Categories
AGENDA JENAYAH

Memandu mabuk lagi, dua lelaki didenda RM3,000

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Akibat tidak serik memandu di bawah pengaruh alkohol, dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas kontraktor Fan Kok Wai, 45, dan penjual mee Chin Wen Hoong, 55, selepas mereka mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sebanyak 189mg dan 195mg dalam 100ml darah, melebihi had ditetapkan iaitu 80mg di Lebuhraya Kesas dan Jalan Cheras pada 31 Mei lepas, antara 10.15 malam dan 11.05 malam.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-dua lelaki tersebut digantung selama dua tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan.

Pegawai Pendakwa Insp Abdullah Khazali, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran ke atas tertuduh dengan alasan itu adalah kesalahan kali kedua mereka, manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon maaf dan merayu hukuman denda minimum.

Sementara itu, Puteri Nursheila turun menasihati Fan supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

“Ini kesalahan kali kedua. Kamu perlu ambil ini sebagai pengajaran,” katanya.

Mereka membayar denda tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah kawalan: Perbaharui lesen memandu, insurans dalam talian

SHAH ALAM, 24 MAC: Urusan memperbaharui lesen memandu, lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan motor (LKM) boleh dilakukan dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kata menteri pengangkutan.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata tindakan itu selaras penutupan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah dan Sarawak termasuk perkhidmatan JPJ di pejabat pos bermula 20 sehingga 31 Mac ini.

“Perkhidmatan ini boleh dilakukan melalui laman sesawang MySikap JPJ atau perkhidmatan portal MyEG (hanya untuk perbaharui LKM).

“Orang awam yang tidak memiliki nombor identiti bagi mengakses MySikap JPJ boleh melaksanakan proses pembaharuan menerusi MyEG,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Ka Siong berkata orang ramai yang sudah memperbaharui CDL atau LKM melalui kedua-dua laman sesawang itu tidak perlu hadir ke kaunter untuk mendapatkannya secara fizikal.

“Bukti pembayaran fi melalui portal sudah memadai untuk digunakan sebagai bukti. Justeru, orang ramai diminta tidak tergesa-gesa mendapatkan lesen memandu atau pelekat LKM yang sudah diperbaharui.

“Kebenaran ini hanya untuk kegunaan sepanjang tempoh perintah kawalan sahaja dan perlu mendapatkannya selepas perintah ini ditarik semula,” katanya yang turut memaklumkan pembaharuan insurans boleh dibuat secara dalam talian.

Categories
SELANGOR

MBPJ ketat penguatkuasaan peniaga bazar Ramadan

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

PETALING JAYA, 10 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperketat tindakan penguatkuasaan terhadap pematuhan syarat berlesen di semua lokasi tapak bazar ramadan di Petaling Jaya menggunakan Sistem Demerit bermula 6 Mei, kata Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat MBPJ berkata, sistem itu adalah pemarkahan bagi setiap kesalahan yang dilakukan penjaja seperti termaktub dalam undang-undang kecil penjaja MBPJ (2007), Akta Jalan, Parit dan Pembangunan 1974 (Akta 133) dan Perintah Pengankutan Jalan (PeruntukanTempat Letak Kereta MBPJ 2007) Pindaan 2012.

Katanya, sistem yang dilaksanakan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu pelanggaran syarat kritikal dan tidak kritikal.

“Setiap kesalahan tidak kritikal bakal dikenakan satu markah antaranya tidak mempamerkan lesen perniagaan di tempat yang mudah dilihat, berniaga melebihi tempoh dan sebagainya.

“Bagi kesalahan kritikal yang dikenakan dua markah pula seperti tidak mempunyai sijil suntikan TY2 yang sah, membiarkan makanan dan minuman terdedah dan sebagainya”, katanya dalam kenyataan.

Ahmad Iskandar berkata, pihaknya tidak teragak-agak menarik kembali lesen perniagaan yang dikeluarkan mereka jika mata demerit mencapai 50 markah.

Sementara itu, katanya, berdasarkan hasil semakan bersepadu, sebanyak 85 rekod yang dikesan antaranya kesalahan menggunakan pembantu tidak berdaftar, tidak berniaga sendiri, tukar jenis jualan dan menjual petak perniagaan.

“MBPJ memfokuskan kepada tindakan pengambilan sampel makanan bagi menguji syarat lesen.

“Sepanjang tiga hari Ramadan pemantauan, MBPJ mengeluarkan 349 kompaun dan notis termasuk tiga sitaan”,katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang http://www.mbpj.gov.myatau muat turun aplikasi e-lesen MBPJ.

Categories
PBT SELANGOR

Lebih 28,000 perbaharui lesen perniagaan MPSJ

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 30 JAN: Seramai 28,722 pemilik premis perniagaan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuat pembaharuan lesen perniagaan, bagi 2019.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, angka itu menunjukkan peningkatan 10 peratus atau 2,818, berbanding 26,904 pemegang lesen yang memperbaharui lesen tahun lalu.

“Komitmen komuniti perniagaan, khususnya di MPSJ memberi impak positif terhadap jumlah kutipan hasil lesen, pada 2018 iaitu RM22.8 juta.

“Malah, senario ini menggambarkan bahawa komuniti peniaga MPSJ peka dan patuh terhadap pelaksanaan undang-undang serta dasar ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.1/2019, di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga tidak lagi menghantar notis makluman pembaharuan lesen seperti tahun sebelumnya, bermula tahun ini.

Katanya, hal itu kerana pembaharuan lesen perniagaan sebelum tamat tempoh adalah tanggungjawab pemegang lesen itu sendiri.

“Lesen perniagaan boleh diperbaharui dalam tempoh tiga bulan awal sebelum tamat tempoh sah lesen.

“Bagaimanapun, kegagalan memperbaharui lesen boleh menyebabkan pemilik perniagaan diambil tindakan undang-undang dan penguat kuasaan tegas,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ wujud aplikasi online semak kelulusan lesen

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 DIS: Kini peniaga boleh menyemak kelulusan lesen hanya di hujung jari apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mewujudkan sebuah aplikasi bagi memudahkan peniaga.

Pengarah Jabatan Pelesenan MBPJ, Sharinaz Samsudin berkata, beliau tidak menafikan proses menyemak lesen perniagaan memakan masa sekiranya ada permohonan yang gagal memenuhi syarat.

 

“Pemohon terpaksa datang ke kaunter MBPJ hanya untuk diberitahu permohonan mereka telah ditolak kerana tidak memenuhi kriteria tertentu atau tidak mengemukakan dokumen yang diperlukan.

“Bagi saya ia adalah satu pembaziran masa untuk mereka pergi ke kaunter hanya untuk mengetahui mereka berjaya atau tidak, namun dengan adanya aplikasi yang diwujudkan ini, peniaga boleh semak kelulusan lesen sepantas kilat,” katanya.

Setakat ini, aplikasi yang dinamakan eLesen MBPJ itu boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play.

Sharinaz berkata, orang ramai juga boleh memeriksa status lesen perniagaan premis dengan mengimbas kod QR yang ditampal di pintu masuk kedai.

Katanya, melalui kod QR, pengguna dapat melihat butiran seperti nama dan alamat premis, jenis perniagaan yang dilesenkan untuk beroperasi serta ketulenan lesen.

Categories
PBT SELANGOR

Dapatkan lesen perniagaan, elak permit disita

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 17 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyarankan peniaga mendapatkan lesen perniagaan sebelum tindakan tegas diambil ekoran kewujudan penjaja tanpa lesen yang semakin berleluasa.

Ketua Komunikasi Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, apa juga perniagaan yang dijalankan perlu mendapatkan lesen untuk mengelakkan berdepan sebarang masalah termasuk gerai disita.

“Kita menyediakan ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menjalankan aktiviti perniagaan seperti di pasar malam, pasar pagi, kiosk, gerai dan penjaja sementara.

MBSA03“Namun, pemohon perlu mengisi borang permohonan di jabatan pelesenan MBSA yang akan dikaji oleh jawatankuasa mengkaji dan memproses permohonan lesen,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, syarat permohonan dan dokumen perlu dilampirkan seperti kad pengenalan, bil cukai taksiran, bil elektrik serta lokasi tapak bersesuaian dan borang yang perlu dilampirkan sebelum sesuatau permohonan diluluskan.

Selain itu, MBSA turut mengenalpasti beberapa penjaja bergerak (Food Truck) yang ingin menjalankan perniagaan di Selangor yang perlu memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

“MBSA telah mengenalpasti tapak untuk aktiviti perniagaan ‘food truck’. Sehubungan itu, diingatkan peniaga supaya membuat permohonan mengikut peraturan ditetapkan bagi mengelak sebarang masalah tidak sepatutnya berlaku di kemudian hari,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSJ keluarkan lesen perniagaan dan iklan serta-merta

OLEH SYASYA SUFIAN

SUBANG, 26 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan ‘Business Procees re-engineering’ bagi meningkatkan mutu perkhidmatan urusan permohonan lesen perniagaan.

Yang Dipertua MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, 453 aktiviti perniagaan boleh diberikan lesen secara serta-merta berbanding hanya 56 aktiviti perniagaan sebelum ini.

“Lesen serta-merta ini adalah lesen sementara yang dikeluarkan kepada pemohon sebelum pegawai perlesenan menjalankan pemeriksaan di tapak dalam tempoh 14 hari bekerja selepas lesen sementara dikeluarkan.

MPSJ01“Ini juga adalah bagi mengelak peniaga menjalankan perniagaan secara haram,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat MPSJ bil 08/2016, di sini, hari ini.

Katanya, MPSJ sudah mengeluarkan 221 lesen serta-merta bermula 29 Ogos hingga 23 September lalu.

“Pelaksanaan ini juga adalah untuk mengelak pemilik perniagaan bergantung kepada pihak ketiga yang sering menipu pemilik dengan penambahan harga lesen yang mahal untuk perkhidmatan tidak benar.

“Lesen penuh bagi tempoh setahun akan diberi kepada premis selepas aktiviti perniagaan memenuhi keperluan syarat lesen tanpa perlu menunggu tempoh enam bulan terakhir,” katanya.

Sebelum ini, Hisham berkata, ramai peniaga yang membuat aduan lesen perniagaan lambat diluluskan sehingga mengambil masa selama setahun.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pembaharuan lesen MPK sehingga 31 Disember

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuka kaunter pembaharuan lesen perniagaan bagi tahun 2016 bermula minggu lalu hingga 31 Disember ini.

Ketua Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz, berkata mereka membuka kaunter di beberapa lokasi terpilih bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan mereka.

Norfiza-Mahfiz-(MPK)“Antara lokasi berkenaan adalah di GM Klang, Shaw Centrepoint, Centro, Kompleks Giant Hyper Market, Bukit Raja, Aeon Bukit Tinggi, Tesco Bukit Tinggi, Harbour Place dan Klang Parade.

“Selepas daripada tarikh yang ditetapkan, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan ke atas premis yang tidak membayar lesen dan dibatalkan, manakala pemilik perlu mengemukakan permohonan baru,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemilik lesen dinasihatkan untuk meneliti notis pembaharuan lesen yang diterima peniaga.

“Ia adalah notis pembaharuan bagi Lesen Perniagaan 2016 yang perlu dibayar sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Katanya, pihak berkenaan boleh menyemak jadual di laman sesawang MPK atau facebook Saluran Komunikasi MPKlang untuk mengetahui waktu dan hari bagi pembayaran.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Gagal kemuka kebenaran merancang baharu, tak boleh hidup lesen

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Pemegang lesen perniagaan perlu mengemukakan pembaharuan kebenaran merancang dan tukar guna bangunan ke Jabatan Perancangan Pembangunan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tiga bulan sebelum tarikh tamat.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporatnya, berkata kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan mereka tidak dapat memperbaharui lesen perniagaan tahun hadapan.

jom bayar lesen mbpj 1“Pemegang lesen mempunyai kelulusan kebenaran merancang dan tukar guna bangunan perlu mengambil tindakan itu.

“Mengikut rekod, terdapat 508 premis perlu memperbaharuinya untuk tahun hadapan daripada pelbagai jenis aktiviti seperti institusi pendidikan, taska dan tadika, rumah jagaan, hotel bajet serta pusta asuhan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, premis yang menjalankan aktiviti servis dan aksesori kereta atau sebarang aktiviti yang tidak membolehkan letak kereta di hadapan premis dikehendaki memohon juga memperbaharui sewa petak bermusim untuk tempoh setahun.

“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan proses pembaharuan lesen tahun hadapan tergendala. Terdapat 196 premis yang perlu memperbaharui sewa ‘petak musim tetap’ di hadapan premis mereka,” katanya.

MBPJ juga menasihatkan semua pemegang lesen perniagaan memperbaharuinya sebelum 31 Disember ini.

Katanya, kegagalan akan mengakibatkan caj lewat dikenakan ke atas setiap akaun lesen yang diperbaharui.

“Kadar caj ialah RM50 bagi pembaharuan bermula 2 Januari hingga 31 Mac 2016 dan RM300 bagi pembaharuan yang dibuat bermula 1 April hingga 31 Julai 2016,” katanya.

-NFN-