Categories
AGENDA NASIONAL

Migran Rohingya tidak lemas, masuki Langkawi secara haram

LANGKAWI, 27 JULAI: Seramai 27 etnik Rohingya yang dikhuatiri lemas di pulau ini kelmarin, sebenarnya dalam keadaan selamat dan sudah memasuki negara ini secara haram.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata 13 lelaki, sembilan wanita dan lima kanak-kanak terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan dijumpai bersembunyi di Pulau Rebak Besar dekat sini, pada pukul 6.15 petang semalam.

Mereka ditemukan semasa Operasi Mencari dan Menyelamat yang dilaksanakan susulan pihak berkuasa mendapat laporan awal daripada seorang etnik Rohingya yang “terselamat” kononnya 24 orang penumpang lain dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjun dari sebuah bot di pulau ini pada Sabtu, pukul 8 malam.

Helah itu dipercayai merupakan modus operandi terbaharu etnik berkenaan cuba memasuki negara ini secara tidak sah kerana sebelum ini terdapat kes mereka sengaja membocorkan sebuah bot serta merosakkan enjinnya berhampiran pulau ini sebelum mendarat di Malaysia.

“(Awalnya) pasukan operasi mencari dan menyelamat itu gagal menemukan sebarang petunjuk atau mangsa. Pasukan operasi kemudian mendapat aduan dari seorang nelayan tempatan yang menemukan seorang lelaki etnik Rohingya di Pulau Rebak Besar, seterusnya bot Kilat Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi berkenaan.

“Migran tersebut dibawa pulang ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut untuk siasatan. Dia kemudian memaklumkan ada 26 lagi migran masih bersembunyi di pulau itu.

Ekoran itu, Bot Kilat dan Kapal Maritim (KM) Gagah bersama aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan pencarian sebelum menemukan 26 lagi migran berusia antara lima hingga 45 tahun,” kata Zawawi.

Zawawi berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua migran seramai 28 orang itu termasuk pengadu dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut untuk siasatan lanjut dan menjalani saringan awal Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati, migran terbabit terjun dari sebuah bot nelayan sebelum berenang ke pulau berkenaan.

“Kita masih menyiasat sejak bila mereka berada di pulau tersebut dan bagaimana berjaya lolos masuk ke perairan negara. Selain itu, siasatan mendapati migran ditahan itu mempunyai kaitan dengan dua tekong darat atau ‘dallal’ yang ditangkap dalam operasi melibatkan lima agensi, 21 Julai lalu.

“Berkenaan modus operandi pergerakan migran ini, kita tidak menolak kemungkinan sebuah bot nelayan perlu datang untuk mengambil mereka tetapi kerana dua tekong darat itu ditahan menyebabkan mereka kehilangan arah menyebabkan seorang berenang menuju kawasan ‘breakwater’ (pemecah ombak) di Kuala Chenang,” katanya.

Zawawi turut melahirkan rasa kesal dengan sikap nelayan tempatan yang disyaki menjadi “pengangkut” membawa masuk migran ke negara ini.

“Siasatan mendapati modus operandi sindiket menggunakan taktik menyeludup migran daripada bot induk yang berada berhampiran sempadan perairan negara ke bot nelayan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) turut percaya kemasukan kumpulan pendatang tersebut mendapat bantuan penduduk tempatan disyaki menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan migran.

Komander NTF Laksamana Madya, Datuk Aris Adi Tan Abdullah mendakwa ia berikutan ada penduduk setempat di pulau itu yang dikesan memberi kemudahan bot-bot nelayan bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.

“Ini berikutan taktik digunakan mereka setelah memasuki perairan negara dengan cara menaiki bot-bot nelayan tempatan.

Mereka (migran) kemudiannya akan menyamar sebagai nelayan sebelum mendarat di pulau-pulau sekitar Pulau Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aris Adi menyifatkan penglibatan penduduk tempatan yang didapati membantu kemasukan migran melalui perairan atau daratan persempadanan negara merupakan pengkhianat negara.

Beliau berkata NTF akan sentiasa membuat pemantauan berterusan serta tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara terpelihara,” katanya.

“Tangkapan demi tangkapan akan dilakukan bagi mengesan saki-baki sindiket terlibat dalam penyeludupan migran.

Masyarakat digesa bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan migran, penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan melalui talian penting Pusat Operasi NTF (011-6251 1223),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasca ribut: Langkawi kembali tenang

LANGKAWI, 10 OGOS: Selepas dikejutkan dengan kejadian ribut yang membadai banyak lokasi di pulau peranginan itu malam tadi, keadaan hari ini kembali pulih dan tenang dari ‘kekecohan’ yang berlaku.

Jika semalam siren pelbagai agensi penyelamat kedengaran hampir setiap masa, hari ini situasi lebih tenang dengan penduduk pulau ini keluar meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa.

Pegawai Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata, keadaan cuaca hari ini dilaporkan baik dan semua agensi terbabit memberi tumpuan kepada kerja pembersihan pokok tumbang.

“Semua agensi terbabit bertindak mengikut tanggungjawab masing-masing. Bagi APM Daerah Langkawi sendiri, seramai 40 anggota ditugaskan di 10 lokasi sekitar Padang Matsirat, Kelibang, Bukit Malut untuk meneruskan operasi membersihkan pokok tumbang,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, APM Daerah Langkawi serta Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan giat melakukan kerja pembersihan kesan ribut di beberapa lokasi seperti sekitar Kampung Bendang Baru, Kampung Padang Wahid, Bukit Malut, Ulu Melaka dan Temonyong.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: Langkawi bakal jadi pengeluar beras pulut utama

LANGKAWI, 25 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, projek penanaman padi pulut akan dilaksanakan di Langkawi seterusnya menjadikan pulau ini ​​​​​pengeluar utama beras pulut.

Beliau berkata, bagi tujuan itu Jabatan Pertanian akan mengenalpasti kawasan serta lokasi yang luas dan sesuai untuk menanam padi pulut yang berasingan dari kawasan penanaman padi biasa.

“Keputusan sudah dibuat dan mereka (Jabatan Pertanian) akan datang pilih tanah yang sesuai. Kalau berjaya ia boleh menjana pendapatan yang baik kepada penduduk Langkawi seterusnya menjadikan pulau ini sebagai pengeluar beras pulut.

“Ini harapan kita kerana saya percaya harga beras pulut lebih tinggi dari harga beras biasa jadi pesawah boleh tambah pendapatan mereka sekiranya menanam padi pulut,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) Peringkat Langkawi kepada 48 penerima di Kompleks Angkatan Pertahan Awam (APM) Daerah Langkawi di sini, hari ini.

Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat dan ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir, yang juga Anggota Parlimen Langkawi, turut menyarankan agar penduduk di pulau ini menanam sayur-sayuran kerana memiliki permintaan yang tinggi.

“Ada banyak hotel di Langkawi tetapi mereka tidak dapat bekalan sayur-sayuran dan terpaksa mengimport dari mainland atau negara lain.

“Ini merugikan kita, sebaliknya kalau penduduk Langkawi rajin tanam sayur-sayuran mereka akan dapat jana pendapatan jauh lebih tinggi.

“Kita akan perkenalkan cara penanaman sayur secara bertingkat yang akan memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang sanggup berusaha,” katanya.

Mengulas mengenai kad KIDA, Dr Mahathir berkata pemegang kad itu boleh mendapatkan rawatan di empat buah klinik dan mendapatkan barangan keperluan di lima kedai yang berdaftar untuk program berkenaan.

“Kita mengambil berat tentang masalah rakyat terutama mereka yang lemah (sakit) dan berpendapatan rendah.

“Kita sedia untuk beri bantuan tetapi harap bantuan ini adalah sementara kerana dalam Malaysia ini kita suka melihat rakyat independent iaitu tidak bergantung kepada kerajaan sebaliknya mereka boleh mendapatkan pendapatan yang cukup bagi diri mereka dengan usaha dilakukan oleh mereka,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Warga British maut dipercayai dibunuh isteri sendiri

LANGKAWI, 18 OKT: Seorang warga British ditemui mati selepas dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh isterinya dalam sebuah rumah, di Kampung Gelam, Mukim Kedawang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mayat John William Jones, 62, dijumpai terbaring dalam keadaan mengiring di atas lantai ruang tamu rumah berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi.

“Sejurus menerima panggilan daripada jiran pasangan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Padang Matsirat berkejar ke tempat kejadian dan mendapati isteri si mati masih berada di sisi mayat,” katanya kepada BERNAMA.

Polis turut menemui sebilah pisau sepanjang kira-kira 30 sentimeter di atas lantai bilik tidur pasangan itu dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Mohd Iqbal berkata, isterinya yang berumur 62 tahun yang juga warga British kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Categories
NASIONAL

Musim cuti jadikan Kuala Perlis tumpuan pelancong ke Pulau Langkawi

KUALA PERLIS, 16 JUN: Kuala Perlis yang menjadi tumpuan orang ramai sebagai pusat transit untuk ke Pulau Langkawi pada setiap musim cuti persekolahan bertambah sesak dengan cuti Hari Raya Aidilfitri bermula semalam.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati jeti Jabatan Laut Kuala Perlis dijadikan pilihan pelancong dalam dan luar negara untuk ke pulau lagenda itu kerana jarak perjalannya lebih dekat berbanding Kuala Kedah atau dari Pulau Pinang.

Selain itu Kuala Perlis menjadi kerana terdapat perkhidmatan feri RoRo membawa kenderaan penumpang dan kargo ke Tanjung Lembung di Langkawi.

Bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Mat Hassan berkata kemudahan-kemudahan asas seperti tempat meletak kereta dan kedai makan yang dinaik taraf oleh kerajaan negeri sejak dua tiga tahun lepas dapat menambah keselesaan kepada pengunjung.

Difahamkan terdapat lebih 30 buah feri menyediakan perkhidmatan membawa penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi setiap hari.

SUMBER: BERNAMA