa.

“Sekiranya kami mahu melaksanakan Terowong Genting, kosnya hanya masih mencecah RM55.5 bilion.

“Berdasarkan penjajaran baharu tersebut, jumlah stesen adalah 20. Pengurangan kos selanjutnya daripada RM55.5 bilion kepada RM44 bilion tidak semestinya semata-mata disebabkan empat stesen yang tidak dimasukkan dalam jajaran berkenaan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Netizen puji langkah Kerajaan Negeri pelihara Permatang Kuarza

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 APR: Netizen memuji langkah Kerajaan Negeri yang memelihari aset berharga Selangor, Permatang Kuarza Gombak apabila berjaya mengelakkan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di situ.

Rekasi itu dilihat melalui perkongsian laporan berita SelangorKini ‘ECRL: Selangor lega aset berharga negeri selamat’ oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di laman twitter peribadinya.

Pengguna twitter, @KSNAIR berkata, beliau turut bersetuju dengan langkah tegas Kerajaan Negeri itu.

“Saya pernah melawat Empangan Klang pada sekitar 1959 dan masih dalam kerja pembinaan, pada waktu itulah saya melihat kristal kuarza yang begitu cantik di situ.

“Sekarang baharu saya faham betapa berharganya aset Permatang Kuarza Gombak kepada kita semua,” tulisnya di ruangan komen.

Bagi @NazrinIdhamRazali pula berkata, permatang berkenaan adalah warisan buat anak cucu di negeri ini.

Sementara itu bagi @encik_pugajah pula berkata, masih terdapat banyak tapak geologi yang penting dan menarik di Selangor.

“Ia termasuk mata air panas, air terjun, bukit-bukau dan gunung-ganang yang berpotensi untuk dijadikan kawasan geopelancongan. Justeru ia perlu dipulihara supaya proses semulajadi tidak terganggu oleh aktiviti pembangunan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri dilaporkan menarik nafas lega berikutan tindakan Kerajaan Persekutuan melakukan penjajaran semula pembinaan projek ECRL dengan tidak membabitkan Permatang Kuarza Gombak.

 

Amirudin berkata, beliau menarik nafas lega apabila Kerajaan Persekutuan mendengar bantahan berkenaan sekali gus menyelamatkan aset berharga negeri ini.

Katanya, oleh kerana itulah Kerajaan Negeri kembali menyokong pembinaan terbabit yang mana sebelum ini dibantah keras Selangor.

Pada Julai tahun lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan Kerajaan Selangor membantah keras penyiapan landasan rel yang membabitkan Gombak ke Pelabuhan Klang.

Bantahan itu adalah berdasarkan prinsip permohonan Kerajaan Selangor untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16km, yang merupakan permatang kuarza yang terpanjang di dunia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut memberitahu penyiapan landasan sambungan ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang itu sudah tentu akan menggagalkan usaha Kerajaan Selangor untuk menyenaraikan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Namun pada 12 April lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan projek ECRL yang tergantung sejak Julai tahun lalu disambung semula dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion bagi fasa pertama dan kedua.

Selain itu, kenyataan itu juga menyebut pengurangan kos asal dari RM65.5 bilion kepada RM44 bilion berjaya dikurangkan setelah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sepakat memeterai satu perjanjian tambahan.

Difahamkan, wakil khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan dilapor berkata, pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu – Mentakab – Jelebu – Kuala Kelawang-Bangi/Kajang – Putrajaya dan Pelabuhan Klang.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

ECRL: Kerajaan pertahan hak rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 APR: Keputusan kerajaan menyemak dan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah langkah tepat dalam mempertahankan kepentingan rakyat apabila mampu memberi penjimatan lebih RM21 bilion.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hakikat itu membuktikan kepimpinan kerajaan berintegriti, tegas, amalan tadbir urus baik, telus dan bertanggungjawab sekali gus mencegah ketirisan serta kebocoran dalam pengurusan kewangan negara.

Katanya, keputusan kerajaan apabila mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri seperti diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 24 Januari tahun lalu untuk tidak membenarkan pembangunan jajaran ECRL melalui kawasan Permatang Kuartza, Gombak juga adalah langkah tepat.

“Ini bermakna pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer merentasi kawasan Permatang Kuartza ‘pure quartz dyke’ dapat dielakkan sekali gus mempertahankan faktor budaya, warisan dan alam sekitar.

“Justeru, jajaran baharu sejauh 640 kilometer berbanding dahulu sejauh 688 kilometer ini berjaya mengurangkan kos daripada RM95.5 juta kepada RM68.7 juta setiap kilometer,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sedia maklum bantahan dan aduan dikemukakan penduduk tempatan memandangkan cadangan jajaran ECRL yang lama akan melalui kawasan hutan simpan di sempadan Selangor dan Pahang, kampung tradisi, kawasan perumahan serta komersial.

Beliau berkata, cadangan itu mengakibatkan kos pembangunan yang lebih tinggi memandangkan keperluan untuk meneroka kawasan hutan serta pengambilan kawasan komersial dan perumahan penduduk yang padat.

“Justeru saya yakin, keputusan kerajaan ini bukan sahaja dapat menjamin pembangunan prasarana sosial yang berkualiti untuk rakyat, bahkan ianya akan memacu pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan serta membuka pelbagai peluang ekonomi dalam rantaian nilai.

“Selain itu, keazaman kerajaan meneruskan projek ini akan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat serta meningkatkan kadar keterhubungan (connectivity) logistik dan rakyat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ECRL: Selangor lega aset berharga negeri selamat

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 15 APR : Tindakan Kerajaan Persekutuan melakukan penjajaran semula pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan tidak melibatkan Permatang Kuarza Gombak menerima pujian dari Kerajaan Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau menarik nafas lega apabila Kerajaan Persekutuan mendengar bantahan berkenaan sekali gus menyelamatkan aset berharga negeri ini.

Katanya, oleh kerana itulah Kerajaan Negeri kembali menyokong pembinaan terbabit yang mana sebelum ini dibantah keras oleh Selangor.

“Namun rakyat Selangor tetap mendapat manfaatnya apabila pembinaan ECRL ini bermula dari Pelabuhan Klang, tidak apalah di Gombak tiada (ECRL) asalkan kita berjaya menyelamatkan aset alam sekitar yang amat berharga pada Selangor dan rakyatnya.

“Bukan sahaja Permatang Kuarza Gombak, Kerajaan Negeri juga berjaya menyelamatkan perkampungan Orang Asal di Batu 12 Gombak, yang mana turut terjejas sekiranya pembinaan dilakukan di situ,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Debat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2019 di Universiti Selangor (UNISEL), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berhubung pengumuman Kerajaan Persekutuan yang kembali meneruskan pembinaan projek ECRL kepada media.

Pada Julai 2018, Kementerian Kewangan memaklumkan Kerajaan Selangor membantah keras penyiapan landasan rel yang membabitkan Gombak ke Pelabuhan Klang.

Bantahan itu adalah berdasarkan prinsip permohonan Kerajaan Selangor untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16km, yang merupakan permatang kuarza yang terpanjang di dunia.

Menteri Kewangan, Guan Eng turut memberitahu penyiapan landasan sambungan ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang itu sudah tentu akan menggagalkan usaha Kerajaan Selangor untuk menyenaraikan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Namun pada12 April lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan projek ECRL yang tergantung sejak Julai 2018 disambung semula dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion bagi fasa pertama dan kedua.

Selain itu, kenyataan itu juga menyebut pengurangan kos asal dari RM65.5 bilion kepada RM44 bilion berjaya dikurangkan setelah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sepakat memeterai satu perjanjian tambahan.

Difahamkan, wakil khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan dilapor berkata, pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu – Mentakab – Jelebu – Kuala Kelawang-Bangi/Kajang – Putrajaya dan Pelabuhan Klang.

Malah, jajaran baharu itu turut menyaksikan dua stesen ECRL di Gombak dan Bentong akan dihapuskan selepas ini.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, beliau percaya jajaran baharu ECRL itu dibuat berdasarkan bantahan Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Asalnya kerana ia membelah banjaran titiwangsa dan sebahagiannya terkena Permatang Kurza Gombak yang merupakan aset berharga rakyat Selangor.

“Kita juga sedang mewartakan tapak itu sebagai Tapak Geopark Kebangsaan, walaupun ia rendah sedikit tarafnya berbanding Tapak Warisan Dunia UNESCO, namun prosesnya tetap memakan masa yang panjang.

“Akhirnya bantahan itu didengar dan ia dimulakan kembali dengan kos yang lebih rendah,” katanya.

Categories
GLOBAL

ECRL disambung semula kukuh hubungan Malaysia-China

DEZHOU CITY, (Shandong, China), 14 APR: Penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta meningkatkan lagi hubungan ekonomi sedia ada, kata Duta Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan China kerana memahami keperluan dan cabaran kewangan yang dihadapi Malaysia apabila bersetuju merundingkan semula projek tersebut.

“Selepas beberapa bulan mengadakan rundingan, kerajaan China memahami keadaan itu dan juga disebabkan oleh hubungan diplomatik kukuh yang telah terjalin antara China dan Malaysia 45 tahun lalu sejak 1974.

“Selain itu, dalam keadaan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kita juga ingin menekankan bahawa kita terus menyokong ekonomi China, yang menjadi rakan pelabur terbesar kita selama 10 tahun berturut-turut, manakala Malaysia pula sebaliknya adalah rakan dagang kedua terbesar China dalam kalangan negara ASEAN,’’ katanya pada majlis pelancaran Blue Horizon Hotel di Qihe, di barat laut wilayah Shandong, China.

Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat mengumumkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd memeterai perjanjian tambahan yang membuka jalan bagi menyambung semula projek ECRL.

Kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL kini berkurangan kepada RM44 bilion, penurunan RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Sementara itu, Hotel Blue Horizon yang memulakan pembinaan pada 10 Mac, 2016, dibangunkan oleh syarikat milik Malaysia, Farlim Holding Sdn Bhd dengan pelaburan lebih 600 juta renminbi (1 yuan China=RM0.61).

Hotel lima bintang itu merupakan sebahagian daripada fasa pertama projek ASEAN International Eco-City yang merangkumi kawasan seluas 10 kilometer persegi.

SUMBER: BERNAMA